Khamis, Disember 18, 2008

MENTERI PELAJARAN MUDAH MENANG


Mulai keluaran ini, saya ingin menyorot calon-calon Naib Presiden UMNO yang akan bertanding pada Mac depan. Saya mulakan dengan Hishamuddin Hussein yang mendapat pencalonan tertinggi, 152 pencalonan.


Sebagai calon favourite, beliau ada peluang untuk menang kerana beliau adalah Menteri Pelajaran. Dalam sejarah pertandingan Naib Presiden UMNO, Menteri Pelajaran tidak pernah kalah.


Pada tahun 1972, Dr. Mahathir Mohamad kalah dalam pertandingan naib presiden itu tetapi setelah dilantik Menteri Pelajaran pada tahun 1974, beliau menang dalam pertandingan tersebut pada tahun 1975. Pada tahun 1976, Musa Hitam dilantik Menteri Pelajaran. Dua tahun kemudian beliau menang Naib Presiden UMNO.


Pada tahun 1986, Anwar Ibrahim dilantik Menteri Pelajaran. Setahun kemudian beliau dipilih naib presiden. Sesiapa sahaja yang dilantik Menteri Pelajaran, mudah menang jawatan Naib Presiden UMNO.Sebab itu selepas itu Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri pernah memberikan kepada ahli parlimen bukan UMNO, Dr. Sulaiman Daud jawatan Menteri Pelajaran. Malah beliau pernah melantik tokoh akademik, Musa Mohamad sebagai Menteri Pelajaran kerana tidak mahu jawatan itu dipolitikkan.


Selepas Pak Lah menerajui negara pada tahun 2003, Pak Lah melantik orang politik semula sebagai Menteri Pelajaran selepas pilihan raya umum 2004. Adakah Hishamuddin akan mengulangi kejayaan bekas-bekas Menteri Pelajaran, Dr. Mahathir, Musa dan Anwar? Kita tunggulah Mac ini.


Meneliti pula sejarah politik Hishamuddin, ia agak menarik. Beliau aktif dalam politik selepas ayahnya, Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia yang ketiga meninggal dunia. Pada tahun 1993, beliau, seorang peguam dibawa oleh Ghani Othman untuk melawan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ledang, arwah Jamaluddin Abu Bakar. Ghani ketika itu Menteri Belia dan Sukan dan Ketua UMNO Bahagian Ledang.


Ketika itu politik wang sudah ada tetapi tidak sehebat sekarang. Seorang rakan yang berkempen untuk arwah Jamaluddin pernah berkata, arwah beri RM50 kepada setiap perwakilan tetapi Hishamuddin beri RM500, maka menanglah Hishamuddin sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ledang. Sama ada dakwaan ini betul atau tidak, wallahukalam.


Walaupun Tangkak bukan kampungnya, tetapi Hishamuddin diterima menjadi ketua pemuda Ledang. Pada tahun yang sama beliau telah menang Exco Pemuda UMNO mendapat undi tertinggi.


Pada tahun 1996, beliau merebut kerusi naib ketua pemuda. Kebetulan kerusi itu kosong. Ia jadi rebutan antara beliau dengan Exco Kerajaan Selangor, Fatah Iskandar. Beliau menang. Ketika itu beliau sudah menjadi ahli parlimen sejak tahun 1995 dan Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Maknanya Hishamuddin pernah bekerja di bawah Rafidah Aziz.


Pada tahun 1995, saya sering ke parlimen dan saya dapati cara beliau menjawab soalan tambahan agak hebat juga. Ada ahli parlimen beritahu saya bahawa soalan tambahan itu semua sudah dirancang dan bila dua tiga ahli parlimen yang bangun bertanya soalan tambahan, Hishamuddin sudah bersedia untuk menjawabnya. Saya tidak pasti sejauh mana benarnya dakwaan ahli parlimen ini.


Selepas beliau menang naib ketua pemuda, beliau dilantik Timbalan Menteri Perusahaan Utama. Beliau bekerja di bawah Dr. Lim Kheng Yaik. Selepas pilihan raya umum 1999, Dr. Mahathir melantiknya sebagai Menteri Belia dan Sukan. Ketika itu beliau memangku jawatan ketua pemuda selepas Dr. Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatannya.


Pada tahun 2000, beliau menang tanpa bertanding sebagai ketua pemuda. Pada tahun 2004, sekali lagi beliau menang ketua pemuda tanpa bertanding. Selepas dua kali menang tanpa bertanding sebagai ketua pemuda, inilah kali pertama beliau bertanding jawatan Naib Presiden UMNO dalam pertandingan lapan penjuru. Dapatkah beliau menewaskan tujuh orang calon lain seperti Syed Hamid Albar, Khaled Nordin, Dr. Rais Yatim, Isa Samad, Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Shafie Afdal dan Dr. Jamaluddin Jarjis?


Hishamuddin tidak pernah tahu sejauh mana undi popularnya di dalam barisan ahli majlis tertinggi UMNO sedangkan tujuh calon Naib Presiden lain tahu sejauh mana mereka popular di kalangan 2,500 orang perwakilan.Oleh itu Hishamuddin perlu terjemahkan pencalonan kepada pengundian sebenar pada Mac ini.


Pernah berlaku Ghani Othman mendapat pencalonan tertinggi untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO tetapi tewas bila dikira undi. Semoga Hishamuddin tidak menerima nasib yang sama seperti Ghani.

MUHYIDDIN SUDAH JADI TIMBALAN PRESIDEN UMNO


Walaupun para perwakilan UMNO belum lagi memilih Timbalan Presiden UMNO yang baru, kerana pengundian akan diadakan pada bulan Mac 2009, tetapi hari ini Utusan Malaysia sudah melantik Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO.


Dalam Utusan Malaysia hari ini pada muka surat 26 dalam berita "Tabung Bukit Antarabangsa dapat sambutan", Utusan Malaysia menulis pada para ketiga, "Pengerusi tabung itu, Datuk Ismail Kijo berkata antara penyumbang utama ialah Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib yang menyumbangkan RM50 ribu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ali Rustam (RM40 ribu) dan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin (RM30 ribu).


Awal betul Utusan Malaysia melantik Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Rabu, Disember 17, 2008

STRINGER WATAN MENINGGAL DUNIA


Seorang stringer WATAN yang baru bersama WATAN, Syukree Hussain telah meninggal dunia di kediaman abangnya, Hadi Hussain di Bricksfields, Kuala Lumpur pada jam 9.30 pagi hari ini ketika sedang tidur. Beliau dipercayai meninggal dunia kerana penyakit jantung.



Jam 11.30, kami baru selesai mesyuarat, tiba-tiba seorang staff, Mastura Hassan masuk ke bilik saya beritahu tentang kematian Shukree. Saya tidak percaya dengan berita itu dan terus menelefon handphonenya dan abangnya, Hadi mengesahkan berita kematian tersebut.



