Memaparkan catatan dengan label dr mahathir. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label dr mahathir. Papar semua catatan

Sabtu, April 13, 2019

KETIDAKHADIRAN DR MAHATHIR UNTUNGKAN CALON BN



KUALA LUMPUR 11 April- Kemenangan Barisan Nasional (BN) dilihat lebih terjamin dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau walaupun persaingan saat akhir masih terbuka antara pihak yang bertanding.



Malah Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Azlan Zainal berkata, sebanyak 24.5 peratus pengundi Pakatan Harapan (PH) dijangka beralih sokongan kepada BN dalam PRK DUN Rantau kali ini berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.


Katanya, berdasarkan kajian, sebanyak 81.6 peratus responden berpandangan calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan atau dikenali sebagai Tok Mat mempunyai kredibiliti yang tinggi berbanding calon PH, Dr S. Streram.

“Selain itu, faktor populariti Tok Mat berbanding Streram sebagai orang luar yang kurang dikenali. Pengundi India di sini lebih mengenali Ketua Cabang R. Tanggam, Ketua Cabang PKR Rembau, T Rangga.

“Kebajikan pengundi India yang dahulunya majoriti mengundi PH nampaknya gagal ditangani dengan baik oleh Kerajaan sehingga wujud kekecewaan segmen pengundi India terhadap Kerajaan khususnya yang melibatkan pembelaan terhadap tahap ekonomi dan kebajikan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Azlan, jentera PH juga masih lagi dilihat terpisah dan tidak dikoordinasi sebagai sebuah pakatan antara PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) , Amanah dan DAP.

“Mereka bergerak mengikut jentera parti masing-masing dan tiada penyelarasan yang tersusun. Jentera PKR lebih dominan dan penglibatan jentera parti lain dilihat sangat minima. Ini menggambarkan struktur jentera PH masih lagi kabur di mata akar umbi.


“Kempen PH juga nampaknya terlalu bergantung kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menggerakkan gerakan kempen di sini,”ujarnya.


Selasa, Jun 19, 2018

DR MAHATHIR TERUSKAN PROJEK JACK MA



PUTRAJAYA, 18 Jun (Bernama) -- Pengasas dan pengerusi eksekutif Alibaba Group Jack Ma, yang mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, terkejut dengan pengetahuan Perdana Menteri tentang teknologi.

"Saya terperanjat dengan pengetahuan beliau tentang teknologi," kata Ma kepada Bernama selepas pertemuan itu yang berlangsung di Pejabat Perdana Menteri di sini.

Menurut beliau, pada pertemuan selama sejam bermula pada kira-kira pukul 9 pagi itu, mereka berkongsi banyak idea dan berbincang tentang cara untuk membebaskan lebih banyak rakyat Malaysia daripada belenggu kemiskinan serta memberi bantuan kepada lebih banyak golongan muda dan perniagaan kecil.

"Pertemuan ini sungguh bermanfaat," kata Ma, yang berada di ibu negara untuk merasmikan sebuah pejabat Alibaba di Bangsar South, Kuala Lumpur, lewat hari ini.

Ma berkunjung ke Kuala Lumpur tahun lepas untuk melancarkan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) pertama dunia yang ditubuhkan bagi merangsang pertumbuhan e-dagang melalui penyediaan platform serba canggih bagi syarikat dan perusahaan kecil dan sederhana (SME) untuk menjalankan perniagaan dan perkhidmatan masing-masing.

Ma dilaporkan turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada majlis jamuan tidak rasmi malam tadi.

Laporan media menyebut bahawa Ma sebenarnya berhasrat mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir awal bulan ini, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana Dr Mahathir mahu memberi fokus terhadap urusan menyusun kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baru ditubuh.

Kerajaan Barisan Nasional (BN), yang mentadbir negara sebelum ini, melantik Ma sebagai penasihat ekonomi digital kerajaan.

Pertemuan Ma dan Dr Mahathir diadakan ketika kerajaan PH berikrar untuk mengkaji semula beberapa projek yang diperkenalkan kerajaan BN sebelum ini dengan sokongan Beijing kerana kerajaan baharu lebih berminat mengadakan kerjasama ekonomi dengan Jepun.

Bagaimanapun, Perdana Menteri dilaporkan berkata projek DFTZ akan diteruskan.

-- BERNAMA


Jumaat, Julai 14, 2017

DR MAHATHIR TIDAK RISAU ROSAKKAN UMNO

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau tidak risau usahanya untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri akan merosakkan parti UMNO.


Beliau yang mengaku memang berusaha untuk menurunkan Najib sejak tahun 2014, berkata tindakkannya itu bukan merosakkan UMNO tetapi merosakkan Najib yang telah memburukkan UMNO.

Dr Mahathir, 92, yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). berkata demikian ketika ditanya peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos semasa pemeriksaan balas dalam perbicaraan kes saman fitnah difailkan anaknya Datuk Seri Mukhriz selaku plaintif terhadap Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad selaku defendan.

Dr Mahathir, yang merupakan saksi kedua plaintif juga mengaku PPBM berlawan dengan parti UMNO.

Bekas perdana menteri dan bekas presiden UMNO itu berkata pada kebiasaannya individu yang memegang jawatan sebagai naib presiden UMNO boleh dipilih sebagai timbalan perdana menteri, bagaimanapun beliau menegaskan perkara itu terpulang kepada budi bicara presiden parti.

"Kebiasaannya...walaupun tidak terhad, kita (UMNO) pilih daripada naib presiden yang tiga orang yang ada, ikut budi bicara presiden," katanya yang pernah memilih Tun Abdullah Ahmad Badawi yang pada ketika itu memegang jawatan naib presiden UMNO sebagai timbalan perdana menteri, menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dipecat.

Di awal prosiding, Mukhriz ketika ditanya mengenai isu beliau bertanding jawatan naib presiden UMNO dan tafsiran anggota UMNO bahawa beliau mempunyai niat atau bakal menjadi perdana menteri, berkata "Walaupun ia adalah stepping stone (batu loncatan) tetapi ia bukan jaminan untuk dipilih menjadi perdana menteri.

"Saya fikir anggota UMNO sedia maklum bahawa bertanding jawatan naib presiden bukan jaminan jadi perdana menteri," katanya.

Mukhriz turut memberitahu mahkamah bahawa bapanya tidak mengalakkan beliau bergiat di dalam politik namun beliau mempunyai hujah-hujah sendiri untuk bergiat.

Mukhriz yang diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, memfailkan saman itu pada 3 Mei 2016 kerana mendakwa bahawa Tengku Sarifuddin telah mengeluarkan dua kenyataan yang berbaur fitnah terhadap beliau pada April, tahun lepas.

Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu membawa maksud Dr Mahathir dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkomplot dalam kempen jahat bagi menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara sah dan plaintif masih terbabit secara langsung dalam komplot antara Dr Mahathir dan Muhyiddin.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersambung pada 19 dan 20 Okt.

-- BERNAMA