Khamis, Mei 02, 2013

MAHATHIR PERLEKEH MAT TAIB, TAPI MAT TAIB JADI MB SELAMA 11 TAHUN

Tun Dr Mahathir Mohamad memperlekehkan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib yang menyertai PAS baru-baru ini di ibu negeri Selangor dihadapan penyokong kuat Umno mengatakan beliau terpaksa menyingkirkan bekas menteri besar Selangor itu kerana terlibat dengan skandal rasuah dan tidak tahu berbahasa Inggeris. Di hadapan lebih kurang 3,000 penyokong Barisan Nasional (BN) di sini, Dr Mahathir yang juga bekas presiden Umno itu memberi respon mengenai Muhammad apabila diminta oleh hadirin. “Mat Taib, dia nak bawak beg. Dia ada beg besar. Sebab itu dia tak boleh cakap Inggeris, tak boleh baca Inggeris,” kata bekas perdana menteri itu disambut dengan gelak ketawa daripada hadirin. “Saya pun terpaksa singkir dia daripada jadi menteri besar pasal bawak beg duit banyak sangat. Dan sebab tak boleh baca Inggeris, payahlah,” tambah beliau lagi. Dua hari selepas penamaan calon, Muhammad membuat kejutan apabila menyerahkan borang keahlian PAS kepada Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Muhammad bekas naib presiden Umno yang menyandang pelbagai jawatan utama dalam parti, pernah menjadi menteri besar Selangor dari tahun 1986 hingga 1997 di zaman pemerintahan Dr Mahathir. Beliau juga pernah menjawat jawatan menteri kemajuan luar bandar dan wilayah dari 2008 hingga 2009. Selepas menyertai PAS, Muhammad aktif berkempen bagi membantu calon Pakatan Rakyat (PR) di seluruh negara terutamanya di kawasan pendalaman tempat majoriti Melayu yang menjadi kubu kuat Umno. Hadirin yang hadir mendengar dengan khusyuk amanat daripada bekas perdana menteri yang telah memerintah selama 22 tahun itu. Ucapan beliau disambut dengan gelak tawa dan sorakkan membuktikan bekas pengerusi BN itu masih lagi popular termasuk kepada orang-orang muda. Dr Mahathir sebelum itu memberitahu penyokong parti itu betapa pentingnya kesetiaan kepada parti, walaupun tidak mendapat tempat atau digugurkan dari jawatan. “Saya biasa disingkir daripada Umno. Tunku Abdul Rahman buang saya daripada Umno. Tapi saya tak tubuh parti lain, saya tak masuk parti lain,” kata beliau disambut dengan tepukan gemuruh dari hadirin. Turut hadir bersama-sama dalam program malam tadi adalah naib presiden Perkasa Datuk Zulkifli Noordin yang merupakan calon BN bagi kerusi Parlimen Shah Alam. Zulkifli turut memberikan ucapan pendek dan menyatakan kehadiran besar malam tadi membuktikan BN mampu merampas Selangor pada pilihan raya 5 Mei ini. Selangor jatuh kepada pakatan PKR, PAS dan DAP pada Pilihan Raya 2008. Mereka kemudiannya menubuhkan PR. Dalam pilihan raya 5 Mei ini, Selangor merupakan salah satu “negeri panas” kerana kedua-dua BN dan PR yakin mereka mampu menguasainya.