Selasa, Februari 06, 2018

LIM GUAN ENG TAKUT PAS TANDING DI PULAU PINANG

GEORGE TOWN, 5 Feb (Bernama) -- Kehadiran PAS bertanding di Pulau Pinang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional, kata Timbalan Presiden Pakatan Harapan Lim Guan Eng

 Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata bagaimanapun PAS berhak bertanding di mana-mana kerusi dalam sistem demokrasi termasuk di kawasan Parlimen Permatang Pauh dan kerusi Dewan Undangan Negeri Air Putih.

"Ini adalah satu cabaran sekiranya PAS bertanding kerana semua lihat PAS sebagai membantu Barisan Nasional (BN) namun segalanya akan bergantung kepada rakyat," katanya kepada pemberita, di sini hari ini. 

Beliau berkata kehadiran PAS itu akan memberi kelebihan kepada BN untuk menang dan sudah tentu Gerakan, MCA dan UMNO akan rasa gembira dengan perkara itu. 

Lim berkata demikian sebagai mengulas hasrat PAS untuk meletakkan calon di Parlimen Permatang Pauh seperti yang diumumkan Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada ceramah parti itu di Permatang Pauh malam tadi. 

Menurut Abdul Hadi, kerusi parlimen itu pernah dimiliki PAS pada pilihan raya umum 1978 menerusi wakilnya Zabidi Ali. Kerusi Parlimen Permatang Pauh kini disandang Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang memenanginya menerusi pilihan raya kecil pada Mei 2015 selepas penyandangnya Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai anggota parlimen. 

PAS bertanding di Permatang Pauh sejak 1969 sebelum menyerahkan kerusi itu kepada PKR pada pilihan raya umum 1999. Anwar mewakili kerusi parlimen itu sejak 1982 atas tiket UMNO. -- BERNAMA

Ahad, Februari 04, 2018

SPR AKAN UNDANG PEMERHATI PILIHAN RAYA ANTARABANGSA

PUTRAJAYA, 3 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengundang pemerhati pilihan raya antarabangsa bagi meninjau ketelusan proses pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang sepertimana yang dilakukan pada PRU terdahulu, kata Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

Beliau berkata SPR juga melantik wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO) tempatan sebagai pemerhati di samping pemerhati tetap yang terdiri daripada wakil-wakil calon yang juga merupakan anggota daripada parti-parti yang bertanding.

"Untuk pengetahuan, pada PRU ke-13 yang lepas, SPR telah mengundang pemerhati pilihan raya antarabangsa daripada beberapa negara."

"Pada PRU14 ini juga, SPR akan mengundang pemerhati-pemerhati pilihan raya untuk meninjau ketelusan proses pilihan raya. Mereka ini terdiri daripada pemerhati tempatan dan juga luar negara," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata sistem pilihan raya yang diamalkan di negara ini adalah telus dan adil serta tidak sepertimana yang digambarkan oleh pihak tertentu.

"Sikap pihak tertentu yang mempertikaikan ketelusan sistem pilihan raya menjelang PRU ke-14 dianggap satu usaha propaganda yang cuba mengelirukan rakyat dan pengundi," katanya.

Baru-baru inj, Timbalan Presiden Pakatan Harapan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan mencabar kerajaan supaya mengundang pasukan pemantau pilihan raya bebas daripada Sekretariat Komanwel dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memantau perjalanan PRU14.

Mohd Hashim berkata pemerhati tempatan terdiri daripada wakil-wakil NGO atau mana-mana organisasi tempatan yang layak serta berkecuali dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik.

Bagi pemerhati antarabangsa pula, beliau berkata mereka daripada pelbagai negara yang mewakili negara-negara Komanwel, ASEAN dan lain-lain.

Mohd Hashim menjelaskan pemerhati tetap daripada parti-parti yang bertanding akan bertugas sebagai pemerhati barung untuk semakan SPR, Ejen Tempat Mengundi (ETM) yang bertugas sebagai pemerhati dalam tempat mengundi semasa proses pengundian berlangsung dan Ejen Mengira Undi (EMU) yang bertugas sebagai pemerhati semasa proses pengiraan undi dijalankan.

Beliau berkata wakil/ejen ini berperanan penting sebagai pemerhati dan pemantau bagi setiap proses pengundian dan pengiraan yang berlaku di Tempat Mengundi (saluran) secara langsung kerana mereka berada di dalam bilik pengundian dan pengiraan undi sepanjang masa iaitu dari awal pusat pengundian dibuka hinggalah kepada pengiraan kertas undi dijalankan.

"Bukan sahaja proses yang berlaku di dalam tempat mengundi bahkan di luar tempat mengundi juga terdapat ejen calon yang bertugas sebagai ejen pemerhati barung semakan daftar pemilih dan segala proses pilihan raya yang berlaku di dalam dan luar tempat mengundi itu adalah dalam pengetahuan mereka," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Hashim berkata SPR akan memastikan semua calon yang bertanding pada PRU14 akan menghantar wakil/ ejen mereka bertugas semasa proses pilihan raya itu dijalankan.

"SPR akan hebahkan nama wakil/ejen yang bertugas pada hari tersebut supaya rakyat tahu bahawa proses pilihan raya berlaku dengan telus dan adil."

"Dengan kehadiran ejen-ejen calon sebagai pihak ketiga, ia merupakan bukti bahawa SPR tidak menafikan hak pemerhati untuk turut serta dalam proses pilihan raya."

"Parti-parti politik tidak wajar berasa bimbang dengan ketelusan proses pilihan raya sedia ada yang diamalkan di negara ini," katanya.

-- BERNAMA

Sabtu, Februari 03, 2018

PAKATAN HARAPAN TAK BOLEH DIHARAP JADI KERAJAAN

KUALA NERANG, 3 Feb (Bernama) -- Pakatan Harapan tidak boleh diharap menjadi kerajaan kerana dilihat masih gagal menyelesaikan kemelut dalaman yang melanda gabungan parti pembangkang itu, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau meminta rakyat menilai sama ada mahu menjadikan parti yang berdepan kemelut menjadi kerajaan untuk mentadbir urus negara atau mengekalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sedia ada yang telah terbukti berjasa kepada agama, bangsa dan negara.

"Wujud perasaan iri hati dan tak suka antara satu sama lain - (Pengerusi Pakatan Harapan) Tun Dr Mahathir (Mohamad) cakap semua dah selesai tapi kalau tengok daripada kenyataan-kenyataan yang dibuat parti masing-masing ada yang tidak puas hati dan terbaru ialah di Selangor melibatkan PKR dan Amanah (Parti Amanah Negara).

"Pada saya macam mana nak jadi kerajaan - sedangkan empat parti dalam pasukan dah tak boleh nak selesai, berkecamuk, bergaduh, tak tentu hala tuju serta bergaduh pasal calon," katanya kepada pemberita pada Program Larian Estet 2018 di Homestay D'Belimbing, di sini, hari ini.

Katanya, krisis dalaman yang berlaku ini diharap menjadi medan penilaian oleh rakyat sebelum membuat pilihan untuk mengundi parti mana pada pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga timbalan presiden PKR mengakui Pakatan Harapan di Selangor masih belum mencapai kesepakatan berhubung pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengakuan itu sekali gus mengesahkan wujudnya kemelut dalaman antara DAP, PKR, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berhubung isu tersebut yang sehingga kini gagal diselesaikan.

