Khamis, Oktober 31, 2013
KELUAR PENJARA DAPAT RM322,000
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi memerintahkan pihak penjara
dan dua lagi membayar pampasan berjumlah RM322,000 kepada bekas Ketua Pegawai
Eksekutif Permodalan BSN Bhd kerana cuai sehingga menyebabkan dia dipenjara
melebihi tempoh.
Hakim Hadhariah Syed Ismail juga memerintahkan defendan membayar kos
sebanyak RM15,000 dan faedah pada kadar lima peratus daripada jumlah pampasan
mulai tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh kepada Ahmad Skhri Ramli.
Ahmad Skhri menamakan Ketua Pengarah Penjara Malaysia Datuk Seri Zulkifli
Omar, Pengarah Penjara Kajang Datuk Al Zafry Mohamed Nassif, Pengarah Penjara
Bentong Mohd Sakeri Dollah, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri
Mahmood Adam dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Dalam penghakimannya, Hadhariah berkata pegawai di bawah seliaan defendan
didapati cuai kerana tidak mempedulikan aduan plaintif semasa di penjara bahawa
dia sudah melunaskan sebahagian daripada denda yang dikenakan ke atasnya.
Beliau berkata jika saksi defendan tidak mempercayai aduan plaintif kerana
tiada resit pembayaran, mereka boleh menghubungi mahkamah bagi mendapatkan
pengesahan.
-- LAGI
MAHKAMAH-CEO 2 SHAH ALAM
Selain itu, Hadhariah berkata pihak penjara perlu memastikan tempoh
pemenjaraan ke atas banduan adalah betul dan tidak boleh terkurang atau
terlebih.
Penyataan tuntutan menyebut Ahmad Shkri dihantar ke Penjara Kajang pada 4
Ogos 2009 selepas gagal membayar denda berjumlah RM300,000 bagi dua pertuduhan
terlibat dalam urusan jualan singkat.
Pada 21 Dis 2006, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengenakan denda RM150,000
atau penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan terhadap Ahmad Skhri mengikut
Seksyen 41(2) Akta Perindustrian Sekuriti 1983.
Dia kemudian membayar denda itu secara ansuran berjumlah RM220,000 dari 24
Okt 2007 hingga 4 Feb 2008.
Bagaimanapun, pada 4 Ogos 2009, rayuannya ditolak Mahkamah Tinggi dan Ahmad
Skhri dihantar ke Penjara Kajang pada hari yang sama kerana gagal membayar denda
berkenaan sepenuhnya.
Plaintif dijadual menjalani hukuman penjara selama setahun dan akan
dibebaskan pada 3 Ogos 2010.
Dia kemudian dipindah ke Penjara Bentong pada 4 Dis 2009 dan dibebaskan pada
18 Feb 2010 selepas pihak penjara menyedari plaintif sudah menjelaskan
sebahagian daripada denda menerusi peguamnya.
Tuntutan Ahmad Shkri mendakwa, jika diambil kira wang denda yang sudah
dibayarnya, tempoh dia sepatutnya dipenjara ialah dua bulan tujuh hari sahaja
dan bukan enam bulan 15 hari seperti yang terpaksa dijalani.
Saman yang difail Tetuan Law Practice of Rafique pada 15 Feb lepas itu,
antara lain, menuntut ganti rugi am dan khas, ganti rugi teruk, ganti rugi
teladan serta wang denda yang dibayar plaintif kepada Mahkamah Tinggi Kuala
Lumpur dikembalikan.
Ahmad Skhri, ketika ditemui di luar mahkamah, berkata dia gembira dengan
keputusan mahkamah setelah terpaksa meringkuk dalam penjara melebihi tempoh yang
sepatutnya.
Dia kini bekerja sebagai perunding sambilan dengan sebuah syarikat
kontraktor.
Plaintif diwakili peguam Muhamad Rafique Rashid Ali manakala Peguam Kanan
Persekutuan Hani Aziza Ismail mewakili kesemua defendan.
-- BERNAMA