Ahad, Julai 30, 2017

10 RIBU HADIRI ZIKIR PERDANA

PUTRAJAYA, 30 Julai (Bernama) --Kira-kira 10,000 umat Islam membanjiri Masjid Putra di sini bagi mengimarahkan program Zikir Perdana Sedunia 2017 hari ini.

Turut hadir pada program anjuran Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (Pertama) itu ialah Menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Shahidan Kassim.

Seramai 150 ulama dari dalam negara dan 38 negara lain turut menyertai program itu.

Bertemakan 'Islam adalah Keamanan', program berkenaan yang bermula pada 4 petang hingga 10 malam itu diselang seli dengan bacaan Al-Quran, berzikir, berselawat, ceramah agama dan solat berjemaah.

Jualan terak makanan oleh golongan asnaf turut diadakan di Dataran Masjid Putra bagi membangunkan ekonomi mereka di samping menarik kehadiran pengunjung ke program zikir perdana tersebut.







TASAWUF PENUHI KEPERLUAN JIWA


oleh SHAHBUDIN HAJI EMBUN
(sudah disiarkan dalam Utusan Malaysia)

Sejarah memainkan peranan penting dalam setiap perkara yang harus dilalui oleh individu. Peranan sejarah dalam kehidupan bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh.

Ini kerana apabila dibuka kitab suci al-Quran sendiri banyak diperkatakan tentang sejarah rasul-rasul, nabi-nabi dan peristiwa kaum-kaum yang terdahulu. Sehingga Syeikh Wan Ahmad Al-Fatani mengatakan dalam kitabnya Hadiqatul Az-har bahawa orang yang menguasai ilmu tarikh (sejarah) adalah orang yang cerdik, tajam penilikannya, jauh pandangannya dan luas pengetahuannya. Beliau turut mengulas bahawa orang yang menguasai ilmu tarikh (sejarah) akan memperoleh martabat yang tinggi di dunia dan di akhirat.

Sehubungan itu juga, saya amat tertarik dengan usaha Perdana Menteri Malaysia menyarankan agar kita mengenali semula ahli fikir Islam yang lebih dahulu memonopoli penguasaan ilmu berbanding ahli fikir Barat. Akan tetapi, persoalannya ialah apakah iktibar yang dapat diambil melalui sejarah hidup mereka sehingga mereka berjaya mencapai ke tahap itu.

Artikel yang ingin ditulis ini adalah bagi respons kepada artikel yang disiarkan pada Khamis, 10 November 2005 mengenai ``Negeri Sembilan mahu tubuh Pendaftar Tarikat''. Pertama sekali, hujah yang ingin dikemukakan adalah berdasarkan faktor sejarah. Keterangan yang ditulis mengenai kepentingan sejarah adalah bertujuan mengimbas kembali jasa-jasa yang dilakukan oleh ulama-ulama terdahulu di tanah air yang telah berjaya memartabatkan agama Allah (Islam) dan bangsa Melayu itu sendiri. Perlukah kita lupa kepada nama-nama besar dalam sejarah Tanah Melayu seperti Syeikh Daud Abdullah Fatani, Syeikh Wan Ahmad Al-Fatani, Syeikh Ismail Pulau Besar, Syeikh Abdul Kadir Bukit Bayas, Tok Kenali, Tokku Paluh dan ramai lagi yang tidak dinyatakan di sini.

Bagaimanakah mereka membina kekuatan rohani mereka dalam membantu orang Melayu dan orang Islam bangkit menentang penjajah, memberi kesedaran tentang kepentingan ilmu dunia dan akhirat, dan yang paling penting mengubah paradigma orang Islam-Melayu terhadap jihad di jalan Allah seterusnya kita orang Islam dan bangsa Melayu dapat mengecapi nikmat iman dan Islam pada hari ini.

Memetik daripada kata-kata Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani dalam kitab Sirrul-Asrar fi ma yahtaju ilaihil-abrar bahawa ``manusia itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu fizikal dan spiritual.

Pada segi zahirnya manusia itu lebih kurang sama saja. Dalam segi kerohanian, di sebalik zahir seseorang itu, masing-masing diri itu adalah berbeza''. Melalui sejarah kita seharusnya maklum bahawa Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani merupakan keturunan Rasulullah s.a.w., pengasas kepada Tarikat Qadiriyah yang berpegang kepada akidah Sunah Waljamaah, Mukmin dan Muslim yang sejati dan puncak evolusi kerohanian sekitar tahun 500 Hijrah.

Tujuan fakta di atas diutarakan adalah bagi membuktikan kepada pihak kerajaan betapa pentingnya aspek rohani dalam kehidupan yang mana kita dapat lihat tokoh-tokoh terkemuka Islam kebanyakannya melalui jalan sufi dan tarikat. Sekiranya aspek rohani dan tarikat diperlekehkan maka kita dapat lihat orang Islam dan orang Melayu mencari alternatif lain bagi mengisi rohani mereka.