-- BERNAMA

ZAHID KAGUM DENGAN KEBOLEHAN ANAK SYRIA BERUSIA 6 TAHUN MENYANYI DALAM BAHASA MELAYU

PUTRAJAYA, 2 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia akan terus menjadi penyokong kuat kepada perjuangan Palestin dan Syria bagi kebebasan mutlak dan kemakmuran rakyat negara itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia akan terus memainkan peranan secara aktif dan menyuarakan pandangannya dalam menyokong penyelesaian konflik di Syria dan perjuangan rakyat Palestin untuk kebebasan dan memerdekakan wilayah mereka.

"Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Malaysia melakukan usaha ini pada masa lalu dan akan meneruskan sehingga Palestin bebas dan menubuhkan sebuah negara merdeka.

"Kerajaan juga akan terus menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada rakyat Syria yang datang ke Malaysia," katanya ketika berucap pada pelancaran Program Memperkasa Pelarian Kanak-Kanak (Program Kanak-Kanak Pintar) di kediaman rasmi beliau, Seri Satria, di sini, malam ini.

Beliau berkata Malaysia menerima 3,000 rakyat Syria di bawah Program Penempatan Sementara Migran Syria (PPSMS) yang membolehkan mereka untuk menetap, bekerja, menerima perkhidmatan kesihatan dan pendidikan di negara ini.

Justeru, Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, mengucapkan terima kasih kepada Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) atas peranan penting pertubuhan itu sehingga menjayakan pelaksanaan PPSMS serta menyediakan khidmat dan sokongan kepada saudara Syria di Malaysia.

Pada masa sama, katanya, secara umum rakyat Malaysia merasakan kesucian Baitulmuqaddis perlu dipertahankan kerana ia adalah tempat bagi rakyat Palestin, umat Islam dan penganut Kristian.

"Walaupun berada jauh, rakyat Malaysia percaya Masjid Al-Aqsa dan Palestin adalah milik rakyat Palestin. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi dan membebaskannya daripada penaklukan dan penindasan," katanya.

Mengenai program kanak-kanak itu, Ahmad Zahid berkata ia bertujuan membangunkan pengetahuan kanak-kanak pelarian Palestin dan Syria di Malaysia serta tahap pemahaman sains asas mereka.

Beliau berkata program itu akan meningkatkan keyakinan diri, kemahiran sosial dan praktikal kanak-kanak pelarian tersebut. Beliau kagum persembahan anak anak Syria dan Palestine menyanyi dalam Bahasa Melayu dan menari tarian inang.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis.

-- BERNAMA

Khamis, Februari 01, 2018

RATING TERTINGGI BAGI BULAN JANUARI 2018

Berita "Dah sebulan dangdut di Kampung Telari, Jabatan Agama Islam masih menyiasat" muncul sebagai berita yang mendapat rating tertinggi bagi bulan Januari 2018 dengan 308 hits. 10 rating tertinggi bagi bulan tersebut adalah seperti berikut:-

1. Dah sebulan dangdut di Kampung Telari, Jabatan Agama Islam masih menyiasat (25 Januari)- 308 hits
2.Tindakan undang undang terhadap Pandikar Amin dan Roosme pramatang (11 Januari)
3. Agensi kerajaan dikuasai pembangkang? (12 Januari)
4.PAS sahkan pertandingan tiga penjuru (22 Januari)
5. Jangan cakap tak serupa bikin SPRM (29 Januari)
6. Gaya hidup wakil rakyat PAS berubah sejak berkawan dengan Umno (6 Januari)
7. Akhbar Cina putarbelit kenyataan Mahdzir Khalid (20 Januari)
8. Mahdzir Khalid menteri yang paling mudah ditemui (19 Januari)
9. BN bukan takut kepada Mahathir (14 Januari)
10. Umno atau Mahathir yang keramat? (11 Januari)

Rabu, Januari 31, 2018

PM DAN TPM SERENTAK RASMI THAIPUSAM DI DUA KUIL BERASINGAN



KUALA LUMPUR: Kuil-kuil menjadi tumpuan bagi acara keagamaan yang disempurnakan penganut Hindu pada sambutan Thaipusam yang diraikan dalam suasana meriah hari ini.

Kuil Sri Subramaniar Swamy di Kuala Selangor menerima tetamu khas dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak manakala timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi tetamu kehormat pada sambutan di kuil dengan nama serupa di Batu Caves.

Di Kuala Selangor, ribuan penganut Hindu mula membanjiri kuil berkenaan sejak malam tadi bagi bersembahyang dan membayar nazar.




Najib yang tiba pada kira-kira 11 pagi disambut mesra oleh pengunjung dan pengerusi kuil itu, T. Morgana Sundram. Turut hadir Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Pengerusi Barisan Nasional Selangor Tan Sri Noh Omar dan anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

Rumah ibadat itu menjadi tumpuan bukan sahaja penganut Hindu malah pelancong tempatan dan asing bagi merasai sendiri pengalaman sambutan Thaipusam di Malaysia yang dianggap unik berbanding di beberapa negara lain.

Di Kuil Sri Subramaniar Swamy di Batu Caves pula, Ahmad Zahid membawa khabar gembira dengan mengumumkan peruntukan RM2 juta kepada kuil itu untuk membangunkan sebuah kompleks kebudayaan masyarakat India.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kuil Sri Subramaniar Swamy Devasthanam Tan Sri R Nadarajah, Duta Khas ke India dan Asia Selatan dalam bidang infrastruktur Tun Samy Vellu serta beberapa menteri kabinet, pemimpin masyarakat India selain ribuan penganut Hindu.

Thaipusam disambut penganut Hindu di seluruh dunia pada bulan 'Thai', iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil.

Pada perayaan Thaipusam, penganut Hindu menunaikan nazar dengan membawa kavadi dan bekas berisi susu. Bagi yang menyambutnya di Batu Caves, mereka menaiki ratusan anak tangga menuju ke kuil di dalam gua di situ.

Dalam perarakan tersebut, ada penganut yang membawa kavadi dan juga bekas mengandungi susu bagi upacara keagamaan. Orang ramai termasuk pelancong dalam dan luar negara turut bersesak sejak awal pagi untuk menyaksikan acara yang berlangsung.

Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap agar sambutan Thaipusam tahun ini akan menjadi sumber inspirasi kepada semua masyarakat untuk terus hidup dalam suasana keamanan, perpaduan dan kestabilan.

Najib berkata sambutan perayaan oleh penganut Hindu itu diharap akan terus menjadi lambang semangat Negaraku serta kebersamaan menuju masa hadapan yang gemilang.

"Marilah kita bersama-sama menghayati semangat sambutan Thaipusam bersama keluarga, sahabat handai dan kenalan yang beragama Hindu.

"Semoga semua masyarakat Hindu di Malaysia menyambut Thaipusam dengan penuh makna pada tahun ini," kata Najib menerusi video pendek bersempena sambutan Thaipusam yang dimuat naik di laman rasmi Twitter @NajibRazak.

Manakala Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap sambutan perayaan Thaipusam akan merapatkan jalinan perpaduan antara kaum di Malaysia.

"Hari Thaipusam merupakan keindahan masyarakat majmuk di Malaysia di mana setiap agama dan budaya tumbuh subur dan mekar tanpa sebarang sekatan.

"Hak kebebasan beragama terjamin di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Tradisi mengekalkan budaya ini adalah atas muafakat pemimpin pelbagai kaum yang berkongsi kuasa di bawah kerajaan Barisan Nasional," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Justeru, katanya, kerajaan akan terus komited membangunkan aspek ekonomi, pendidikan dan struktur sosial masyarakat India di negara ini supaya mereka duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kaum lain.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri juga berkata sambutan Thaipusam di Batu Caves adalah yang terbesar sehingga Batu Caves disinonimkan seperti 'mini India' di mana ia dibanjiri oleh ratusan ribu penganut agama Hindu dari seluruh dunia.

