Memaparkan catatan dengan label spr. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label spr. Papar semua catatan

Khamis, Mac 08, 2018

WAN AZIZAH PERLI MAHATHIR PALING SINGKAT PRU DALAM TEMPOH 10 HARI

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Pembangkang hari ini meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen pilihan raya tidak kurang daripada 21 hari bermula daripada tarikh penamaan calon.

Ketuanya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata cadangan itu bagi membolehkan calon pilihan raya mendekati pengundi yang direkodkan semakin bertambah pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Amatlah tidak adil jika tempoh berkempen yang diberi terlalu singkat kerana berdasarkan Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, PRU mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen.

"Saya memohon agar SPR mempertimbangkan tempoh kempen sekurang-kurangnya 21 hari untuk parti dan calon mendekati pengundi," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Anggota Parlimen Permatang Pauh itu berkata berdasarkan rekod, tempoh berkempen pernah diadakan dalam tempoh 35 hari iaitu pada PRU 1959, 1964 dan 1969.



Pada 1974 pernah berlangsung selama 16 hari manakala pada PRU 1982, tempoh berkempen disingkatkan kepada 15 hari, kemudiannya dikurangkan lagi kepada 10 hari pada PRU 1986, 1990 dan 1995.

Ahad, Februari 04, 2018

SPR AKAN UNDANG PEMERHATI PILIHAN RAYA ANTARABANGSA

PUTRAJAYA, 3 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengundang pemerhati pilihan raya antarabangsa bagi meninjau ketelusan proses pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang sepertimana yang dilakukan pada PRU terdahulu, kata Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

Beliau berkata SPR juga melantik wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO) tempatan sebagai pemerhati di samping pemerhati tetap yang terdiri daripada wakil-wakil calon yang juga merupakan anggota daripada parti-parti yang bertanding.

"Untuk pengetahuan, pada PRU ke-13 yang lepas, SPR telah mengundang pemerhati pilihan raya antarabangsa daripada beberapa negara."

"Pada PRU14 ini juga, SPR akan mengundang pemerhati-pemerhati pilihan raya untuk meninjau ketelusan proses pilihan raya. Mereka ini terdiri daripada pemerhati tempatan dan juga luar negara," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata sistem pilihan raya yang diamalkan di negara ini adalah telus dan adil serta tidak sepertimana yang digambarkan oleh pihak tertentu.

"Sikap pihak tertentu yang mempertikaikan ketelusan sistem pilihan raya menjelang PRU ke-14 dianggap satu usaha propaganda yang cuba mengelirukan rakyat dan pengundi," katanya.

Baru-baru inj, Timbalan Presiden Pakatan Harapan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan mencabar kerajaan supaya mengundang pasukan pemantau pilihan raya bebas daripada Sekretariat Komanwel dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memantau perjalanan PRU14.

Mohd Hashim berkata pemerhati tempatan terdiri daripada wakil-wakil NGO atau mana-mana organisasi tempatan yang layak serta berkecuali dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik.

Bagi pemerhati antarabangsa pula, beliau berkata mereka daripada pelbagai negara yang mewakili negara-negara Komanwel, ASEAN dan lain-lain.

Mohd Hashim menjelaskan pemerhati tetap daripada parti-parti yang bertanding akan bertugas sebagai pemerhati barung untuk semakan SPR, Ejen Tempat Mengundi (ETM) yang bertugas sebagai pemerhati dalam tempat mengundi semasa proses pengundian berlangsung dan Ejen Mengira Undi (EMU) yang bertugas sebagai pemerhati semasa proses pengiraan undi dijalankan.

Beliau berkata wakil/ejen ini berperanan penting sebagai pemerhati dan pemantau bagi setiap proses pengundian dan pengiraan yang berlaku di Tempat Mengundi (saluran) secara langsung kerana mereka berada di dalam bilik pengundian dan pengiraan undi sepanjang masa iaitu dari awal pusat pengundian dibuka hinggalah kepada pengiraan kertas undi dijalankan.

