Isnin, September 12, 2016

KEHEBATAN UMNO DARI AKAR UMBI


OLEH SHAHBUDIN EMBUN
(sudah disiarkan oleh Berita Harian empat hari lepas)



Sejak kecil lagi, penulis akan sama-sama berasa teruja apabila mendengar berita seorang pemimpin , YB atau VIP akan datang melawat kampug penulis . Pada kebiasaannya kedatangan mereka ini untuk merasmikan surau ,balai raya atau sekadar menyantuni para penduduk kampung.


Ketika itu juga penulis dapat saksikan bagaimana penduduk kampung tidak tidur siang malam memikirkan apakah yang mesti dilakukan untuk menyambut ketibaan VIP ini.Pelbagai persoalan bermain di fikiran ketua kampung dan anak-anak buahnya. Adakah VIP ini suka dengan sambutan yang diberikan? Bagaimana pula dengan makanan. Adakah hidangan yang bakal diberikan cukup sedap dan sempurna untuk seorang yang bergelar YB?


Ketika itu juga tukang masak yang diiktiraf sebagai yang terbaik dalam kampung akan diberi tugas menggalas tanggungjawab ini.Dan apabila tibanya hari kedatangan YB atau VIP itu, maka kampung dalam sekelip mata akan menjadi meriah dengan pukulan gendang dan kompang menyambut ketibaan VIP itu.


Dan jika VIP itu bertaraf menteri, maka akan bertambah riuhlah suasana di kampung penulis.Semua penduduk kampung akan bercerita sehingga ke anak cucu bagaimana seorang bertaraf menteri sudi untuk datang ke kampung mereka. Sebenarnya senario seperti ini bukan sahaja berlaku di kampung penulis, bahkan boleh dikatakan berlaku di semua kampung di seluruh pelusok Malaysia.


Dan kini setelah 59 tahun merdeka, adakah senario yang sama masih lagi boleh dilihat? Adakah VIP atau YB  khasnya di kalangan pihak pemerintah akan terus disambut dengan penuh gilang gemilang? Sebenarnya, senario yang digambarkan di atas masih lagi diamalkan.


Dalam hal ini tidak salah rasanya untuk menunjukkan rasa terima kasih dan sayang kepada VIP yang telah banyak memberikan sumbangan dan membantu penduduk kampung? Mereka telah berjasa besar setelah diberi tanggungjawab oleh rakyat yang memberi kepecayaan dan mandat kepada mereka sebagai wakil rakyat.


Namun, bagaimana pula dengan pemimpin yang mendapat kedudukan serta pangkat dan kemudiannya tidak mengambil berat langsung akan apa yang berlaku pada rakyat yang memilih mereka. Pemimpin seperti inilah yang mesti dielakkan oleh mereka yang berada di akar umbi dan jangan sekali-kali melantik pemimpin seperti ini.

Baru-baru ini ketika merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Jasin, Timbalan Perdana Menteri ,Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan bahawa kehebatan pemimpin UMNO bukan datang daripada diri mereka semata-mata ,sebaliknya datang daripada sokongan anggota peringkat akar umbi parti.Apa yang Zahid Hamidi maksudkan ialah para pemimpin UMNO perlu sedar dan ingat bahawa kedudukan dan jawatan dipegang adalah suatu amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh anggota peringkat akar umbi parti.

Dan apabila kita membincangan tentang kedudukan serta pangkat, maka akan timbul pula isu protokol. Kita perlu menerima hakikat,  ada kalanya faktor protokol akan menyebabkan para pemimpin tempatan merasakan diri mereka tidak sesuai untuk turun padang dan mendekati orang kampung. Itu sebabnya soal protokol dalam UMNO perlu diketepikan jika UMNO mahu dilihat sebagai sebuah parti yang mesra rakyat.

Masyarakat Melayu khususnya masyarakat kampung akan sentiasa ingat jasa dan yang dicurahkan oleh para pemimpin, tidak kira dari peringkat manapun.Dan jika mereka melihat seorang pemimpin yang sanggup berpanas dan berhujan seperti mereka tanpa dilindungi oleh nyaman hawa dingin sebuah kereta mewah, maka pemimpin seperti inilah yang akan menyelamatkan UMNO.

Nasihat dan teguran oleh Zahid Hamidi ini perlu diambil iktibar khasnya oleh wakil-wakil rakyat UMNO yang “malas” untuk turun padang.Mereka perlu ingat bagaimana golongan rakyat membantu menaikkan mereka sehingga digelar Yang Berhormat.

Dan inilah masanya untuk mereka pula membalas budi dengan menggelarkan diri mereka sebagai “Yang Berkhidmat”.Tunjukkan kehebatan dengan menghulurkan bantuan dan sokongan kepada golongan rakyat . Janganlah jadi seperti pemimpin bermusim yang hanya muncul apabila ada pertandingan dalam pemilihan parti ataupun ketika hampirnya Pilihan Raya Umum.

UMNO kini berusia 70 tahun dan sudah dianggap sebagai satu institusi sosial yang memperjuangkan hak orang Melayu disamping mempertahankan juga kepentingan masyarakat majmuk di Malaysia. Itu sebabnya para pemimpin UMNO khasnya di peringkat cawangan dan bahagian perlu bekerja lebih keras untuk terus mendapatkan kepercayaan rakyat agar terus memberi mandat meletakkan kepercayaan mereka kepada UMNO .

Catatan gambar: Penulis sedang menziarahi kubur Tan Sri Dr Jamalauddin Jarjis