Selasa, Disember 02, 2008

CADANGAN MUKHRIZ TIDAK PRAKTIKAL


Cadangan ahli parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir supaya kerajaan mewujudkan hanya satu sistem pendidikan merupakan satu cadangan yang baik. Ramai tokoh akademik yang menyokong cadangan calon ketua pemuda itu seperti Prof. Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim yang menganggapnya sebagai sangat baik dan menyamai cadangan dalam Penyata Razak 1956.

Sudah tentu MCA, Gerakan dan MIC akan melenting dengan cadangan Mukhriz ini. Adakah ia sengaja dilontarkan kerana beliau mahu meraih undi dari para perwakilan pemuda.

Sepatutnya cadangan ini sudah lama dilaksanakan oleh ayahandanya sendiri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika beliau menjadi Perdana Menteri. Tetapi kenapa ketika itu Dr. Mahathir tidak melaksanakan cadangan yang ada dalam Penyata Razak 1956 itu?

Ini menunjukkan cadangan ini tidak praktikal kerana ia akan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan bukan Melayu terhadap kerajaan. Adakah kita mahu Peristiwa 13 Mei 1969 berulang?

Oleh itu cadangan yang baik ini seperti kata tokoh pendidik Tan Sri Dr. Rahman Arshad hanya dapat direalisasikan sekiranya terdapat keazaman politik di kalangah ahli-ahli politik di negara ini, tidak mungkin dilaksanakan kerana kerajaan tidak mahu merubah status quo yang ada.

Rakyat bukan Melayu di Malaysia sepatutnya bersyukur kerana kerajaan Malaysia masih membenarkan sekolah aliran Cina dan Tamil sedangkan negara jiran seperti Singapura dan Thailand tidak berbuat demikian.

Atau adakah Mukhriz melaungkan isu ini semata-mata untuk menang jawatan Ketua Pemuda semata-mata? Jika itu niatnya, lupakanlah. Tak ada makna menang jawatan ketua pemuda tetapi negara huru-hara kerana cadangan seperti ini jika dilaksanakan boleh menimbulkan kemarahan bukan Melayu.