Rabu, Ogos 02, 2017

BIAR POLIS SIASAT VIDEO LATIHAN SPR UNTUK KESAN PERAKAM VIDEO

PUTRAJAYA, 2 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menafikan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) akan diadakan pada 13 Oktober ini susulan penularan klip video mengenai pengumuman tarikh bagi PRU14 di media sosial.

Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata pengumuman tarikh itu digunakan bagi tujuan latihan dan simulasi kepada bakal petugas semasa Program Taklimat kepada Pegawai-Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus PRU14 Peringkat Negeri Kelantan di Kota Bharu, Kelantan pada 31 Julai lepas.

"SPR ingin menjelaskan bahawa tarikh tersebut bukanlah tarikh sebenar. Sehubungan itu, SPR berharap semua pihak tidak mempercayai dakwaan bahwa kononnya tarikh-tarikh PRU14 telah ditetapkan,"katanya dalam satu kenyataan susulan penularan klip video berkenaan.

Mohd Hashim berkata SPR merasa kesal dengan tindakan individu yang tidak bertanggungjawab merakam dan dan menyebar video tersebut kepada umum sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai mengenai tarikh PRU14.

Sebuah video klip berdurasi 39 saat tular di media sosial di mana seorang lelaki kelihatan membuat pengumuman bahawa pilihan raya akan diadakan pada 13 Oktober tahun ini.