"Bukan sahaja proses yang berlaku di dalam tempat mengundi bahkan di luar tempat mengundi juga terdapat ejen calon yang bertugas sebagai ejen pemerhati barung semakan daftar pemilih dan segala proses pilihan raya yang berlaku di dalam dan luar tempat mengundi itu adalah dalam pengetahuan mereka," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Hashim berkata SPR akan memastikan semua calon yang bertanding pada PRU14 akan menghantar wakil/ ejen mereka bertugas semasa proses pilihan raya itu dijalankan.

"SPR akan hebahkan nama wakil/ejen yang bertugas pada hari tersebut supaya rakyat tahu bahawa proses pilihan raya berlaku dengan telus dan adil."

"Dengan kehadiran ejen-ejen calon sebagai pihak ketiga, ia merupakan bukti bahawa SPR tidak menafikan hak pemerhati untuk turut serta dalam proses pilihan raya."

"Parti-parti politik tidak wajar berasa bimbang dengan ketelusan proses pilihan raya sedia ada yang diamalkan di negara ini," katanya.

-- BERNAMA

Jumaat, Januari 19, 2018

SPR DIPERALAT OLEH KERAJAAN SELANGOR?



SHAH ALAM, 19 Jan (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Selangor akan mengemukakan bantahan terhadap syor kedua kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya di negeri itu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang didakwa tidak adil dan memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan.

Pengerusinya Tan Sri Noh Omar berkata tindakan itu diambil berikutan SPR dilihat masih mengekalkan sebilangan besar sempadan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang menyaksikan bilangan pengundi, pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam keadaan tidak seimbang.

"Mengambil contoh di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Klang (MPK), terdapat tiga kawasan Parlimen iaitu Kapar dengan 146,000 pengundi, Klang seramai 98,000 pengundi dan Kota Raja dengan 110,000 pengundi. Kenapa Parlimen Klang mempunyai jumlah pengundi sedikit sedangkan Klang adalah kawasan bandar sepenuhnya"

"Pengagihan kerusi DUN juga tidak adil, contohnya Klang ada tiga kawasan DUN iaitu Pelabuhan Klang, Pandamaran dan Kota Alam Shah sedangkan Parlimen Kota Raja yang mempunyai lebih ramai pengundi iaitu 110,000 orang hanya ada dua kerusi DUN sahaja iaitu Sri Andalas dan Sri Muda," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mempersoal kewajaran Parlimen Kelana Jaya, yang mempunyai dua kawasan DUN iaitu Seri Setia dan Subang Jaya, diletakkan di bawah pentadbiran dua PBT.

"Seri Setia di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) manakala Subang Jaya di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ). Kenapa dalam satu Parlimen di kawasan bandar dipecahkan pentadbiran PBT," soal beliau.


Beliau bertanya adakah SPR diperalatkan oleh kerajaan negeri dalam menyediakan syor kedua persempadanan semula pilihanraya di negeri tersebut.

Rabu, Ogos 02, 2017

BIAR POLIS SIASAT VIDEO LATIHAN SPR UNTUK KESAN PERAKAM VIDEO

PUTRAJAYA, 2 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menafikan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) akan diadakan pada 13 Oktober ini susulan penularan klip video mengenai pengumuman tarikh bagi PRU14 di media sosial.

Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata pengumuman tarikh itu digunakan bagi tujuan latihan dan simulasi kepada bakal petugas semasa Program Taklimat kepada Pegawai-Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus PRU14 Peringkat Negeri Kelantan di Kota Bharu, Kelantan pada 31 Julai lepas.

"SPR ingin menjelaskan bahawa tarikh tersebut bukanlah tarikh sebenar. Sehubungan itu, SPR berharap semua pihak tidak mempercayai dakwaan bahwa kononnya tarikh-tarikh PRU14 telah ditetapkan,"katanya dalam satu kenyataan susulan penularan klip video berkenaan.

Mohd Hashim berkata SPR merasa kesal dengan tindakan individu yang tidak bertanggungjawab merakam dan dan menyebar video tersebut kepada umum sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai mengenai tarikh PRU14.

Sebuah video klip berdurasi 39 saat tular di media sosial di mana seorang lelaki kelihatan membuat pengumuman bahawa pilihan raya akan diadakan pada 13 Oktober tahun ini.

