Sabtu, Jun 23, 2018

MASA BAGI ANGGOTA UMNO BANGUNKAN SEMULA PARTI

SEREMBAN, 22 Jun (Bernama) -- Kini adalah masanya bagi anggota-anggota UMNO memberi tumpuan kepada proses membangunkan semula parti itu memandangkan ia tidak lagi mentadbir negara, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata dengan UMNO kini tidak lagi dibebani dengan tanggungjawab besar itu, ia membolehkan usaha-usaha dilakukan untuk membangkitkan semangat lebih 3 juta anggotanya bagi membentuk semula parti itu.

Katanya usaha itu mudah dilakukan kini setelah kekeruhan akibat isu negatif dan fitnah terhadap parti sudah berakhir.

"Ketika ini, tiada lagi isu-isu sensitif yang dikaitkan dengan UMNO yang telah menyebabkan kita kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14. Ibaratnya keruh di hulu sudah tiada, kini di hilir kita mendapat air jernih, " katanya pada sidang media selepas majlis Aidilfitri dan sesi pengenalan calon-calon bagi Pemilihan UMNO 2018-2021 di sini, hari ini.

Turut hadir Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Jumaat, Jun 22, 2018

UMNO PERLU PEMBERSIHAN KATA KU LI



SHAH ALAM, 22 Jun (Bernama) -- UMNO perlu melakukan 'pembersihan' dan 'pembaikan' seperti dituntut masyarakat bagi menebus semula integriti parti yang dilihat semakin pudar dalam perjuangannya, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Veteran UMNO berusia 81 tahun itu berkata antara 'pembersihan' yang mesti diutamakan adalah dari aspek lagak kepimpinannya berikutan sebelum ini masyarakat melabel pemimpin parti berkenaan sebagai sombong, melampau elitis malah ada yang sukar dibuat janji temu.

Menyatakan perkara berkenaan antara pendekatan yang akan diketengahkannya jika dipilih sebagai presiden UMNO pada pemilihan parti 30 Jun ini, beliau berkata langkah tersebut juga boleh menjadi 'penawar' kepada persepsi masyarakat terhadap parti itu.

"Kita mahu pastikan polisi parti dapat menyembuhkan semula UMNO khususnya dari aspek integriti yang sebelum ini dilihat kurang disukai masyarakat.

"(Anggota dan pemimpin UMNO) cuba jaga diri, jangan terlibat dalam perkara-perkara yang tidak disukai rakyat seperti rasuah dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra beliau bersama-sama pemimpin dan wakil UMNO Selangor, di sini, malam tadi.

Sementara itu, ahli jawatankuasa komunikasi PH, Khairuddin Abu Hassan mencabar calon Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersumpah laknat di mana mana masjid kerana Zahid kata beliau tidak melutut menemui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad

" Dia sanggup menipu dan berbohong semata-mata untuk memenangi jawatan presiden umno yang sudah tidak relevan itu," katanya dalam posting Facebook.

Beliau mendakwa Zahid Hamidi yang memohon untuk berjumpa dengan Dr Mahathir Mohamad

"Atas dasar ini saya pun bertindak menemukan Zahid dengan Perdana Menteri," katanya.

Dr Mahathir memang berat hati untuk berjumpa dengan Zahid Hamidi ini kerana beliau berpotensi untuk putar-belitkan fakta sebenar

"Perdana Menteri sama sekali tidak menjemput Zahid Hamidi tetapi mantan Timbalan Perdana Menteri ini yang merayu untuk berjumpa dengan Dr Mahathir," katanya lagi.

Katanya, kenyataan Zahid Hamidi yang menyatakan Tun Dr Mahathir menyuruh ahli-ahli parlimen Umno melompat masuk PPBM amat tidak berasas sama sekali

Katanya lagi, dalam keadaan 'desperado' Zahid sanggup berbohong demi untuk nak selamatkan peluang beliau bagi.memenangi kerusi Presiden Umno

Khamis, Jun 21, 2018

KEENGGANAN ZAHID BERDEBAT BUKTI UMNO TAK AKAN BERUBAH DI BAWAH ZAHID



TEMERLOH: AHMAD Zahid Hamidi membayangkan beliau tidak berminat untuk berdebat dengan calon presiden Umno, seperti yang diusulkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah menjelang pemilihan parti itu hujung bulan ini.

"Tidak apalah… itu cadangan daripada dia (Tengku Razaleigh)," katanya, seperti dipetik Bernama.

Razaleigh malam tadi berkata, beliau sedia untuk berdebat dengan calon presiden bagi menjelaskan kenapa beliau masuk bertanding pemilihan jawatan tertinggi parti itu.

"Kalau saya berani membuat penjelasan, yang lain-lain pun patut ikut serta dan sanggup membuat penjelasan yang sama," katanya, merujuk kepada Zahid dan seorang lagi calon presiden, Khairy Jamaluddin.


Khairy sementara itu berkata beliau sedia menyahut "cabaran" debat Razaleigh itu.

Dalam pada itu, Menteri Penerangan Gobind Singh Deo berkata, Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak keberatan untuk menyiarkan debat calon presiden Umno itu dan terserah kepada calon-calon yang terlibat.

Zahid ditemui wartawan pada majlis jamuan hari raya Aidilfitri anjuran Umno Pahang di Temerloh, hari ini, yang berlangsung sempena satu pertemuan tertutup dengan pimpinan Umno negeri itu.

Pimpinan Umno negeri diketuai pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang, Adnan Yaakob dan timbalannya Mohd Sharkar Shamsuddin serta barisan kepimpinan Umno negeri.

