SHAH ALAM – Malaysia adalah antara negara yang mengamalkan sekatan ke atas kebebasan media, kata Dekan Fakulti Komunikasi Seni Visual dan Perkomputeran Universiti Selangor, Prof Dr Azmuddin Ibrahim.
Beliau berkata demikian ketika merujuk kepada laporan kajian kebebasan media oleh Freedom House.
Menurut, kajian tersebut telah melihat kepada beberapa sudut misalnya pemilikan, undang-undang, tekanan politik dan sebagainya dan memutuskan negara ini bukan sebahagian daripada negara yang mengamalkan kebebasan media.
“Tentu sekali media kita tidak pernah merdeka. Kalau kita merujuk kepada laporan kajian tentang, Malaysia memang tidak mengamalkan kebebasan dalam media.
“Kajian ini telah dilakukan lebih di 200 negara dan tidak ada sebab untuk kita tidak percaya dengan hasil kajian tersebut,” katanya seperti yang dipetik menerusi menerusi Wacana Sinar Harian bertajuk 'Merdekakah Media Kita?' di Universiti Selangor, di sini, semalam.
Wacana yang bermula jam 2.45 petang itu turut disertai Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin; Ketua Pengarang Projek MMO, Fathi Aris Omar dan aktivis media yang juga bekas Pengarah Eksekutif South East Asian Press Alliance, Gayathtry Venkiteswaran.
Katanya lagi, pengamal media sepatutnya diberikan kesempatan untuk melaporkan sesuatu isu dan perkara secara tepat serta telus.
“Itulah tanggungjawab sebenar pihak akhbar iaitu untuk berkongsi sesuatu maklumat yang betul dan menjadikan masyarakat yang penuh informasi.
“Masyarakat berinfomasi dapat menjadikan negara semakin aman dan lebih maju ke hadapan. Kalau masyarakat pada keseluruhannya tidak mengetahui perkara sebenar, macam mana negara nak maju?” katanya lagi.
Ulasan saya, adakah media di zaman Kadir Jasin lebih bebas dari sekarang? Ketika beliau menjadi Ketua Pengarang NST, adakah beliau bebas menulis atau menerima arahan daripada pejabat PM tentang berita utama?
Jika beliau turut menerima arahan dari pihak atas, ini bermakna apa yang berlaku sekarang sama dengan yang berlaku di zaman beliau.
Saya masih ingat gara gara menulis rencana pengarang Utusan Malaysia di zaman Tunku Abdul Rahman, Ahmad Boestamam terpaksa meletakkan jawatan kerana rencana pengarang akhbar Umno itu tidak ngam dengan cita rasa Tunku.
Di zaman Tun Razak, setiausaha politiknya Abdullah Ahmad Kok Lanas mengawal akhbar harian lebih teruk lagi. Di zaman Dr Mahathir, Watan menyiarkan gosip Dr Mahathir sakit pun, ketua pengarang Watan, Fickry Haji Yaacob dipanggil Dr Mahathir dan memarahi Fickry tanpa menyuruhnya duduk.
Jadi di mana letaknya kebebasan akhbar yang mahu diperjuangkan oleh Kadir Jasin? Oleh itu jika Ku Seman diarah meletakkan jawatan kerana tulisannya mengkritik 1MDB ia bukan satu kejutan tetapi satu tradisi yang telah berlaku dalam media sejak Malaysia merdeka lagi.