Sabtu, November 29, 2008

DATUK RAZALI DALAM KENANGAN


Lebih kurang pada jam 7 petang semalam saya menerima call dari Pemangku Pengarah Unit Komunikasi, Roslan Abdul Rahman mengenai kematian Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail. Ketika itu saya dalam perjalanan ke sebuah hotel di Chow Kit untuk menemui seorang Pengerusi JKKK yang rapat dengan si mati, Haji Mohamad Ali.
Saya mula mengenali Datuk Razali Ismail ketika beliau menjadi Pengetua Maktab Perguruan Pasir Panjang (MPPP) lagi pada tahun 1997. Ketika itu saya bertugas di Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK).

Kebetulan ketika itu YPK dan MPPP menganjurkan satu program di Kg. Banggol, Setiu. Maka kami sering bertemu dalam beberapa mesyuarat sebelum program itu berlangsung. Selepas itu kariernya meningkat sehinggalah beliau menjadi Pengarah Pelajaran Terengganu.

Pada tahun 2003, saya pernah meramalkan beliau jadi calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang dalam buku saya, KENAPA PAK LAH PILIH NAJIB?. Akhirnya beliau dipilih sebagai calon parlimen Kuala Terengganu pada tahun 2004. Walaupun beliau bukan orang Kuala Terengganu kerana dilahirkan di Hulu Terengganu, tetapi beliau menang dan dipilih sebagai ahli parlimen Kuala Terengganu.

Pada mulanya beliau dilantik menjadi Pengerusi PTPTN. Pada tahun lepas, ketika menjadi Editor akhbar Warta Parlimen Kepala Batas, saya pernah sms kepadanya minta tolong beliau arahkan pegawai PTPTN segerakan pembayaran pinjaman kepada anak saya kerana lambat dua bulan sedangkan pelajar lain semua sudah dapat pinjaman. Terus dia arah pegawai yang terlibat. Bukan marah marahnya pegawai itu kepada anak saya bila dia tahu saya mengadu kepada Pengerusi PTPTN.


Pada pilihan raya umum lalu, beliau dipilih mempertahankan kerusi Kuala Terengganu. Beliau berjaya mengalahkan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam pertandingan tiga penjuru bersama calon Bebas, Hajah Maimun. Parlimen Kuala Terengganu mempunyai empat kerusi DUN. BN kalah tiga kerusi DUN tetapi parlimen masih menang. Ini menunjukkan penyokong PAS menyenangi pendekatan Datuk Razali yang melayan semua pengundi yang datang ke pejabat parlimennya tanpa mengira fahaman politik.

Menjelang pemilihan UMNO baru-baru ini, saya sempat menemuinya dengan Ketua UMNO Cawangan Kuala Ibai, Haji Mohamad Ali. Beliau berkata beliau bertanding jawatan Naib Ketua Bahagian kerana akur kepada arahan bossnya, Datuk Hishamuddin Tun Hussein yang mahu beliau ada tempat dalam bahagian.

Dalam pertemuannya itu juga dia beritahu kami bahawa Hishamuddin banyak menyerahkan tugas kementerian kepadanya. Hishamuddin tidak ragui kebolehan dan kemampuannya kerana beliau adalah bekas Pengarah Pelajaran. Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengakui bahawa beliaulah bakal Menteri Pelajaran suatu hari nanti.

Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Datuk Razali tewas kepada Datuk Wan Hisham Wan Salleh abang Ketua Bahagian, Datuk Wan Farid. Seorang rakan minta saya tulis mengenai kekalahan Datuk Razali dalam blog saya.


Selepas tulisan itu tersiar, saya sms kepadanya dan saya suruh dia baca blog saya. Dia ucapkan terima kasih dan dia amat kecewa dengan politik wang. Sebagai timbalan menteri, sepatutnya perwakilan pilih beliau tetapi oleh kerana dia tak hulur wang, maka dia kalah.


Saya tidak sangka tulisan mengenai kekalahannya dalam blog saya itu mendapat ulasan dari 24 orang pengunjung,yang merupakan ulasan paling tinggi dalam blog saya selama ini.

Datuk Razali akan dikenang sebagai ahli parlimen yang mudah didekati dan terbukti pendekatannya yang menyebabkan BN berjaya mengekalkan kerusi parlimen Kuala Terengganu walaupun PAS menang tiga kerusi DUN dalam kawasan tersebut. Al Fatihah buat Allahyarham Datuk Razali Ismail.