Pertemuan itu disertai dua calon timbalan presiden, Mohamad Hasan dan Annuar Musa, serta empat daripada tujuh calon naib presiden iaitu Ismail Sabri Yaakob, Mahdzir Khalid, Tajuddin Abdul Rahman, Johari Abdul Ghani, dan calon ketua wanita, Noraini Ahmad.


Menurut Zahid, Pahang adalah destinasi pertamanya berkempen dan akan diikuti negeri-negeri lain sebelum pemilihan pada 30 Jun ini.

"Ibu pejabat telah mengaturkan pertemuan semua calon daripada semua peringkat untuk pergi ke negeri-negeri bagi memberi peluang kepada calon untuk memperkenalkan diri… ini juga membolehkan mereka mengenali perwakilan seluruh negara," katanya

Ulasan saya, keengganan Zahid berdebat dengan Ku Li dan Khairy membuktikan bahawa Umno tidak akan berubah jika Zahid mengetuai parti tersebut.

Dalam era sekarang, semua calon presiden, calon timbalan presiden, calon naib presiden kena berani berdebat melontarkan visi mereka kepada para perwakilan. Biar perwakilan menilai kehebatan mereka berhujah dan mengemukakan idea untuk masa depan Umno.

Oleh itu para perwakilan hendaklah memilih calon presiden yang berani berdebat bukan sahaja dengan orang dalaman malah berani berdebat dengan orang luar.

Rabu, Jun 20, 2018

APA HAIRAN MB BAHARU ASAL JOHOR KERANA AZMIN PUN LAHIR DI SINGAPURA

SHAH ALAM, 19 Jun (Bernama) -- Menteri Besar Selangor yang baharu Amirudin Shari hari ini berikrar akan meneruskan kecemerlangan Selangor sebagai negeri pintar serantau di bawah pimpinannya.

Amirudin berkata beliau berazam melaksanakan gerak kerja berpasukan dalam mentadbir Selangor bagi memastikan kesinambungan program dan dasar kerajaan yang dirangka sebelum ini berjalan lancar.

"Oleh itu saya menyeru anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), anggota perkhidmatan awam negeri, pihak korporat dan swasta, parti-parti politik serta rakyat Selangor bersama saya mengembleng tenaga memajukan negeri Selangor ini.

"Saya juga akan turun padang bagi memastikan semua projek yang disusun berjalan dengan lancar dan berjaya," katanya kepada pemberita di majlis jamuan Aidilfitri bersama menteri besar di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Izham Hashim dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari

Ulasan saya, tahniah kepada MB Selangor yang baharu walaupun Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kurang senang dengan calon Azmin Ali itu. Soal MB baharu orang Johor tidak timbul kerana beliau sudah lama menetap di Selangor. Lagipun MB terdahulu, Azmin Ali dilahirkan di Singapura dan bukannya anak jati Selangor.

Selasa, Jun 19, 2018

DR MAHATHIR TERUSKAN PROJEK JACK MA



PUTRAJAYA, 18 Jun (Bernama) -- Pengasas dan pengerusi eksekutif Alibaba Group Jack Ma, yang mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, terkejut dengan pengetahuan Perdana Menteri tentang teknologi.

"Saya terperanjat dengan pengetahuan beliau tentang teknologi," kata Ma kepada Bernama selepas pertemuan itu yang berlangsung di Pejabat Perdana Menteri di sini.

Menurut beliau, pada pertemuan selama sejam bermula pada kira-kira pukul 9 pagi itu, mereka berkongsi banyak idea dan berbincang tentang cara untuk membebaskan lebih banyak rakyat Malaysia daripada belenggu kemiskinan serta memberi bantuan kepada lebih banyak golongan muda dan perniagaan kecil.

"Pertemuan ini sungguh bermanfaat," kata Ma, yang berada di ibu negara untuk merasmikan sebuah pejabat Alibaba di Bangsar South, Kuala Lumpur, lewat hari ini.

Ma berkunjung ke Kuala Lumpur tahun lepas untuk melancarkan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) pertama dunia yang ditubuhkan bagi merangsang pertumbuhan e-dagang melalui penyediaan platform serba canggih bagi syarikat dan perusahaan kecil dan sederhana (SME) untuk menjalankan perniagaan dan perkhidmatan masing-masing.

Ma dilaporkan turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada majlis jamuan tidak rasmi malam tadi.

Laporan media menyebut bahawa Ma sebenarnya berhasrat mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir awal bulan ini, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana Dr Mahathir mahu memberi fokus terhadap urusan menyusun kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baru ditubuh.

Kerajaan Barisan Nasional (BN), yang mentadbir negara sebelum ini, melantik Ma sebagai penasihat ekonomi digital kerajaan.

Pertemuan Ma dan Dr Mahathir diadakan ketika kerajaan PH berikrar untuk mengkaji semula beberapa projek yang diperkenalkan kerajaan BN sebelum ini dengan sokongan Beijing kerana kerajaan baharu lebih berminat mengadakan kerjasama ekonomi dengan Jepun.

Bagaimanapun, Perdana Menteri dilaporkan berkata projek DFTZ akan diteruskan.

-- BERNAMA


Isnin, Jun 18, 2018

UMNO MASUK KE SABAH SELEPAS PBS KELUAR DARI BN, ADAKAH UMNO MASUK SARAWAK SELEPAS PBB KELUAR BN?

KUCHING, 18 Jun (Bernama) -- UMNO boleh sahaja mengembangkan sayapnya ke Sarawak tetapi belum pasti parti dari Semenanjung itu akan diterima oleh rakyat Sarawak, kata seorang penganalisis politik.

Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, Pensyarah Kanan, Universiti Malaya berkata kewujudan UMNO di Sarawak ditolak ketika zaman pemerintahan bekas Ketua Menteri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, Tan Sri Adenan Satem dan kini Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Malah, katanya sudah ada 'gentleman agreement' antara era Taib dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak membenarkan UMNO bertapak di Sarawak.

