Memaparkan catatan dengan label terima. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label terima. Papar semua catatan

Selasa, April 19, 2016

ZAHARIN TERIMA DIMP PAHANG

Seramai 200 individu menerima darjah kebesaran dan pingat sempena ulang tahun keputeraan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar di sini, hari ini.

Mendahului senarai penerima itu ialah Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Wira Mohd Johari Baharum yang merupakan antara 12 penerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Turut menerima SSAP ialah Pengarah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Penyelarasan Pembangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Syed Afendy Ali Syed Abid Ali; Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Asean Leftenan Jeneral (B) Datuk Azzuddin Ahmad dan Pengarah Urusan Seri Omega Private & International School Datuk Dr Ooi Chun Yen.

Penerima lain ialah Pengarah Urusan Kumpulan Perniagaan Asturi Metal Builders (M) Sdn Bhd yang juga Tokoh Maal Hijrah 2015 Datuk Md Sharif Shamsuddin; Pengarah Eksekutif Boustead Holdings Berhad Datuk Ghazali Mohd Ali dan Pengarah EN Tie Enterprise Sdn Bhd Datuk Lim Ik Kim.

Turut menerima ialah Pengarah Wilhin Motor (M) Sdn Bhd Datuk Tan Them Hing; mantan Ketua Pergerakan Pemuda MIC Bahagian Kuantan Datuk A.Selvakumar dan Pengarah Eksekutif Berjaya Corporation Bhd Azlan Meah Ahmed Meah.

Seramai enam individu pula menerima Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Datuk iaitu Tunku Zainal Abidin Tunku Ngah Muhammad; Ahli Lembaga Maahad Tahfiz Pahang Datuk Mahadiah Mohamad; Datuk Abu Bakar A Rashid; Setiausaha Bahagian Antarabangsa Kementerian Kewangan K.Givananadam; Setiausaha Bahagian Kementerian Kewangan Siti Fatimah Daud dan Teo Chooi Seng.

Seramai 46 individu pula menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang turut membawa gelaran Datuk iaitu Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Yusoff HM Hanif; Ketua Bahagian Guaman Jabatan Peguam Negara Amarjeet Singh; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nor Inchun Mohamed Salleh dan Duta Malaysia ke Arab Saudi Zainol Rahim Zainuddin.

Turut menerima anugerah itu ialah Exco Pergerakan Pemuda UMNO Dr Fathul Bari Mat Jahya; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Mohd Sukari Ab Hamid; Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional L.Gandesan dan Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Adnan Hussain.

Anugerah itu juga diberikan kepada Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Strategik Badan Berkanun Perbendaharaan Malaysia Noriah Shaharuddin; Pengarah Kanan Seksyen Khidmat Korporat dan ICT Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri Zaiton Awg Mohammed dan Setiausaha Bahagian Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Wan Mazlan Wan Mahmood.

Pengurus Besar Kumpulan Perladangan FELCRA Bhd Abd Muis Damuri; Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Berhad John Chong Eng Chuan; Pakar Perunding Kanan Anestesiologi Pusat Perubatan Prince Court Dr Azmil Farid Zabir dan Pakar Perubatan Am Hospital Miri Dr Fam Tem Lom.

Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Bedah Urologi Jabatan Urologi Universiti Putra Malaysia Dr Khairul Asri Mohd Ghani; Pengurus Kanan Isuzu Hicom Malaysia Sdn Bhd Rosmah Hashim; Pegawai Daerah Baling Dzhoir Md Zain; Naib Presiden (Usaha Niaga Tenaga) Tenaga Nasional Berhad Nor Azman Mufti@Jaafar dan Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Perhutanan Pahang Mohamed Zin Yusop.

Penerima lain ialah Pengarah Medical Inventions and Development (M) Sdn Bhd Sarah David@Sarah Daud; Pengarah Bahagian, Bahagian Harta Tanah Persekutuan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Saad Ismail; Presiden Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Norashikin Abd Ghani; Pengurus Projek ZUFE Construction Hasman Jalil dan Setiausaha Penyelaras Barisan Nasional Bandar Tun Razak Abd Zarin Mohd Yasin.

Sultan Ahmad Shah turut berkenan menganugerahkan Darjah Setia Ahmad Shah (SAP) kepada 10 penerima, Darjah Setia Mahkota Pahang (SMP) kepada 33 penerima, Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) kepada 9 penerima dan Ahli Mahkota Pahang (AMP) kepada 43 penerima.

