Selasa, Ogos 13, 2013

PELUANG TERBAIK BUAT MUSA AMAN

KOTA KINABALU: Sokongan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman untuk bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada 19 Oktober ini semakin meningkat. Semalam Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Yahya Hussin memberi sokongan 100 peratus kepada Musa sekiranya Ketua Menteri itu mahu bertanding jawatan Naib Presiden UMNO. “Cadangan itu sebenarnya pernah diajukan kepada Ketua Menteri pada penggal pemilihan lepas tetapi Musa mengambil keputusan bertanding jawatan Majlis Tertinggi sahaja,” katanya. Yahya yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata, pertandingan bagi jawatan Naib Presiden UMNO tidak akan menimbulkan masalah walaupun ada dua pemimpin UMNO dari Sabah bertanding jawatan sama kerana perkara demikian sudah menjadi kebiasaan dalam parti. Kewibawaan Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad juga menyatakan sokongan terbuka kepada Musa jika beliau memutuskan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti tahun ini. “Beliau (Musa) bukan saja berjaya membawa kestabilan politik, malahan telah membawa negeri ini terus membangun dan maju,” katanya. Ketua UMNO Bahagian Tawau, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata, UMNO bahagian itu akan memberi sokongan penuh kepada Musa jika beliau menyatakan hasrat bertanding jawatan Naib Presiden UMNO. “Tidak ada keraguan terhadap kewibawaan beliau. Selama dua penggal prestasi BN cukup cemerlang di negeri ini dan selaku pentadbir beliau telah memulihkan ekonomi negeri ini dengan baik sekali,” katanya. Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh pula berkata, sesiapa sahaja boleh menawarkan diri bertanding sebarang jawatan dalam parti termasuk Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti akan datang. Abdul Ghapur yang juga anggota Parlimen Kalabakan berkata, pertandingan kepada semua berdasarkan amalan demokrasi yang diamalkan UMNO sejak sekian lama. Peluang Pada hemat saya, ini adalah peluang terbaik buat Musa Aman untuk bertanding jawatan tersebut. Pada tahun 2009, beliau menang kerusi ahli majlis tertinggi Umno di tempat kedua dengan 2,084 undi, sama banyak undi dengan bekas Menteri Pertanian, Datuk Seri Noh Omar. Selepas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam jadi Naib Presiden Umno (2004-2009), Kelab MB sudah tidak ada wakil dalam Naib Presiden Umno. Maka jika Musa bertanding, beliau akan jadi wakil Kelab MB dalam Naib Presiden. Peluang Musa untuk menang adalah cerah kerana beliau adalah Ketua Menteri tunggal yang bertanding kerusi tersebut. Soal dua orang calon dari Sabah tidak timbul kerana Umno pernah ada dua naib presiden dari Johor (Tun Sardon Jubir dan Tun Hussein Onn) dan Pulau Pinang (Tun Abdullah Ahmad badawi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim). Seperti kata bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Datuk Rizalman Abdullah, BN Sabah yang menyebabkan BN kekal berkuasa di negara ini. “Jadi apa salahnya kalau dua orang Naib Presiden Umno datangnya dari Sabah,” katanya sambil merujuk kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Shafie Apdal yang mempertahankan jawatan. Budi bicara Ada yang berpendapat jika Musa kalah, beliau akan hilang jawatan ketua menteri. Kuasa melantik ketua menteri adalah budi bicara Perdana Menteri. Jadi tak timbul beliau akan digugurkan sebagai ketua menteri jika kalah bertanding jawatan tersebut. Pada tahun 2009, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin kalah bertanding jawatan Naib Presiden Umno mendapat tempat keempat selepas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamudin Hussein dan Shafie Afdal. Tapi akhirnya beliau jadi Menteri Besar Johor pada pilihanraya umum lalu. Menang atau kalah bertanding dalam parti tidak menjamin ada jawatan dalam kerajaan. Noh Omar masih ahli majlis tertinggi tapi digugurkan jadi menteri. Malah ramai yang tidak jadi ahli majlis tertinggi Umno tetapi dilantik menteri. Oleh itu soal kekal atau tidak jawatan dalam kerajaan tidak timbul sama sekali. Asset Musa adalah asset kepada Umno. Beliau yang banyak menyumbang wang peribadi kepada Umno Malaysia yang menyebabkan beliau kekal sebagai Ketua Menteri Sabah sehingga sekarang. Lagipun beliau telah terbukti berjaya mengekalkan kemenangan BN di Sabah. Maka apa salahnya perwakilan Umno memilih beliau sebagai salah seorang Naib Presiden Umno. Jika Musa dan Shafie menang jawatan Naib Presiden Umno pada 19 Oktober ini, siapa seorang lagi yang akan menang? Adakah Zahid atau Hishamuddin?