Mastura menelefon arwah kerana arwah berjanji nak bawanya ke parlimen pada pagi ini. Sebab itu Mastura terkejut mendengar berita kematiannya sedangkan petang semalam dia sihat ketika datang ke pejabat.



Saya tidak dapat mengawal perasaan saya ketika menelefon abangnya dan saya menangis kuat sehingga mengejutkan staff yang lain. Saya terkilan kerana tidak menemuinya buat kali terakhir semalam ketika arwah datang ke pejabat kerana saya ke Putrajaya.


Biasanya sebelum dia mahu datang ke pejabat, dia akan call saya tanya sama ada saya ada di pejabat atau tidak, tetapi semalam dia datang tanpa call saya terlebih dahulu. Jika dia call saya, mungkin saya tangguhkan pemergian saya ke Putrajaya.



Agak pelik kerana arwah datang petang semalam memakai baju batik. Belum pernah dia pakai baju batik ke pejabat Watan. Dia bergurau dengan semua staff. Dia hulur press card lamanya kepada Fauzi sambil berkata, "Ambillah kad ini. Saya tak nak dah".



Rupa-rupanya perkataan tak nak ini merupakan kata-kata terakhir darinya yang amat berkesan bahawa dia tidak ada di dunia lagi esoknya. Kami sempat ke rumah abangnya di Jalan Rozario, Brickfields dan dari situ kami ke Hospital Universiti kerana jenazahnya sudah dibawa ke situ untuk dibedah siasat.



Shukree tidak lama bersama WATAN. Tapi banyak kali beliau dapat lead muka depan. Dia banyak kontak dengan pembangkang kerana dia adalah bekas wartawan Berita Keadilan. Jenazahnya akan dikebumikan di kampung kelahirannya, Pulau Serai di Dungun, Terengganu pada hari esok. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al Fatihah.

Selasa, Disember 16, 2008

KHALID TAK FAHAM TUGAS POLIS



Para pemimpin pakatan pembangkang di Selangor tidak perlu diiringi polis ketika menghadiri majlis-majlis dan tugasan luar kerana kehadiran pasukan itu hanya akan membataskan kemesraan mereka dengan rakyat.


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, apabila seseorang pemimpin dikawal ketika sedang bertugas, rakyat tidak akan boleh menghampiri mereka kerana telah disekat oleh anggota polis yang bertugas sebagai pengiring.


Bagaimanapun menurutnya, beliau tidak berniat untuk menafikan usaha pasukan polis tetapi mahu anggota yang bertugas mengiringi pemimpin itu melakukan tugas lebih penting yang merupakan keutamaan mereka iaitu membanteras jenayah di negeri ini.


''Pada pandangan saya tidak perlu pemimpin di negeri ini diiringi polis memandangkan jumlah polis pun kurang.


''Kalau asyik menjaga Menteri Besar dan pemimpin-pemimpin lain mereka tidak boleh jaga masalah jenayah yang juga berleluasa di negara kita.


''Lagipun kita kerajaan yang telus dan sentiasa menghormati rakyat," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Jualan Selangor Ria 2008 di tempat letak kereta Stadium Melawati di sini semalam.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda, Suhaimi Shafie agar pemimpin-pemimpin tertinggi di negeri ini perlu sentiasa diiringi anggota polis bagi menjamin keselamatan mereka ketika menghadiri majlis-majlis dan sebagainya.


Nampaknya Khalid sendiri tidak faham dengan tugas polis. Tugas polis memang untuk mengawal keselamatan para pemimpin termasuk pemimpin pembangkang yang jadi pemerintah negeri. Oleh itu tidak timbul soal mahu menyekat pemimpin bermesra dengan orang ramai.


Malah ada juga pemimpin BN yang tak guna polis walaupun dia ada body guard dari pasukan polis. Saya masih teringat bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad suka ke mana ke mari tanpa body guard. Bila ditanya, beliau jawab Allah sudah jaganya.


Ada polis menjaga pemimpin bukanlah untuk menyekat kebebasan pemimpin bergaul dengan rakyat tetapi ia bertujuan untuk mengelakkan sebarang kemungkinan. Alhamdulilah di Malaysia negara kita masih aman. Kalau di India, body guard pun tidak boleh dipercayai kerana Perdana Menteri India, Indira Ghani mati dibunuh body guardnya sendiri.

Isnin, Disember 15, 2008

SAH BUKAN WAN FARID CALON BN


Nampaknya sah Wan Farid bukan calon BN bagi pilihan raya kecil Kuala Terengganu apabila beliau dilantik semula sebagai Senator oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu buat penggal kedua mulai semalam. Turut dilantik Senator ialah Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Fatimah Ahmad yang menggantikan Ketua Puteri UMNO Terengganu, Nordiana Shafie.

Kuasa melantik Senator yang mewakili Dewan Undangan Negeri Terengganu ialah Menteri Besar, Ahmad Said. Jika Ahmad Said mahu letakkan Wan Farid sebagai calon BN di Kuala Terengganu, Ahmad Said tak perlu sambung perkhidmatan senator Wan Farid untuk tiga tahun lagi. Lebih baik beliau cadangkan nama lain untuk senator.

Tetapi oleh kerana Ahmad Said rasa beliau perlu dikekalkan sebagai timbalan menteri, maka senatornya perlu disambung semula. Walau bagaimanapun terpulang kepada Pengerusi BN, Pak Lah sama ada mahu meletakkan Wan Farid sebagai calon.

Jika Wan Farid dipilih calon, ini bermakna beliau kena letak jawatan senatornya. Jadi Dewan Undangan Negeri perlu melantik orang lain pula sebagai senator yang baru. Ini sudah tentu menyulitkan Dewan Undangan Negeri yang terpaksa bersidang semula.

Jadi lebih baiklah Pak Lah memilih orang lain sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil Kuala Terengganu kerana Wan Farid tidak perlu kehilangan jawatan senator dan timbalan menteri.

Ahad, Disember 14, 2008

RAHIM MAKIN HAMPIR


Pengerusi RISDA, Rahim Tamby Chik atau RTC semakin hampir untuk muncul sebagai calon Naib Presiden UMNO. Semalam mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah mencalonkan beliau selain Menteri Pelajaran, Hishamuddin dan Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar.


Ini bermakna RTC memerlukan dua pencalonan lagi untuk dapat lesen untuk bertanding. Ada tiga bahagian lagi belum bersidang, Larut, Tenom dan Seremban. Berdasarkan senario ini, peluang untuk RTC dapat lesen untuk bertanding amat cerah.


RTC selaku bekas Ketua Menteri Melaka dan Ketua Pemuda UMNO (1993-1994) tidak ketinggalan untuk bersaing dengan lapan calon lain iaitu Hishamuddin, Syed Hamid Albar, Khaled Nordin, Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Isa Samad, Dr. Rais Yatim, Dr. Jamaluddin Jarjis dan Shafie Afdal.