Di samping itu, seramai 11 orang menerima Pingat Khidmat Cemerlang (PKC), 15 penerima Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) dan 15 penerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK).

-- BERNAMA

Selasa, Februari 02, 2016

RM50 JUTA UNTUK TAWAN PARLIMEN PENAMPANG



PENAMPANG, 1 Feb (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah hari ini meluluskan peruntukkan lebih RM50 juta bagi pembangunan kawasan luar bandar di daerah Penampang, kata Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Beliau berkata peruntukan besar sebanyak RM48 juta akan diberikan khusus bagi membangunkan bekalan air luar bandar, menerusi pembinaan loji air di Moyog.

Berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Sugud, di sini, Ismail Sabri berkata, loji itu akan turut memberi manfaat kepada penduduk Kota Kinabalu dan kawasan sekitar.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Penampang Datuk John Ambrose dan Pengerusi Barisan Nasional Penampang Datuk Donald Peter Mojuntin serta pemimpin parti komponen BN di daerah itu.

Ismail Sabri berkata kementeriannya turut meluluskan pembinaan sebanyak 30 unit rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di seluruh kawasan Penampang.

Turut diluluskan ialah pembinaan dewan baharu bernilai RM400,000 untuk kegunaan penduduk Kampung Sugud, selain membina jalan-jalan kampung yang baharu bagi menggantikan jalan yang rosak dengan peruntukan sebanyak RM300,000, katanya.

Ismail Sabri yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan tidak pernah meminggirkan pembangunan kawasan luar bandar di Sabah.

Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa memikirkan kepentingan rakyat negeri ini khususnya di luar bandar agar penduduk di kawasan itu tetap terus terbela.

"Saya berharap masyarakat di kawasan ini akan mengubah fikiran pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk memastikan Penampang dipulangkan semula kepada Barisan Nasional," katanya.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut menyerahkan bantuan beg sekolah untuk 300 murid sekolah rendah dan Tabika Kemas di kampung itu.




-- BERNAMA

Selasa, April 16, 2013

BN TERIMA TAMPARAN BILA BEKAS NAIB PRESIDEN UMNO SERTAI PAS

Bekas naib presiden Umno Muhammad Muhammad Taib memutuskan menyertai PAS. Bagaimanapun, beliau hanya akan diperkenalkan secara rasmi oleh parti Islam itu pada Isnin depan, dua hari selepas penamaan calon. Ia bagi mengelakkan dakwaan beliau mengambil langkah itu demi dicalonkan dalam pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei ini. Difahamkan Muhammad menyerahkan borang permohonannya kepada Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din (kiri). Anggota jawatankuasa Pusat PAS Kamaruddin Jaffar ketika dihubungi hari ini mengesahkan keanggotaann Muhammad tetapi enggan memberitahu di mana pengumuman itu akan dibuat. Kamaruddin, bekas setiausaha agung PAS mengesahkan perkara itu ketika ditanya berhubung spekulasi bekas menteri besar itu akan bertukar parti.

Rabu, September 14, 2011

TERIMA KASIH KEPADA SEMUA


Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang menghadiri majlis perkahwinan anak kedua saya, Siti Zuraifah, 27, dengan Mohd Hisham Abu Hassan, di Pasir Gajah, Kemaman pada Sabtu, 10 September lalu.

Menantu kedua saya ini bekerja dengan Agensi Maritim, pilot helikopter berasal dari Parit Nibong, Bandar Baharu, Kulim, Kedah. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir terutamanya Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan ADUN Air Putih, YB Wan Hakim Tan Sri Wan Mokhtar serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Kemaman, Cikgu Rohani Abdullah dan AJK Bahagian, Kamarizam Harun.

Juga kepada saudara mara dari Kedah, Kelantan, Kuala Terengganu, Kemaman dan Kuala Lumpur yang sudi hadir. Juga kepada rakan-rakan dari Kelantan, Kuala Terengganu, Kemaman dan Kuala Lumpur terutamanya Pak Lah, bekas jurugambar di ibupejabat UMNO yang sanggup datang dengan bas dari Kuala Lumpur dan bermalam di rumah saya selama dua malam. Juga kepada AJK Pemuda UMNO Bahagian Kepong, Yazid Sharif yang sudi datang dari Kuala Lumpur pagi itu untuk menyumbangkan dua buah lagu.

