Khamis, Oktober 28, 2010

KU LI MUNCUL SEMULA DALAM UTUSAN MALAYSIA


Sebelum 24 April 1987, nama Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) sering mendapat tempat di dada akhbar tempatan kerana beliau adalah Menteri Kewangan (1976-1984) dan Menteri Perdagangan dan Perindustrian (1984-1987).

Ketika beliau melahirkan hasrat untuk bertanding jawatan Presiden UMNO pada tahun 2009, akhbar WATAN yang diterajui oleh saya yang sentiasa menyiarkan wawancara eksklusif beliau.Ketika itu Utusan Malaysia dan Berita Harian tidak pernah menyiarkan wawancara penuh beliau.

Selepas dilantik sebagai pengarah pilihanraya kecil Galas, nama Ku Li disanjung semula dan setelah sekian lama Utusan tidak menyiarkan wawancara ekslusif dengan beliau, hari ini Utusan menyiarkan wawancara penuh dengannya seperti mana berikut:-

UTUSAN: Awal lagi Yang Berhormat (YB) sudah 'diserang' apabila ada yang mentafsirkan YB tidak ada persefahaman dengan pemimpin UMNO lain hingga menyebabkan YB tidak mengiringi calon BN ke pusat penamaan, apa komen YB?

TENGKU RAZALEIGH: Itu tidak benar. Pada hari penamaan calon saya tidak mengiringi calon kerana saya mahu bersama dengan ahli-ahli parti yang turut sama berarak mengiringi calon. Tindakan saya ini bukannya luar biasa kerana saya sebelum ini pun hanya menghantar pencadang dan penyokong membawa borang penamaan calon. Saya tidak penting kerana yang penting adalah penyokong dan pencadang. Saya biarkan Abdul Aziz Yusoff (calon BN) diiringi oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang lain.

Bagaimana pula tanggapan sesetengah pihak yang menyatakan YB berlainan pendapat dengan calon?

Mengapa saya dituduh sedemikian sedangkan pemilihan Abdul Aziz dibuat secara majoriti oleh jawatankuasa UMNO Bahagian Gua Musang. Abdul Aziz menerima undi terbanyak. Tambahan pula dia merupakan setiausaha saya dan saya tahu kemampuannya untuk menjadi calon pilihan raya kecil ini.

Adakah pemilihan ini juga menunjukkan Abdul Aziz merupakan calon terbaik dan mempunyai banyak kelebihan?

Masing-masing ada kelebihan tetapi Abdul Aziz jenis yang tidak tahu menonjol diri. Dia juga bukan jenis seorang yang terlalu bercita-cita tinggi. Sebelum dilantik sebagai setiausaha bahagian, saya lantiknya sebagai bendahari. Saya kemudian lihat dia seorang yang boleh diharapkan. Apabila dilantik sebagai setiausaha, saya nampak potensinya sebagai pemimpin. Dia selau mewakili saya untuk hadir pelbagai mesyuarat sama ada parti atau pun melibatkan Kerajaan Pusat dan negeri. Dalam mesyuarat, dia mampu melontarkan idea-idea yang bernas. Dari segi peribadi Abdul Aziz bukan seorang sombong tetapi agak sedikit pendiam.

Apabila berlaku kekosongan kerusi DUN Galas, BN memilih calon baru dan bukan calon lama seperti mana Pas.

Apabila berlaku kekosongan selepas kematian penyandangnya Allahyarham Chek Sulaima Hashim saya berunding dengan jawatankuasa bahagian untuk memilih calon BN. Apa yang saya lakukan ini sejajar dengan Perlembagaan parti. Menurut Perlembagaan, untuk mencari calo,n Perdana Menteri hendaklah berunding dengan bahagian. Selepas saya pulang dari luar negara saya kumpulkan semua jawatankuasa dan saya kemudian keluarkan kertas untuk memilih siapakah calon tersebut. Akhirnya Abdul Aziz terpilih setelah dia mendapat undi terbanyak berbanding calon lain. Kemudian saya membawa nama ini kepada Perdana Menteri dan kebetulan Perdana Menteri juga mempunyai sumber-sumbernya bahawa Abdul Aziz adalah calon paling layak.

Pokoknya, kita memilih Abdul Aziz secara demokratik. Perdana Menteri turut mempunyai sumber-sumber dia dan kemudian bersetuju dengan pilihan jawatankuasa bahagian. Kita memilih calon atas dasar demokratik. Pemilihan Abdul Aziz tidak boleh diketepikan begitu sahaja dan ia harus dihormati.

YB menyatakan masing-masing ada kelebihan tetapi saya pasti Abdul Aziz ada keistimewaan tersendiri. Mungkin disebabkan pengalamannya sebagai bekas pengurus operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar)?

Memang saya tidak nafikan potensi yang ada pada Abdul Aziz yang bagi saya elok diketengahkan. Dia telah melalui pelbagai ujian dan cubaan dalam politik. Saya dapati Abdul Aziz dapat menghadapinya dengan baik. Boleh beri markah tinggi. Abdul Aziz juga seorang yang ada integriti. Semasa dia menjadi setiausaha bahagian saya lihat minit mesyuarat yang dibuat tersusun dan bersistematik. Abdul Aziz mempunyai kualiti kepimpinan yang amat diperlukan oleh rakyat. Dia juga tidak pernah datang berjumpa saya untuk melobi sebagai calon. Sepatah pun dia tidak pernah lobi.