KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz berkata sudah tiba masanya konsep ketuanan Melayu digantikan dengan konsep yang lebih terangkum iaitu 'ketuanan Malaysia'.
Katanya, konsep ketuanan Melayu sudah tidak sesuai digunakan dalam masyarakat hari ini dan keutamaan sepatutnya diberikan kepada negara.
Dalam wawancara eksklusif bersama portal berita Malaysiakini, beliau berkata: "Kini, konsep yang lebih sesuai adalah ketuanan Malaysia...negara ini mesti didahulukan.
"Kenapa kita mahu bersaing sesama kita? Kita sepatutnya bersaing dengan yang terhebat di rantau ini, yang terbaik di dunia. Janganlah lagakan antara warisan Melayu dengan warisan Cina. Kita rakyat Malaysia. Kita mahu negara ini menjadi tuan di rantau ini."
Dalam laporan itu, Rafidah seterusnya berkata golongan muda di negara ini perlu memainkan peranan dan berbangga sebagai rakyat Malaysia.
Menurutnya, golongan muda yang malas dan tidak berdaya saing bererti mereka tidak berbangga menjadi rakyat Malaysia.