Katanya, ketika itu ramai pengundi luar bandar tidak dapat memisahkan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) kerana yang disokong mereka bukan parti tetapi lebih kepada logo BN.

Bagaimanapun, katanya landskap politik sudah berubah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) apabila Dr Mahathir sudah berada di pihak Pakatan Harapan, manakala Taib tidak lagi aktif dalam bidang politik.

Ahad, Jun 17, 2018

ANTARA ZAHID, KU LI DAN KHAIRY SIAPA CALON PRESIDEN UMNO YANG PALING BERSIH?

KUALA LUMPUR: Hari ini Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin mengumumkan bertanding jawatan Presiden Umno pula. Beliau tidak jadi bertanding jawatan naib presiden kerana yakin ahli Umno di seluruh negara mahu orang muda mengetuai Umno.

Nampaknya Khairy sudah masuk perangkap Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu beliau menjadi Presiden Umno. Semalam bekas naib presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) bersetuju menawarkan diri sebagai calon Presiden Umno.

Beliau bukannya menentang pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana jawatan itu kosong selepas Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan selepas PRU bulan lepas. Maka sama ada Ku Li atau Khairy bukannya menentang Zahid sebaliknya mereka merebut jawatan yang kosong bersama Zahid.

Para perwakilan perlu bijak memilih Presiden Umno yang baharu selepas BN gagal mempertahankan kerajaan pusat. Memilih Zahid bermakna mengekalkan pemimpin lama yang bersekongkol dengan Najib. Jika Zahid menang kerajaan Pakatan harapan (PH) mungkin mengorek mana mana salah laku Zahid. Apatah lagi heboh adiknya dapat kontrak membekalkan buruh Bangladesh. Jika kes ini dibawa oleh PH, maka tercemarlah nama Presiden Umno.

Begitu juga jika Khairy jadi Presiden Umno yang baharu, maka banyak kes di tingkat empat dahulu akan dikorek oleh PH. Maka Umno memerlukan Presiden Umno yang bersih tiada ada skandal rasuah dan sebagainya. Sudah tentu Ku Li yang paling bersih di antarab tiga calon ini.

Untuk berdepan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, perwakilan Umno perlu pilih Ku Li sebagai presiden yang baharu. Hanya Ku Li yang setaraf dengan Dr Mahathir. Beliau nyaris menang pada pemilihan 1987 cuma kalah 43 undi. Beliau dikatakan menubuhkan Semangat 46. Sebaliknya Dr Mahathir selepas menubuhkan Umno (baru) pada tahun 1988 enggan menerima Ku Li dan Tun Musa Hitam sebagai ahli Umno (baru). Maka Ku Li tiada pilihan terpaksa mengetuai Parti Semangat 46.

Beliau kembali kepada rakyat untuk menghidupkan Umno lalu. Dua kali rakyat tolak Semangat 46 dalam PRU 1990 dan 1995, maka beliau bubarkan Semangat 46 dan kembali kepada Umno kerana rakyat sudah beri jawapan melalui PRU bahawa mereka tidak berminat untuk memulihkan semula Umno asal yang ditubuhkan pada tahun 1946.

Para perwakilan hendaklah berfikir secara waras. Untuk memulihkan semula Umno perlu seorang pemimpin yang ada track record bukan sahaja di Asia Tenggara malah di dunia. Kalau dibandingkan di antara Zahid dengan Ku Li, siapalah Zahid. Maka pilihlah Presiden yang boleh mengangkat semula martabat Umno ke persada dunia. Jangan pilih kerana wang atau terhutang budi kepada Zahid yang pernah beri projek kepada kita. Saya bukannya tidak sayang kepada Zahid tetapi saya lebih sayang kepada masa depan Umno. Masakan perwakilan lupa bagaimana ucapan Zahid dalam Bahasa Inggeris di Bangsa Bangsa Bersatu diperlekehkan rakyat. Maka perwakilan Umno perlu berani membuat perubahan. Jangan undi kerana kawan tetapi undi kerana mahu lihat Umno dihormati semula di seluruh dunia.

Sabtu, Jun 16, 2018

ANAK TERENGGANU KETUAI SOLAT AIDILFITRI DI SYDNEY

KUALA TERENGGANU, 15 Jun (Bernama) -- Seorang anak Terengganu bakal mengetuai solat sunat Aidilfitri di Masjid Darul Imaan Sydney, Australia.

Mohd Zaki Mat Yakim, 44, Penolong Pengarah Tajaan dan Transformasi Mahasiswa Yayasan Terengganu, tiba di Australia sejak 30 Mei lalu untuk bertugas sebagai imam solat tarawih di masjid berkenaan sepanjang Ramadan kali ini.

Katanya, penghantaran imam solat tarawih itu bermula sejak 2015 oleh kerajaan negeri Terengganu untuk aktiviti dakwah dan mengukuhkan lagi hubungan silaturrahim umat Islam di sana.

"Masjid ini asalnya sebuah gereja dan diambil alih sepenuhnya pada 1998 oleh seorang pendakwah Terengganu, Allahyarham Haji Abdul Malek Haji Mohd Yusof.

"Dengan bantuan bekas menteri besar (Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad), gereja itu dibeli (untuk dijadikan masjid) pada harga AUD$260,000 (RM775,336) dan sejak itu, masjid tersebut mula diimarahkan dengan pelbagai aktiviti dakwah untuk umat Islam di kawasan tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama.

