Ahad, Jun 03, 2018

AZWAN BRO, DR ASYRAF WAJDI DAN JAMAL BAJU MERAH TANDING KETUA PEMUDA





KUALA LUMPUR  -- Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun mengumumkan akan bertanding jawatan ketua pergerakan itu pada pemilihan parti akan datang.

Ini dinyatakan beliau dalam kenyataan pada 1 Jun lalu.

"Saya yakin dengan peluang yang ada selaku Senator dan pengalaman sebagai Naib Ketua Pemuda dan sokongan akar umbi seluruh negara, kita akan berjaya membawa agenda pembaharuan (kepada UMNO)," katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengambil keputusan menawar diri bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno.


Asyraf Wajdi yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, keputusan itu dilakukan kerana Pemuda Umno perlukan perubahan dan diterapkan dengan nilai-nilai Islam.

“Perubahan dalam Umno harus bermula dengan pembangunan generasi muda pewaris perjuangan.

“Pemuda perlu disuntik dengan idealisme, ruh dan semangat pengorbanan berteraskan prinsip Islam sejati, sebagaimana mendasari perjuangan Umno sejak awal penubuhannya,” katanya melalui kenyataan media semalam.

Beliau berkata, ada lima agenda harus diberi keutamaan iaitu pengkaderan, pentarbiayahan, pemantapan ilmu, pengukuhan jati diri dan pemerkasaan rohani.

“Berpandukan lima agenda inilah, dengan penuh rasa keinsafan, amanah dan tanggungjawab saya menawarkan diri sebagai calon Ketua Pemuda Umno.

“Percayalah kita mampu bangkit kembali! Insya-ALLAH. #BangkitKembali,” katanya.

Menurutnya, keputusan bertanding jawatan Pemuda Umno bukanlah bertujuan untuk merebut jawatan sebaliknya mahu meneruskan sisa-sisa perjuangan bersama Umno.

“Ujian yang melanda Umno kini merupakan satu isyarat ALLAH agar setiap pendokong parti benar-benar menjiwai makna perjuangan sejati.

“Sekiranya perjuangan untuk mengejar pangkat dan kebendaan, hakikatnya pangkat dan kebendaan sudah tiada. Yang tinggal hari ini hanyalah sisa-sisa perjuangan yang menagih kesetiaan dan keikhlasan setiap warga untuk melakukan perubahan dalam parti,” katanya.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang gagal dikesan sejak menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri, sembilan hari lalu dilaporkan menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti akan datang.

Selain jawatan peringkat sayap itu, Jamal turut menawarkan diri bertanding sebagai Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Umno bagi merebut jawatan terbabit.

Jamal berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima pandangan dan sokongan serta nasihat rakan-rakan seperjuangan.

“Saya Jamal Md Yunos menawarkan diri bertanding sebagai calon untuk jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dan Ahli Majlis Tertinggi Umno bagi penggal 2018-2021,” katanya.

Kenyataan Jamal itu dikongsi seorang rakan beliau yang memuat naik status kenyataan Jamal itu di Facebook.

Jamal dalam status itu turut mengulas, tujuan beliau menawarkan diri untuk bina kembali semangat perjuangan kepada semua ahli Umno di seluruh negara.

“Marilah kita bersama-sama bangkit demi semangat perjuangan suci untuk membantu mendapatkan kembali sokongan dan kepercayaan rakyat,” katanya.

Jamal sebelum ini dilaporkan menjadi buruan polis selepas menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri, 25 Mei lalu.

Beliau didakwa atas tuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak, tahun lalu, ketika menerima rawatan di hospital terbabit pada jam 10.45 pagi.

Difahamkan kehilangan Jamal disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang datang ke hospital itu pada jam 5.30 petang.