Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein gembira kerana kepimpinan UMNO serta ahlinya di negeri ini kembali bersatu dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima dan pemerhatiannya, kesemua pemimpin dan ahli UMNO di negeri ini ' bertaut kembali'.
Menurut beliau, selepas mengetuai UMNO di Terengganu banyak usaha dan program jangka panjang dan pendek dilakukan yang menampakkan hasil positif dan menyakinkan.
''Maklum balas yang diterima kini begitu baik sekali dan usaha-usaha sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa.
''Bagaimanapun, saya sekali lagi merayu kepada semua pemimpin dan ahli agar tampil ke depan secara bersama dan sudah tiba masanya kita ke depan dalam 'mengganyang' setiap cubaan jahat parti lawan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO negeri di pejabat UMNO Terengganu di Kuala Terengganu semalam.
Semua pemimpin UMNO negeri termasuk Timbalan Pengerusinya, Datuk Ahmad Said, Setiausaha Badan Perhubungan, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh hadir dalam mesyuarat selama dua jam itu.
Hishammuddin menambah, untuk mengerakkan UMNO di Terengganu, pendekatan dilakukan dengan cara muhasabah bagi memastikan transisi kepimpinan berjalan lancar.
Katanya, isu kepimpinan dilihat perkara penting dalam Perhubungan UMNO negeri bagi melahirkan pemimpin pelapis yang benar-benar berwibawa membawa UMNO dengan semangat dan kesedaran.
''Lupakan peristiwa lalu, muhasabah diri, melihat kelemahan dan tidak lagi menuding jari kepada sesiapa sebaliknya melihat dalam diri sendiri dengan penuh keinsafan.
''Masanya telah tiba untuk sesama kita kembali bersatu hati dengan penuh jiwa raga sambil mengukuhkan barisan dan hala tuju baru,'' katanya.
Katanya, beliau yakin UMNO Terengganu masih cukup terpelihara dan boleh diperkukuhkan sekali gus menang besar dalam pilihan raya umum akan datang.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, UMNO Terengganu berdiri teguh di belakang Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menghadapi isu saman Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menambah, UMNO Terengganu tetap berada di barisan hadapan dalam menghadapi isu itu kerana ia menyentuh pucuk pimpinan tertinggi parti.
''Kami seratus peratus di belakang Timbalan Presiden parti tanpa berbelah bagi.
''Begitu juga dalam pelbagai isu semasa lain, UMNO Terengganu akan menentang habis-habisan usaha pelbagai pihak termasuk tindakan menodai kesucian perlembagaan negara," katanya.