Khamis, Jun 14, 2018

MB HARGAI PENGAWAL KESELAMATAN DAN CLEANER



KUALA TERENGGANU, 13 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu hari ini meraikan pengawal keselamatan dan petugas membersih di Wisma Darul Iman dengan menyalurkan bantuan raya.

Meskipun jumlah bantuan hanya wang tunai RM200 namun ia adalah satu tanda ingatan kepada mereka yang menjalankan tugas sedemikian demi keselesaan dan keselamatan orang ramai yang berurusan dengan kerajaan negeri.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata selain menyalur sumbangan, beliau berharap pertemuan secara bersemuka dan lebih dekat itu mampu mengeratkan lagi silaturahim dan tanda menghargai setiap petugas tanpa mengira pangkat.

"Saya amat berbesar hati dapat bertemu dengan tuan-tuan kerana tugas yang dipukul oleh anda semua merupakan tugas yang berat dan sangat mulia. Begitu juga soal kebersihan yang menjadi penekanan dalam Islam," katanya pada majlis penyampaian bantuan tersebut di sini hari ini.

Pada majlis tersebut Ahmad Samsuri turut memperingatkan semua pihak supaya terus bersama-sama dengan barisan kepimpinan negeri dalam membangunkan Terengganu.

"Jalankan tugas kita semaksima mungkin di mana saya berperanan sebagai Menteri Besar manakala tuan-tuan di unit keselamatan dan kebersihan. Semoga Terengganu menjadi negeri yang maju, diberkati dan rakyat sejahtera," katanya.

Seramai 90 pekerja kontrak iaitu 22 orang pengawal keselamatan dan 68 pekerja kebersihan telah menerima sumbangan itu, masing-masing sebanyak RM200 sempena sambutan hari raya Aidilfitri.

-- BERNAMA

Selasa, Jun 12, 2018

BN SUDAH JATUH DITIMPA TANGGA

KUCHING, 12 Jun (Bernama) -- Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) hari ini sebulat suara mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional (BN).

Pengerusi BN Sarawak yang juga Presiden PBB, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika mengumumkan perkara tersebut berkata keempat-empat parti tersebut akan mewujudkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

PBB, SUPP, PRS dan PDP telah sebulat suara membuat keputusan untuk meninggalkan BN dan membentuk gabungan baharu parti yang berasaskan Sarawak dikenali sebagai Gabungan Parti Sarawak.

"Keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan secara mendalam dan mengambil kira perkembangan politik saat ini pasca Pilihan Raya Umum ke-14. GPS akan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan demi kepentingan negara dan hak negeri dan hak berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Persekutuan Malaysia," katanya.

Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat BN Sarawak di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako, Petra Jaya dekat Kuching di sini hari ini.

Mesyuarat lebih sejam itu turut dihadiri Presiden PRS, Tan Sri James Jemut Masing, Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing, Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian dan Setiausaha Agung BN Sarawak, Datuk Alexander Nanta Linggi .

Pada Pilihan Raya ke-14 lalu, BN Sarawak menguasai 19 kerusi Parlimen yang disumbangkan oleh PBB 13 kerusi, PRS (tiga), PDP (dua) dan SUPP (satu) daripada 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di negeri ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata keputusan menubuhkan sebuah gabungan politik baharu juga dilihat tepat dengan situasi semasa.

"Kami percaya, sudah tiba masanya dan sesuai untuk negeri Sarawak memulakan satu platform politik yang baharu untuk bergerak ke depan menghadapi cabaran selaras dengan keperluan aspirasi yang berubah-ubah dan tuntutan daripada pelbagai keratan rentas penduduk Sarawak. Sarawak adalah sebuah negeri yang unik dengan berbilang kaum, budaya dan agama," katanya.

Abang Johari berkata keputusan empat parti komponen itu akan dimaklumkan kepada BN pusat dalam tempoh terdekat sambil berterima kasih atas sumbangan BN selama ini kepada Sarawak.

"Kita juga akan maklumkan (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) RoS (berkenaan GPS) dan juga Speaker Dewan Rakyat. Seperti yang saya maklumkan tadi, kita akan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan (Pakatan Harapan) kerana kita berada di dalam sistem Persekutuan, namun kami tidak akan menyertai mereka, kami masih bebas dan mempunyai blok sendiri," katanya.

Ketika ditanya sama ada sebuah lagi parti asal Sarawak iaitu Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang dipimpin oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan eDagang Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh akan turut menganggotai GPS, Abang Johari berkata perkara tersebut akan diputuskan selepas semua perkara selesai.

Dalam pada itu, Abang Johari menafikan ada bertemu Pemangku Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

"Saya hanya bertemu dengan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) atas kapasiti beliau sebagai Perdana Menteri, itu sahaja," katanya.

Sebagai rekod BN Sarawak membentuk kerajaan negeri selepas menang 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan semasa Pilihan Raya Negeri ke-11 yang diadakan pada 2016.

Isnin, Jun 11, 2018

LEBIH BAIK LANTIK ZAINOL FADZI PENGERUSI MANA MANA GLC PERAK

IPOH, 11 Jun (Bernama) -- Pelantikan bekas Exco kerajaan negeri Datuk Zainol Fadzi Paharudin  (gambar) sebagai penasihat menteri besar mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata pelantikan itu juga dibuat hasil rundingan bersama pemimpin parti komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan DAP.

"Pelantikan bukan atas kehendak saya seorang tetapi hasil rundingan dalam kalangan empat pengerusi parti komponen," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan duta dan Ketua Misi Diplomatik Kesatuan Eropah di Malaysia di sini, hari ini.

Ahmad Faizal yang juga Pengerusi PPBM Perak mengulas tindakan segelintir anggota parti itu yang membantah pelantikan Zainol Fadzi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Zainol Fadzi yang bertanding atas tiket Barisan Nasional memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik, namun telah menyatakan sokongan kepada PH sehingga membolehkan gabungan itu mendapat mandat membentuk kerajaan negeri.