Antaranya adalah dengan bermeditasi cara yoga, twin hearts, Shamanism, Shamanisme, Taoisme dan banyak lagi. Melalui pengamatan yang dilakukan, mesej yang ingin dibawa oleh pertubuhan ini ialah konsep cakra yang terdapat di dalam agama Buddha di samping menyebut nama Tuhan mereka, konsep penyatuan dengan alam bagi kekuatan rohani serta kekuatan jasmani, dan konsep kasih sayang sesama manusia tanpa mengira agama, bangsa dan negara.

Sekiranya tarikat dan sufi dikaji lebih mendalam oleh pihak kerajaan, maka masalah yang amat serius dari segi akidah umat Islam tidak akan berlaku. Ini kerana tarikat mengajak pengamalnya berzikrullah mengikut kaedah yang disediakan oleh ulama Sunah Wal-Jamaah, menguatkan tauhid dan usuluddin, membina kekuatan rohani orang Islam untuk maju dari pelbagai aspek seperti mana yang telah dibuktikan oleh ulama-ulama yang terdahulu dan tarikat serta sufi membawa konsep kasih dan sayang sesama makhluk Allah tidak kira manusia daripada pelbagai agama, bangsa, negara malahan juga haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam semula jadi.

DUA PROGRAM SERENTAK HAFLAH ZIKIR PERDANA MALAM TADI

PUTRAJAYA: Malam tadi tercatat sejarah Haflah Zikir Perdana Sedunia 2017 mengadakan dua program serentak.

Bertempat di Masjid Putra, program Tafaqquh Fiddin diadakan telah mendapat sambutan 3,000 orang. Sejarah majlis  Tafaqquh Fiddin secara umumnya ialah majlis yang bersanad semenjak zaman Rasulullah SAW di mana ianya diwarisi oleh para ulama yang telah mengambil ilmu mereka dari guru guru yang tidak terpitis sanad manhaj keilmuan dan akhlaknya sehingga ia berhasil menjamin pengisian ilmu agama yanng disampaikan itu.

Malam tadi Habib Kazim as Saggaf, Syeikh Afeefuffin Al Jailani, Syeikh Nuruddin Al Banjari, Habib Ali Al Hamid dan Syeikh Faisal Canada telah menyampaikan ceramah mereka berkisar sekitar tajuk Ihsan Asas Wasatiyah.

Di Studio TV Hijrah Cyberjaya pula, diadakanpertandingan marhaban Piala Ahmad Zahid Hamidi yang disiarkan secara langsung oleh TV Hijrah. Kira kira 1.5 juta telah menonton siaran langsung tersebut yang menunjukkan umat Islam menghargai eni marhaban atau dalam Bahasa Melayu lebih dikenali sebagai Selamat Datang.

Seni ini diperkenalkan oleh pendakwah Islam sebagai satu cara mereka berdakwah dan menarik perhatian masyarakat ketika itu. Pertandingan Marhaban Piala Ahmad Zahid Hamidi adalah acara tahunan yang bertujuan untuk mencetuskan satu kebangkitan peradaban Islam.

Enam kumpulan telah menyertai pertandingan tersebut.







Sabtu, Julai 29, 2017

"FIQH SABAHI" CARA BARU PEJABAT AGAMA SABAH MENYAMPAIKAN DAKWAH

PUTRAJAYA: Mufti Sabah, Datuk Bongsu Aziz berkata suasana di Sabah amat berbeza dengan di Semenanjung kerana dalam satu keluarga ramai ahli keluarga yang menganut pelbagai agama.

Oleh itu katanya beliau kena mengeluarkan fatwa mengikut keadaan setempat asalkan ia tidak bercanggah dengan al Quran.

"Bagi Dr Zakir Naik mengucapkan Merry Xmas kepada penganut agama Kristian adalah haram tetapi bagi saya ia adalah harus selagi ia tidak berniat mengagungkan agama lain," katanya ketika membentangkan kertaskerjanya "Fiqh Sabahi" di simposium tarekat tasawuf nusantara di masjid putra di sini petang tadi.

Katanya lagi, "Fiqh Sabahi" bukanlah mazhab baru tetapi ia adalah satu metodologi dakwah di Sabah kerana berdakwah di Semenanjung tidak sama dengan berdakwah di Sabah.

Sebab itu di Sabah ada yang masuk Islam sebanyak tiga kali kerana memeluk Islam bukan kerana Allah tetapi kerana kebendaan.

"Mereka keluar masuk Islam kerana kita yang lemah tidak memantau mereka sebaliknya mubaligh Kristian cergas bergaul dengan mereka di pendalaman," katanya.

Beliau yang berceramah sambil membuat lawak jenaka menyebabkan hadirin sebelah petang tidak mengantuk.

"Saya orang campuran Brunei (ayah) dan Dusun (emak) maka kawan saya kata saya orang Brudu," katanya sambil disambut gelak ketawa,

Katanya, Sabah memang unik kerana ada 37 suku kaum jadi berdakwah di Sabah memerlukan kebijaksanaan dalam menghadapi karenah pelbagai suku kaum.

Oleh itu melalui "Fiqh Sabahi", katanya, menggunakan pendekatan baharu dalam menyampaikan dakwah supaya seseorang itu memeluk islam bukan secara   paksaan yang akhirnya  Islam hanya di kerongkong semata-mata.

Beliau mengingatkan umat islam berhati hati memilih tarekat yang mahu diamalkan.

