Isnin, Disember 01, 2008

KAPAL BN SEMAKIN BOCOR


Apa malangnya nasib BN. Seorang pemimpin kanan MCA menyokong kenyataan Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP), Datuk M Kayveas yang mendesak kerajaan supaya meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sudah sampai masanya BN mengkaji semula kedudukan PPP dan MCA dalam BN. BN kini seolah-olah kapal yang mahu tenggelam. Dapatlkah Pak Lah pertahankan kapal BN yang mula bocor ini?



Kayveas juga dilaporkan berkata, PPP akan keluar dari Barisan Nasional (BN) sekiranya kerajaan tidak membuat sebarang pindaan yang bersesuaian terhadap ISA sebelum Pilihanraya umum akan datang.



Dalam satu kenyataan hari ini, anggota jawatankuasa pusat MCA, Wong Nai Chee berkata beliau bersetuju dengan desakan Kayveas supaya kerajaan meminda ISA.



"Kerajaan perlu memindan peruntukan-peruntukan dalam ISA yang tidak sesuai dan yang sudah ketinggalan zaman, bagi mengelak ISA disalahguna oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, dan memulihkan keyakinan terhadap kerajaan," tegasnya.



Wong berpendapat, ISA perlu dipinda bagi menyediakan lebih banyak 'semak dan imbang' untuk dijalankan oleh pihak mahkamah.



"Ini dapat memastikan semakan kehakiman boleh dijalankan untuk menyiasat alasan-alasan tahanan dibuat dan sama ada alasan berkenaan mengikut semangat Akta tersebut," tambahnya.



Bagaimanapun, Wong yang juga pengerusi biro parlimen dan perundangan Pemuda MCA katanya, aspek pencegahan dalam ISA masih penting dalam mengekang keganasan
Beliau merujuk kepada serangan pengganas di Mumbai, India yang dilaporkan telah mengorbankan 195 nyawa dan 295 lagi cedera.



Wong berkata, beliau memahami kebimbangan yang disuarakan oleh Kayvaeas yang rakyat Malaysia memandang berat isu-isu berkaitan ISA dan jika BN tidak membuat pembaharuan, rakyat akan hilang keyakinan terhadap gabungan tersebut.



"Malalui saluran BN dan juga wakil kita di Kabinet, MCA akan terus mendesak kerajaan supaya meminda ISA. Parti juga berharap semua parti komponen BN berkerjasama dengan MCA, untuk mendesak ISA dipinda bagi mencegahnya daripada disalahgunakan," tegasnya.



Dalam kenyataannya semalam, Kayveas dilaporkan berkata, kerajaan seharusnya berdepan dengan gesaan masyarakat supaya membuat pindaan ke atas ISA dalam senario politik dan sosial masa ini dengan ramai berpendapat akta tersebut telah disalahgunakan untuk menyekat kebebasan bersuara.



Bagaimanapun, menurut beliau, pihaknya masih akur kepada hakikat bahawa kewujudan ISA pada sesetengah keadaan dan masa telah membantu masyarakat berbilang kaum di negara ini untuk hidup dengan aman, bersatu dan selamat.



''PPP bukan meminta supaya ISA dihapuskan, tetapi meminta kerajaan membuat pindaan yang realistik dan bersesuaian dengan keadaan semasa.



''Kami tidak ingin melihat keadaan yang mana orang ramai beranggapan bahawa ISA merupakan 'senjata' alternatif kerajaan untuk menghapuskan musuh politiknya,'' katanya selepas merasmikan persidangan Perwakilan Pemuda dan Wanita PPP di ibunegara semalam.