Ulasan saya, mana ada jawatan Penasihat MB seperti diumumkan MB Perak, Ahmad Faizal Azumu/ Lebih baik beliau lantik Zainol Fadzi sebagai pengerusi mana mana GLC Perak untuk mengenang budi Zainol melompat ke Parti Bersatu ketika membentuk kerajaan PH di Perak.

NAJIB BUKAN ADUN NAK JADI MB PAHANG MACAM MANA?

KUALA LUMPUR: Kadang kadang lucu juga baca kenyataan ahli parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Nak jadi hero pun, janganlah komen sembarangan. Buat malu aja. Katanya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan merosakkan Umno jika beliau berhasrat menjadi Menteri Besar Pahang.

Bila pulak Najib nak jadi MB? Najib bukannya ADUN. Beliau kan ahli parlimen. Takkan Syed Saddiq tak tahu. Beliau mengulas cadangan seorang penulis blog yang mahu lihat Najib jadi MB Pahang semula.

Dari segi logik takkan dari jawatan PM nak jadi MB pula? Sepatutnya Syed Saddiq menjawab cadangan penulis blog itu tidak praktikal kerana Najib bukan ADUN. Habis cerita.

Komen beliau terhadap penulis blog itu menunjukkan beliau suka cari publisiti dan mahu menarik perhatian orang ramai sedangkan dari segi logik Najib tak boleh jadi MB Pahang.

Nak tunggu PRU 2023 Najib mahu tanding kerusi DUN? Ketika itu Najib dah tua dan sudah bersara dari politik. Oleh itu Syed Saddiq jangan ghairah nak komen sebarang isu kerana komen tersebut menunjukkan kita sendiri kurang cerdik.

Sabtu, Jun 09, 2018

BERSABARLAH ANWAR



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengamanahkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan kuasa untuk mengawasi beberapa syarikat terbesar negara yang secara kolektif bernilai lebih RM1 trilion, menurut akhbar Singapura, The Straits Times.

Menurut laporan itu, langkah terkini memberi kuasa kepada Azmin boleh mencetuskan persaingan dalam parti komponen HARAPAN dan membolehkan Mahathir mendapat kelebihan ke atas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Akhbar harian berbahasa Inggeris itu memetik sumber yang mengatakan syarikat-syarikat yang diletakkan di bawah pengawasan kementerian akan merangkumi gergasi minyak negara Petronas, dana pelaburan negara Khazanah Nasional dan pengurus hartanah Perbadanan Nasional Berhad.

Selain itu, bidang kuasa menteri hal ehwal ekonomi juga meliputi agensi yang bertanggungjawab terhadap kebajikan orang Melayu-Islam seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tabung Haji serta unit dan jabatan kerajaan yang membantu usahawan Melayu.

Felda dan Tabung Haji yang dicemari pelbagai skandal berprofil tinggi semasa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak kini ditempatkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

"Bidang kuasa ini begitu luas yang merancang untuk menempatkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di bawah menteri hal ehwal ekonomi kemungkinan akan dibatalkan," kata sumber yang biasa dengan penstrukturan semula berkenaan.

Laporan itu menyebut bahawa Mahathir telah membuat "isyarat besar" untuk melantik Azmin kerana pemindahan Petronas, Khazanah dan lebih daripada 60 syarikat lain - sebelum mengambil kira mana-mana subsidiari (anak syarikat)- akan menjadi satu proses rumit yang mungkin memerlukan pindaan undang-undang serta kelulusan parlimen.

Laporan itu mendakwa tindakan Mahathir itu sebagai satu lagi strategi "dasar pecah dan perintah" selain berkata ini kerana partinya BERSATU hanya menang 13 kerusi parlimen manakala PKR mendapat 49 kerusi - kerusi paling banyak di antara parti komponen HARAPAN.

Laporan itu berkata Azmin dilantik jawatan menteri utama walaupun cubaan PKR untuk mendapatkan satu daripada empat portfolio utama - kewangan, kementerian dalam negeri, pertahanan atau pendidikan - ditolak semasa peringkat awal rundingan.

Menurut laporan itu lagi, langkah Mahathir memberi kuasa kepada Azmin telah mencetuskan kerisauan di kalangan penyokong Anwar.

Ulasan saya, hari ini 9 Jun genap sebulan Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan pusat. Usaha untuk melaga-lagakan di antara  Dr Mahathir dengan  Anwar nampaknya berterusan selepas Anwar keluar dari penjara. Ia menggambarkan seolah-olah Anwar tidak sabar jadi PM kelapan.

Kita harus ingat jika bukan Mahathir ketuai PH pada PRU14 bulan lepas, belum tentu PH menang. Ia adalah kerana aura Dr Mahathir yang menyebabkan pengundi muda mengundi PH. Terbukti Anwar sudah ketuai Pakatan Rakyat (PR) pada PRU13 tetapi Anwar gagal menumbangkan BN.

Anwar kena terima hakikat faktor Dr Mahathir yang berjaya menumbangkan BN. Oleh itu beliau jangan gopoh seperti pada tahun 1998. Biarlah Dr Mahathir memulihkan negara dalam masa dua tahun ini. Seperti kata Tun Dr Siti Hasmah, kesian kepada Dr Mahathir yang tidur lewat membaca segala dokumen untuk membetulkan Malaysia. 

Dengan umur 93 tahun apa lagi Dr Mahathir mahu. Tetapi demi negara beliau sanggup korbankan dirinya demi mengembalikan semula imej Malaysia. Oleh itu Anwar jangan bimbang. Peralihan kuasa akan tetap berlaku kepada beliau dan bukannya kepada Azmin Ali.