"Batu Caves kini menjadi ikonik pelancongan peringkat antarabangsa. Ia juga menjadi 'lubuk rezeki' kepada para peniaga untuk membuka gerai menjual makanan, minuman, bunga, cenderahati, pakaian dan aksesori bagi menambah kemeriahan sambutan Thaipusam," katanya.

Oleh itu, pasukan keselamatan turut bersiap-siaga untuk berkawal dan menjaga keselamatan awam sepanjang sambutan.

Ahmad Zahid berkata beliau telah memberikan arahan supaya pasukan keselamatan berkawal bagi menjamin keselamatan awam.


Sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves di sini tahun ini telah dimeriahkan lagi dengan penampilan pedati emas setinggi 6.7m yang julung kali digunakan pada perarakan sambutan itu bersama pedati perak yang menjadi tradisi selama ini.

Pengerusi jawatankuasa kuil tersebut, Tan Sri R. Nadarajah berkata pedati emas bernilai RM5 juta itu dimasukkan dalam perarakan tahun ini bagi memberikan peluang kepada orang ramai untuk melihatnya.

Bagaimanapun, katanya, perarakan pedati emas tidak akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang.

"Kami mahu memberi peluang kepada penganut Hindu di ibu negara untuk melihatnya kerana mereka telah turut memberikan sumbangan untuk membina pedati emas yang disiapkan khas tahun lepas bagi sambutan 'Vinyagar Sathurthi'.

"Pedati emas akan membawa arca Dewa Vinayagar manakala pedati perak seperti biasa akan menjunjung Dewa Murugan dan dua isterinya Dewi Valli dan Devi Theivanai," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata perarakan kedua-dua pedati itu bermula dari Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun H.S.Lee, di sini, pada jam 10 malam, Isnin lalu, dan dijangka tiba di di kuil Batu Caves pada jam 2 petang hari berikutnya.

Nadarajah berkata perarakan pulang dari Batu Caves hanya melibatkan pedati perak sahaja pada 1 Feb dan dijangka tiba di Kuil Sri Maha Mariamman pada tengah malam hari yang sama dan perarakan itu dijangka disertai seramai 200,000 penganut Hindu.


Nadarajah juga berkata seramai 1.5 juta penganut Hindu dan pelancong asing dijangka membanjiri Batu Caves yang terkenal dengan patung Dewa Murugan terbesar di dunia dengan ketinggian 42.7m pada sambutan Thaipusam tahun ini.

Beliau berkata kuil di Batu Caves yang turut menempatkan 400 gerai tidak akan ditutup dan beroperasi seperti biasa pada tempoh gerhana bulan yang dijangka berlaku pada malam hari Thaipusam.

Katanya, penganut Hindu boleh menunaikan nazar atau sembahyang pada waktu gerhana bulan pada hari berkenaan dan satu upacara khas (parigara pooja) akan diadakan pada malam itu selepas gerhana bulan.

Batu Caves merupakan kuil tunggal di negara ini yang akan membuka ruang kepada masyarakat India untuk menunaikan nazar pada tempoh berlakunya gerhana bulan.



Di Malaysia, Thaipusam turut disambut meriah di Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthabani yang terletak di atas bukit di Pulau Pinang dan Kuil Arul Subramaniar yang terletak di kawasan batu kapur Gunung Cheruh, Ipoh, Perak.

Untuk memudahkan penganut Hindu dan pelancong pergi ke Batu Caves, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan perkhidmatan tren KTM Komuter tanpa henti selama tiga hari dua malam bermula Selasa (30 Jan) bersempena sambutan Thaipusam.

Pengurus Besar Jabatan Operasi KTMB, S. Mahendran berkata perkhidmatan tren 24 jam itu melibatkan 783 perkhidmatan dengan empat laluan tren tambahan iaitu Pelabuhan Klang-Batu Caves; Pelabuhan Klang-KL Sentral-Port Klang; Seremban-Batu Caves-Seremban dan Sentul-Batu Caves-Sentul bagi memberi kemudahan pengangkutan kepada orang ramai khususnya penganut agama Hindu serta pelancong, ke Batu Caves.

"Sepanjang tempoh tersebut, waktu operasi tren tambahan akan dilanjutkan selepas waktu perkhidmatan sedia ada terakhir, antara jam 10.50 malam hingga 5.30 pagi. Walaupun pada Rabu (31 Jan) dan 1 Feb itu jatuh pada cuti umum iaitu Thaipusam dan Hari Wilayah, waktu perkhidmatan KTM Komuter pada tempoh tersebut mengikut jadual waktu hari bekerja sedia ada dan bukannya jadual hari cuti umum.

"Ini membolehkan kekerapan perjalanan antara 15 hingga 20 minit mengikut jadual kerja biasa berbanding setengah jam sekali untuk jadual cuti umum," katanya.

Beliau berkata bagi memastikan kelancaran operasi dan keselamatan penumpang, KTMB telah menugaskan 400 kakitangan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan St. John Ambulance.

PEMBANGKANG TIDAK PEKA DENGAN NASIB PEKEBUN SAWIT

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) --Tindakan pemimpin Pakatan Harapan menemui 14 duta dan tiga wakil negara Kesatuan Eropah (EU) menggambarkan pembangkang tidak peka dan prihatin dengan masalah yang menimpa pekebun sawit susulan tindakan EU memboikot produk berasaskan minyak sawit.

Ketua Penerangan UMNO Perak Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata tindakan Pakatan Harapan serta Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad itu amat bertentangan dengan langkah 2,000 peneroka diketuai Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad yang berarak menghantar memorandum bantahan kepada 17 kedutaan negara anggota EU di ibu negara pada 16 Jan lalu.

"Tindakan peneroka itu tidak sekadar mempertahankan periuk nasi sendiri, malah kantung seluruh peladang dan pekebun kecil yang bergantung pendapatan kepada tanaman kelapa sawit, bukan sahaja di Malaysia, malah di negara seluruh dunia yang menjadi pengeluar dan pengeksport produk minyak sawit.

"Maka bertepuk soraklah negara anggota EU dengan anggapan pertemuan itu, ditambah pula dengan kehadiran Tun Dr Mahathir, sebagai satu pengiktirafan dalam kalangan ahli politik tempatan terhadap usaha mereka memboikot minyak sawit Malaysia, antara negara utama dunia yang mengeksport minyak sawit selain Indonesia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya pakatan itu tidak peduli sekiranya harga sawit jatuh akibat lambakan yang akan berlaku, asalkan matlamat untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Barisan Nasional tercapai, biarpun terpaksa berpaut pada campur tangan kuasa asing.

Isnin, Januari 29, 2018

JANGAN CAKAP TAK SERUPA BIKIN, SPRM



KOTA BHARU, 29 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menerima senarai nama calon yang dikemukakan Barisan Nasional (BN) untuk tujuan saringan awal menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata senarai calon BN itu hanya membabitkan beberapa individu tertentu sahaja dan bukannya senarai lengkap.

"Setakat ini, kita hanya menerima beberapa senarai nama yang dikemukakan oleh pihak kerajaan...ia tidaklah lengkap lagi.

"Kita akan buat proses penyaringan terhadap nama-nama yang telah dihantar," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke SPRM Kelantan yang turut dihadiri pengarahnya, Datuk Moh Samsudin Yusoff di sini, hari ini.

Beliau juga memberitahu pihaknya belum menerima senarai calon daripada parti-parti lain untuk saringan.

Mengulas lanjut, Azam berkata mana-mana parti tidak perlu bimbang untuk menyerahkan senarai calon mereka untuk disaring SPRM kerana agensi itu tidak membocorkan maklumat kepada mana-mana pihak.

