Rabu, Januari 31, 2018

PEMBANGKANG TIDAK PEKA DENGAN NASIB PEKEBUN SAWIT

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) --Tindakan pemimpin Pakatan Harapan menemui 14 duta dan tiga wakil negara Kesatuan Eropah (EU) menggambarkan pembangkang tidak peka dan prihatin dengan masalah yang menimpa pekebun sawit susulan tindakan EU memboikot produk berasaskan minyak sawit.

Ketua Penerangan UMNO Perak Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata tindakan Pakatan Harapan serta Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad itu amat bertentangan dengan langkah 2,000 peneroka diketuai Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad yang berarak menghantar memorandum bantahan kepada 17 kedutaan negara anggota EU di ibu negara pada 16 Jan lalu.

"Tindakan peneroka itu tidak sekadar mempertahankan periuk nasi sendiri, malah kantung seluruh peladang dan pekebun kecil yang bergantung pendapatan kepada tanaman kelapa sawit, bukan sahaja di Malaysia, malah di negara seluruh dunia yang menjadi pengeluar dan pengeksport produk minyak sawit.

"Maka bertepuk soraklah negara anggota EU dengan anggapan pertemuan itu, ditambah pula dengan kehadiran Tun Dr Mahathir, sebagai satu pengiktirafan dalam kalangan ahli politik tempatan terhadap usaha mereka memboikot minyak sawit Malaysia, antara negara utama dunia yang mengeksport minyak sawit selain Indonesia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya pakatan itu tidak peduli sekiranya harga sawit jatuh akibat lambakan yang akan berlaku, asalkan matlamat untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Barisan Nasional tercapai, biarpun terpaksa berpaut pada campur tangan kuasa asing.