"Baru baru ini saya dapat  mengesan satu tarekat yang mengamalkan sujud sahaja sedangkan solatnya tidak. Maka kena rujuk kepada pejabat agama jika mahu amalkan tarekat yang muktabar," katanya lagi.



UMAT ISLAM NUSANTARA HADAPI EMPAT CABARAN UTAMA

PUTRAJAYA: Umat Islam nusantara menghadapi empat cabaran utama kata  Kiyai Dr Wahfiudin Sakam.

Katanya, cabaran pertama ialah kemajuan teknologi informasi yang mana umat Islam terdedah dengan informasi yang negatif seperti pornografi, orientasi LGBT, pemurtadan agama serta pelbagai games yang membuat mereka ghaflah terhadap kewajiban keagamaan mereka.

"Cabaran kedua, perkembangan demografi membawa konsekuensi pada munculnya masalah masalah sosial dan alam sekitar," katanya ketika membentangkan kertaiudin bers kerjanya berjudul "Kepentingan ihsan dalam menghadapi cabaran geopolitik semasa" dalam Simposium Tarekat Tasawuf Nusantara 2017 di  Masjid Putra di sini hari ini.

Kiya Dr Wahfuidin berkata cabaran ketiga ialah dinamika geopolitik di mana kawasan nusntara adalah satu wilayah rebutan dua kuasa besar China dan Barat.

"Proxy war tidak dapat dielakkan dalam bidang bisnes dan ekonomi, teknologi dan media informasi," katanya lagi.

Beliau berkata cabaran keempat ialah ekstrater (Ekstrimisme, radikalisme dan terrorisme) yang mana ketidakadilan dalam bidang politik dan ekonomi menimbulkan kemarahan pihak-pihak yang menjadi korban.

"Ada korban yang berusaha melawan secara legal dan ada yang menempuh cara cara yang illegal lalu menyiapkan barisan pendukung bertindak radikal dan ekstrim," katanya lagi.







PEGAWAI RHB BANK BERSUBAHAT DENGAN PANEL PENILAI UNTUK TIPU PELANGGAN?

KUALA LUMPUR: Seorang pelanggan Bank RHB mendakwa bank itu bersubahat dengan panel penilai bank tersebut untuk menipu pelanggan.

Beliau yang enggan disebut namanya berkata bakal pembeli rumahnya telah bersetuju untuk membeli banglo dua tingkatnya yang dibeli pada tahun 2009 pada harga RM1.2 juta.

Bakal pembeli tersebut telah memohon pinjaman dengan Bank RHB yang menilai rumah tersebut dengan harga RM3 juta pada tahun 2015. Namun demikian bank tersebut gagal mengemukakan laporan panel penilai bank iaitu Azmi & Co.

Bosan dengan kelambatan laporan penilai Azmi & Co maka bakal pembeli telah mendapatkan penilai sendiri J.S. Valuers yang menilai rumah tersebut dengan harga RM2. 5 juta.

Katanya, yang pelik kenapa Azmi & Co yang menilai dengan harga RM3 juta tetapi menipu built up area dengan keluasan 6,800 kaki persegi sedangkan keluasan built up yang sebenar 3,494 kaki persegi.

"Saya hairan kenapa RHB bergantung kepada laporan panel penilainya Azmi & Co yang kononnya menulis 6,800 kaki persegi built up areanya sedangkan ia adalah tidak benar," kata beliau kepada catatanzabidi.blogspot.com

Oleh kerana rasa tertipu bakal pembeli rumah pelanggan Bank RHB itu tidak jadi beli rumah itu dan dengan sendirinya Bank RHB telah kehilangan seorang bakal pembeli rumah.

Beliau meminta SPRM menyiasat kemungkinan pegawai bank bersubahat dengan panel penilai untuk menyapu RM500,000 di atas perbezaan penilaian antara J.S. Valuers dan Azmi & Co.

Katanya, perkara ini mungkin sudah lama berlaku kepada bakal pembeli rumah Bank RHB dan jika seorang pembeli yang diluluskan pinjaman RM3 juta
pegawai sapu RM500,000 maka dalam masa satu tahun memang sudah kaya pegawai tersebut.

"Bagi saya, ia adalah skandal pinjaman perumahan Bank RHB yang terbesar di abad ini," katanya lagi.

Jumaat, Julai 28, 2017

TAREKAT DAPAT MEMBANTU SELURUH UMAT ISLAM

KUALA LUMPUR:  Yang Dipertua Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (PERTAMA), Datuk Ashaari Ibrahim yakin melalui tarekat ia dapat membantu seluruh umat Islam.

Katanya, kekuatan umat Islam yang sebenar terletak kepada mereka yang mengamalkan tarekat.

Sehubungan dengan itu beliau terharu dengan keputusan persidangan ulama sedunia yang diadakan selama tiga hari di UTM yang bersetuju menubuhkan Pusat Sufi Sedunia di Kuala Lumpur.

"Kita akan melengkapkan pusat sufi yang ada di Morocco dan Indonesia," katanya ketika berucap di majlis penutupan persidangan ulama antarabangsa di UTM di sini petang ini.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada penderma yang telah sudi menderma USD1 juta untuk menubuhkan Pusat Sufi Sedunia.