"SPRM tidak pernah membocorkan rahsia kepada mana-mana pihak kerana ia membabitkan etika dan amanah yang diberikan kepada kami.

"Kami dengan tangan terbuka sedia untuk membantu mana-mana parti politik (untuk melakukan saringan kepada calon mereka)," katanya.

Dalam perkembangan lain, Azam berkata beliau telah mengarahkan SPRM Perak untuk memulakan siasatan berhubung projek pembinaan dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang yang didakwa kurang memuaskan.

"Saya telah mengarahkan Pengarah SPRM Perak untuk segera memulakan siasatan hari ini dengan mendapatkan dokumen-dokumen lengkap daripada pihak tertentu yang terlibat dalam projek ini.

"Biasanya kes-kes begini melibatkan dokumen, jadi kita perlu meneliti dokumen-dokumen tertentu dahulu. Dalam masa yang sama, kita melihat kepada sudut rasuah ataupun salah guna kuasa dan keputusannya mungkin dapat dilihat dalam tempoh dua atau tiga minggu daripada sekarang," katanya.

Sabtu lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika merasmikan dewan sekolah berkenaan, menyuarakan rasa tidak puas hatinya dengan projek itu yang didakwanya tidak menepati standard yang dikehendaki.

Pembinaan dewan berharga RM600,000 itu dibina menerusi peruntukan yang disalurkan oleh Jabatan Perdana Menteri.

Ditanya mengenai perkembangan terbaharu berhubung siasatan terhadap pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang, Azam berkata sebanyak 10 saksi baharu telah dipanggil untuk memberi keterangan.

"Kita masih lagi meneliti aspek-aspek teknikal berhubung perkara ini. Setakat ini, belum ada tangkapan dilakukan," katanya.

Mengenai Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh kerajaan Selangor pula, beliau berkata setakat ini, kerajaan negeri berkenaan masih belum melaksanakannya.

"IBR adalah secara sukarela dan kami tidak beri tempoh khusus kepada mana-mana pihak. Terpulang kepada mereka, jika mahu buat IBR, kami sedia untuk memberi kerjasama bagi menjayakannya," katanya.

Ulasan saya, SPRM jangan cakap tak serupa bikin. Pada PRU 2013 ada calon yang terang terang ada kes SPRM tapi masih dipilih sebagai calon. Kali ini SPRM kena tegas minta BN letak calon yang benar-benar bersih. Kalau tidak orang tidak akan percaya kepada SPRM lagi.

Ahad, Januari 28, 2018

TAK PERLU PEMANTAU ANTARABANGSA

PADANG TERAP, 28 Jan (Bernama) -- Tiada keperluan untuk pemantau Pilihan Raya Umum (PRU) antarabangsa dihantar ke negara ini, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata ini kerana standard sistem PRU di Malaysia yang sekian lama digunapakai adalah hampir sama seperti di negara lain malah turut mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

"Kita buat PRU di negara ini semua ikut SOP yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jadi tak perlu siapa-siapa nak jenguk (pantau PRU) sebab semua dah ikut peraturan.

Masa Tun Dr Mahathir Mohamad jadi perdana menteri dahulu semua PRU dia kata telus, ini bila jadi pembangkang dia (Dr Mahathir) pula minta orang lain tengok (pantau PRU) seolah dia tidak percaya sistem itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Muafakat Komuniti dan Pemimpin Bersama Rakyat di Felda Lubuk Merbau di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan media mengenai kenyataan Timbalan Presiden Pakatan Harapan Mohamad Sabu yang menggesa duta negara-negara Eropah ke Malaysia untuk meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melaksanakan PRU yang adil.

Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) turut dilapor menggesa negara-negara Eropah berkenaan memohon kepada kerajaan Malaysia untuk membenarkan mereka menghantar pemantau PRU antarabangsa.

Ia susulan pertemuan antara pemimpin Pakatan Harapan diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad bersama 16 duta negara-negara Kesatuan Eropah (EU) baru-baru ini di ibu negara.

-- BERNAMA

BUKAN SEMUA PERKARA BOLEH DIKONGSI



KUALA BERANG, 27 Jan (Bernama) --"Berkongsi ada hadnya, tidak semua perkara boleh kita boleh kongsi," kataTimbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari.


Beliau berkata demikian bagi menegur sikap pengguna internet (netizen) yang gemar mendedahkan identiti di media sosial hingga mampu menjadi penyumbang kepada berlakunya jenayah siber dan rompakan seperti mana kejadian rompakan di Rantau Panjang, Kelantan dua hari lepas.

"Kita mempunyai niat sekadar untuk berkongsi gambar kenang-kenangan contohnya gambar hari jadi dengan keluarga kita...tetapi apabila kita tayang dalam media sosial, ia akan membuatkan orang lain mengenali kita.

Implikasi kita tidak pasti sama ada baik atau buruk tetapi ia akan mendedahkan diri kita kepada mereka di luar sana dan mungkin akan menyumbang kepada kes-kes penculikan. Sebagai contoh semalam artikel ada dikeluarkan di sebuah portal atas talian iaitu 'Kerap tayang kemewahan menyebabkan dia hampir hilang nyawa'...ini salah siapa? Salah dia atau salah orang lain," katanya .

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Mini Karnival Usahawan Desa Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di sini, hari ini.

Menurut laporan akhbar tempatan, seorang peniaga dalam talian di Kelantan parah, selepas ditembak sekumpulan perompak di pejabatnya.

Mangsa menjalankan perniagaan dalam talian dengan menjual kosmetik, barang kemas dan pakaian, selain aktif membuat siaran langsung di laman sosial, Facebook sambil menayangkan wang tunai yang banyak.

Selain itu, Johari yang juga Anggota Parlimen Hulu Terengganu itu, penggunaan kad debit secara kerap untuk pembelian dalam talian untuk pembelian turut menjadi punca kepada pendedahan data seseorang.

"Lebih selamat kalau kita guna kad kredit daripada kad debit . Kerana melalui debit ia boleh dedahkan banyak perihal kita.

Orang di luar sana banyak mencari peluang...bersifat kedekut sedikit untuk mengisi data terutamanya bila isi sesuatu borang yang memerlukan kita isi pengenalan diri. Jangan isi semua," katanya.

-- BERNAMA

AHMAD HAMZAH KETUA MENTERI MELAKA?



KUALA LUMPUR: Pengalaman menjadi Ahli Parlimen Jasin dan prestasi cemerlang ketika menjadi Exco Kerajaan Negeri satu ketika dulu memungkinkan Datuk Seri Ahmad Hamzah boleh dipertimbang dilantik Ketua Menteri Melaka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Melaka, Datuk Ghazalee Muhamed berkata dalam politik ini macam-macam perkara di luar perkiraan manusia boleh berlaku. Tidak ada perkara yang mustahil sekiranya itu semua kehendak-Nya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas war-war dikalangan ahli politik tempatan mengatakan Datuk Seri Ahmad akan bertanding di DUN Serkam untuk membolehkan beliau dilantik ke jawatan tersebut selepas Pilihan Raya nanti.

"Beliau banyak pengalaman. Pengalaman jadi Exco dan Ahli Parlimen," katanya.

Sekiranya Datuk Seri Ahmad meninggalkan Jasin dikatakan Datuk Ghazalee bakal mengisi kekosongan tersebut.

Mengulas perkara ini beliau menegaskan sebagai ahli parti yang sentiasa menjunjung kesetiaan kepada pemimpin, beliau bersedia diletakkan di mana sahaja kerusi sama ada di Dewan Negeri ataupun Parlimen.