Jumaat, Julai 21, 2017

SPR MENANG KES RAYUAN DENGAN KERAJAAN SELANGOR

PUTRAJAYA, 20 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak perlu memberi maklumat mengenai kod dan nama lokaliti bagi 136,272 pemilih di Selangor pada 1994 dan 2003 kepada kerajaan negeri Selangor untuk urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara membenarkan rayuan SPR untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi agar ia memberi maklumat itu.

Kerajaan Selangor juga gagal dalam rayuannya untuk memeriksa balas Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah apabila panel hakim sama menolak permohonan itu.

Panel itu, yang dianggotai Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dan Hakim Datuk Kamardin Hashim, bagaimanapun tidak mengeluarkan perintah berhubung kos.

Pada 19 Okt tahun lepas, kerajaan Selangor memfailkan tindakan undang-undang terhadap SPR, Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dan Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh bagi memohon agar notis urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya dibatalkan kerana mendakwa ia melanggar Perlembagaan Persekutuan dalam menetapkan sempadan baharu kawasan pilihan raya.

Kerajaan Selangor juga memohon mendapatkan perisytiharan bahawa notis berkenaan tidak mengandungi butiran lengkap dan oleh itu, boleh menyebabkan pemilih, pihak berkuasa tempatan atau kerajaan negeri tidak dapat menunaikan hak mereka dari segi perlembagaan untuk memfailkan representasi.

Sehubungan itu, kerajaan Selangor meminta mahkamah mengetepikan notis berkenaan dan memerintahkan SPR menyiarkan notis baharu tentang cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya di negeri itu.

Kerajaan Selangor kemudian memfailkan permohonan untuk mendapatkan enam jenis maklumat bagi prosiding semakan kehakimannya terhadap SPR dan untuk memeriksa balas pengerusi suruhanjaya itu.

Kerajaan negeri Selangor mendakwa SPR bertindak secara melanggar perlembagaan dan tidak munasabah dalam melaksanakan urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya apabila ia menggunakan rang daftar pemilih yang cacat kerana kira-kira 136, 272 pemilih di negeri itu mempunyai alamat yang tidak sama seperti yang terkandung dalam rang daftar pemilih.

Kecuali maklumat tentang kod dan nama lokaliti bagi 136, 272 pemilih di Selangor yang diperintah diberi kepadanya oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Mac tahun ini, maklumat lain dan permohonan untuk memeriksa balas pengerusi SPR yang dikemukakan kerajaan negeri Selangor, telah ditolak.

Kerajaan Selangor bagaimanapun tidak mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mendapatkan lima mklumat lain.

Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke, yang mewakili SPR, dalam hujah beliau berkata maklumat mengenai alamat pemilih tidak diperlukan selepas pendaftaran kerana apa yang diperlukan ialah lokaliti bagi menentukan tempat pendaftaran pemilih dan lokaliti tidak akan berubah, melainkan pemilih memohon untuk menukarnya.

Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh pula berkata maklumat mengenai rang daftar pemilih tidak lagi wujud dari segi undang-undang kerana ia sudah dimasukkan ke dalam rang daftar pemilih semasa.

Kata beliau perbuatan mempersoal kesahihan rang daftar pemilih adalah tidak dibenarkan mengikut Seksyen 9A Akta Pilihan Raya 1958.

Peguam S. Ambiga, yang mewakili kerajaan Selangor, dalam hujahnya berkata maklumat itu diperlukan bagi mengesahkan pendaftaran 136, 372 pemilih berkenaan.

"Kami bukan mencabar rang daftar pemilih. Kami terima, ia mengandungi lokaliti. Kami tidak memintanya diketepikan atau perubahan dibuat terhadap rang daftar pemilih. Tetapi, urusan persempadanan semula tidak boleh dibuat hanya berdasarkan lokaliti, tanpa alamat.

"Kami hadir di mahkamah. Kami bimbang mungkin sesetengah daripada mereka, tidak wujud," kata beliau.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna negeri Elizabeth Wong berkata kerajaan negeri akan berbincang dengan peguamnya tentang tindakan seterusnya yang akan diambil.

