KUALA TERENGGANU, 15 Jun (Bernama) -- Seorang anak Terengganu bakal mengetuai solat sunat Aidilfitri di Masjid Darul Imaan Sydney, Australia.
Mohd Zaki Mat Yakim, 44, Penolong Pengarah Tajaan dan Transformasi Mahasiswa Yayasan Terengganu, tiba di Australia sejak 30 Mei lalu untuk bertugas sebagai imam solat tarawih di masjid berkenaan sepanjang Ramadan kali ini.
Katanya, penghantaran imam solat tarawih itu bermula sejak 2015 oleh kerajaan negeri Terengganu untuk aktiviti dakwah dan mengukuhkan lagi hubungan silaturrahim umat Islam di sana.
"Masjid ini asalnya sebuah gereja dan diambil alih sepenuhnya pada 1998 oleh seorang pendakwah Terengganu, Allahyarham Haji Abdul Malek Haji Mohd Yusof.
"Dengan bantuan bekas menteri besar (Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad), gereja itu dibeli (untuk dijadikan masjid) pada harga AUD$260,000 (RM775,336) dan sejak itu, masjid tersebut mula diimarahkan dengan pelbagai aktiviti dakwah untuk umat Islam di kawasan tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama.