Rabu, Disember 03, 2008

KISAH SEORANG KAWAN


Ramli sudah lama mengenali Sarah. Sejak tujuh tahun lalu. Ramli mengenali Sarah melalui kawannya Salleh. Salleh adalah seorang ahli perniagaan. Begitu juga Sarah seorang ahli perniagaan wanita yang berjaya.


Oleh kerana isteri Salleh berada di Kangar, maka hubungannya dengan Sarah, seorang ibu tunggal anak satu agak rapat. Salleh pernah meluahkan perasaannya kepada Sarah untuk mengambilnya sebagai isteri kedua tetapi Sarah amat kuat dengan prinsipnya tidak mahu bermadu. Akhirnya mereka berdua kekal sebagai kawan.


Dalam pada itu Ramli yang bekerja di sebuah syarikat swasta menumpang tidur di pejabat Sarah yang terletak di atas pejabat Salleh di Cheras. Di bangunan yang sama, tingkat bawah menempatkan pejabat Salleh, manakala di tingkat satu menempatkan pejabat Sarah. Di tingkat dua pula menempatkan tempat penginapan kakitangan Sarah. Ramli turut tinggal dalam sebuah bilik di tingkat dua bangunan tersebut.


Dipendekkan cerita hubungan Salleh-Sarah-Ramli amat rapat sehinggalah akhirnya Sarah mengambil keputusan untuk bernikah dengan Rashid, seorang duda. Sarah meminta Ramli merahsiakan pernikahan itu daripada pengetahuan Salleh. Begitulah pesan Sarah kepada Ramli yang masih dipegang sampai hari ini.


Walaupun Sarah sudah mendapat suami baru, hubungan Sarah dengan Ramli tetap berterusan kerana dia anggap Ramli sebagai abang angkatnya. Suami barunya, Rashid dapat menerima kehadiran Ramli. Dia hanya cemburu kepada Salleh yang merupakan bekas teman lelaki isterinya.


Hubungan Ramli dengan Sarah amat rapat. Mereka tidak berahsia di antara mereka berdua. Ramli ada menyimpan rahsia Sarah dan Sarah ada menyimpan rahsia Ramli. Pendek kata hubungan mereka seperti seorang abang dengan adik. Kalau ada masalah, Ramli selalu mengadu masalahnya kepada Sarah. Begitu juga bila Sarah ada masalah, Ramlilah tempat dia mengadu.


Ramli yang duduk sendirian di Kuala Lumpur akhirnya berhenti kerja dan balik bekerja di kampungnya di Johor. Sejak itu Ramli putus hubungan dengan Sarah.


Awal tahun lepas Ramli bekerja semula di Kuala Lumpur. Kali ini dia menyewa sebuah bilik di Ampang yang berhampiran dengan pejabat barunya. Seperti biasa Ramli tidak bawa keluarganya pindah ke Kuala Lumpur.


Sejak Ramli pindah ke Kuala Lumpur, Ramli mencari semula Sarah dan Salleh. Salleh yang sudah berjaya dalam perniagaan barunya itu sudah boleh melupakan Sarah yang ada suami baru. Dengan suami baru, Sarah mempunyai seorang anak perempuan.


Oleh kerana terlalu sunyi di Kuala Lumpur, Ramli meminta Sarah memperkenalkan seorang janda untuk dijadikan isteri kedua. Pada satu malam Sarah mengatur perjumpaan Ramli dengan calon isteri kedua. Sarah memperkenalkan Fauziah kepadanya manakala kawan Ramli yang turut hadir pada malam itu diperkenalkan kepada Farah. Halim kurang berkenan dengan Farah yang berusia awal 40an sedangkan Fauziah berusia akhir 20an.


Pada malam itu Ramli tidak minat kepada Fauziah tetapi lebih minat kepada Farah. Apabila dia bersalam dengan Farah, dia terasa ada magnet. Tambahan pula senyuman Farah amat memikat. Ramli terus minta nombor handphone Farah dengan Halim. Halim yang kurang meminati Farah terus memberi nombor handphone Farah kepada Ramli.


Ramli terus melupakan Fauziah dan menghubungi Farah. Rupa-rupanya Ramli tidak bertepuk sebelah tangan. Kali pertama Farah terpandang wajah Ramli pada malam itu, dia teringat kepada bekas kekasihnya kerana wajah Ramli mirip wajah Datuk Samad yang pernah muncul dalam hidupnya.


Sejak itu Ramli menjalin hubungan dengan Farah. Seperti biasa mereka sering bergaduh dan kepada Sarahlah Ramli mengadu. Dalam keadaan marah, Ramli cakap bukan-bukan tentang Farah yang bukannya dia berniat memburuk-burukkan Farah.


Farah juga amat kuat prinsipnya tidak suka suami orang. Farah kata jika Ramli benar-benar mahu menikahinya ceraikanlah isterinya di kampug. Kebetulan pula hubungan Ramli dengan isterinya, Rashidah kurang ngam. Mereka pernah bercerai talak satu dua tahun lepas tetapi rujuk semula demi anak-anak.


Kali ini Ramli nekad mahu menceraikan Rashidah. Ini yang menimbulkan kemarahan Sarah. Ramli tidak sangka gurauannya dan kata-katanya sewaktu banyak kali berselisih faham dengan Farah dijadikan senjata oleh Sarah untuk memutuskan hubungan antara Ramli-Farah.


Sarah marah bila Ramli mahu menceraikan Rashidah kerana mahu nikah dengan Farah. Maka dia ceritakan semua kata-kata Ramli sewaktu bergaduh dulu dengan Farah kepada Farah yang menyebabkan akhirnya Farah membenci Ramli. Akhirnya hubungan Ramli putus dengan Farah gara-gara seorang kawan.

Nota kaki: Gambar di atas adalah gambar hiasan. Modelnya bernama Nurun Nadia Latif.