Sabtu, Jun 23, 2018

MASA BAGI ANGGOTA UMNO BANGUNKAN SEMULA PARTI

SEREMBAN, 22 Jun (Bernama) -- Kini adalah masanya bagi anggota-anggota UMNO memberi tumpuan kepada proses membangunkan semula parti itu memandangkan ia tidak lagi mentadbir negara, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata dengan UMNO kini tidak lagi dibebani dengan tanggungjawab besar itu, ia membolehkan usaha-usaha dilakukan untuk membangkitkan semangat lebih 3 juta anggotanya bagi membentuk semula parti itu.

Katanya usaha itu mudah dilakukan kini setelah kekeruhan akibat isu negatif dan fitnah terhadap parti sudah berakhir.

"Ketika ini, tiada lagi isu-isu sensitif yang dikaitkan dengan UMNO yang telah menyebabkan kita kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14. Ibaratnya keruh di hulu sudah tiada, kini di hilir kita mendapat air jernih, " katanya pada sidang media selepas majlis Aidilfitri dan sesi pengenalan calon-calon bagi Pemilihan UMNO 2018-2021 di sini, hari ini.

Turut hadir Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.