Nasib RTC tidak sebaik bekas pegawai khasnya, Ali Rustam yang sudah menjadi naib presiden sejak tahun 2004 lalu. Ini bermakna anak muridnya sudah mendahuluinya jadi naib presiden sedangkan RTC belum tentu menang pada bulan Mac depan.


Akan tetapi untuk mendapatkan dua pencalonan lagi, saya tidak nampak RTC tidak boleh dapat kerana beliau akan kejar juga untuk pastikan pencalonan itu walaupun harga yang terpaksa dibayar agak tinggi.


TERIMA KASIH


Terima kasih kepada semua rakan-rakan dan saudara-mara yang sudi hadiri majlis perkahwinan anak sulung saya, Siti Zuhairatun dengan Hairul Faizal Haji Ahmad di rumah kami di Taman Mohd. Noor, Chukai, Kemaman semalam.




Juga terima kasih kepada semua penduduk Pasir Gajah yang sudi hadir. Kebetulan pengantin perempuan yang berasal dari Pasir Gajah kahwin dengan orang Batu Gajah, Perak.



Cuaca yang baik menyebabkan ramai yang hadir. Empat hari sebelum itu jalan raya ke Pasir Gajah telah terputus kerana banjir di Sungai Pinang. Alhamdulillah jalan raya dibuka semula menyebabkan ramai penduduk asal kampung saya dapat hadiri majlis itu.

Kebetulan semalam Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak datang ke Kuala Terengganu maka semua ahli-ahli jawatankuasa bahagian,pemuda,wanita dan puteri UMNO Kemaman yang dijemput hadir tidak dapat datang ke majlis saya kerana mereka kena pergi ke Kuala Terengganu.

Namun demikian majlis rumah saya tetap meriah dengan kunjungan saudara mara dari Kuala Lumpur, Kelantan, Pahang, Kuala Terengganu dan Dungun. Rakan-rakan seperti Omar Aziz, Sulong Derahman, Haji Din yang sudi menyumbang suara mereka turut memeriahkan majlis karaoke yang diadakan sepanjang majlis berlangsung dari jam 12 tengah hari hingga 6 petang.



Malah abang ipar, Zakaria dan adik-adik ipar Fauzi dan Nazri yang tak pernah saya dengar suara mereka turut menyanyi. Pendek kata majlis karaoke yang didjkan oleh Burn amat meriah sekali. Terima kasih kepada Burn yang sudi menyewa set karaokenya dan menjadi DJ pada majlis tersebut.

Pendek kata tanpa kehadiran VIP majlis semalam turut meriah. Juga terima kasih kepada Datuk Shahrir Samad yang menjawab sms saya dengan menulis,”terima kasih di atas jemputan. Maaf tapiberada di luar Kuala Lumpur pada hari itu. Tahniah kerana menerima menantu”.

Datuk Seri Dr. Khir Toyo turut menjawab sms saya ,” saya kebetulan berada di luar negara mempengerusikan mesyuarat Majlis Belia Asia”. Juga tidak ketinggalan kepada ahli parlimen Kuala Nerus, Datuk Nasir Tan Sri Ibrahim yang sempat menemui saya di parlimen dan mengatakan maaf kerana tidak dapat hadir.

Melalui ruangan ini, saya ucapkan terima kasih kepada semua yang telah hadir dan tak dapat hadir tetapi sempat telefon saya dari Kota Kinabalu iaitu Datuk Haji Abdul Karim Ghani dan Datuk Salleh Said Keruak yang sms saya dari Kota Mekah memberitahu saya bahawa beliau tidak dapat hadir. Budi kalian semua saya tak lupa. Juga kepada seorang kawan yang datang ke Kemaman pada tengah malam tapi segan nak singgah di rumah saya tetapi kirim duit kepada Azman Shah. Terima kasih.

ROYALTI MINYAK KEJAYAAN AHMAD SAID


Salah satu kejayaan Ahmad Said selaku Menteri Besar Terengganu ialah membawa balik royalti minyak ke Terengganu setelah kerajaan pusat menariknya pada zaman PAS memerintah Terengganu dari tahun 1999-2004.


Inilah kejayaan terbesar Ahmad Said setelah beliau menjadi Menteri Besar pada Mac lalu.Inilah kelebihan Ahmad Said berbanding dengan Idris Jusoh yang gagal memujuk Pak Lah supaya royalti minyak diuruskan oleh kerajaan negeri semula.


Pengumuman Najib Tun Razak bahawa kabinet telah meluluskan penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) merupakan satu lagi kejayaan Ahmad Said yang melaksakan cadangan Yang di_Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin.


Hari ini Utusan Malaysia melaporkan bahawa kerajaan pada prinsipnya meluluskan penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) untuk mengendalikan pelaburan wang royalti minyak negeri ini dengan dana permulaan bernilai RM10 bilion.


Timbalan Perdana Menteri, Najib Tun Razak berkata, penubuhan TIA yang merupakan cadangan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada mesyuaratnya semalam.


Menurutnya, TIA akan menggunakan pendapatan daripada hasil royalti minyak untuk membuat pelaburan di dalam dan luar negara menerusi pasaran bon bagi menjamin kelangsungan pendapatan negeri pada masa depan.


“Konsepnya ialah kerajaan negeri melabur bukan saja di Terengganu tetapi juga di luar negara. Mungkin sedikit (labur) di Terengganu dan sebahagian besar di luar Terengganu.


“Seandainya minyak pupus, Terengganu dengan langkah ini akan dapat punca pendapatan tambahan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan cek royalti minyak berjumlah RM408.6 juta kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said di sini semalam.


Menurut Najib, royalti berkenaan adalah bagi akaun 2007/2008 setelah ditolak segala kos pembangunan yang dilaksanakan di Terengganu.


Dengan kembalinya royalti minyak ke Terengganu, dapatkah ia menawan hati para pengundi Kuala Terengganu? Ia akan terjawab pada 17 Januari ini walaupun dari satu segi Ahmad Said sudah berjaya membawa royalti minyak ke pangkuan Terengganu. Adakah para pengundi Kuala Terengganu bersyukur dengan usaha Ahmad Ahmad Said ini?

Sabtu, Disember 13, 2008

PECAT PPP SEGERA



Naib Presiden UMNO, Ali Rustam kata PPP bukanlah asset kepada BN. Oleh itu sudah sampai masanya bagi BN untuk memecat PPP dari BN. Seperti kata Ali, ada atau tidak adanya PPP, ia tidak ada kesan dalam BN.

Oleh itu BN perlu pecat PPP dari BN walaupun sebelum ini PPP buat gertak keling untuk keluar dari BN. Tak perlu tunggu PPP keluar dari BN tetapi biarlah BN pecat PPP.

Parti PPP pun tak ada peraturan. Semudah itu memecat penasihatnya, Rajah dari parti itu bila Rajah mencadangkan supaya Kayveas yang keluar dari PPP dan bukannya PP keluar dari BN.