"Pusat ini mungkin akan jadi kenyataan dalam masa enam bulan. Buat permulaan ia akan berpusat di ibupejabat PERTAMA di Jalan Tuanku Abdul Rahman," katanya kepada para pemberita.

MALAYSIA BERJAYA ATASI MASALAH EKSTRIMISME

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak semua umat Islam bersatu dan kurangkan perbezaan pendapat.

Katanya, kita kena fokus kepada akar untuk menyelesaikan masalah ekstrism, radikal dan keganasan.

"Kita kena tegas dalam soal ini dan tidak harus berkompromi dalam isu ini," tulisnya dalam buku cenderahati Haflah Zikir Perdana Sedunia 2017

Beliau memuji langkah yang diambil oleh Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS) dan Centre for Advance Studies on Islam, Science and Civilization, UTM (CASIS) menganjurkan persidangan kedua meja bulat mengenai Toleransi dan Moderasi Dalam Masyarakat Islam Kontemporari tiga tahun lepas.

Dr Zahid menambah ajaran tradisi islam mengutuk keras sebarang bentuk ekstrimi
sme,radikal dan keganasan.

"Sebagai umat Islam kita kena gunakan segala sumber dan bekerjasama dengan semua pihak untuk menghalang trend ini," katanya.

Katanya, kerajaan telah menahan 240 individu yang terlibat dalam DAESH  sejak Februari 2013 yang mana 90 orang terdiri daripada 70 lelaki dan 16 wanita terlibat di Syria.

"Malaysia agak berjaya mengatasi masalah ekstrimisme ini dengan kerjasama JAKIM yang sentiasa memantau kegiatan mereka," katanya lagi.

Katanya lagi, malaysia amat bertuah kerana dalam masyarakat berbilang kaum dan agama masalah ekstrisme tidaklah ketara.

"Kita tidak ada konfrontasi antara orang Islam dengan bukan Islam di negara ini kecuali ada tiga insiden iaitu Peristiwa 13 Mei, Memali 1985 dan Kampung Medan Petaling  Jaya 2001," katanya.


DIDIK KELUARGA DARI AWAL UNTUK KEMBALIKAN TAMADUN ISLAM

KUALA LUMPUR: Umat Islam diseru mengamalkan cara hidup yang berlandaskan Islam supaya dihormati oleh bukan Islam.

Menurut Sheikh Zulfikar dari Pakistan, umat Islam kena tunjuk tauladan yang baik kepada bukan Islam kerana Islam itu cintakan perdamaian.

"Islam itu indah. Jika keluarga Islam baik maka baiklah masyarakat Islam. Apabila masyarakat Islam baik maka baiklah tamaddun Islam," katanya ketika berucap di persidangan ulama antarabangsa di UTM di sini.

Katanya lagi, untuk mengembalikan tamaddun Islam maka ia perlu bermula dari mendidik ahli keluarga dengan cara hidup Islam. Beliau yang pernah bekerja dengan bukan Islam di luar Negara hairan kenapa kawannya yang berusia 50 tahun belum kahwin.

Kawannya jawab tak perlu beli lembu jika susu lembu mudah dibeli di pasar.

"Cara hidup seperti ini tak perlu diamalkan oleh orang Islam dan kita kena kembali kepada cara hidup Islam yang sebenar," katanya. Beliau yang memulakan kariernya sebagai jurutera telah meletakkan jawatan kerana berdakwah sepenuh masa dalam Bahasa Inggeris dan Urdu.

Beliau telah berdakwah di 60 buah Negara.

ORANG RAMAI DIJEMPUT SAKSIKAN WORLD SAMA' FEST MALAM INI

KUALA LUMPUR: Orang ramai dijemput menyaksikan World Sama' Fest di PICC Putrajaya malam ini.

Dua malam persembahan Sama' di mana pada malam 27 Julai untuk kumpulan muslimah manakala malam ini untuk kumpulan muslimin.

Persembahan malam ini selama 3 jam turut diserikan oleh penyanyi tempatan Datuk Hattan dan Datuk Nash.

Datanglah beramai ramai malam ini untuk menghayati zikir zikir yang disampaikan hanya untuk Allah.



Khamis, Julai 27, 2017

ANWAR DAN LIM KIT SIANG TIDAK MAAFKAN DR MAHATHIR

PUTRAJAYA, 27 Julai (Bernama) -- Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpendapat Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan dibenarkan menjadi perdana menteri oleh pimpinan Pakatan Harapan sekiranya memenangi pilihan raya umum ke-14 tetapi hanya diperalatkan untuk menyerang UMNO.

Beliau berkata Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP Lim Kit Siang tentunya tidak akan membiarkan perkara itu menjadi kenyataan atas sejarah hitam atau 'dosa silam' Dr Mahathir ke atas mereka dan keluarga mereka semasa bergelar perdana menteri.

"Dosa Dr Mahathir pada mereka terlalu besar. Macam Lim Kit Siang, anaknya, Lim Guan Eng pernah dipenjara dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) (kini telah dimansuhkan) oleh Dr Mahathir dan begitu juga dengan Anwar, beliau sendiri dituduh dengan pelbagai tuduhan dan keburukan moral yang tentunya turut memalukan seluruh anggota keluarganya.

