Isnin, Ogos 12, 2013
SHAFIE TIDAK GUSAR JIKA MUSA TANDING NAIB PRESIDEN
SEMPORNA: Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beliau tidak gusar dengan hasrat mana-mana anggota parti yang berhasrat bertanding jawatan naib presiden Umno pada pemilihan Oktober depan.
Beliau berkata terpulang kepada diri masing-masing untuk bertanding namun hasrat bertanding berkenaan seharusnya berasaskan hasrat mengukuhkan parti.
“Itu hak mereka, terserah, kita bersifat demokratik, kebebasan diberi, tak ada sekatan untuk mana-mana pihak. Apa yang penting dalam menawarkan diri untuk bertanding ialah keutuhan parti perlu menjadi keutamaan,” katanya ketika mengulas kemungkinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman turut bertanding jawatan Naib Presiden Umno.
Shafie bercakap kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini, mengenai ura-ura beberapa tokoh yang berhasrat bertanding merebut jawatan tersebut.
Fitnah
Dalam pada itu, Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mengingatkan anggota parti yang bertanding supaya tidak menabur fitnah atau mereka-reka cerita terhadap calon lain.
Pada mulanya Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Salleh Said Keruak yang disebut-sebut akan bertanding jawatan tersebut. Namun demikian, Salleh berkata Musa yang lebih layak bertanding jawatan nombor tiga itu.
Cadangan Salleh itu mendapat sokongan penuh bahagian-bahagian dari Sabah termasuk pemuda dan wanita Umno begeri. Malah Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan tidak menghalang Musa bertanding jika beliau rasakan beliau layak menyandang jawatan tersebut.
Musa masih belum membuat keputusan sama ada akan bertanding jawatan Naib Presiden atau ahli majlis tertinggi Umno sahaja. Jika Musa masuk bertanding, ini bermakna Sabah menghantar dua calon merebut kerusi Naib Presiden Umno.
Bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Datuk Rizalman Abdullah berkata apa salahnya Sabah ada dua orang naib presiden Umno.
“BN berjaya mengekalkan kerajaan pusat kerana sokongan kuat rakyat Sabah kepada BN. Oleh itu sudah sampai masanya perwakilan Umno memilih dua orang Naib Presifen Umno dari Sabah,” katanya.
Sehingga ini tiga orang calon sudah mengesahkan akan bertanding jawatan tersebut iaitu Shafie, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein. Dijangka Tan Sri Isa Samad dan Datuk Seri Ali Rustam akan membuat pengumuman yang sama tidak lama lagi.