Pecat orang tanpa keluar surat tunjuk sebab sedangkan Kayveas sebagai peguam patut faham cara memecat seseorang ahli. Yang peliknya Kayveas mengaku bahawa Rajah pernah dipecat dari parti itu sebanyak tiga kali. Semudah itu pecat ahli, semudah itu pula terima balik ahli yang dipecat.

Saya rasa BN tidak perlu tunggu PPP keluar dari BN. Pecatlah segera supaya ia menjadi pengajaran kepada parti komponen BN yang lain.

Jumaat, Disember 12, 2008

NAJIB DIJANGKA UMUM CALON ESOK


Teka-teki siapa calon BN bagi pilihan raya kecil parlimen Kuala Terengganu akan terjawab pagi esok apabila Datuk Seri Najib dijangka mengumumkan nama calon dalam satu majlis di Kuala Terengganu esok.

Menurut sumber, Pak Lah telah bersetuju dengan senarai calon yang dikemukakan oleh UMNO Bahagian Kuala Terengganu. Senarai itu telah diserahkan kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Ahmad Said. Ahmad Said telah menyerahkan senarai itu kepada Pak Lah dan Pak Lah telah berkata ia akan diumumkan oleh Najib dalam masa terdekat, kemungkinan besar esok.

Walaupun ramai yang melobi menjadi calon, besar kemungkinan Pak Lah memilih sama ada ketua bahagian, Wan Farid atau bekas timbalannya, Che Mat Jusoh. Kebetulan mereka berdua pernah bekerja dengan Pak Lah. Wan Farid sebagai setiausaha politik Pak Lah manakala Che Mat Jusoh adalah pegawai khas Pak Lah.

Jika Wan Farid terpilih sebagai calon, beliau kena letak jawatan Senator dan timbalan menteri dan bekerja kuat untuk menang. Bila menang, dapat dilantik timbalan menteri semula. Tetapi jika dia kalah, dia bukan sahaja hilang jawatan senator malah hilang juga jawatan menteri.

Sebaliknya jika beliau tak terpilih sebagai calon, beliau kekal senator dan timbalan menteri tetapi dia kena bekerja kuat juga untuk memastikan calon BN menang. Jika tidak beliau akan dituduh sebagai sabotaj calon BN kerana beliau bukan calon.

Begitu juga pilihan raya kecil ini amat penting buat Ahmad Said sebagaiu pengerusi perhubungan UMNO Terengganu yang baru. Jika BN menang, rakyat Kuala Terengganu mengesahkan perlantikan Ahmad Said sebagai pengerusi perhubungan sebaliknya jika kalah, ia merupakan petanda yang buruk kepada masa depan politik Ahmad Said.

Walaupun hari penamaan calon ditetapkan 6 Januari 2009, tiga minggu dari sekarang, tetapi langkah BN mengumumkan nama calon lebih awal merupakan langkah yang bijak kerana para pengundi lebih awal dapat mengenali dan bermesra dengan calon BN.

Khamis, Disember 11, 2008

DATUK CHE MAT JUSOH JADI CALON


Hampir pasti bukan Datuk Wan Farid Wan Salleh calon BN bagi kerusi parlimen Kuala Terengganu. Jika BN meletakkan Wan Farid, belum tentu BN menang kerana tiga kerusi dari empat kerusi DUN dalam parlimen tersebut dimenangi PAS.


Alangkah ruginya jika Wan Farid letak jawatan Senator dan Timbalan Menteri Dalam Negeri. Sebaliknya dia boleh kekal jawatan Senator dan timbalan menteri jika dia tidak bertanding.


Yang sedang heboh sekarang ialah nama bekas Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Che Mat Jusoh. Beliau selaku Presiden Persatuan Bolasepak Terengganu dikatakan sedang melobi calon melalui Sultan Pahang selaku Presiden FAM.


Sultan Pahang dikatakan sudah berbisik nama Datuk Che Mat kepada bakal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Tambahan pula Datuk Che Mat adalah bekas pegawai khas Pak Lah ketika Pak Lah jadi Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu. Ini bermakna jika Najib sebut nama Datuk Che Mat depan Pak Lah, Pak Lah sudah kenal beliau.


Beliau pernah jadi calon bagi DUN Batu Buruk pada tahun 2004 tetapi kalah. Oleh itu pengundi Batu Buruk sudah kenali beliau. Pengundi DUN Bandar, DUN Ladang dan DUN Wakaf Mempelam tidak ada masalah untuk kenali beliau yang merupakan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu itu. Lebih-lebih lagi beliau adalah bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu.


Beliau kalah kepada bekas Ketua Pemuda bahagian, Sabri Alwi kerana beliau tidak main wang sedangkan Sabri Alwi atau Mat Kerak main wang yang menyebabkan beliau menang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu.


Oleh itu jika Pak Lah dan Najib mahu seorang calon yang tidak main politik wang, maka Datuk Che Mat Jusoh adalah calon yang tepat untuk menjadi calon BN. Sebagai bekas pegawai kerajaan beliau mudah diterima oleh para pengundi. Lagipun beliau tidak sombong mana. Jadi memang beliau ada harapan untuk menang melawan calon PAS yang mungkin juga anak tempatan.


Cuma faktor umur yang menghalang beliau dipilih sebagai calon. Tetapi untuk menang pilihan raya kecil, faktor umur tidak perlu diira sangat. Yang penting BN kena menang. Ini soal maruah BN. Kalah BN, maka hilang lagi satu kerusi BN di Dewan Rakyat. Oleh itu jika bukan Wan Farid jadi calon, Che Mat Jusoh adalah pilihan yang tepat.

Rabu, Disember 10, 2008

BERANIKAH PPP?


Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah berkata jika PPP nak keluar dari BN, keluarlah. Nampaknya kehadiran PPP dalam BN tidak diperlukan oleh Pak Lah lagi. Beranikah Datuk M. Kayveas membawa parti itu keluar dari BN?


Selama ini PPP pun tidak membawa apa-apa keuntungan kepada BN. Kerusi tunggalnya di Taiping kalah. Ini bermakna jika ia keluar ia tidak menjejaskan kerusi BN dalam Dewan Rakyat.


Sebelum pilihan raya umum lalu, PPP telah menuntut banyak kerusi parlimen dan DUN untuk bertanding. BN tetap mengekalkan status quonya. Maka PPP hanya dapat satu kerusi parlimen di Taiping sahaja. Itu pun banyak kali bergaduh dengan Gerakan kerana pada tahun 1999 kerusi Taiping adalah milik Gerakan.


PPP kata jika BN tak pinda ISA, ia akan keluar dari BN. Maka sudah sampai masanya M. kayveas membawa PPP keluar dari BN. Anda tidak diperlukan lagi dalam BN. Pak Lah sudah tegas tidak akan meminda ISA lagi.


Beranikah Kayveas atau dia hanya gertak keling sahaja? Orang India bila kata keling marah, padahal tamadun Keling bukan main hebat dulu. M. Kayveas adalah satu-satunya presiden parti komponen BN yang tak dapat jadi menteri.