"Sebab itu, saya tidak fikir Anwar atau Kit Siang atau keluarga mereka boleh memaafkan dosa besar Dr Mahathir itu," katanya mengulas mengenai kemungkinan Dr Mahathir menjadi perdana menteri sementara jika Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sijil kepada 213 penerima pada majlis konvokesyen Sijil Kemahiran Malaysia - Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (SKM-PPT) Kemas di sini, hari ini.

Ismail Sabri tidak menolak kemungkinan Dr Mahathir dipergunakan oleh Anwar dan Kit Siang untuk menyerang UMNO dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas menyedari wujud 'isu peribadi' antara beliau dan UMNO selepas usaha menempatkan anaknya Datuk Seri Mukhriz di kerusi naib presiden UMNO pada pemilihan parti 2013 gagal.

Dalam konteks sama, katanya, DAP menggunakan peluang itu untuk menyerang Melayu dan UMNO melalui Dr Mahathir sehingga parti yang ditunjangi orang Melayu itu terus berpecah sedangkan DAP kekal seperti yang mereka mahukan.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata parti yang diwakili orang Melayu telah berpecah kepada lima iaitu UMNO, PAS, PKR, Parti Amanah Negara dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia manakala dalam skala Pakatan Harapan, DAP kekal sebagai parti dominan.

"Budi bicara atau ihsan mereka (DAP) amat ditagih dalam memilih atau melantik seorang perdana menteri jika memenangi pilihan raya umum," katanya.

-- BERNAMA

ANGGAPAN ORANG BARAT TERHADAP ISLAM ADALAH SALAH

KUALA LUMPUR: Adalah salah menganggap bahawa orang Islam adalah pengganas. Menurut Prof Othman Shibly bukan semua orang Islam adalah pengganas walaupun segelintir yang bersifat ekstrim.

Dalam wawancara eksklusif dengan beliau, Othman berkata tanggapan orang Barat terhadap orang Islam adalah tidak benar.

Jangan hukum semua orang Islam dengan tanggapan yang salah, kata beliau yang menjadi pensyarah di University at Buffalo di New York, Amerika Syarikat.

Beliau yang berasal dari Syria telah menetap di Amerika Syarikat selama 25 tahun dan kini menjadi warganegara Amerika Syarikat.

Beliau memuji langkah yang diambil oleh PERTAMA yang menganjurkan persidangan ulama sedunia.

Katanya, persidangan ini fokus kepada aspek praktikal untuk mengatasi masalah yang dihadapi umat Islam sekarang.

Bagi Dr Aziz El Kobaiti Idrissi dari Morocco berpendapat tarekat adalah jawapan kepada masalah yang dihadapi oleh umat Islam.

Islam tanpa sufi adalah  mati. Sufi adalah hati kepada Islam. Untuk membangkitkan kembali umat Islam maka sufi adalah jalan yang terbaik, katanya lagi.

Sehubungan dengan itu beliau bersetuju dengan penubuhan World Sufi Centre yang bertujuan untuk menyatukan ahli sufi di seluruh dunia.

Kita sekarang berada dalam krisis, maka melalui tarekat dapat menyelesaikan masalah umat Islam, tegasnya lagi

Prof Othman Shibly dari University at Buffalo, New York
Dr Aziz El Kobaitu Idrissi dari Morocco

PUSAT SUFI SEDUNIA SETUJU DITUBUHKAN

KUALA LUMPUR: Sidang pleno Persidangan Ulama Sedunia di UTM di sini malam tadi bersetuju menubuhkan Pusat Sufi Sedunia (World Sufi Centre).

Dalam perbincangan ulama seluruh dunia malam tadi mereka bersetuju WSC berpusat di Kuala Lumpur.

Tujuan penubuhan WSC adalah untuk menjalankan kajian tentang tarekat yang diamalkan oleh umat Islam di seluruh dunia. Ia juga bertujuan mengeratkan silaturahim di kalangan pengamal tarekat di seluruh dunia.





UCAM BANTU GELANDANGAN

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) dengan kerjasama RISDA akan menerajui program untuk membantu golongan gelandangan di seluruh Malaysia bermula tahun ini.

Sejumlah RM10,000 telah disumbangkan oleh RISDA untuk menjayakan Program Jejak Gelandangan di lima rumah gelandangan di seluruh Malaysia.

Pengerusi Lembaga Pengarah UCAM, Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh berkata pihaknya bertungkus lumus untuk membantu golongan gelandangan di rumah Anjung Singgah dan sekitar Chow Kit dan Pudu di sini.

Katanya, langkah yang diambil dapat membantu golongan tersebut yang memerlukan bantuan tempat tinggal dan sara hidup untuk menjalani kehidupan yang lebih baik apabila mereka mendapat tempat tinggal sendiri.

"Melalui sumbangan yang diberikan RISDA, pihak kami dapat memberi bantuan kelengkapan seperti pek makanan kering dan keperluan kebersihan diri selaras dengan objektif tanggungjawab sosial korporat UCAM," katanya pada majlis pelancaran Program Jejak Gelandangan di Anjung Singgah, Jalan Hang Lekiu, di sini hari ini.

