Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata bagaimanapun PAS berhak bertanding di mana-mana kerusi dalam sistem demokrasi termasuk di kawasan Parlimen Permatang Pauh dan kerusi Dewan Undangan Negeri Air Putih.
"Ini adalah satu cabaran sekiranya PAS bertanding kerana semua lihat PAS sebagai membantu Barisan Nasional (BN) namun segalanya akan bergantung kepada rakyat," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau berkata kehadiran PAS itu akan memberi kelebihan kepada BN untuk menang dan sudah tentu Gerakan, MCA dan UMNO akan rasa gembira dengan perkara itu.
Lim berkata demikian sebagai mengulas hasrat PAS untuk meletakkan calon di Parlimen Permatang Pauh seperti yang diumumkan Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada ceramah parti itu di Permatang Pauh malam tadi.
Menurut Abdul Hadi, kerusi parlimen itu pernah dimiliki PAS pada pilihan raya umum 1978 menerusi wakilnya Zabidi Ali. Kerusi Parlimen Permatang Pauh kini disandang Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang memenanginya menerusi pilihan raya kecil pada Mei 2015 selepas penyandangnya Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai anggota parlimen.
PAS bertanding di Permatang Pauh sejak 1969 sebelum menyerahkan kerusi itu kepada PKR pada pilihan raya umum 1999. Anwar mewakili kerusi parlimen itu sejak 1982 atas tiket UMNO. -- BERNAMA