Setahu saya Mohd. Sayuti Omar jarang memuji orang. Bila Sayuti memuji Khairy Jamaluddin yang sanggup berdebat dengan Husham Musa, ini menunjukkan Sayuti adalah penulis yang rasional.
Kita seharusnya memuji keberanian Khairy menyertai wacana di Balai Islam, Kota Bharu minggu lepas. Husham Musa adalah Naib Presiden PAS tetapi Khairy yang merupakan seorang naib ketua pemuda UMNO berani berdepan dengannya.
Malah Khairy berani memprovok Husham bila dia berkata PAS sudah lupakan hukum hudud dan sekali lagi Khairy mendakwa peranan PAS dalam Pakatan Rakyat tidak besar. Selepas ini kita mahu lihat dua orang lagi calon Ketua Pemuda duduk berdebat dengan para pemimpin PAS di Balai Islam. Saya kira Datuk Seri Dr. Khir Toyo tidak ada masalah untuk menerima undangan. Cuma Datuk Mukhriz Mahathir yang tidak dipastikan sama ada sanggup berdepan dengan Husham di Balai Islam.
Sehingga ini keberanian Khairy berdebat dengan Husham wajar diberi pujian sedangkan calon-calon Naib Presiden UMNO pun tak sanggup naik pentas di Balai Isla. Oleh itu Khairy sudah mendahului mereka. Syabas Khairy!