Isnin, Ogos 12, 2013

MUSA BOLEH TANDING JIKA DIA RASA LAYAK

PETALING JAYA: Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan berpendapat sesiapa yang rasa mereka layak bertanding, mereka boleh bertanding jawatan Naib Presiden Umno. Menurut setiausahanya, Datuk Syed Ali Alhabshee, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman boleh bertanding jika beliau rasa beliau layak bertanding. “Sehingga ini saya belum mendengar beliau mahu bertanding jawatan tersebut,” katanya kepada FMT ketika mengulas desas-desus Musa akan bertanding merebut kerusi itu daripada tiga orang penyandang jawatan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Datuk Seri Shafie Afdal. “Apa yang saya dengar dari abang dan adiknya yang bercakap kemungkinan Musa bertanding, ” katanya lagi. Abang Musa, Datuk Ayub Aman dalam FMT berpendapat Musa tidak perlu bertanding jawatan tersebut kecuali beliau mahu jadi pemimpin utama negara kerana jawatan Naib Presiden adalah tiket menjadi Perdana Menteri. Sebaliknya adik Musa, Datuk Seri Anipah Aman yang juga Menteri Luar berkata beliau optimis Musa akan dapat sokongan penuh dari Sabah jika Musa berhasrat untuk bertanding jawatan tersebut. Ditanya jika Musa bertanding, adakah Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan akan menyokongnya, Syed Ali yang juga Ketua Umno Bahagian Cheras berkata beliau boleh memberitahu para perwakilan untuk mengundi calon-calon tertentu tetapi bukan senang nak kawal perwakilan kerana perwakilan kali ini terlalu ramai. Katanya, Wilayah Persekutuan ada 13 bahagian. Ini bermakna kalau satu bahagian ada seramai 300 perwakilan, ini bermakna ada 3,900 perwakilan dari Wilayah Persekutuan. “Bukan senang nak suruh mereka undi calon-calon tertentu kerana kami tidak ada kuasa untuk mengawal mereka,” katanya. Lagipun, beliau mengaku beliau tidak ada hak untuk bercakap bagi pihak Umno Wilayah Persekutuan, kerana 13 bahagian ada kuasa untuk memilih Naib Presiden Umno sendiri. Sehingga ini tiga penyandang jawatan sudah mengesahkan mereka akan mempertahankan jawatan mereka. Selain itu bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam dan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dijangka turut bertanding. Sementara itu Pemuda Umno Sabah menyokong penuh jika Ketua Menteri Sabah mahu bertanding jawatan Naib Presiden Umno. Menurut Ketua Pemuda negeri, Datuk Awang Kadin Tang, Musa bukan sahaja akan mendapat sokngan dari Sabah malah dari semua negeri. “Kemampuan beliau mengekalkan Sabah di tangan BN pada pilihanraya umum lalu membuktikan bahawa beliau layak diberi peranan yang lebih penting dalam parti,” katanya kepada Bernama.