Rabu, Julai 26, 2017

PERTAMA ANJUR HAFLAH ZIKIR PERDANA SEDUNIA

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (PERTAMA) menganjurkan Haflah Zikir Perdana Sedunia selama lima hari bermula hari ini di UTM, Jalan Semarak di sini.

Menurut Yang Dipertua PERTAMA, Datuk Haji As'ari Ibrahim, PERTAMA yang ditubuhkan pada 11 September 2015 bergerak berlandaskan kepada visi dan misi PERTAMA.

"Pengajuran Haflah Zikir Perdana Sedunia 2017 adaah cetusan idea Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi mengangkat penganjuran ini ke tahap antarabangsa,"katanya dalam buku cenderahati Haflah Zikir Perdana Sedunia 2017.

Beliau berharap penganjuran haflah kali ni dapat mencetuskan pergerakan kebangkitan ketamadunan Islam di mana setiap program yang dianjurkan mempunyai tujuan dan hasrat tertentu.

Di antara visi dan misi PERTAMA ialah membina satu pergerakan yang berasaskan ilmu dan amalan Islam mengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dan beraqidah Asya'irah dan Maturidiah.ian.


Selain itu ia bertujuan untuk mengarusperdanakan perana tarekat dan tasawuf dalam membangunkan negara. Ia juga membela dan membetulkan salah anggapan tentang tarekat tasawuf berdasarkan kajian ilmiah dan kesahihan hujah dari Al Quran, Sunnah, Ijma' Ulama dan Qias dan memastikan kesuciaan.

Visi dan misi lain penubuhan PERTAMA ialah merapatkan silaturrahim antara ahli ahli kumpulan pengamal tarekat serta mewujudkan kerjasama dengan pihak berwajib agama dan agensi kerajaan yang lain di peringkat negeri dan negara.

Malah ia juga mengadakan aktiviti kebajikan untuk masyarakat Islam khasnya dan rakyat Malaysia amnya dan menubuhkan tabung kebajikan bila mana wujud keperluan.



CUKUPLAH MAHATHIR

KUALA LUMPUR: Apa akan jadi jika Datuk Mukhriz menang bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada tahun 2013? Adakah Tun Dr Mahathir akan mengkritik Datuk Seri Najib Tun Razak? Tanya seorang veteran ketika minum di Restoran Nagas dekat PWTC petang semalam. Walaupun Nagas sudah bertukar nama Restoran Al Raziq tetapi ia tetap popular dengan nama Restoran Nagas,

Veteran itu bukannya ada jawatan dalam Umno tetapi sebagai bekas pegawai kerajaan beliau memantau apa yang bekas Perdana Menteri 22 tahun itu buat untuk orang Melayu. Katanya, jika Mukhriz menang hari itu Dr Mahathir tidak akan mengkritik PM sekarang sebaliknya akan mendesak Najib melantik Mukhriz sebagai TPM selepas perletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Dr Mahathir ingatkan selepas bersara pada tahun 2003 beliau akan mati setahun kemudiannya. Tetapi Allah lanjutkan usianya. Dah 14 tahun bersara tetapi tak mati mati. Beliau pun tak sangka Najib yang dididiknya tidak mengikut arahannya supaya duitnya dari luar negara dapat masuk. Najib sebagai Menteri Kewangan dikatakan tidak meluluskan permohonan Dr Mahathir punca kemarahan Dr Mahathir kepada Najib memuncak.

Tetapi Najib lebih kebal dari Pak Lah, Dr Mahathir tekan Pak Lah sehingga keluar dari Umno, Dr Mahathir balun Pak Lah akhirnya BN tak dapat dua pertiga dan Pak Lah beri laluan kepada Najib jadi PM. Dr Mahathir ingatkan Najib akan menjadi mangsa seterusnya sebaliknya Najib steady dan Dr Mahathir terpaksa mengasaskan parti baru Bersatu untuk tentang PM.

Veteran itu berhujah dari satu segi Dr Mahathir untung berada di sebelah pembangkang kerana pembangkang tidak akan korek kesalahannya lagi. Zaman Mahathir, Lim Kit Siang suruh tubuh Suruhanjaya Diraja mengenai Forex, Mahathir arah Menteri Kewangan kata tak perlu. Tetapi bila Dr Mahathir terlalu lantang mengkritik kerajaan maka kerajaan terpaksa menubuhkan Suruhanjaya Diraja tersebut yang dicadangkan oleh Lim Kit Siang dahulu. Lim senyap tak dapat kata apa.

Agaknya betullah seperti kata bekas Presiden PAS, arwah Ustaz Fadhil Nur bahawa beliau minta Allah panjangkan usia Dr Mahathir supaya beliau dapat melihat kesilapan yang dilakukannya selama ini. Sudah ramai yang jadi mangsa politik Dr Mahathir seperti Tun Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Ghafar Baba, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pak Lah.

Dengan tokoh tokoh tersebut Dr Mahathir berjaya cantas mereka tetapi dengan Najib beliau gagal kerana rakyat sudah sedar bahawa perjuangan Dr Mahathir bukan kerana bangsa tetapi kerana dendam di atas kekalahan anaknya Mukhriz. Kalau Ku Li boleh bubarkan Parti Semangat 46 selepas dua kali kalah dalam pilihanraya umum, Dr Mahathir perlu kembali ke pangkal jalan selepas Bersatu gagal menumbangkan BN pada PRU akan datang.

