Memaparkan catatan dengan label noh omar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label noh omar. Papar semua catatan

Ahad, Februari 03, 2019

KEADAAN POLITIK DI SEMENYIH TAK SAMA DI CAMERON HIGHLANDS

TANJONG KARANG, 2 Feb (Bernama) -- Anggota Majlis Tertinggi UMNO Tan Sri Noh Omar berharap kerjasama yang kini terjalin antara UMNO dan PAS akan membawa kemenangan calon BN pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih nanti.

"Kita harap kerjasama PAS dan UMNO pada PRK itu kelak dapat menolak calon Parti Pribumi Bersatu Maalysia (Bersatu) bagi menunjukkan referendum rakyat kepada kerajaan Pakatan Harapan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Sungai Burong, di sini hari ini.

Bagaimanapun kata beliau, walaupun ini merupakan PRK pertama calon kedua-dua parti berkenaan bertembung, namun pihaknya menerima hakikat keadaan politik di Selangor adalah berbeza berbanding PRK di Cameron Highlands baru-baru ini yang menyaksikan kemenangan calon BN.

Jumaat, Januari 19, 2018

SPR DIPERALAT OLEH KERAJAAN SELANGOR?



SHAH ALAM, 19 Jan (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Selangor akan mengemukakan bantahan terhadap syor kedua kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya di negeri itu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang didakwa tidak adil dan memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan.

Pengerusinya Tan Sri Noh Omar berkata tindakan itu diambil berikutan SPR dilihat masih mengekalkan sebilangan besar sempadan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang menyaksikan bilangan pengundi, pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam keadaan tidak seimbang.

"Mengambil contoh di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Klang (MPK), terdapat tiga kawasan Parlimen iaitu Kapar dengan 146,000 pengundi, Klang seramai 98,000 pengundi dan Kota Raja dengan 110,000 pengundi. Kenapa Parlimen Klang mempunyai jumlah pengundi sedikit sedangkan Klang adalah kawasan bandar sepenuhnya"

"Pengagihan kerusi DUN juga tidak adil, contohnya Klang ada tiga kawasan DUN iaitu Pelabuhan Klang, Pandamaran dan Kota Alam Shah sedangkan Parlimen Kota Raja yang mempunyai lebih ramai pengundi iaitu 110,000 orang hanya ada dua kerusi DUN sahaja iaitu Sri Andalas dan Sri Muda," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mempersoal kewajaran Parlimen Kelana Jaya, yang mempunyai dua kawasan DUN iaitu Seri Setia dan Subang Jaya, diletakkan di bawah pentadbiran dua PBT.

"Seri Setia di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) manakala Subang Jaya di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ). Kenapa dalam satu Parlimen di kawasan bandar dipecahkan pentadbiran PBT," soal beliau.


Beliau bertanya adakah SPR diperalatkan oleh kerajaan negeri dalam menyediakan syor kedua persempadanan semula pilihanraya di negeri tersebut.

Sabtu, November 04, 2017

NOH CABAR KERAJAAN SELANGOR BERTEGAS DENGAN DR MAHATHIR

TANJONG KARANG, 3 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor dicabar bertindak tegas terhadap Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berikutan kenyataan bekas perdana menteri itu yang dikatakan menghina bangsa Bugis.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar berkata kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mesti berani bertindak tegas terhadap Dr Mahathir demi menjaga maruah Sultan Selangor dan rakyat negeri ini.

"Kerajaan negeri jika berani boleh melarang Tun Mahathir memberikan ceramah di Selangor, ia boleh dilakukan dengan mengeluarkan surat rasmi permintaan kerajaan negeri untuk diserah kepada polis agar permit ceramah politik beliau tidak diluluskan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program penyerahan barangan keperluan kepada tujuh warga emas yang terlantar di Kampung Raja Musa di Bestari Jaya di sini, hari ini.

Tambah Noh beliau juga yakin Dr Mahathir tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan memohon maaf atas kenyataan yang dibuatnya pada himpunan anjuran parti-parti pembangkang di Petaling Jaya pada 14 Okt lepas