Rafizi Ramli pun janganlah hentam Dr Mahathir. Dr Mahathir sedar Parti Bersatu hanya ada 12 kerusi tetapi Dr Mahathir menjadi PM kerana ehsan PKR dan DAP.  Sebab itu beliau panggil Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya bubarkan Umno dan semua ahli parlimen Umno menyertai Bersatu supaya Bersatu menjadi parti dominan mengatasi PKR dan DAP.

Zahid enggan membubarkan Umno kerana beliau dikatakan lebih suka bekerjasama dengan Anwar. Selepas mesyuarat majlis tertinggi Umno selepas BN tumbang, Zahid pernah berkata kalau berlaku rundingan dengan mana mana pihak ia hendaklah secara en bloc dan bukannya berunding secara individu untuk menentukan masa depan Umno.

Berapa lamakah PH dapat  bertahan? Ada yang ramalkan tidak sampai 100 hari. Oleh itu jika mahu PH mahu kekal lama, penyokong Anwar hendaklah menerima Dr Mahathir sebagai PM sepenuhnya. Jangan depan cakap lain belakang cakap lain. Beri peluang kepada Dr Mahathir susun semula negara.  Beliau sedar beliau tidak lama di situ. Maka tak perlulah buang masa untuk adakan pilihanraya kecil untuk Anwar sekarang. Tunggulah dua tahun lagi Anwar jadi ahli parlimen.

Jumaat, Jun 08, 2018

HISHAMUDDIN TAK YAKIN KALAHKAN ZAHID PUNCA BELIAU TIDAK BERTANDING SEBARANG JAWATAN

JOHOR BAHRU, 8 Jun (Bernama) -- Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan tidak akan bertanding sebarang jawatan pada pemilihan parti kali ini.

Katanya keputusan itu dibuat bagi membolehkan beliau bekerja lebih keras membantu membangunkan semula UMNO bermula dari Johor selepas parti itu mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum lalu.

"Karier politik saya tidak akan berakhir, saya telah terlibat dalam politik sepanjang hidup saya dan saya tidak akan keluar parti.

"Saya harap ini (langkah tidak bertanding) disedari yang lain-lain bahawa jawatan bukan perkara penting dalam perjuangan kita untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut bekas Menteri Pertahanan itu, beliau telah menyuarakan keputusan tersebut kepada Pemangku Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan kedua-duanya memahami serta menghormati keputusan beliau.

Ulasan saya, nampaknya Hishamuddin tidak yakin dapat mengalahkan Datuk Seri Zahid Hamidi bagi jawatan Presiden Umno yang menyebabkan beliau tidak bertanding sebarang jawatan.

Dalam suasana ahli Umno mahu perubahan, beliau juga enggan bertanding jawatan timbalan presiden Umno malah mempertahankan jawatan naib presiden Umno.

Biarlah beliau berehat sepenggal kerana pemilihan 2021 lebih penting dari pemilihan 2018. Berundur setapak ke belakang bukan bermakna beliau pengecut tetapi beliau akan buat comeback pada pemilihan 2021 nanti.

Khamis, Jun 07, 2018

KADIR JASIN PATUT MINTA AMPUN KEPADA YANG DIPERTUAN AGONG



KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan terhadap tokoh wartawan veteran Datuk A. Kadir Jasin berhubung pendedahan dakwaan perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V sebanyak RM256.9 juta dalam tempoh 16 bulan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata kertas siasatan berkenaan dibuka mengikut Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah.

Beliau berkata kertas siasatan berkenaan dibuka selepas polis menerima tiga laporan berhubung kes itu yang melibatkan Kadir.

“Polis terima hanya tiga laporan setakat ini dan mungkin ada banyak lagi laporan polis yang akan dibuat berhubung kes ini serta siasatan lanjut sedang dibuat.

“Oleh yang demikian, siasatan kes berkenaan akan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman,” katanya pada sidang akhbar pelancaran Op Selamat 13/2018 sempena Hari Raya Aidilfitri di Pusat Konvensyen Telekom Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, media melaporkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyiasat dakwaan yang dibuat Kadir menerusi blog peribadinya.

Di dalam blog itu, Kadir mendedahkan sebanyak RM257 juta digunakan untuk perbelanjaan hidup dan peribadi Sultan Muhammad V dalam tempoh 16 bulan sejak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Selain itu, lembaran terperinci perbelanjaan itu juga turut tersebar di media sosial dan aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, Facebook Friends of Istana Negara kecewa dengan blog yang menyebarkan tentang perbelanjaan Yang Di-Pertuan Agong seolah-olah menimbulkan syak wasangka mengenai pentadbiran dan perbelanjaan Istana Negara.

Bekas ketua editor NST menyebut perbelanjaan adalah melebihi RM250 juta sebaliknya perbelanjaan rasmi dari 16 Disember 2016 sehingga 30 April 2018 adalah sebanyak RM79,284,717.50. Ini adalah kos sebenar  yang disahkan oleh kakitangan istana.

Ternyata angka yang diberi Kadir Jasin amat jauh berbeza. Maka beliau patut minta ampun kepada Yang Di-Pertuan Agong. Oleh itu teguran Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada beliau amat wajar kerana tulisan beliau boleh menghasut rakyat untuk membenci institusi Raja berpelembagaan di negara kita.



Rabu, Jun 06, 2018

KKMM DIMINTA AMBIL TINDAKAN KEPADA NETIZEN YANG KRITIK YANG DIPERTUAN AGONG



ALOR SETAR 6 Jun - Kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia digesa supaya mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pengguna media sosial yang tidak menghormati peranan Yang di-Pertuan Agong berikutan isu pelantikan peguam negara baru-baru ini.


Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kebebasan bersuara melalui pelbagai medium dan platform yang perlulah dipraktikan secara berhemah.


"Perkara itu bersesuaian dengan salah satu prinsip Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan yang menjadi amalan kita bersama selama ini.

"Sebagai rakyat yang menyatakan taat dan setia kepada raja dan negara, kita perlu yakin dengan kebijaksanaan baginda dan Majlis Raja-Raja dalam seiap proses serta keputusan melibatkan kepentingan negara," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Baru-baru ini, segelintir pengguna media sosial meluahkan rasa tidak puas hati mereka seolah-olah mengkritik peranan Yang di-Pertuan Agong kerana mencampuri urusan berkenaan.

Melalui komen-komen di media sosial, para penyokong terbabit meluahkan rasa tidak puas hati mereka seolah-oleh mengkritik peranan Yang di-Pertuan Agong kerana dikatakan mencampuri urusan berkaitan pelantikan peguam negara.

Keadaan itu menimbulkan polemik dalam kalangan netizen dengan ada dalam kalangan mereka menganggap sebahagian daripada kritikan dilemparkan itu bersifat melampau.


KHAIRUDDIN DAKWA UMNO YANG LAGAKAN DR MAHATHIR DENGAN ANWAR



PETALING JAYA: Ahli Jawatankuasa Biro Komunikasi dan Mobilisasi, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, hubungan sesama pemimpin Pakatan Harapan (PH) akrab dan tiada perebutan kuasa antara Tun Dr Mahathir Mohamad serta Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau   mendakwa Umno melancarkan perang psikologi dengan memberi gambaran negatif mengenai hubungan Dr Mahathir serta Anwar untuk memecahbelahkan perpaduan dalam PH supaya rakyat hilang keyakinan kepada kepimpinan negara.

“Namun, kita harus bersyukur kerana perpaduan sesama pemimpin di dalam PH pada realitinya amat akrab serta tulen.

“Keseluruhan rakyat Malaysia dapat lihat sendiri kemesraan serta keakraban Dr Mahathir dengan Anwar ketika makan malam bersama di kediaman peribadi perdana menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sejak dibebaskan 16 Mei lalu selepas 3 tahun dipenjarakan, Anwar menemui Agong, empat sultan dan kerabat diraja Johor, Pahang, Perak dan Selangor.

Bagaimanapun, ada khabar angin mendakwa ketua umum PH itu membelakangkan perdana menteri dan sengaja mendekati istana yang tidak mempunyai hubungan mesra dengan Dr Mahathir.

Anwar dilaporkan berkata, beliau tidak merahsiakan apa-apa daripada Dr Mahathir mengenai pertemuannya dengan sultan dan kunjungan itu atas jemputan istana yang tidak patut disalah tafsir sebagai langkah politik untuk menggugat pengerusi PH itu.

“Semua saya lapor kepada Tun Mahathir. Dia harus tahu saya menghadap Agong.

“Sebelum ke Johor, saya maklumkan kepada Tun Mahathir. Sebelum menghadap Sultan Nazrin (Perak), juga saya maklum Tun Mahathir. Yang lain sibuk apasal?” soalnya Isnin lalu.

Anwar sebelum ini turut menggesa penyokongnya memaafkan kesalahan lampau Dr Mahathir dan memberi kepercayaan kepada pengerusi PPBM itu untuk membina semula negara.

Katanya, beliau sendiri memaafkan Dr Mahathir yang pernah memenjarakannya selepas menyaksikan keikhlasan mahu memulihkan negara dan menghapuskan rasuah.

Khairuddin berkata, tindakan Umno itu tidak akan berjaya kerana Anwar memainkan peranan proaktif dengan cara sendiri untuk mengukuhkan kedudukan kepimpinan kerajaan PH demi masa depan negara.

Bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu berkata, Anwar dan Dr Mahathir hanya mementingkan agenda membangunkan semula Malaysia, bukannya agenda politik peribadi.

“Gandingan kali kedua Dr Mahathir dan Anwar adalah lambang kejayaan Malaysia Baru. Insya Allah.

“Rakyat Malaysia boleh sandarkan harapan kepada kerajaan PH yang amat tulen membela kesejahteraan masa depan keseluruhan masyarakat tanpa kira kaum ataupun agama.”

Selasa, Jun 05, 2018

ZAM DAN JOHAN, DAHULU MASA HANG KETUAI UTUSAN PUN HANG RASIS


KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Dua bekas editor Utusan Malaysia hari ini menyatakan rasa kesal bahawa akhbar yang pernah mereka pimpin masih terperangkap dalam "kepompong sempit dan penuh dengan prasangka".

Dalam satu kenyataan keras hari ini, Tan Sri Zainuddin Maidin dan Tan Sri Johan Jaaffar berkata akhbar itu menampakkan pendirian rasis dengan memainkan sentimen perkauman yang berbahaya untuk sebuah negara pelabagai kaum seperti Malaysia.

Memetik isu terkini mengenai pelantikan Peguam Negara yang baru, mereka mengatakan adalah tidak dapat diterima apabila Utusan Malaysia bermain api dengan cuba menyemarakkan sentimen kebencian dan keresahan orang Melayu dan orang Islam terhadap pelantikan seorang bukan Melayu dan bukan Islam ke jawatan itu.

Cara Utusan Malaysia, menurut mereka, memberikan gambaran seolah-olah agama Islam dan kepentingan Melayu akan terjejas dengan pelantikan peguam kanan Tommy Thomas.

Zainuddin dan Johan menegaskan bahawa prinsip pelantikan sepatutnya adalah 'integriti di atas segala-galanya- tanpa mengira kaum dan agama.'

