Selasa, Disember 09, 2008

HAMZAH PERLI SIAPA?


Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga mangsa kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Dalam kenyataan media, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim turut mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada DYMM Sultan Selangor atas keperihatinan Tuanku untuk hadir memberi sokongan semalam.

Beliau juga tidak lupa juga mengucapkan terima kasih kepada barisan pimpinan tinggi tertinggi negara terutama Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sempat meluangkan waktu untuk turut hadir melawat tempat kejadian.

Katanya, kerajaan negeri juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha menyelamat yang sedang giat dijalankan termasuk anggota polis, tentera, bomba, pasukan penyelemat SMART dan pasukan dari Majlis Perbandaran Ampang Jaya. Bantuan dari sukarelewan dari pelbagai badan bukan kerajaan NGO dan Bulan Sabit Merah juga amat dihargai.

Sejak semalam Kerajaan Negeri Selangor telah menyediakan penempatan sementara di Sek Keb Hulu Klang dan Sek Men Keb Malawati dan memastikan segala kelengkapan bantuan asas seperti selimut, tilam, pakaian dan makanan telah disediakan. Kerajaan juga akan sentiasa memantau keadaan di penempatan semula bagi memastikan semua berjalan lancar.

Tan Sri Khalid berkata Kerajaan Negeri Selangor bukan sahaja sedih dengan apa yang berlaku, tetapi lebih merasakan ianya satu pengajaran penting untuk menujukkan betapa pentingnya pemantauan terhadap pembangunan perumahan di cerun bukit (hill slope development). Bahkan larangan pembangunan cerun bukit kelas 3 dan adalah antara polisi awal yang dibuat Kerajaan Pakatan Rakyat setelah mengambil alih pemerintahan daripada Kerajaan terdahulu.

Untuk pengetahuan, buat masa ini terdapat lebih kurang 90 projek yang melibatkan pembangunan di cerun bukit yang telah diluluskan oleh Kerajaan terdahulu. Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Rakyat akan sentiasa memantau projek-projek ini dengan teliti supaya syarikat memenuhi semua syarat–syarat bagi memastikan rumah yang akan diduduki selamat. Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan setiap syarikat perumahan memberi laporan bulanan berkaitan setiap projek yang dijalankan. Perlu ditegaskan disini, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak mengkaji semula mana-mana projek jika didapati ada bukti bahawa alam sekitar dan keselamatan penduduk disekitar telah terancam akibat projek. Projek-projek di kawasan sensitif kepada bencana tanah runtuh akan diberi syarat-syarat yang lebih ketat.

“Kerajaan Negeri berharap semua pihak terutama syarikat perumahan swasta akan bersama-sama dalam hal ini. Banyak aduan telah diterima oleh rakyat dimana terdapat beberapa syarikat swasta yang telah mengabaikan tanggungjawab menjaga dan memelihara cerun bukit di kawasan perumahan yang telah dibangunkan. Sebagai langkah pro-aktif, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak menyenarai hitam syarikat yang lalai menjalankan tanggungjawab mereka,” tegas beliau.

Tan Sri Khalid menambah oleh kerana bukan hanya cerun bukit yang sensitif kepada kejadian tanah runtuh, Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan Jabatan Pengaliran Sungai (JPS) untuk mengetatkan penguatkuasaan sungai dikawasan hutan simpan bagi mengelakkan bencana alam yang boleh mengancam keselamatan penduduk.

Katanya lagi, kerajaan menyeru semua pihak – baik syarikat perumahan mahupun individu –individu tentang risiko yang ada pada pembangunan lereng bukit dan risiko ini perlu diambil kira dalam mereka membuat keputusan membina atau menghuni rumah-rumah dilereng bukit.

Dalam Utusan Malaysia hari ini, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hamzah Zainuddin berkata kuasa melulus pembangunan atas cerun bukit bukanlah kuasa PBT tetapi kuasa kerajaan negeri. Kalau diteliti pembangunan yang ada di Bukit Antarabangsa berlaku di zaman siapa jadi Menteri Besar? Adakah Tan Sri Muhammad Muhd. Taib atau Datuk Seri Dr. Khir Toyo? Hamzah tujukan kenyataan itu kepada siapa?

Tidak mungkin kepada Khalid Ibrahim kerana sejak 8 Mac lalu, kerajaan baru telah membatalkan semua projek di cerun bukit. Adakah Hamzah perli Dr. Khir atau Muhammad kerana pembangunan begitu rancak di zaman mereka berdua jadi Menteri Besar.

Kenyataan Hamzah ini sudah tentu menyulitkannya untuk mendapatkan undi dari Selangor dalam pertandingan majlis tertinggi UMNO Mac depan kerana kenyataan itu menyinggung perasaan para penyokong Muhammad dan Dr. Khir.