"Saya ahli parti dan akan mematuhi apa juga arahan dari pucuk pimpinan," katanya.

Pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahukan muka-muka baru diberi peluang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14).

Kata pemimpin nombor satu dan dua parti, ini bagi memberi peluang kepada calon-calon muda untuk menjadi pemimpin pelapis di kawasan setelah pemimpin lama mengundur diri.

Datuk Ghazalee berkata beliau bersetuju dengan pandangan PM dan TPM bahawa calon muda diperlukan sebagai pelapis tapi seelok-eloknya biarlah secara beransur-ansur, bukan sekali gus.

"Walau bagaimanapun pemimpin lama masih diperlukan atas kewibawaan dan pengalaman mereka.

"Di Melaka sudah ramai calon muda diberi peluang. Ada yang menang dan ada yang kalah sepertimana calon Bukit Baru yang gagal pada PRU ke 13," ujarnya.

Datuk Ghazalee berkata pada PRU 14 nanti ia merupakan satu pilihan raya yang amat sengit dan parti mesti mempertaruhkan hanya calon-calon yang boleh menang.

"PRU kali ini bukan untuk di cuba-cuba. Sebab itu saya katakan dia, kita mesti letakkan con boleh nenang dan bukan calon untuk kita cuba,"katanya.

Soal usia kata beliau harus ditolak tepi. Perkara yang paling penting sekali ialah calon tersebut disenangi pengundi di kawasan masing-masing.

Melaka antara negeri idaman Pakatan Harapan (PH) untuk ditawan selain daripada Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.

Perak, Terengganu dan Kedah tidak terkecusli untuk di perintah oleh PH.

Datuk Ghazalee berkata apa yang diharapkan oleh PH itu hanyalah angan-angan kosong semata.

Ini kerana BN Melaka mantap dan kuat apabila kesenua wakil rakyat mereka telah nemberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk kawasan masing-masing.

"BN Melaka setakat ini mantap dengan YB sedia ada telah memberi khidmat yg baik dan cemerlang.
Melaka tetap milik BN pada PRU 14 nanti," katanya.

Mengenai hasrat PH yang mahu melantik Tun Dr Mahathir Mohamed sebagai PM sementara, Datuk Ghazalee menjelaskan sebenarnya bekas PM selama 22 tahun itu hanya dijadikan ikon oleh DAP bagi memecahkan undi Melayu.

"Tun M jadi perangkap perpecahan bagi orang Melayu.
Mana mungkin disebuah negara mengamalkan demokrasi, mantan PM di lantik semula jadi PM. Cara PH itu seolah-olah negara kita ketandusan pemimpin," ujarnya.

Mengulas ura-ura kononnya Datuk Seri Idris Haron bakal bertanding Parlimen Tangga Batu, beliau berkata Ketua Menteri Melaka ini adalah seorang pemimpin berwibawa.

"Beliau juga berbakat, berkebolehan dan terserlah kepimpinannya. Rugi pemimpin seperti beliau yang banyak pengalaman, tak dikongsi oleh rakyat Malaysia.

"Seandainya beliau diberi peluang di peringkat pusat, saya yakin beliau mampu menyumbang dengan lebih baik dan cemerlang untuk negara," katanya.

Kata Datuk Ghazalee, Melaka wajar menampilkan pemimpin hebat diperingkat nasional seperimana Allahyarham Tun Ghaffar Baba yang telah mengharumkan nama Melaka dalam kepimpinan Pusat.

Sabtu, Januari 27, 2018

BANYAK PARTI BERTANDING BERI KELEBIHAN KEPADA BN

GUA MUSANG, 25 Jan (Bernama) -- Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan banyak parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) untuk memenanginya.

Beliau berkata ini kerana parti yang bertanding itu bakal berdepan dengan pecahan undi terutama apabila calonnya yang tiada pengaruh.

Katanya parti pembangkang yang bakal bertanding pada PRU14 adalah daripada serpihan parti asal yang belum mendapat keyakinan rakyat khususnya penduduk luar bandar untuk menyokong parti tersebut.

"Kita (BN) sudah terbukti mendapat sokongan majoriti pengundi pada PRU sebelum ini dan saya yakin BN kekal menerima sokongan rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Meranto di sini, hari ini.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, yakin BN tiada masalah untuk mencapai kemenangan namun sama ada akan mendapat majoriti yang lebih besar atau tidak bergantung kepada sokongan rakyat terhadap BN.

Mengenai tindakan pembangkang yang banyak menyentuh peribadi pemimpin negara terutama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Tengku Razaleigh berkata perjuangan pemimpin parti politik hendaklah berdasarkan kepada pembelaan rakyat dan bukan soal peribadi yang di luar tatacara politik.

-- BERNAMA

Khamis, Januari 25, 2018

MHONLINE TERIMA PENGHARGAAN DARIPADA IKIAM



AMPANG: MH Online satu satunya berita portal yang sedang meningkat naik turut mendapat penghargaan daripada Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) dalam majlis malam media IKIAM di sini malam tadi.

Editor kanan MH Online, Zabidi Saidi menerima sijil penghargaan tersebut daripada Pengerusi IKIAM, Datuk Zahidi Zainul Abidin. Turut menerima penghargaan ialah Utusan Malaysia, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro, RTM, TV3, TV Al Hijrah, Astro Awani dan Agro Malaysia.

IKIAM juga  turut melancarkan Tabung Kebajikan Bekas Wartawan untuk membantu bekas wartawan yang uzur.

Zahidi  berkata IKIAM mengambil inisiatif ini untuk membantu bekas wartawan yang uzur dan sebagainya.

"Memandangkan bekas wartawan bukannya ada pencen maka IKIAM terpanggil untuk melancarkan tabung ini. Saya berharap semua rakyat Malaysia dapat memberi sumbangan ikhlas kepada tabung tersebut," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sekalung Budi Bersama Media, di sini, malam tadi.

Buat permulaan beliau mengumumkan sumbangan IKIAM sebanyak RM2,000 untuk tabung tersebut.

IKIAM juga buat pertama kalinya akan mengadakan Persidangan Antarabangsa Gerakan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Asean dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Zahidi berkata persidangan dengan objektif memperkasakan sektor ekonomi umat Islam itu akan berlangsung pada Mac ini.

Beliau berkata, untuk merealisasi hasrat itu, IKIAM akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

"Antara agenda besar yang akan kita bincangkan dalam persidangan ini adalah pengenalan logo Produk Ummah yang berfungsi membezakan produk halal milik usahawan Islam dengan bukan Islam.

"Logo Produk Ummah sama fungsinya seperti logo halal JAKIM. Terapi, bezanya...Logo ini menandakan produk berkenaan halal, selamat dan bersih digunakan umat Islam sekali gus dapat membantu usahawan kecil untuk memasarkan produk mereka.

"Tidak seperti logo halal yang dikeluarkan JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), ia terbuka untuk dipohon oleh usahawan Islam dan bukan Islam. Usahawan kecil juga menghadapi kesukaran memohon kerana perlu mempunyai kilang sebagai syarat," katanya.

Mengulas lanjut syarat memohon logo Produk Ummah, Zahidi berkata, usahawan hanya perlu membayar fi memproses dan peguam kira-kira RM200 serta diwajib membayar zakat.

Katanya, IKIAM dan RISDA memperkenalkan logo Produk Ummah susulan kurang syarikat Islam memperoleh halal dari JAKIM.

"Dianggarkan, 73 peratus syarikat bukan Islam mendapat status halal.

"Kita harap usaha yang kita lakukan ini dapat membantu memperkasa dan merancakkan ekonomi umat Islam di rantau Asia Tenggara serta negara anggota OIC," katanya.