-- BERNAMA

Rabu, Mei 17, 2017

DAHULU TAN SRI RASHID PUN MACAI BN



KUALA LUMPUR: Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman memberi amaran kepada Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd. Hashim Abdullah agar tidak menjadikan suruhanjaya sebagai 'macai' BN.

Abdul Rashid yang kini merupakan salah seorang naib presiden Parti Bersatu Pribumi Malaysia (BERSATU) berkata demikian dalam kenyataan bersama dengan Ahli Biro Politik PKR R Sivarasa, Ketua Penerangan Parti Amanah Negara Khalid Abdul Samad dan Naib Pengerusi DAP Teresa Kok.

"Kita sedar tekanan yang sedang dihadapi SPR dari parti pemerintah untuk memastikan BN kembali berkuasa pada pilihan raya umum ke-14.

"Tetapi SPR, sebagai badan yang bertanggungjawab untuk proses pilihan raya yang demokratik harus dan tidak boleh menjadi 'macai' BN dengan melanggar Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan suruhanjaya itu mendapat kepercayaan orang ramai," kata mereka.

Bekas pengerusi SPR dan tiga ahli parlimen itu turut mengkritik Mohd Hashim kerana memperlekehkan pembangkang.

"Semua komunikasi bertulis kami kepadanya diabaikan.

"Jelas sekali, beliau menjadi pengerusi pilihan raya paling tidak profesional dalam sejarah SPR dan secara tidak langsung mempersendakan kedudukan SPR sebagai sebuah suruhanjaya bebas dan adil kepada agensi yang semata-mata yang patuh kepada arahan perdana menteri," tambahnya.

Ulasan saya, ketika Rashid jadi Pengerusi SPR pun beliau adalah macai BN juga. Ketika itu beliau ubah persempadan kawasan parlimen Segambut yang dibuat khusus untuk Umno tetapi Pengerusi BN, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu kerusi Segambut diberi kepada MCA.

Kenapa beliau tidak letak jawatan ketika itu jika beliau benar benar ada prinsip. Sebaliknya beliau kekal memegang jawatan Pengerusi SPR sehingga bersara. Oleh itu sebelum menuduh Hashim sebagai macai BN, cerminlah diri sendiri terlebih dahulu.

Isnin, September 19, 2016

UMNO PUN TAK PUAS HATI DENGAN SPR



Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar menyelar sikap pembangkang kerana tidak memahami proses 
persempadanan semula kawasan pilihan raya, selain asyik menyalahkan kerajaan berhubung perkara itu.

Beliau berkata usul persempadanan semula dikemukakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu turut menyebabkan UMNO tidak berpuas hati kerana ia dijangka mengurangkan jumlah pengundi Melayu di beberapa kawasan dahulunya mempunyai majoriti pengundi Melayu yang tinggi di Selangor.

"Contohnya di Ampang, kalau dahulu, satu kerusi Parlimen dan dua Dewan Undangan Negeri (Lembah Jaya dan Bukit Antarabangsa), ketiga-tiga UMNO bertanding.

"Tapi dengan persempadanan baharu ini, saya rasa UMNO mungkin tidak dapat tiga kerusi itu di Ampang," katanya ketika diminta mengulas mengenai hasrat pembangkang mengadakan pilihan raya kecil di Selangor berikutan usul persempadanan itu.

Noh, yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan
Tempatan, berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Watikah Kepada Presiden Tribunal baharu Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) dan Tribunal Pengurusan Strata (TPS) di kementeriannya di Putrajaya, hari ini.

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini, memaklumkan kajian semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lepas.

Mengikut persempadanan semula itu, SPR turut mencadangkan penambahan satu kerusi baharu Damansara, yang meliputi kerusi Petaling Jaya Utara sebelum ini, dengan bilangan pengundi melebihi 150,000 orang.

Penasihat DAP Lim Kit Siang dilaporkan mendesak supaya Selangor mengadakan pilihan raya mengejut ekoran cadangan persempadanan semula, yang didakwa sengaja 'mengubah' peta negeri itu.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam, dilaporkan berkata UMNO akan meneliti usul persempadanan itu dan akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 30 September ini.