Sedangkan presiden parti komponen lain jadi menteri. Ketika PPP menang pada tahun 2004, M. kayveas hanya jadi Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Selepas itu ditukar ke Jabatan Perdana Menteri. Tetapi Kayveas tetap dikenang sebagai timbalan menteri yang berani menentang CTOS yang menyebabkan semua peminjam yang disenaraihitamkan oleh bank menyokong beliau.

Selasa, Disember 09, 2008

HAMZAH PERLI SIAPA?


Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga mangsa kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Dalam kenyataan media, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim turut mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada DYMM Sultan Selangor atas keperihatinan Tuanku untuk hadir memberi sokongan semalam.

Beliau juga tidak lupa juga mengucapkan terima kasih kepada barisan pimpinan tinggi tertinggi negara terutama Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sempat meluangkan waktu untuk turut hadir melawat tempat kejadian.

Katanya, kerajaan negeri juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha menyelamat yang sedang giat dijalankan termasuk anggota polis, tentera, bomba, pasukan penyelemat SMART dan pasukan dari Majlis Perbandaran Ampang Jaya. Bantuan dari sukarelewan dari pelbagai badan bukan kerajaan NGO dan Bulan Sabit Merah juga amat dihargai.

Sejak semalam Kerajaan Negeri Selangor telah menyediakan penempatan sementara di Sek Keb Hulu Klang dan Sek Men Keb Malawati dan memastikan segala kelengkapan bantuan asas seperti selimut, tilam, pakaian dan makanan telah disediakan. Kerajaan juga akan sentiasa memantau keadaan di penempatan semula bagi memastikan semua berjalan lancar.

Tan Sri Khalid berkata Kerajaan Negeri Selangor bukan sahaja sedih dengan apa yang berlaku, tetapi lebih merasakan ianya satu pengajaran penting untuk menujukkan betapa pentingnya pemantauan terhadap pembangunan perumahan di cerun bukit (hill slope development). Bahkan larangan pembangunan cerun bukit kelas 3 dan adalah antara polisi awal yang dibuat Kerajaan Pakatan Rakyat setelah mengambil alih pemerintahan daripada Kerajaan terdahulu.

Untuk pengetahuan, buat masa ini terdapat lebih kurang 90 projek yang melibatkan pembangunan di cerun bukit yang telah diluluskan oleh Kerajaan terdahulu. Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Rakyat akan sentiasa memantau projek-projek ini dengan teliti supaya syarikat memenuhi semua syarat–syarat bagi memastikan rumah yang akan diduduki selamat. Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan setiap syarikat perumahan memberi laporan bulanan berkaitan setiap projek yang dijalankan. Perlu ditegaskan disini, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak mengkaji semula mana-mana projek jika didapati ada bukti bahawa alam sekitar dan keselamatan penduduk disekitar telah terancam akibat projek. Projek-projek di kawasan sensitif kepada bencana tanah runtuh akan diberi syarat-syarat yang lebih ketat.

“Kerajaan Negeri berharap semua pihak terutama syarikat perumahan swasta akan bersama-sama dalam hal ini. Banyak aduan telah diterima oleh rakyat dimana terdapat beberapa syarikat swasta yang telah mengabaikan tanggungjawab menjaga dan memelihara cerun bukit di kawasan perumahan yang telah dibangunkan. Sebagai langkah pro-aktif, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak menyenarai hitam syarikat yang lalai menjalankan tanggungjawab mereka,” tegas beliau.

Tan Sri Khalid menambah oleh kerana bukan hanya cerun bukit yang sensitif kepada kejadian tanah runtuh, Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan Jabatan Pengaliran Sungai (JPS) untuk mengetatkan penguatkuasaan sungai dikawasan hutan simpan bagi mengelakkan bencana alam yang boleh mengancam keselamatan penduduk.

Katanya lagi, kerajaan menyeru semua pihak – baik syarikat perumahan mahupun individu –individu tentang risiko yang ada pada pembangunan lereng bukit dan risiko ini perlu diambil kira dalam mereka membuat keputusan membina atau menghuni rumah-rumah dilereng bukit.

Dalam Utusan Malaysia hari ini, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hamzah Zainuddin berkata kuasa melulus pembangunan atas cerun bukit bukanlah kuasa PBT tetapi kuasa kerajaan negeri. Kalau diteliti pembangunan yang ada di Bukit Antarabangsa berlaku di zaman siapa jadi Menteri Besar? Adakah Tan Sri Muhammad Muhd. Taib atau Datuk Seri Dr. Khir Toyo? Hamzah tujukan kenyataan itu kepada siapa?

Tidak mungkin kepada Khalid Ibrahim kerana sejak 8 Mac lalu, kerajaan baru telah membatalkan semua projek di cerun bukit. Adakah Hamzah perli Dr. Khir atau Muhammad kerana pembangunan begitu rancak di zaman mereka berdua jadi Menteri Besar.

Kenyataan Hamzah ini sudah tentu menyulitkannya untuk mendapatkan undi dari Selangor dalam pertandingan majlis tertinggi UMNO Mac depan kerana kenyataan itu menyinggung perasaan para penyokong Muhammad dan Dr. Khir.

Ahad, Disember 07, 2008

RTC PERLUKAN TIGA PENCALONAN LAGI


Mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Pengkalan Chepa semalam telah mencalonkan bekas Ketua Menteri Melaka, Rahim Tamby Chik (RTC) untuk jawatan Naib Presiden UMNO bersama Menteri Pengajian Tinggi, Khaled Nordin dan Menter Pelajaran, Hishamuddin Hussein.


Nampaknya RTC makin hampir mendapat kuota untuk bertanding Naib Presiden UMNO. Beliau perlukan tiga pencalonan lagi. Sehingga kini empat bahagian belum bermesyuarat iaitu Tenom, Larut, Tanah Merah dan Seremban.


Saya rasa RTC akan mendapat lesen untuk bertanding. Harganya untuk dapatkan tiga pencalonan lagi mungkin semakin mahal daripada empat bahagian yang belum bermesyuarat. Beliau kena dapatkah empat pencalonan penuh kot-kot ada lagi bahagian yang ditolak pencalonannya kerana digantung di saat-saat akhir.


Oleh itu RTC yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO pada tahun 1993 ini perlu bekerja kuat untuk dapatkan empat pencalonan ini. Jika beliau lepas, ini bermakna sembilan orang yang layak bertanding. Enam dari selatan, Hishamuddin, Syed Hamid Albar, Khaled, Dr. Rais Yatim, Isa Samad dan RTC.


Manakala seorang dari Pantai Timur, Dr. Jamaluddin Jarjis, seorang dari Utara iaitu Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan seorang dari Sabah, Shafie Afdak. Selamat maju jaya kepada RTC. Semoga beliau dapat empat lagi pencalonan.

