Saya terkejut juga mendengar berita kekalahan bekas ahli parlimen Tenom, Datuk Rizalman Abdullah di tangan ADUN Kemabong, Datuk Rubin Balang dalam pertandingan Ketua UMNO Bahagian Tenom semalam.
Inilah budaya politik UMNO. Bila tak ada kuasa, perwakilan pun lari kerana Rizalman bukan lagi ahli parlimen sedangkan Rubin masih seorang ADUN.
Saya kenali Rizalman sejak tahun 1989 ketika bertugas sebagai wakil akhbar WATAN di Sabah. Ketika itu beliau adalah Exco Pemuda USNO dan beliau adalah pegawai luar Jabatan Penerangan (kini JASA). Rizalman rapat dengan saya bersama dua orang lagi Exco Pemuda USNO, Datuk Bung Mokhtar (kini ahli parlimen Kinabatangan) dan arwah Kipli Haji Abas.
Apabila UMNO masuk ke Sabah pada tahun 1991, Rizalman mengalahkan ketua penaja UMNO Bahagian Pensiangan, Datuk Karim Ghani. Menerima berita kekalahannya, Karim kata Pensiangan bukan kampung halamannya maka kalahlah dia di tangan Rizalman yang sudah lama bertapak di Pensiangan.
Lama kelamaan nama Pensiangan ditukar kepada nama Tenom apabila berlaku persempadanan semula kawasan pilihan raya. Sejak itu Rizalman menjadi ketua bahagian Tenom selama 17 tahun.
Pada tahun 1999, beliau dipilih sebagai calon BN bagi parlimen Tenom. Beliau dilantik Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Usahawan (KPUN). Apabila dia tahu saya bekerja dengan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, sebuah agensi kerajaan negeri (ketika itu PAS memerintah Terengganu) beliau menawarkan jawatan pegawai medianya kepada saya.
Oleh kerana tawaran ini datangnya dari kawan lama, saya terimanya dan Perbadanan Nasional Berhad (PNS), sebuah agensi di bawah KPUN diarah membayar gaji saya sebagai pegawai media Setiausaha Parlimen KPUN.
Sebagai setiausaha parlimen beliau berani arahkan agensi di bawah kementeriannya membayar gaji pegawainya sedangkan saya pernah minta tolong seorang lagi kawan lama di Sabah untuk bekerja dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tetapi Datuk Shafie Afdal yang jadi menteri yang jaga SSM tak berani tolong saya sepertimana Rizalman pernah menolong saya.
Apabila Rizalman ditukarkan ke Kementerian Penerangan, saya diarah balik bekerja full time dengan PNS.Sejak itu saya bekerja dengan PNS. Walaupun kontrak saya disambung semula pada 1 Oktober 2002, tetapi saya menolak tawaran itu kerana kononnya nak berniaga pallet di Kemaman.
Walaupun saya dan Rizalman tidak sebumbung lagi, hubungan saya dengan Rizalman tetap erat seperti dahulu. Kami sering berjumpa di waktu malam bila siang kami sibuk dengan urusan masing-masing.
Pada tahun 2004, beliau digugurkan sebagai calon BN di saat-saat akhir. Pagi itu sebelum terbang ke Labuan, beliau diberi jaminan oleh Setiausaha Agung UMNO, Tun Khalil Yaacob (Menteri Penerangan yang juga bossnya) bahawa namanya kekal sebagai calon. Pada hari itu Radio Sabah menyiarkan siaran langsung pengumuman nama calon BN oleh Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman.
Beliau terkejut apabila namanya tiada dalam senarai calon. Rubin dikatakan telah melobi Musa dan berkata jika Rizalman kekal sebagai calon, para pengundi bukan Islam tidak akan mengundi BN kerana majoriti pengundi memang orang bukan Islam sedangkan Rizalman adalah orang Islam.
Percaya dengan dakwaan Rubin, Musa Aman menggugurkan nama Rizalman sebagai calon di saat-saat akhir. Sedangkan jika dia menang sudah tentu Rizalman dinaikkan pangkat sebagai timbalan menteri. Sebaliknya dengan meletakkan orang baru sebagai calon, rakyat Tenom kerugian kerana ahli parlimen mereka tidak jadi setiausaha parlimen atau timbalan meteri.
Pada tahun yang sama beliau berjaya mengekalkan jawatan ketua bahagian walaupun sudah tidak jadi ahli parlimen lagi. Beliau mengalahkan Rubin Balang. Semalam Rubin Balang pula berjaya mengalahkan Rizalman. Walaupun Rizalman bukan lagi setiausaha parlimen, ahli parlimen dan ketua bahagian, saya tetap berkawan dengannya seperti dahulu. Saya tidak pernah lari dari beliau walaupun ramai kawan-kawannya sudah lari.