Selasa, Julai 25, 2017

NAIB PRESIDEN UMNO: SIAPA GANTI ZAHID DAN SHAFIE?

KUALA LUMPUR: Persidangan perwakilan bahagian Umno baru sahaja bermula di seluruh negara sambil bahagian masing masing mengadakan majlis rumah terbuka aidilfitri. Tahun ini semua ahli majlis tertinggi Umno bebas merasmikan mana mana bahagian kerana tahun ini tiada pemilihan di peringkat bahagian  dan pusat.

Peluang merasmikan persidangan bahagian digunakan oleh semua pemimpin Umno untuk berkempen merebut semua jawatan yang akan diadakan pada tahun hadapan. Sudah tentu jawatan nombor tiga parti menjadi tumpuan umum kerana seperti biasa jawatan presiden dan timbalan presiden menang tanpa bertanding.


Sekarang ada dua jawatan naib presiden Umno kosong iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas timbalan presiden Umno dan Shafie Apdal yang keluar dari Umno.

Pada pemilihan 2018, yang pastinya Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas Tugas Khas, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan menang selesa kerana beliau adalah penyandang jawatan buat penggal ketiga. Manakala dua kerusi yang kosong dijangka menjadi rebutan empat orang menteri.

Setelah menjadi ketua pemuda Umno selama dua penggal, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dijangka menawarkan diri sebagai calon naib presiden Umno. Beliau agak ambitious untuk menjadi PM Malaysia di masa hadapan maka kekosongan yang ditinggalkan Dr Zahid dijangka diisi oleh KJ.

Seperti juga Dr Zahid dan Hishammuddin sebagai bekas ketua pemuda, maka peluang untuk KJ menjadi naib presiden Umno melalui tiket ketua pemuda agak cerah. Manakala kerusi yang ditinggalkan oleh Shafie Apdal dari Sabah dijangka diisi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rahman Dahlan atau Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Rahman lebih senior dari Dr Salleh sebagai menteri tetapi Rahman selaku bekas setiausaha pemuda sudah tentu tidak mahu undi pemuda berpecah memandangkan bossnya, KJ turut bertanding. Jika Rahman bertanding maka peluang KJ untuk menang agak tipis maka Rahman terpaksa berkorban demi bossnya, KJ.

Maka Dr Salleh akan menjadi calon tunggal dari Sabah yang menawarkan diri sebagai naib presiden Umno. Jika Rahman dan Dr Salleh bertanding maka peluang orang Sabah untuk menang agak tipis maka Rahman bukan sahaja akan beri laluan kepada KJ malah kepada Dr Salleh menjadi calon tunggal dari Sabah. Laluan Rahman ini akan memudahkan kemenangan Salleh yang mendapat undi yang solid dari Sabah.

Kali terakhir Bendahari Umno menang naib presiden Umno pada 40 tahun lalu apabila Tengku Razaleigh Hamzah menang di tempat pertama diikuti oleh Tun Ghafar Baba dan Tun Musa Hitam pada tahun 1978.

Ada orang berpendapat bahawa Dr Salleh tidak perlu tanding naib presiden Umno kerana beliau sudah menjadi Bendahari Umno tetapi jika beliau tidak tanding maka rugi tiada orang Sabah yang menjadi naib presiden Umno walaupun tiga kerusi itu bebas ditandingi oleh sesiapa.

Bendahari Umno selepas Ku Li iaitu Tun Daim Zainudin dan Datuk Seri Husni Hanazlah tidak bercita cita tinggi tetapi Dr Salleh nampaknya berminat meninjau sokongan dari seluruh negara dengan menerima undangan merasmikan persidangan bahagian tidak seperti mantan Bendahari yang tidak berminat merasmikan persidangan bahagian. Tinjauan ini perlu sama ada beliau boleh menggantikan tempat Shapie Apdal pada tahun hadapan.





Dua orang lagi calon yang dikatakan berminat menawarkan diri sebagai calon naib presiden Umno ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob dan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Mahdzir Khalid. Mampukah Mahdzir meneruskan tradisi bekas menteri pelajaran memenangi jawatan naib presiden Umno seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Musa Hitam dan Datuk Seri Anwar Ibrahim? Sama samalah kita tunggu pemilihan 2018.

Ahad, Julai 23, 2017

HISHAMUDDIN CABAR DR MAHATHIR LAWAN NAJIB DI PEKAN

LIPIS, 23 Julai (Bernama) -- Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding di Pekan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang sekadar kenyataan bersifat populis.
Beliau juga melihat kenyataan itu bertujuan mengganggu tumpuan anggota UMNO kerana dibuat ketika UMNO bahagian sedang sibuk mengadakan persidangan perwakilan.

"Saya tengok itu merupakan kenyataan bersifat populis, kalau Tun Dr Mahathir berani bertandinglah di Pekan, saya cabar dia.

"Kalau dia berani, saya sendiri dan Datuk (Seri) Dr Ahmad Zahid Hamidi dan seluruh kepimpinan Barisan Nasional (BN) akan turun pertahankan kedudukan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sebagai Presiden parti... jadi kalau berani bertandinglah," katanya.