Sabtu, Disember 06, 2008

PP DENGAN KT MEMANG TAK SAMA



Bakal Presiden UMNO yang baru, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, situasi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu (KT)pada 17 Januari depan adalah berbeza dengan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh (PP)sebelum ini.


Menurut Timbalan Perdana Menteri, PP melibatkan perebutan kerusi yang dipertahankan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), manakala KT melibatkan kerusi yang sebelum ini dimenangi oleh Barisan Nasional (BN).


"Ia berbeza... suasana berbeza dan keadaannya pun berbeza dan ini merupakan negeri yang ditadbir oleh BN,” kata beliau ketika menghadiri tahlil arwah Datuk Razali Ismail di Kuala Terengganu malam tadi.


Pilihan raya kecil PP memang tak sama dengan pilihan raya kecil KT. PKR menang kerusi PP pada pilihan raya umum 8 Mac lalu. Jadi bila PKR berjaya mempertahankan PP pada pilihan raya kecil 28 Ogos lalu, ia tidak menambah kerusi pembangkang. Begitu juga kerusi KT. Pada 8 Mac lalu, BN menang dengan majoriti 680 undi walaupun tiga kerusi DUN dimenangi oleh PAS. Jadi jika BN kalah, ini bermakna pilihan raya kecil KT tak sama dengan PP.


BN gagal menawan PP kerana itu kubu kuat PKR. Tapi jika BN gagal mempertahankan KT, ini bermakna BN kehilangan satu kerusi lagi di Dewan Rakyat, Jika BN salah letak calon, BN mungkin kalah.


Pada pilihan raya kecil PP, mesyuarat jawatankuasa UMNO Bahagian sebulat suara bersetuju memilih ketuanya, Datuk Jalil sebagai calon tetapi pucuk pimpinan tidak mengikut keputusan bahagian. BN pusat pilih Datuk Arif Shah Omar Shah. Akhirnya BN tewas.


Pada 9 Disember ini kemungkinan jawatan kuasa UMNO Bahagian Kuala Terengganu bermesyuarat. Mesyuarat itu dijangka memilih ketuanya, Datuk Wan Farid sebagai calon. Jika BN pusat tidak ikut keputusan mesyuarat bahagian seperti keputusan mesyuarat bahagian PP, ada kemungkinan BN tewas.


Oleh itu BN tidak ada pilihan lain selain dari meletakkan Wan Farid. Kelebihan Wan Farid ialah beliau tidak pernah bertanding dalam pilihan raya. Pada tahun 1999, Wan Mokhtar mahu beliau bertanding di parlimen Kemaman tetapi jawatankuasa UMNO Bahagian Kemaman menolaknya.


Pada tahun 2004, beliau tidak dipilih sebagai calon tetapi selepas itu dilantik Setiausaha Politik Pak Lah. Pada tahun 2008, sekali lagi beliau tidak dipilih sebagai calon oleh Idris Jusoh tetapi Pak Lah melantiknya sebagai senator dan Timbalan Menteri Dalam Negeri.


Dalam UMNO pula, pada tahun 1995, beliau adalah Ketua Penerangan Pemuda. Pada tahun 1998, beliau dipilih Ketua Pemuda UMNO Bahagian. Pada tahun 2000, beliau dipilih timbalan ketua bahagian dan pada tahun 2004, beliau mengalahkan Datuk Roslan Awang Chik bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian dan pada pemilihan UMNO bulan lepas, beliau menang tanpa bertanding.


Ini bermakna kepimpinan beliau sudah diterima oleh ahli-ahli UMNO Kuala Terengganu. Justru itu jika beliau diletakkan sebagai calon BN, peluang untuk BN menang adalah cerah.


Sudah sampai masanya bagi BN letak beliau sebagai calon pada hari penamaan calon 6 Januari depan. BN kena kerja kuat untuk pastikan kemenangannya dalam pilihan raya kecil 17 Januari 2009 ini.

Jumaat, Disember 05, 2008

HISHAMUDDIN PATUT LAKSANAKAN CADANGAN MUKHRIZ


Menteri Pelajaran, Hishamuddin Hussein berkata cadangan Mukhriz Mahathir supaya hanya satu sistem pendidikan yang berteraskan semangat kebangsaan diadakan di negara ini bukan berunsur perkauman.


Kalau begitu, lebih baik Hishamuddin cadangkannya dalam kabinet untuk diluluskan dan dilaksanakan.Kalau sekadar mengulas sahaja bahawa ia tiada unsur perkauman, tetapi ia tidak dilaksanakan, ia tidak ada makna.


Hishamuddin kata kenyataan Mukhriz sudah lama dibincangkan sejak merdeka lagi dan ia bukan isu baru. Tetapi katanya kerajaan perlu mengambil kira sejarah sistem pendidikan yang mempunyai dua aliran sekiranya mahu mewujudkan satu aliran pendidikan.


Semua pihak dah setuju supaya kerajaan wujudkan satu sistem pendidikan seperti Pengerusi Dewan Perhimpunan Melayu Kedah, Tan Sri Khalid Abdullah yang mengatakan tidak ada sebab untuk menolak cadangan itu. Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia dan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia telah menentang cadangan Mukhriz itu.


Setelah 51 tahun merdeka, baru kita tersedar bahawa sistem yang ada sekarang tidak menyelesaikan masalah perkauman. Sepatutnya ia diamalkan sebelum merdeka lagi. Adakah kita mahu gostan ke belakang pula? Ini yang menjadi masalahnya yang akhirnya polimik antara Melayu dan bukan Melayu akan menimbulkan ketegangan kaum.


Saya bukannya tidak setuju dengan cadangan ini tetapi saya rasa sudah terlambat kita mahu laksanakannya. Jika ia dilaksanakan sebelum merdeka, masalah ini sudah lama selesai. Inilah kelemahan pemimpin kita yang lebih banyak bertolak ansur dulu. Sebab itu kita lihat di Indonesia dan Thaliland tidak ada sekolah cina dan tamil.


Oleh kerana Hishamuddin kata isu ini bukan isu perkauman, maka sebagai menteri, anda perlu bentang cadangan ini di kabinet dan jika anda betul-betul seorang patriotik, laksanakanlah cadangan Mukhriz ini. Beranikah Hishamuddin?

Khamis, Disember 04, 2008

MAT SABU KALAH JIKA DILETAKKAN CALON


Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat pilih Mohamad Sabu sebagai calon PAS bagi pilihan raya kecil Kuala Terengganu. Kenapa pula Menteri Besar Kelantan sibuk-sibuk soal calon parlimen Kuala Terengganu.


Nik Aziz kata dia gemar Mat Sabu jadi calon. Dalam pilihan raya, kalau Nik Aziz gemar tapi pengundi tak gemar buat apa. Apa tujuan diadakan pilihan raya? Ia adalah untuk memudahkan rakyat dapat perkhidmatan ahli parlimen.


