Isnin, September 26, 2016

KENAPA SPR TIDAK TAMBAH KERUSI?



KUALA TERENGGANU – Sekurang-kurangnya empat kawasan parlimen dan 16 kawasan Dun baharu perlu diwujudkan di negeri ini berdasarkan faktor asas termasuk jumlah bilangan pengundi.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya Terengganu, Ariffin Deraman berkata, perkara itu sepatutnya dipertimbangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memandangkan sudah 23 tahun tidak berlaku persempadanan semula melibatkan pertambahan kerusi dengan pertambahan kali terakhir berlaku pada 1993.

Berdasarkan cadangan baharu bagi persempadanan semula negeri ini khususnya, Ariffin berkata, ia sekadar melibatkan pecah sempadan pilihan raya iaitu perubahan masuk dan keluar peti undi dalam kawasan Dun atau Parlimen yang dilihat lebih bersifat politik.

“Sudah 30 tahun pertambahan Parlimen dan Dun tidak dibuat. Menjadi tugas SPR mencadangkan supaya tambah Dun dan Parlimen dan bantahan itu serahkan kepada kami iaitu orang politik (untuk membahas) khususnya di peringkat Dun.

“SPR tidak sepatutnya keberatan kerana khuatir tidak dapat sokongan dua pertiga daripada kerajaan atau pembangkang (jika pertambahan kerusi disyorkan). Kami berasa kesallah usul di Terengganu sudah 30 tahun dan kalau 10 tahun akan datang tetap begini, maknanya 40 tahunlah persempadanan tidak akan berlaku… dan satu-satu Dun akan mengalami jumlah pengundi yang besar. Di Dun mungkin mencapai 30,000 hingga 50,000 pengundi manakala Parlimen mungkin sampai 150,000 pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pejabat Perhubungan Pas Terengganu di Jalan Sultan Omar, di sini.

Ariffin yang juga Adun Alor Limbat turut mencadangkan SPR lebih berani memberi cadangan pertambahan kerusi dan tidak memikirkan kesukaran mendapatkan sokongan dua pertiga khusus di Terengganu kerana ia menjadi tanggungjawab ahli-ahli politik untuk membahaskannya di sidang Dun.

Jelasnya, menerusi usul persempadanan oleh SPR ketika ini, jumlah bilangan pengundi yang dikenal pasti di satu-satu Dun menjadi tidak seimbang dan di Wakaf Mempelam memperlihatkan pertambahan pengundi sehingga kira-kira 31,000 orang.

“Kalau tengok Dun Bukit Besi kira-kira 12,000 orang, Paka 24,000, Sura menjadi 25,000. Kenapa Bukit Besi sampai tinggal 12,000 orang? Sepatutnya purata 18,000 hingga 20,000. Jumlah bilangan yang munasabah,” katanya.

Beliau berkata, pertambahan kerusi Dun dan Parlimen bertujuan mengelak kesulitan dan menyelesaikan masalah di sempadan daerah yang ketika ini wujud satu Dun dalam daerah dan Parlimen berasingan.

Sebagai contoh katanya, Dun Teluk Pasu berada dalam daerah Kuala Terengganu tetapi berada dalam Parlimen Kuala Nerus, Dun Alor Limbat (Parlimen Marang, daerah Kuala Terengganu) dan Jabi (Parlimen Setiu, daerah Besut).

Ulasan saya, ura ura Terengganu dapat tambahan kerusi baru parlimen dan DUN sudah lama kedengaran tapi tidak dilaksanakan kerana BN hanya menang 17 kerusi daripada 32 kerusi. Ini membuatkan SPR tidak tambah sebarang kerusi baru di Semenanjung. Tambahan pula di Dewan Rakyat pun, BN tidak mendapat sokongan majoriti dua pertiga.

Dahulu pada cadangan asal parlimen Kemaman dipecah dua dengan Datuk Ahmad Shabery Cheek menjadi ketua penaja bahagian yang baru hasil dari pecahan parlimen tersebut. Tetapi oleh kerana BN Terengganu tidak mendapat sokongan majoriti dua pertiga, maka SPR tidak buat sebarang pertambahan kerusi parlimen dan DUN.

Cadangan Ariffin Deraman ini amat bagus. Oleh itu untuk pastikan berlaku tambahan kerusi pada masa akan datang, pengundi kena beri kemenangan besar kepada BN pada PRU akan datang supaya PRU ke 15 akan ada pertambahan kerusi DUN dan parlimen yang baru di Terengganu.

Sebab itu SPR hanya memindahkan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Semenanjunng tanpa mencadangkan pertambahan kerusi baru parlimen dan DUN. Di Terengganu, hanya melibatkan pertukaran nama DUN Buluh Gading dan DUN Sekayu.