Para pemimpin pakatan pembangkang di Selangor tidak perlu diiringi polis ketika menghadiri majlis-majlis dan tugasan luar kerana kehadiran pasukan itu hanya akan membataskan kemesraan mereka dengan rakyat.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, apabila seseorang pemimpin dikawal ketika sedang bertugas, rakyat tidak akan boleh menghampiri mereka kerana telah disekat oleh anggota polis yang bertugas sebagai pengiring.
Bagaimanapun menurutnya, beliau tidak berniat untuk menafikan usaha pasukan polis tetapi mahu anggota yang bertugas mengiringi pemimpin itu melakukan tugas lebih penting yang merupakan keutamaan mereka iaitu membanteras jenayah di negeri ini.
''Pada pandangan saya tidak perlu pemimpin di negeri ini diiringi polis memandangkan jumlah polis pun kurang.
''Kalau asyik menjaga Menteri Besar dan pemimpin-pemimpin lain mereka tidak boleh jaga masalah jenayah yang juga berleluasa di negara kita.
''Lagipun kita kerajaan yang telus dan sentiasa menghormati rakyat," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Jualan Selangor Ria 2008 di tempat letak kereta Stadium Melawati di sini semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda, Suhaimi Shafie agar pemimpin-pemimpin tertinggi di negeri ini perlu sentiasa diiringi anggota polis bagi menjamin keselamatan mereka ketika menghadiri majlis-majlis dan sebagainya.
Nampaknya Khalid sendiri tidak faham dengan tugas polis. Tugas polis memang untuk mengawal keselamatan para pemimpin termasuk pemimpin pembangkang yang jadi pemerintah negeri. Oleh itu tidak timbul soal mahu menyekat pemimpin bermesra dengan orang ramai.
Malah ada juga pemimpin BN yang tak guna polis walaupun dia ada body guard dari pasukan polis. Saya masih teringat bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad suka ke mana ke mari tanpa body guard. Bila ditanya, beliau jawab Allah sudah jaganya.
Ada polis menjaga pemimpin bukanlah untuk menyekat kebebasan pemimpin bergaul dengan rakyat tetapi ia bertujuan untuk mengelakkan sebarang kemungkinan. Alhamdulilah di Malaysia negara kita masih aman. Kalau di India, body guard pun tidak boleh dipercayai kerana Perdana Menteri India, Indira Ghani mati dibunuh body guardnya sendiri.