Tapi kalau Mat Sabu duduk di Pulau Pinang, macam mana dia nak jadi wakil rakyat Kuala Terengganu yang berkesan? Oleh itu biar pengundi yang gemar dan bukan Nik Aziz yang gemar pasal Nik Aziz tak boleh mengundi di Kuala Terengganu.

Biarlah Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mustafa Ali yang memikirkan siapa yang layak jadi calon Kuala Terengganu. BN pun sokong dengan kenyataan Nik Aziz kerana mudah bagi BN buat kerja kerana bila PAS letak orang luar, BN akan gunakan isu PAS tak ada calon tempatan.

Apa salahnya kalau PAS letak orang tempatan? Takkan semua orang tempatan sudah tak layak jadi calon PAS. Mustafa Ali boleh tanding kalau dia mahu pi parlimen. Atau letak saja bekas ADUN Batu Buruk, Wan Mutalib Wan Embong. Atau letak saja ADUN Batu Buruk, Syed Azman atau letak saja ADUN Ladang, Tengku Hassan Tengku Omar yang rapat dengan Anwar Ibrahim.

Pilihan raya kecil tak sama dengan pilihan raya umum kerana seluruh jentera dari seluruh negara akan berkampung di Kuala Terengganu. Kalau PAS letak sekali lagi Mohamad Sabu, alamat mudah menanglah BN walaupun PAS menang tiga kerusi DUN, Wakaf Mempelam, Ladang dan Batu Buruk. Jadi PAS kena letak orang baru untuk berdepan dengan calon BN yang kemungkinan besar Wan Farid Wan Salleh.

Wan Farid pun kena fikir dua kali nak letak jawatan Senator. Dia sudah senator dan timbalan menteri. Perlu apa letak jawatan. Lebih baik beri orang lain tanding yang mana belum tentu menang. Kalau dia tanding, dia kalah, dia hilang senator dan timbalan menteri. Sebaliknya kalau dia tidak tanding, dia masih kekal senator dan timbalan menteri. Jadi lebih baik dia beri peluang kepada orang lain untuk disembelih pada pilihan raya kecil ini.

Pilihan raya kecil ini memang menguji kewibawaan Ahmad Said sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu. Jika beliau boleh letak calon yang berkecuali, bukan orang Ahmad Said atau bukan orang Idris Jusoh, peluang untuk BN mempertahankan kerusi Kuala Terengganu lebih cerah. Oleh itu terpulanglah kepada BN untuk letak siapa sebagai calonnya.

Tetapi jika Mohamad Sabu dikekalkan sebagai calon, lebih mudah bagi BN untuk mempertahankan kerusi Kuala Terengganu. Kalau Mohamad Sabu jadi calon PAS, kemungkinan Wan Farid jadi calon BN. Wan Farid mudah telan Mohamad Sabu tetapi jika PAS letak calon tempatan, maka Wan Farid tidak semudah itu untuk mempertahankan kerusi Kuala Terengganu.

Rabu, Disember 03, 2008

KISAH SEORANG KAWAN


Ramli sudah lama mengenali Sarah. Sejak tujuh tahun lalu. Ramli mengenali Sarah melalui kawannya Salleh. Salleh adalah seorang ahli perniagaan. Begitu juga Sarah seorang ahli perniagaan wanita yang berjaya.


Oleh kerana isteri Salleh berada di Kangar, maka hubungannya dengan Sarah, seorang ibu tunggal anak satu agak rapat. Salleh pernah meluahkan perasaannya kepada Sarah untuk mengambilnya sebagai isteri kedua tetapi Sarah amat kuat dengan prinsipnya tidak mahu bermadu. Akhirnya mereka berdua kekal sebagai kawan.


Dalam pada itu Ramli yang bekerja di sebuah syarikat swasta menumpang tidur di pejabat Sarah yang terletak di atas pejabat Salleh di Cheras. Di bangunan yang sama, tingkat bawah menempatkan pejabat Salleh, manakala di tingkat satu menempatkan pejabat Sarah. Di tingkat dua pula menempatkan tempat penginapan kakitangan Sarah. Ramli turut tinggal dalam sebuah bilik di tingkat dua bangunan tersebut.


Dipendekkan cerita hubungan Salleh-Sarah-Ramli amat rapat sehinggalah akhirnya Sarah mengambil keputusan untuk bernikah dengan Rashid, seorang duda. Sarah meminta Ramli merahsiakan pernikahan itu daripada pengetahuan Salleh. Begitulah pesan Sarah kepada Ramli yang masih dipegang sampai hari ini.


Walaupun Sarah sudah mendapat suami baru, hubungan Sarah dengan Ramli tetap berterusan kerana dia anggap Ramli sebagai abang angkatnya. Suami barunya, Rashid dapat menerima kehadiran Ramli. Dia hanya cemburu kepada Salleh yang merupakan bekas teman lelaki isterinya.


Hubungan Ramli dengan Sarah amat rapat. Mereka tidak berahsia di antara mereka berdua. Ramli ada menyimpan rahsia Sarah dan Sarah ada menyimpan rahsia Ramli. Pendek kata hubungan mereka seperti seorang abang dengan adik. Kalau ada masalah, Ramli selalu mengadu masalahnya kepada Sarah. Begitu juga bila Sarah ada masalah, Ramlilah tempat dia mengadu.


Ramli yang duduk sendirian di Kuala Lumpur akhirnya berhenti kerja dan balik bekerja di kampungnya di Johor. Sejak itu Ramli putus hubungan dengan Sarah.


Awal tahun lepas Ramli bekerja semula di Kuala Lumpur. Kali ini dia menyewa sebuah bilik di Ampang yang berhampiran dengan pejabat barunya. Seperti biasa Ramli tidak bawa keluarganya pindah ke Kuala Lumpur.


Sejak Ramli pindah ke Kuala Lumpur, Ramli mencari semula Sarah dan Salleh. Salleh yang sudah berjaya dalam perniagaan barunya itu sudah boleh melupakan Sarah yang ada suami baru. Dengan suami baru, Sarah mempunyai seorang anak perempuan.


Oleh kerana terlalu sunyi di Kuala Lumpur, Ramli meminta Sarah memperkenalkan seorang janda untuk dijadikan isteri kedua. Pada satu malam Sarah mengatur perjumpaan Ramli dengan calon isteri kedua. Sarah memperkenalkan Fauziah kepadanya manakala kawan Ramli yang turut hadir pada malam itu diperkenalkan kepada Farah. Halim kurang berkenan dengan Farah yang berusia awal 40an sedangkan Fauziah berusia akhir 20an.


Pada malam itu Ramli tidak minat kepada Fauziah tetapi lebih minat kepada Farah. Apabila dia bersalam dengan Farah, dia terasa ada magnet. Tambahan pula senyuman Farah amat memikat. Ramli terus minta nombor handphone Farah dengan Halim. Halim yang kurang meminati Farah terus memberi nombor handphone Farah kepada Ramli.