Selain itu, sektor pelancongan dan kewangan berasaskan Islam turut diketengah sebagai agenda untuk diperbincang dalam persidangan itu.

DAH SEBULAN DANGDUT DI KAMPUNG TELARI, JABATAN AGAMA MASIH MENYIASAT

KUALA TERENGGANU, 24 Jan (Bernama) -- Kemunculan mendadak tarian dangdut yang menampilkan unsur lucah dengan penari berpakaian seksi membawa lenggok tarian yang mengghairahkan di Kampung Telari, di sini mencetuskan rungutan penduduk.

Sedangkan sebelum ini perkampungan itu terkenal begitu memelihara budaya tradisional seperti dikir barat sebagai hiburan bersama rakan-rakan dan juga anggota keluarga yang diadakan sebulan sekali.

Namun kini persembahan hiburan itu tidak lagi ditonjolkan sejak beberapa tahun lalu, hingga dangdut mengambil tempatnya dengan daya tarikan yang kuat, hingga mampu menggamit warga emas berkopiah.

Ada pula penonton membawa bersama anak-anak kecil menyaksikan tarian yang tidak bermoral itu, seolah-olah itu tarian biasa sahaja.

Bernama melakukan tinjauan selama sebulan di tempat persembahan, bagi menyaksikan sendiri 'kemeriahan' di kawasan tersebut.

Wartawan mendapati persembahan bermula 9 malam hingga 12 tengah malam dengan menampilkan empat penyanyi wanita berpakaian seksi dan menari dengan gaya mengghairahkan bersama lagu berbaur lucah.

Seorang penduduk kampung (lelaki) terbabit berusia 40-an yang enggan dikenali berkata persembahan dangdut dilakukan dua hingga tiga kali seminggu tanpa jadual tetap.

"Kita orang kampung dah banyak kali tegur tapi tidak diendahkan kerana kawasan yang digunakan untuk persembahan tersebut adalah tanah persendirian dan orang kampung tidak boleh berbuat apa-apa.

"Penyanyi yang membuat persembahan ini kebanyakan diambil dari negeri jiran (Kelantan), dan mereka ini dibayar anggaran RM400 seorang untuk membuat persembahan satu malam," katanya kepada Bernama.

Beliau juga tidak menafikan masyarakat kampung mulai berasa terganggu dengan kebingitan muzik dangdut hingga ada yang sukar melelapkan mata.

Persembahan tersebut dianjurkan secara percuma oleh beberapa orang perseorangan di kawasan tanah persendirian yang dipercayai milik penduduk kampung itu.

Katanya keadaan tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana jarak lokasi itu kurang 200 meter dari masjid yang menjadi pusat latihan marhaban dan pusat Taranum al-Quran.

Tambahnya, penonton yang hadir bukan sahaja daripada kampung berkenaan malah ada juga dari Marang, Wakaf Tapai, dan beberapa kawasan lain.

Sementara itu, seorang lagi penduduk berusia 60-an turut memberitahu hampir 80 peratus penduduk kampung tidak senang dengan kegiatan tersebut dan berharap ia mendapat perhatian pihak berwajib.

"Saya bimbang jika aktiviti seperti ini berterusan... ia akan memberi kesan negatif kepada anak-anak kampung kerana penonton yang hadir bukan sahaja hanya melihat persembahan malah mereka turut diminta bersama-sama menari di ruangan persembahan," katanya.

Dalam tinjauan itu, dapat dilihat beberapa kali penyanyi wanita bertindak menarik penonton dan penonton lelaki yang 'usianya telah senja' turut menari bersama mereka dan kanak-kanak yang berada di situ dari pelbagai peringkat umur. Ada seawal umur setahun.

Di akhir temu bual, penduduk kampung berkenaan sempat melontarkan harapan agar ada pihak yang tampil mengambil tindakan kerana telah beberapa kali aduan dibuat namun setakat ini tiada sebarang tindakan yang dilakukan bagi menghentikan persembahan tarian 'ghairah' di kampung itu.

Sementara itu, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu Datuk Wan Ismail Sahaimi Wan Omar yang dihubungi berkata pihak penguatkuasaan syariah JHEAT mengesahkan bahawa ada beberapa kali menerima aduan daripada penduduk Kampung Telari.

"Buat masa ini kita masih menjalankan siasatan terhadap dakwaan penduduk kampung berkenaan," katanya.

-- BERNAMA

Rabu, Januari 24, 2018

DEMOKRASI DI MALAYSIA TIDAK MATI

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata demokrasi di Malaysia tidak mati kerana kerajaan melayan semua rakyatnya dengan adil dan tidak menafikan hak mereka.

Beliau berkata realitinya kerajaan menyalurkan pelbagai bantuan untuk rakyat termasuk membantu yang miskin dengan pelbagai program, menyediakan peruntukan yang banyak untuk membantu peniaga kecil, memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) dan menyediakan peluang ekonomi serta pekerjaan.

"Pendek kata, kerajaan berbuat apa sahaja bagi menunaikan tanggungjawabnya kepada rakyat.

"Oleh sebab itulah, jika adapun pihak yang cuba memberikan imej negatif kepada kerajaan, realitinya data menunjukkan sebaliknya," katanya menerusi blog beliau sskeruak.blogspot.my hari ini.

Beliau memberi contoh, Indeks Demokrasi 2016 yang menunjukkan daripada 167 buah negara, Malaysia berada di tangga 65 (skor 6.54), berbanding Thailand (4.92), Kemboja (4.27), Myanmar (4.20), Vietnam (3.38) dan Laos (2.37) yang diletakkan dalam kategori tidak bebas.

Salleh berkata negara-negara Amerika Tengah yang dekat dengan Amerika lebih gagal demokrasinya dengan skor Honduras dan Guatemala masing-masingnya 5.92.

Malahan, katanya, negara Bhutan (skor 4.93) yang mempunyai kadar kegembiraan penduduk tinggi juga gagal demokrasinya dan Qatar (skor 3.18), yang mempunyai per kapita penduduk paling tinggi di dunia.

"Ini menunjukkan tahap demokrasi Malaysia tidaklah teruk seperti mana yang dituduh oleh sesetengah pihak sebagai demokrasi yang mati. Kita tetap negara demokrasi.

"Freedom of the World 2018 yang baru diterbitkan juga tidak mengkategorikan demokrasi Malaysia mati, tetapi bersama dengan Singapura sebagai 'partly free' dengan skor 4, berbanding Brunei, Thailand, Vietnam, Laos, Kampuchea dan Myanmar yang tidak bebas (skor 6)," katanya.

Beliau berkata 'partly free' itu bukanlah menunjukkan demokrasi negara mati atau kerajaan menafikan hak rakyatnya, tetapi kerana beberapa akta pencegahan yang terpaksa kita kekalkan untuk menjaga kestabilan dan keamanan negara.

"Amankah Malaysia? Tentu sekali," kata Salleh dengan menyatakan Global Peace Index 2017 meletakkan indeks keamanan negara adalah di tempat ke-29 daripada 163 negara, dan kelima paling aman di Asia Pasifik selepas New Zealand, Jepun, Australia, dan Singapura.

"Sebagai rakyat, kita sepatutnya berbahagia dengan nikmat keamanan ini. Akhirnya, tahun ini kita akan mengadakan pilihan raya umum. Tentunya semua parti telah bersedia untuk menghadapi PRU ini.

"Harapnya PRU 2018 adalah yang paling aman dan stabil, semoga dengannya negara kita akan terus maju," katanya.

