Rabu, Disember 17, 2008

STRINGER WATAN MENINGGAL DUNIA


Seorang stringer WATAN yang baru bersama WATAN, Syukree Hussain telah meninggal dunia di kediaman abangnya, Hadi Hussain di Bricksfields, Kuala Lumpur pada jam 9.30 pagi hari ini ketika sedang tidur. Beliau dipercayai meninggal dunia kerana penyakit jantung.



Jam 11.30, kami baru selesai mesyuarat, tiba-tiba seorang staff, Mastura Hassan masuk ke bilik saya beritahu tentang kematian Shukree. Saya tidak percaya dengan berita itu dan terus menelefon handphonenya dan abangnya, Hadi mengesahkan berita kematian tersebut.



Mastura menelefon arwah kerana arwah berjanji nak bawanya ke parlimen pada pagi ini. Sebab itu Mastura terkejut mendengar berita kematiannya sedangkan petang semalam dia sihat ketika datang ke pejabat.



Saya tidak dapat mengawal perasaan saya ketika menelefon abangnya dan saya menangis kuat sehingga mengejutkan staff yang lain. Saya terkilan kerana tidak menemuinya buat kali terakhir semalam ketika arwah datang ke pejabat kerana saya ke Putrajaya.


Biasanya sebelum dia mahu datang ke pejabat, dia akan call saya tanya sama ada saya ada di pejabat atau tidak, tetapi semalam dia datang tanpa call saya terlebih dahulu. Jika dia call saya, mungkin saya tangguhkan pemergian saya ke Putrajaya.



Agak pelik kerana arwah datang petang semalam memakai baju batik. Belum pernah dia pakai baju batik ke pejabat Watan. Dia bergurau dengan semua staff. Dia hulur press card lamanya kepada Fauzi sambil berkata, "Ambillah kad ini. Saya tak nak dah".



Rupa-rupanya perkataan tak nak ini merupakan kata-kata terakhir darinya yang amat berkesan bahawa dia tidak ada di dunia lagi esoknya. Kami sempat ke rumah abangnya di Jalan Rozario, Brickfields dan dari situ kami ke Hospital Universiti kerana jenazahnya sudah dibawa ke situ untuk dibedah siasat.



Shukree tidak lama bersama WATAN. Tapi banyak kali beliau dapat lead muka depan. Dia banyak kontak dengan pembangkang kerana dia adalah bekas wartawan Berita Keadilan. Jenazahnya akan dikebumikan di kampung kelahirannya, Pulau Serai di Dungun, Terengganu pada hari esok. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al Fatihah.