-Bernama

Selasa, Julai 27, 2010

SPR YANG BOLEH TENTUKAN


Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada pilihan raya umum diadakan serentak di seluruh negara atau berasingan bagi negeri-negeri yang di bawah pentadbiran pakatan pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, terpulanglah kepada SPR untuk membuat keputusan mengenai perkara tersebut berdasarkan keadaan kewangannya.

"Sama ada SPR beranggapan untuk mengadakan pilihan raya secara berasingan lebih baik atau tidak sesuai dengan keadaan kewangannya, terpulang kepada mereka.
"Bukan kita (kerajaan) yang tentukan perkara ini secara mutlak. Soal berkaitan pilihan raya terserah kepada SPR," katanya pada sidang media selepas bersarapan dengan wartawan Malaysia di sini, yang mengikuti lawatan rasmi beliau ke Korea Selatan bermula semalam hingga Khamis ini.

Mengulas laporan kenyataan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, selaku Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa parti pembangkang itu tidak akan bertanding jika pilihan raya diadakan dalam masa terdekat.

Muhyiddin berkata, walaupun kerajaan boleh membubarkan Parlimen untuk mengadakan pilihan raya umum, namun SPR, sebagai sebuah badan yang bebas, mempunyai kuasa untuk menetapkan hari pengundian.

Katanya, sekiranya negeri-negeri pakatan pembangkang berpendapat pilihan raya berasingan perlu dilakukan, jika ia diadakan dalam tempoh terdekat ini, itu adalah pandangan mereka.
"Jika negeri-negeri berkenaan enggan mengadakan pilihan raya secara serentak di seluruh negara berikutan masalah dalaman yang melanda parti-parti pembangkang, itu adalah masalah mereka.

"Bagi Barisan Nasional (BN), kita mempunyai pengalaman yang lebih lama dalam menghadapi pilihan raya dan faham mengenai perjalanannya," katanya

Selasa, Julai 06, 2010

JANGAN SALAHKAN SPR


Betul juga kata pegawai kanan SPR jangan salahkan SPR bila rakyat tidak mendaftar diri mereka sebagai pengundi. pelbagai saluran telah disediakan oleh SPR tetapi mereka tidak ambil inisiatif untuk mendaftar sebagai pengundi.

Mereka ini bodoh tidak tahu guna hak mereka sebagai warganegara untuk memilih kerajaan. Siapa yang mereka hendak undi adalah hak mereka. Bukannya mereka dipaksa mengundi BN. Malah mereka bebas mengundi siapa sahaja untuk membentuk kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

Ibubapa hendaklah mengambil inisiatif membawa anak mereka ke pejabat pos bila usia anak mereka genap 21 tahun. Saya sudah amalkan kaedah ini sejak tahun 2003 lagi apabila anak sulung saya, Siti Zuhairatun genap harijadinya yang ke 21 tahun. Saya bawanya ke pejabat pos untuk daftar sebagai pengundi pada harijadinya itu, 31 Mei 2003. Begitu juga anak kedua, Siti Zuraifah yang menyambut harijadinya yang ke 21 pada 6 Mei 2005. Kaedah yang sama saya lakukan pada anak ketiga, Siti Zatul Itri yang menyambut harijadinya yang ke 21 pada 4 Disember 2007. Pada pilihanraya umum 2008, tiga anak saya dapat menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara mengundi bersama saya dan isteri. Ini bermakna keluarga saya telah menyumbang lima undi dalam pilihanraya umum tersebut.

Pada 7 Mei lalu, anak keempat saya, Mohd Zuwairi genap usianya 21 tahun. Oleh kerana dia bekerja di Hong Kong dengan MISC maka dia belum daftar lagi sebagai pengundi. Dia akan balik ke Malaysia pada bulan September ini yang sudah tentu saya akan bawanya ke pejabat pos untuk mendaftar sebagai pengundi. Pada 2 Disember tahun depan, anak kelima saya, mohd Zarizi genap 21 tahun dan layak mendaftar sebagai pengundi. Oleh itu ADUN Air Putih, YB Wan Hakim Tan Sri Mokhtar kena jaga saya baik-baik kerana saya ada tujuh undi dalam pilihanraya umum akan datang.