Selasa, Ogos 26, 2014
PRK PENGKALAN KUBOR: ASYRAF WAJDI CALON BN?
KOTA BAHARU, 26 Ogos (Bernama) -- Anggota Dewan Negara Senator Datuk Dr
Asyraf Wajdi Dusuki menyerahkan kepada pucuk pimpinan Umno untuk menentukan sama
ada beliau tersenarai atau sebaliknya sebagai calon bagi pilihan raya kecil
(PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor nanti.
Beliau yang juga Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) itu
berkata apa yang penting calon itu mestilah mampu membawa kemenangan kepada
Barisan Nasional (BN) bagi meneruskan legasi perjuangan Allahyarham Datuk
Noor Zahidi Omar yang meninggal dunia, Rabu lalu.
"Pemimpin sebelum ini telah meletakkan asas yang amat kuat di Pengkalan
Kubor.
"Mesej ini jelas bahawa kita perlu meneruskan tradisi khidmat dan bakti Umno
dalam Barisan Nasional dan meneruskan legasi yang telah dibuktikan oleh
Allahyarham," katanya kepada pemberita di Program Semarak Merdeka Kempen Kibar
Jalur Gemilang di sini hari ini.
Bagaimanapun, Asyraf Wajdi berkata sama ada terpilih atau tidak sebagai
calon, sebagai Anggota Majlis Tertinggi Umno, beliau akan memastikan BN
mengekalkan kerusi DUN Pengkalan Kubor.
Asyraf Wajdi juga berpendapat beberapa calon yang berpotensi serta mempunyai
latar belakang agama, selain daripada kalangan warga Tumpat juga wajar
ditonjolkan dalam PRK itu nanti.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, parti pembangkang sama ada PAS atau
PKR sebagai sebuah parti yang bermaruah tidak salah jika boleh memberi laluan
kepada Umno dan BN untuk terus mentadbir kerusi DUN terbabit memandangkan tempoh
pentadbiran yang tidak sampai tiga tahun lagi.
"Atas dasar setiakawan, ia bukan sahaja dapat mengurangkan kos bahkan boleh
menjadi model baru politik negara sekali gus menepis polemik tidak sihat setiap
kali menjelang pilihan raya," katanya.
Asyraf Wajdi sebelum ini pernah dicalonkan bagi kerusi Parlimen Tumpat
berhadapan dengan Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamarudin Jaafar dalam pilihan
raya umum ke-12 namun tewas.
Noor Zahidi, 57, meninggal dunia akibat kanser hati di sebuah hospital di
Guangzhou, China, Rabu lepas.
Allahyarham merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor selama
tiga penggal dan Ketua Umno Bahagian Tumpat selama empat penggal.
Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham yang mewakili BN mengalahkan calon
PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti
1,736 undi.
-- BERNAMA
RBAR ZBI JM NH