Pendek kata majlis perkahwinan dari jam 11 pagi hingga 5.30 petang itu amat meriah walaupun ramai kawan-kawan yang sudah confirm mahu hadir tetapi tidak dapat hadir di saat-saat akhir. Juga terima kasih kepada Burn yang sudi menjadi dj karaoke dengan penyanyi-penyanyi hebat Pak Lah atau A. Ali, Zakaria, Fauzi, Nazri, Siti Zuhairatun, Zelah, Sulong Derahman dan Pak Din. Terima kasih buat semua.

Selasa, Ogos 16, 2011

TERIMA KASIH DATUK MOHAMAD AZIZ


Semalam saya sibuk hantar sms kepada rakan-rakan yang tidak sempat ditemui untuk menjemput mereka hadiri majlis perkahwinan anak peremupan saya, Siti Zuraifah pada 10 September ini di Pasir Gajah, Kemaman, Terengganu.

Salah seorang yang response kepada sms saya ialah ahli parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz. Saya jemputnya hadiri majlis itu kerana kebetulan saudara-maranya ramai berada di Pasir Gajah. Beliau call saya pada jam 9.54 malam tadi beritahu tak dapat hadiri majlis perkahwinan anak saya kerana kebetulan pada hari yang sama Batu Pahat menjadi tuan rumah sambutan hari kemerdekaan peringkat negeri Johor,. Walau bagaimanapun beliau kirim salam kepada saudara-maranya di Pasir Gajah.

Beliau tanya saya, siapa saya. Beliau ingatkan saya orang Jambi. Saya jawab saya berdarah campuran Kelantan dan Terengganu. Emak orang Pasir Gajah, ayah orang Kelantan.

Pada tahun 20an, Pasir Gajah dibuka oleh orang Jambi. Keturunan mereka lari dari Jambi, Sumatra ke Batu Pahat, Johor selepas kalah perang dengan orang Belanda. Dari Batu Pahat mereka lari ke Terengganu. Sewaktu di Batu Pahat, mereka dari keturunan Raja Jambi tidak gunakan nama Tengku kerana bimbang orang Batu Pahat tahu mereka adalah keturunan Raja Jambi.

Apabila sampai di Terengganu, Sultan Terengganu izinkan mereka menetap di Terengganu dan mengarahkan mereka guna semula nama Tengku. Mereka telah memilih Pasir Gajah di Kemaman untuk menetap dan bila mereka mudik ke hulu melalui Sungai Kemaman, mereka pilih Pasir Gajah. Kampung yang mereka singgah di tepi sungai itu dinamakan Kampung Laut.

Sebab itu menurut Datuk Mohamad Aziz, namanya tiada nama Tengku Mohamad Aziz tetapi saudara maranya di Terengganu bernama Tengku kerana diarahkan oleh Sultan Terengganu bila Baginda tahu mereka adalah dari keturunan Raja Jambi.

Masjid yang dibina di Kampung Laut penuh dengan ukiran Jambi. Pasir Gajah didiami oleh majoriti orang Jambi dan orang Kelantan. Moyang saya, Che Omar telah berhijrah ke Pasir Gajah dari Kelantan pada tahun 30an. Datuk saya, Haji Abdullah atau Awang Che Omar telah menetap di Pasir Gajah dari zaman mudanya. Datuk saya nikahi orang Paloh, Kuala Terengganu, Hajah Zaharah yang merupakan anak Cikgu Haji Yusof Kemasik.

Kalau tanya orang tua di Kemaman semua orang kenal siapa Cikgu Haji Yusof Kemasik seorang guru agama dan guru silat. Ketika beliau meninggal dunia pada tahun 1974, ribuan anak muridnya menghantar ke kubur sehingga jalanraya besar di Kemasik terpaksa ditutup.Salah seorang cucu Cikgu Haji Yusof iaitu sepupu saya, Cikgu Ghazali Mohd. Noor di Dungun (kini Pengerusi PEKIDA Terengganu).

Emak saya, Hajah Zainun dilahirkan di Pasir Gajah pada tahun 1940. Saya tidak dilahirkan di Pasir Gajah tetapi menganggap diri saya orang Pasir Gajah setelah menetap semula di kampong itu pada tahun 1978. Malah isteri saya, Zaitun orang Pasir Gajah juga. Sebab itu walaupun kami duduk di Chukai, anak saya Siti Zuraifah lebih suka mengadakan majlis perkahwinannya di rumah neneknya di Pasir Gajah kerana Pasir Gajah penuh nostalgia buat kami.

Malah Pengerusi Peremba, Tan Sri Razali Abdul Rahman pernah duduk di Pasir Gajah sewaktu kecilnya. Ayahnya orang Kelantan saudara datuk saya manakala ibunya orang Paloh saudara nenek saya.

Ikatan yang kuat antara orang Jambi dengan orang Kelantan di Pasir Gajah menyebabkan kampung itu sentiasa memenangi hadiah dalam pertandingan di peringkat daerah Kemaman. Oleh itu Pasir Gajah tetap kampungku walaupun saya dilahirkan di Jabor, Kemaman. Kebetulan ketika itu datuk saya, Haji Abdullah Omar menjadi Penghulu Mukim Jabor pada tahun 1959. Emak saya yang duduk bersama datuk saya melahirkan saya di Jabor pada tahun tersebut. Jika datuk saya tidak menjadi Penghulu, sudah tentu saya dilahirkan di Pasir Gajah pada 52 tahun lalu.


Isnin, Oktober 05, 2009

ISA TAK KAN TERIMA JAWATAN EXCO


Insya Allah pada malam Ahad depan, Tan Sri Isa Samad akan diumumkan sebagai ADUN Bagan Pinang yang baru. Inilah kali pertama beliau bertanding di kampungnya sendiri sejak menjadi ahli politik pada tahun 1978.

Keyakinan Isa menang berdasarkan undi pos sebanyak 4,000 lebih. Kecuali semua pengundi pos gila, barulah PAS menang kerana 4,000 pengundi pos pangkah PAS semua. Seperti kata Menteri Besar, Mohamad Hassan, tidak semestinya undi pos pangkah BN, memang betul tetapi majoritinya akan mengundi BN. Jadi Isa akan jadi wakil rakyat undi pos seperti Datuk Zulhasnan Rafique yang menang di parlimen Setiawangsa kerana undi pos.

Semalam Malaysiakini melaporkan Mohamad Hassan enggan mengulas sama ada akan melantik Isa sebagai Exco Kerajaan Negeri jika beliau menang.

Sebagai bekas Menteri Besar dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, masakan Isa mahu menerima jawatan Exco kerana ia merendahkan kedudukannya sebagai seorang pemimpin veteran. Beliau adalah bekas naib presiden UMNO. Masakan dia mahu terima jawatan yang rendah kecuali dia dilantik semula sebagai Menteri Besar selepas pilihanraya umum 2012.

Soal bekas menteri jadi Exco bukan perkara luar biasa. Bekas Menteri Perusahaan Awam, Tan Sri Dr Yusof Noor (1990-1995) pernah jadi Exco Kerajaan negeri Terengganu (1995-1999). Jadi kalau Isa terima jawatan Exco tidak salah kerana sudah ada contoh yang boleh diteladaninya.

Kemenangan Isa sudah tentu menggugat beberapa orang ahli politik seperti Mohamad Hassan yang mungkin bimbang Isa akan merampas kerusi Menteri Besar dari tangannya. Apatah lagi Mohamad Hassan dikaitkan dengan Pak Lah maka Najib memerlukan Menteri Besar baru pada tahun 2012.

Kemenangan Isa juga bakal menggugat Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO.Pada tahun 2004, Isa menang besar mengatasi undi Muhyiddin dalam pertandingan Naib Presiden UMNO. Jika beliau tidak dihukum oleh Lembaga Disiplin UMNO atas kesalahan politik wang, sudah tentu Isa sebagai Menteri Wilayah Persekutuan adalah pencabar kuat Muhyiddin bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO Mac lalu.

Isa lebih baik PRnya daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang kalah di tangan Muhyiddin setelah Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Ali Rustam dilarang bertanding.

Dalam pertandingan Mac lalu, Isa kalah bertanding jawatan Naib Presiden UMNO kerana beliau bukan lagi seorang menteri kerana perwakilan memilih tiga orang menteri sebagai naib presiden UMNO iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi;Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan, Datuk Seri Shafie Afdal.