-- BERNAMA

Selasa, Januari 23, 2018

CUKUP UMNO SELANGOR DICERAI DUA KALI



SHAH ALAM: Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor menegaskan beliau tidak boleh memberikan gambaran secara terperinci berkaitan nama calon yang bakal diketengahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Sebaliknya Datuk Johan Abd. Aziz berkata calon-calon yang diketengahkan nanti akan diteliti oleh Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar sebelum dimuktamatkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya tak boleh nak spesifik nama-nama calon. Tapi Tan Sri Noh (Omar) seorang pemimpin yang kuat bekerja dan memerhati setiap calon yang bakal bertanding nanti. Tahun ini setiap Parlimen menghantar enam nama untuk parlimen dan dewan undangan negeri. Tengoklah siapa yang layak nanti dialah yang akan mewakili parti,” katanya ketika di temui di pejabatnya di sini, Jumaat lepas.

Datuk Johan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih menegaskan, walau bagaimanapun hanya Presiden Umno dan Pejabat Perdana Menteri (PMO) sahaja yang boleh membuat kata putus berkaitan calon-calon Selangor yang layak pada Pru-14 ini. Dipihak Umno Selangor akan menyerahkan kesemua nama-nama tersebut ke PMO untuk dimuktamatkan.

“PM dah cakap tak payah hantar resume. Beliau ada task forcenya untuk menentukan calon sesuai. PM buat begitu sebab tak mahu ada yang melobi. Selain daripada itu, penilaian terhadap calon juga dibuat oleh enam atau tujuh agensi seperti LHDN dan SPRM. Jadi lebih baik kita serahkan sahaja kepada PMO untuk tentukan calon,” katanya.

Beliau menegaskan task force yang dibentuk oleh Perdana Menteri ternyata berkesan apabila dua pilihan raya kecil iaitu di Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Umno menang besar pada kedua-dua pilihan raya yang diadakan, tidak lama dulu sehinggakan kemenangan besar kedua-dua calon kawasan berkenaan, membawa imej Umno tetap releven sepanjang zaman.

Datuk Johan seterusnya berkata dari segi semangat untuk memenangi hati rakyat Selangor pada PRU-14 nanti, Umno negeri sudah bersedia. Malah telah begitu lama membuat persediaan bagi merampas semula Selangor daripada Pakatan Harapan (PH). Sejak tewas pada PRU-12 lagi, Umno Selangor telah bangkit dengan satu azam iaitu bekerja dalam satu pasukan.

Beliau menjelaskan akibat tidak bersatu hati di kalangan pemimpin Umno peringkat bahagian, serta perubatan jawatan untuk menjadi calon, Parlimen Sepang kecundang di tangan pembangkang.

“Pada hal Sepang ini merupakan kubu kuat Umno. Oleh kerana pemimpin Pemuda dan Bahagian buat masalah, akhirnya kawasan itu kalah,” katanya.

Datuk Johan berkata untuk PRU-14 ini, Umno Selangor mengharapkan peristiwa di Sepang itu tidak wujud kembali. Mana-mana Bahagian harus memberikan kerjasama penuh serta mematuhi amanat PM yang mahukan ahli-ahli parti memberikan kerjamasma antara satu sama lain, andai kata salah seorang (daripada enam orang) daripada mereka tidak terpilih pada PRU kali ini.

“Cukup dua kali kita diceraikan. Untuk kali ini, Umno Selangor tidah mahu diceraikan buat kali ketiga,” katanya.

Mengenai calon baru yang dikatakan bakal diketengahkan oleh semua negeri, Datuk Johan berkata beliau tidak mahu komen berkaitan calon muda ini. Tetapi beliau berpendapat sebaik-baiknya calon lama juga harus dikekalkan kerana calon lama ini banyak pengalaman serta ada penyokongnya tersendiri.

Datuk Johan turut bercakap mengenai ura-ura Tan Sri Muhammad Mat Taib inginkan jawatan parti apabila kembali menyertai Umno setelah meninggalkan PAS dan PKR, Datuk Johan menegaskan itu semua hanyalah telahan masyarakat semata-mata.

“Pada hal Tan Sri Mat Taib berkali-kali cakap dia masuk Umno sebab mahu lihat agenda Bumiputera di Selangor dapat dikembalikan semula kepada orang Melayu.

“Bila dia lihat sejak pembangkang perintah Selangor, hak orang Melayu sudah tak ada lagi. Sebagai contoh kuota beli rumah untuk Bumiputera telah dihapuskan oleh Menteri Besar, Azman Ali (Datuk Seri).

“Begitu juga dengan Yayasan Selangor tidak dijaga dengan betul dan bangunan asrama telah dijual. Itu sebab Tan Sri masuk balik Umno sebab nak perjuangkan perkara-perkara yang saya sebutkan tadi,” katanya.

Kekalahan dua kali pada PRU-12 dan PRU-13 akibat kelekaan membuatkan Umno Selangor lebih prihatin pada kali ini. Beliau bangkit dari kealpaan lalu menyusun pelbagai strategi termasuk menubukan media sosial dengan harapan media ini nanti memainkan peranan memberikan maklumat kepada seluruh pengundi di negeri itu.

Beliau percaya dengan bantuan media sosial ini, banyak berita-berita tidak benar yang diucapkan oleh pembangkang dapat diviralkan supaya rakyat tahu apa sebenarnyan yang diperkatakan oleh pihak berkenaan.

Malah beliau sendiri membangunkan fb sediri dan pada setiap masa menghantar maklumat berkaitan program-program beliau di kawasannya, Semenyih serta kawasan-kawasan lain di seluruh Selangor.

“Dulu masa jadi kerajaan negeri, kita tak tahu nak bangkang bila pembangkang kata perkara yang tidak betul tentang kerajaan negeri. Sekarang ni baru kita sedar, rakyat harus diberikan berita benar dan bukan berita pembohongan pihak sana,” ujarnya.

Menjawab soalan siapakah bakal dilantik menjadi Menteri Besar Selangor andai kata BN memenangi PRU kali ini, Datuk Johan menegaskan kalau diambil kira soal layak kesemua yang menang nanti layak di pertimbangkan jadi MB Selangor.

“Kesemua 35 kerusi yang menang nanti semua yang menang layak jadi Menteri Besar. Sebenarnya untuk pengetahuan semua, kita tidak pernah memikitkan siapa MB, apa yang kita fikirkan sekarang bagaimana caranya untuk menang di Selangor. Malah Tan Sri Noh (Omar) cakap kita serahkan sahaja kepada Perdana Menteri siapa bakal MB nanti. Hastag kita ialah Selangor Wajib Menang,” katanya.

KAMPUS DIGITAL BUKA LEMBARAN BAHARU

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Pelaksanaan kampus pintar atau kampus digital di seluruh universiti awam menjelang hujung tahun ini akan membuka lembaran baharu dan mewujudkan konsep Ekonomi Pintar, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Idris berkata pelaksanaan kampus pintar yang mengaplikasikan teknologi untuk setiap urusan dalam kalangan warga kampus itu merupakan satu daripada langkah kementerian menuju ke arah Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0) yang memerlukan penggunaan teknologi terkini.

"Ini (pelaksanaan kampus digital) akan membawa satu konsep Ekonomi Pintarkepada negara. Memang ia (aplikasi teknologi) bermula dari kampus, saya percaya ia akan berkembang kepada rakyat,"katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Cashless Campus @UiTM di Sungai Buloh di sini, hari ini.

Turut hadir Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said, Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM Tan Sri Dr Ahmad Zaidee Laidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata Tan Sri Jamaludin Ibrahim.