"Kami bersyukur satu lagi kemungkinan krisis dapat dielakkan apabila Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V memperkenankan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara.

Isnin, Jun 04, 2018

MEREKA DAHULU PEMBANGKANG SEBAB ITU KENYATAAN MEREKA MASIH SEPERTI PEMBANGKANG



KUALA LUMPUR: Tun Daim Zainuddin meminta rakyat Malaysia memberi sedikit masa kepada pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk mereka menyesuaikan diri dengan peranan baru mentadbir kerajaan persekutuan.

"Kita perlu beri mereka peluang dan masa. Mereka adalah pembangkang sebelum ini. Sebab itu mereka banyak buat kenyataan seperti mereka masih menjadi pembangkang.

"Jadi sila bersabar. Mereka cepat belajar, mereka orang-orang cerdik. Lebih penting, mereka orang-orang yang jujur dalam berkhidmat untuk rakyat," katanya kepada The Star.

Berhubung pelantikan Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan, Daim, yang sebelum ini pernah memegang jawatan itu berkata, ia memberi kesan yang baik kepada negara kerana pelantikannya berdasarkan kebolehan dan bukannya kaum.

Daim turut menyorot bahawa setiausaha agung DAP itu berjaya menguruskan kewangan Pulau Pinang ketika menjadi ketua menteri.

"Pelantikan itu menghapuskan amalan mempolitikkan jawatan menteri kewangan, yang merupakan perkembangan yang baik kerana jawatan itu sebelum ini sering dijadikan habuan kepada penyokong setia Umno.

"Kini amalan itu sudah dihentikan," tambahnya.

Daim turut menjelaskan bahawa Lim bukan pemimpin Cina pertama yang dilantik sebagai menteri kewangan.

"Pelantikan itu dibuat berdasarkan rundingan dengan pelbagai pihak. Rakyat Malaysia secara umumnya perlu menerima pelantikan itu berdasarkan pengalaman luas Lim dan bukannya latar belakang kaum," katanya.

Ahad, Jun 03, 2018

AZWAN BRO, DR ASYRAF WAJDI DAN JAMAL BAJU MERAH TANDING KETUA PEMUDA





KUALA LUMPUR  -- Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun mengumumkan akan bertanding jawatan ketua pergerakan itu pada pemilihan parti akan datang.

Ini dinyatakan beliau dalam kenyataan pada 1 Jun lalu.

"Saya yakin dengan peluang yang ada selaku Senator dan pengalaman sebagai Naib Ketua Pemuda dan sokongan akar umbi seluruh negara, kita akan berjaya membawa agenda pembaharuan (kepada UMNO)," katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengambil keputusan menawar diri bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno.


Asyraf Wajdi yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, keputusan itu dilakukan kerana Pemuda Umno perlukan perubahan dan diterapkan dengan nilai-nilai Islam.

“Perubahan dalam Umno harus bermula dengan pembangunan generasi muda pewaris perjuangan.

“Pemuda perlu disuntik dengan idealisme, ruh dan semangat pengorbanan berteraskan prinsip Islam sejati, sebagaimana mendasari perjuangan Umno sejak awal penubuhannya,” katanya melalui kenyataan media semalam.

Beliau berkata, ada lima agenda harus diberi keutamaan iaitu pengkaderan, pentarbiayahan, pemantapan ilmu, pengukuhan jati diri dan pemerkasaan rohani.

“Berpandukan lima agenda inilah, dengan penuh rasa keinsafan, amanah dan tanggungjawab saya menawarkan diri sebagai calon Ketua Pemuda Umno.

“Percayalah kita mampu bangkit kembali! Insya-ALLAH. #BangkitKembali,” katanya.

Menurutnya, keputusan bertanding jawatan Pemuda Umno bukanlah bertujuan untuk merebut jawatan sebaliknya mahu meneruskan sisa-sisa perjuangan bersama Umno.

“Ujian yang melanda Umno kini merupakan satu isyarat ALLAH agar setiap pendokong parti benar-benar menjiwai makna perjuangan sejati.

“Sekiranya perjuangan untuk mengejar pangkat dan kebendaan, hakikatnya pangkat dan kebendaan sudah tiada. Yang tinggal hari ini hanyalah sisa-sisa perjuangan yang menagih kesetiaan dan keikhlasan setiap warga untuk melakukan perubahan dalam parti,” katanya.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang gagal dikesan sejak menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri, sembilan hari lalu dilaporkan menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti akan datang.

Selain jawatan peringkat sayap itu, Jamal turut menawarkan diri bertanding sebagai Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Umno bagi merebut jawatan terbabit.

Jamal berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima pandangan dan sokongan serta nasihat rakan-rakan seperjuangan.

“Saya Jamal Md Yunos menawarkan diri bertanding sebagai calon untuk jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dan Ahli Majlis Tertinggi Umno bagi penggal 2018-2021,” katanya.

Kenyataan Jamal itu dikongsi seorang rakan beliau yang memuat naik status kenyataan Jamal itu di Facebook.

Jamal dalam status itu turut mengulas, tujuan beliau menawarkan diri untuk bina kembali semangat perjuangan kepada semua ahli Umno di seluruh negara.

“Marilah kita bersama-sama bangkit demi semangat perjuangan suci untuk membantu mendapatkan kembali sokongan dan kepercayaan rakyat,” katanya.

Jamal sebelum ini dilaporkan menjadi buruan polis selepas menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri, 25 Mei lalu.

Beliau didakwa atas tuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak, tahun lalu, ketika menerima rawatan di hospital terbabit pada jam 10.45 pagi.

Difahamkan kehilangan Jamal disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang datang ke hospital itu pada jam 5.30 petang.