Ramli terus melupakan Fauziah dan menghubungi Farah. Rupa-rupanya Ramli tidak bertepuk sebelah tangan. Kali pertama Farah terpandang wajah Ramli pada malam itu, dia teringat kepada bekas kekasihnya kerana wajah Ramli mirip wajah Datuk Samad yang pernah muncul dalam hidupnya.


Sejak itu Ramli menjalin hubungan dengan Farah. Seperti biasa mereka sering bergaduh dan kepada Sarahlah Ramli mengadu. Dalam keadaan marah, Ramli cakap bukan-bukan tentang Farah yang bukannya dia berniat memburuk-burukkan Farah.


Farah juga amat kuat prinsipnya tidak suka suami orang. Farah kata jika Ramli benar-benar mahu menikahinya ceraikanlah isterinya di kampug. Kebetulan pula hubungan Ramli dengan isterinya, Rashidah kurang ngam. Mereka pernah bercerai talak satu dua tahun lepas tetapi rujuk semula demi anak-anak.


Kali ini Ramli nekad mahu menceraikan Rashidah. Ini yang menimbulkan kemarahan Sarah. Ramli tidak sangka gurauannya dan kata-katanya sewaktu banyak kali berselisih faham dengan Farah dijadikan senjata oleh Sarah untuk memutuskan hubungan antara Ramli-Farah.


Sarah marah bila Ramli mahu menceraikan Rashidah kerana mahu nikah dengan Farah. Maka dia ceritakan semua kata-kata Ramli sewaktu bergaduh dulu dengan Farah kepada Farah yang menyebabkan akhirnya Farah membenci Ramli. Akhirnya hubungan Ramli putus dengan Farah gara-gara seorang kawan.

Nota kaki: Gambar di atas adalah gambar hiasan. Modelnya bernama Nurun Nadia Latif.

ZAID MUNGKIN SERTAI PKR


Akhirnya Zaid Ibrahim dipecat dari UMNO. Di zaman Dr. Mahathir, Anwar Ibrahim dipecat dari UMNO. Di zaman Pak Lah pula, Zaid Ibrahim dipecat dari UMNO. Bezanya ketika dipecat Anwar masih Timbalan Perdana Menteri sedangkan Zaid ketika dipecat bukan lagi seorang menteri.

Zaid mungkin dikenang sebagai satu-satunya menteri UMNO yang ada pendirian. Bila Syed Hamid Albar menggunakan ISA, maka beliau yang tidak bersetuju dengan tindakan itu telah meletakkan jawatan. Beliau tidak peduli dengan pangkat dan gaji yang besar kerana prinsip yang lebih dipentingkannya.

Zaid adalah bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu. Pada tahun 2004, beliau dihukum kerana terlibat dengan politik wang. Beliau merupakan pemimpin kedua UMNO yang sudah jalani hukuman dapat jawatan dalam UMNO. Pertama, Azim Zabidi yang dapat jawatan Bendahari UMNO. Zaid adalah orang kedua yang dapat jawatan. Bezanya Azim dapat jawatan dalam parti sedangkan Zaid dapat jawatan dalam kerajaan.

Pada pilihan raya umum lalu, Zaid tidak dipilih sebagai calon BN. BN pilih Setiausaha Politik Najib Tun Razak sebagai calon. Zaid dikatakan merajuk dan lari ke luar negara dan tidak tolong berkempen. Tapi oleh kerana dia baik dengan anak Pak Lah, Pak Lah lantiknya sebagai senator dan menteri yang jaga undang-undang. Itulah nasib Zaid yang begitu baik berbanding dengan nasib Fatmi yang kalah dalam pilihan raya.

Selepas meletakkan jawatan sebagai menteri, Zaid banyak kali menghadiri majlis parti pembangkang. Maka UMNO tidak ada pilihan lain selain dari memecatnya dari parti itu. Selepas ini dapatlah Zaid menyertai PKR kerana jiwanya mungkin lebih sesuai dalam PKR dari UMNO. Jika Zaid dipecat dari UMNO ketika beliau masih menteri, memang hebatlah Zaid. Tetapi Zaid dipecat dari UMNO, ketika beliau tidak ada jawatan lagi dalam kerajaan. Jadi sudah tentu pemecatan Zaid tidak memberi kesan kepada UMNO Kota Bharu kerana dia sendiri tidak cukup pencalonan untuk menentang Fatmi dalam pemilihan bahagian baru-baru ini.

Sebagai menteri, beliau tidak cukup pencalonan. Ini yang memalukan Zaid. Maka dengan tindakan Syed Hamid menggunakan ISA, memudahkan lagi Zaid meninggalkan jawatannya dalam kerajaan kerana dia dapati orang UMNO Kota Bharu tidak menghargainya sebagai menteri dari Kelantan.

Kita ucapkan selamat maju jaya kepada Zaid Ibrahim. Semoga beliau mendapat tempat dalam PKR Kelantan.

Selasa, Disember 02, 2008

CADANGAN MUKHRIZ TIDAK PRAKTIKAL


Cadangan ahli parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir supaya kerajaan mewujudkan hanya satu sistem pendidikan merupakan satu cadangan yang baik. Ramai tokoh akademik yang menyokong cadangan calon ketua pemuda itu seperti Prof. Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim yang menganggapnya sebagai sangat baik dan menyamai cadangan dalam Penyata Razak 1956.

Sudah tentu MCA, Gerakan dan MIC akan melenting dengan cadangan Mukhriz ini. Adakah ia sengaja dilontarkan kerana beliau mahu meraih undi dari para perwakilan pemuda.

Sepatutnya cadangan ini sudah lama dilaksanakan oleh ayahandanya sendiri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika beliau menjadi Perdana Menteri. Tetapi kenapa ketika itu Dr. Mahathir tidak melaksanakan cadangan yang ada dalam Penyata Razak 1956 itu?

Ini menunjukkan cadangan ini tidak praktikal kerana ia akan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan bukan Melayu terhadap kerajaan. Adakah kita mahu Peristiwa 13 Mei 1969 berulang?

Oleh itu cadangan yang baik ini seperti kata tokoh pendidik Tan Sri Dr. Rahman Arshad hanya dapat direalisasikan sekiranya terdapat keazaman politik di kalangah ahli-ahli politik di negara ini, tidak mungkin dilaksanakan kerana kerajaan tidak mahu merubah status quo yang ada.

Rakyat bukan Melayu di Malaysia sepatutnya bersyukur kerana kerajaan Malaysia masih membenarkan sekolah aliran Cina dan Tamil sedangkan negara jiran seperti Singapura dan Thailand tidak berbuat demikian.

Atau adakah Mukhriz melaungkan isu ini semata-mata untuk menang jawatan Ketua Pemuda semata-mata? Jika itu niatnya, lupakanlah. Tak ada makna menang jawatan ketua pemuda tetapi negara huru-hara kerana cadangan seperti ini jika dilaksanakan boleh menimbulkan kemarahan bukan Melayu.