Idris berkata beliau yakin aplikasi kampus digital juga akan turut dilaksanakan di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) kelak

Isnin, Januari 22, 2018

PAS SAHKAN PERTANDINGAN TIGA PENJURU

SHAH ALAM, 21 Jan (Bernama) -- PAS akan bertanding lebih daripada 130 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bagi membolehkannya membentuk kerajaan jika memenangi pilihan raya umum yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS perlu bertanding sekurang-kurangnya lebih daripada jumlah majoriti mudah iaitu daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

"Kemungkinan (bertanding) 130 lebih (kerusi Parlimen), sekurang-kurangnya majoriti mudah.

"PAS mahu membentuk kerajaan ataupun menyertai pembentukan kerajaan, bukan lagi sebagai pembangkang yang lemah," katanya dalam sidang media selepas melancarkan jentera PAS Selangor untuk PRU14 pada Himpunan Fastaqim 2.4 di sini, hari ini.

Pada PRU13, PAS bertanding 73 kerusi Parlimen dan menang 21 daripadanya. Enam daripada 21`kerusi kini disandang anggota Parlimen Parti Amanah Negara, parti serpihan PAS, manakala kerusi Parlimen Pokok Sena juga terlepas apabila penyandangnya Datuk Mahfuz Omar mengumumkan keluar parti itu awal tahun ini.

Himpunan, yang bertujuan menggembleng kekuatan serta menggerakkan kebangkitan anggota serta penyokong PAS, turut dihadiri Naib Presiden parti Idris Ahmad, Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi dan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Abdul Hadi berkata PAS juga bertekad mahu merampas Selangor pada PRU14 bagi menjadi contoh kepada negeri-negeri lain.

"Selangor perlu menjadi contoh, kita harap rakyat Selangor mesti memilih kepimpinan Islam," katanya.

PAS Selangor sebelum ini dilapor menyasarkan sekurang-kurangnya 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri di negeri itu, termasuk di kawasan diwakili Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Bukit Antarabangsa) dan Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Kajang).

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi mengingatkan kerajaan Selangor supaya tidak mencampuradukkan isu berkaitan politik dalam urusan pentadbiran negeri.

Ini susulan dakwaan peruntukan tahunan yang disediakan untuk Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS di negeri itu disekat.

Sallehen sebelum ini berkata bahawa beliau telah dimaklumkan oleh pegawai Unit Perancangan Ekonomi (EPU) negeri Selangor bahawa peruntukan kepada wakil rakyat PAS untuk tahun ini akan dibekukan.

Mohamed Azmin bagaimanapun menafikan kerajaan Selangor menyekat peruntukan kepada wakil rakyat PAS di negeri itu dan sebaliknya berkata kelewatan itu mungkin berpunca daripada masalah teknikal.

Ditanya tentang calon Menteri Besar Selangor daripada PAS sekiranya parti itu menguasai negeri itu pada PRU14, Abdul Hadi berkata pihaknya tidak akan menamakannya sehinggalah proses pilihan raya selesai.

"Kita tak mahu buat andaian, kita tunggu lepas PRU14. Mengenai sama ada PAS akan terus sokong Mohamed Azmin (sebagai Menteri Besar Selangor), kamu (wartawan) boleh baca (buat telahan) sendiri lah," katanya.

Ulasan saya, pengumuman PAS untuk bertanding lebih daripada 130 kerusi parlimen sudah tentu mengecewakan Pakatan Harapan (PH). Hasrat PH untuk melihat pertandingan dua penjuru antara Barisan Nasional (BN) dengan PH sudah hancur. Maka harapan PH untuk menawan Putrajaya nampaknya malap.

PH lebih suka pertandingan dua penjuru dengan BN kerana apabila berlakunya pertandingan tiga penjuru, ia akan memberi kelebihan kepada BN seperti mana berlaku dalam PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Mustahil PAS dapat menawan Putrajaya. Sebaliknya dahulu PAS menang banyak kerusi kerana dibantu oleh DAP. Dapatkah PAS menambah kerusi parlimen kali ini daripada 21 kerusi? Pemerhati politik melihat walaupun ada parti serpihan yang baru seperti Bersatu dan Amanah tetapi pertandingan sebenar di kerusi majori pengundi Melayu masih lagi di antara BN dengan PAS.

Seperti kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapha Mohamad bahawa tiada pakatan antara BN dengan PAS untuk beri laluan kepada PAS memerintah Kelantan maka pertandingan BN lawan PAS kali ini di Kelantan lebih sengit dengan adanya Amanah.

Ahad, Januari 21, 2018

RAKYAT KELANTAN BUKAN MAHU STADIUM BAHARU

PASIR PUTEH, 20 Jan (Bernama) -- Kerajaan persekutuan akan membina sebuah stadium negeri bertaraf antarabangsa jika Barisan Nasional (BN) kembali memerintah Kelantan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pembinaan stadium itu antara perkara yang akan dimuatkan dalam manifesto BN Kelantan yang sedang dirangka.

"Kita akan kenal pasti tapak yang sesuai untuk membina stadium baharu tersebut sama ada di Pasir Puteh atau Machang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan peletakan batu asas pembinaan Pasar Selising di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan merangkap Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua UMNO bahagian Pasir Puteh Datuk Zawawi Othman.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata pembinaan stadium itu bagi memenuhi hasrat rakyat negeri ini berikutan kegagalan kerajaan negeri pimpinan PAS menunaikan janjinya untuk membina sebuah stadium baharu di Bukit Merbau di sini.

Ulasan saya, rakyat Kelantan bukannya mahu stadium baharu sebaliknya mereka mahu benda yang lebih bermakna daripada manifesto BN Kelantan.

Jika ini yang diumumkan oleh Tok Pa maka BN tak dapat mengambil kesempatan dari pertandingan tiga penjuru BN-PAS-Amanah pada PRU akan datang. Sepatutnya Tok Pa memasukkan pemulangan royalti minyak kepada rakyat Kelantan jika BN berjaya menawan semula Kelantan.

Rakyat Kelantan diabaikan royalti minyak oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau menjadi PM. Maka senjata ini lebih kuat untuk menawan Kelantan dalam usaha Dr Mahathir mahu menumbangkan kerajaan PAS.

PILIH KERAJAAN UNTUK GENERASI MASA DEPAN

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Bekas Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin, menggesa rakyat negara ini memilih kerajaan untuk generasi Malaysia pada masa depan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata rakyat juga keliru dengan permainan politik pakatan pembangkang.

"Hari ini rakyat keliru apabila calon perdana menteri pembangkang (Tun Dr Mahathir Mohamad) adalah orang yang (dikatakan) bertanggungjwab memenjarakan suami kepada calon timbalan perdana menteri pembangkang (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail), jadi apakah wayang yang dimainkan mereka.

"Pembangkang juga tidak menawarkan sesuatu yang menarik untuk disokong, mereka menggambarkan kerajaan sekarang tidak baik, sedangkan mereka sendiri lemah dan longlai," katanya pada sidang media di majlis pelancaran Empirical Malaysia, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang baharu ditubuhkan, di sini hari ini.

Empirical Malaysia, yang didaftarkan pada Oktober tahun lepas, adalah kumpulan pendesak dalam membantu kerajaan membangunkan ekonomi Melayu dan Bumiputera melalui kajian empirikal yang akan dijalankan bersama golongan profesional.

Anina, yang juga presiden NGO itu, berkata beliau mahu rakyat membuat penilaian tepat pada PRU14 dengan memilih parti poliitk yang mempunyai trek rekod yang baik dalam menjaga kebajikan rakyat.

"Jangan pilih pemimpin atas jasa atau sumbangan yang telah dilakukan pada sejarah yang lalu, tapi pilih kerajaan untuk generasi masa depan Malaysia,'' katanya.

-- BERNAMA