Isnin, Ogos 12, 2013

TAK SALAH DUA CALON DARI SABAH TANDING NAIB PRESIDEN UMNO

KOTA KINABALU: Bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Datuk Rizalman Abdullah berkata tidak salah Sabah mengemukakan dua calon Naib Presiden dalam pemilihan Umno pada 19 Oktober depan. Menurut beliau, Sabah telah memberi kemenangan kepada BN mengekalkan kerajaan pusat. “Justru itu apa salahnya kalau dua orang Naib Presiden Umno datangnya dari Sabah,” kata beliau mengulas kemungkinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman turut bertanding jawatan Naib Presiden Umno selain dari Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Shafie Apdal yang mempertahankan jawatan. Beliau yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Tenom berkata Johor pernah ada dua orang Naib Presiden Umno (Tun Sardon Jubir dan Tun Hussein Onn) serta Pulau Pinang pernah ada dua juga (Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim) maka tidak ada sebab perwakilan menolak dua Naib Presiden Umno dari Sabah. Budi “Jika perwakilan Umno mengenang budi sokongan kuat Sabah kepada BN, maka sudah sampai masanya mereka memilih dua orang naib Presiden Umno dari Sabah,” tegasnya yang menyokong penuh jika Shafie dan Musa bertanding jawatan tersebut. Beliau bersetuju dengan pandangan seorang pensyarah universiti bahawa jika Tunku Abdul Rahman tidak masukkan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia pada tahun 1963, sudah pasti BN sudah tumbang di Semenanjung. Rizalman berharap perwakilan dapat mengundi secara matang dan bukannya kerana sentimen kenegerian dalam menentukan siapa yang layak jadi Naib Presiden Umno. Layak Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Papar Datuk Abdul Rahim Ismail menyokong jika Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Musa Aman bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti kali ini. Rahim berkata, Musa sememangnya layak untuk bertanding jawatan itu kerana UMNO serta Barisan Nasional (BN) terutamanya di Sabah semakin kuat dan kukuh di bawah kepimpinan beliau yang juga Ketua Menteri Sabah. Katanya, kelayakan Musa sebagai pemimpin UMNO Sabah tidak perlu dipertikai kerana telah terbukti kepimpinan beliau telah membawa kemenangan kepada parti itu dan BN khususnya dalam pilihan raya umum (PRU13) lepas. Rahim bercakap kepada pemberita di Rumah Terbuka Aidilfitri, di kediamannya, di sini hari Ahad. Turut hadir anggota Parlimen Papar Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar; dan mantan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh. Dalam pada itu, Rahim yang juga ADUN Pantai Manis berkata beliau akan terus mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Papar pada pemilihan kali ini.