Lembaga Disiplin UMNO wajar menghukum bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang hadir pada perasmian Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Shah Alam, Selangor dua hari lepas.
Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, perbuatan tersebut jelas melanggar etika parti dan bertentangan dengan semangat yang diamalkan oleh Barisan Nasional (BN).
“Kita bukan tidak berfikiran terbuka, tetapi tindak tanduk beliau tidak ikut prosedur disiplin parti, ini satu perbuatan yang tidak boleh dimaafkan kerana melanggar disiplin parti,” katanya kepada pemberita pada Majlis Bersama Media di Sutera Harbour di Kota Kinabalu semalam.
Muhyiddin mengulas tindakan yang perlu dikenakan terhadap Zaid yang memberi alasan hadir ke kongres PKR itu untuk mendengar isu yang diperkatakan pucuk pimpinan dan perwakilan PKR mengenai keadaan semasa di negara ini.
Pada sidang akhbar selepas kongres itu, Zaid ketika ditanya sama ada akan menyertai PKR, beliau tidak menolak kemungkinan menyertai parti pembangkang itu pada masa depan.
Zaid meletakkan jawatan Kabinet selepas mendapat kritikan pelbagai pihak khususnya dalam BN terhadap kenyataannya yang membantah penahanan seorang wartawan, Ahli Parlimen dan penulis blog di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), 12 September lalu.
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata, Zaid perlu menulis surat tunjuk sebab kepada kepimpinan tertinggi UMNO untuk menjelaskan sebab utama beliau menghadiri kongres tersebut.
Beliau berkata, Zaid juga belum lagi menghantar surat tunjuk sebab atas kesalahan membantah ISA dan kini, beliau membuat satu lagi kesalahan yang melanggar etika parti.
Jelas Muhyiddin, perbuatan berkenaan secara tidak langsung memberi sokongan moral kepada parti pembangkang tersebut.
Mengulas cadangan beliau agar pemilihan pemimpin parti dibuka kepada kira-kira 100,000 pemimpin cawangan yang menghadiri persidangan bahagian masing-masing dan bukannya terhad kepada 2,500 perwakilan pada perhimpunan agung parti itu nanti, Muhyiddin berkata, ia merupakan satu cara untuk kembali kepada asas demokrasi.
Muhyiddin berkata, kaedah itu dapat membanteras politik wang di samping menghapuskan sistem kuota dalam UMNO dan secara tidak langsung sistem tersebut menyamai pemilihan calon seperti mana pilihan raya.
Apabila seorang bekas menteri UMNO menghadiri majlis PKR, ia memang sesuatu yang memalukan. Oleh itu UMNO perlu mengambil tindakan tegas kepada Zaid supaya ia memberi pengajaran kepada semua ahli UMNO.
Zaid pula tidak perlu menunggu dipecat dari UMNO. Beliau perlu buat pendirian segera untuk menyertai PKR. Sekurang-kurangnya beliau boleh dilantik Pengerusi PKR Kelantan. Alangkah anehnya bila Zaid menyertai PKR kerana dialah satu-satunya peguam Melayu yang menyaman kerajaan Kelantan ketika PAS membentangkan enakmen hukum hudud di Dewan Undangan Negeri Kelantan tidak lama dahulu. Bagaimana pula Zaid mahu duduk semeja dengan Nik Aziz dalam mesyuarat Pakatan Rakyat Kelantan pulak?