Hishammuddin berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Cameron Highlands di Sungai Koyan, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau diminta mengulas berhubung kenyataan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Pakatan Harapan akan kemungkinan bertanding pada PRU ke-14 dan mencari kawasan sesuai termasuk Pekan sekiranya keadaan memerlukan.

Mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli berhubung sokongan Melayu terhadap Pakatan Harapan sekarang mengatasi sokongan kepada BN, Hishammuddin berkata kenyataan itu hanya satu andaian menjelang PRU-14.

Menyentuh hasrat perwakilan UMNO Cameron Highlands yang mahu kawasan berkenaan ditandingi oleh UMNO dan bukan lagi MIC pada PRU akan datang, Menteri Pertahanan itu berkata usul tersebut akan dibawa ke peringkat pimpinan tertinggi untuk diperhalusi.

"Kita kena tengok calon yang boleh diterima rakyat dan yang penting dalam keadaan sekarang, anggota dalam dewan (persidangan) ini sahaja tidak mampu memenangkan calon kita.

"Jika tanpa sokongan semua kita tidak akan mampu menang di kawasan yang mempunyai berbilang kaum. Namun saya beri jaminan kepada mereka, apa jua keputusan pucuk pimpinan kelak adalah demi keutuhan parti," katanya.

Wan Rosdy dalam ucapannya sebelum itu menyatakan 39 daripada 40 cawangan di bahagian berkenaan mahukan calon UMNO bertanding di kawasan Parlimen Cameron Highlands.

Ini berdasarkan jumlah pengundi Melayu dan Orang Asli yang kini mewakili 55 peratus dan kemenangan calon BN pada pilihan raya umum lalu, Datuk Seri G. Palanivel daripada MIC banyak dibantu oleh majoriti tinggi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai selepas BN tewas di kerusi DUN Tanah Rata.

-- BERNAMA

RISIKO TERLALU TINGGI JIKA UMNO KALAH DI SABAH

PAPAR, 22 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan anggota UMNO dan seluruh rakyat Sabah agar tidak sesekali terpengaruh dengan cubaan pihak luar untuk 'memBrexit'kan' Sabah daripada gelanggang UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ahmad Zahid berkata tindakan pihak 'luar' itu, termasuk bekas kepimpinan UMNO peringkat negeri dan nasional yang telah meninggalkan UMNO, merupakan langkah yang silap dan boleh memberi impak negatif kepada rakyat dan negeri Sabah.

"Jika ada orang luar sama dari dalam kita (BN dan UMNO), tokoh yang asalnya daripada Barisan Nasional yang cuba membawa rakyat Sabah keluar daripada gelanggang UMNO dan BN, mereka salah perkiraan," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Secara Berkelompok perwakilan UMNO Zon 3 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bongawan dekat sini Sabtu.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Musa Aman, Ketua UMNO Bahagian Kimanis yang juga Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Datuk Abdul Rahim Ismail dan Datuk Isnin Aliasni, masing-masing Ketua UMNO Bahagian Papar dan Beaufort.

Brexit adalah merujuk kepada langkah rakyat Britain untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) melalui keputusan pungutan suara dengan andaian bahawa dengan bersendirian, ekonomi Britain akan lebih kukuh dan stabil.

Menurut Ahmad Zahid, rakyat Britain begitu menyesal dengan langkah brexit berkenaan kerana akibat langkah itu bukan seperti yang diharapkan mereka.

"Sabah tidak mahu jadi brexit di Malaysia ini. Sabah tidak mahu BN dan UMNO kecundang. Oleh yang demikian, berpandu kepada pengalaman di depan mata kita, bagaimana menyesalnya rakyat Britain dan kita tahu bahawa jika ini dilakukan oleh pemimpin berkenaan (bekas pemimpin UMNO dan BN) untuk membawa sekali lagi rakyat Sabah keluar dari gelanggang 'water reservoir' yang sama dengan reservoir Putrajaya, maka bukan pemimpin yang menerima akibat tetapi rakyat menerima akibat tidak baik ," kata Ahmad Zahid.

Menurut beliau jika Sabah meninggalkan gelanggang UMNO dan BN, risikonya terlalu tinggi seperti yang pernah dilalui oleh beberapa kerajaan negeri Sabah sebelum ini apabila mereka menubuhkan kerajaan hasil mainan sentimen yang tidak selari dengan kerajaan Pusat.

Justeru, katanya, situasi politik di Sabah kini di mana wujud perkongsian kuasa di kalangan parti-parti komponen BN perlu diteruskan demi kestabilan politik meskipun mungkin kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) ditambah daripada 60 kepada 73 kerusi kelak.

"Saya harap rakan-rakan kita dalam BN jangan beri tekanan kepada Ketua Menteri. Kita harap rakan-rakan kita dalam BN berunding dengan sebaik-baiknya. Yang penting bukan pembahagian kerusi tetapi yang penting UMNO dan BN boleh memerintah dengan selesa di Sabah.

Ahmad Zahid yakin kerajaan BN yang ditunjangi UMNO tidak mustahil dapat dikekalkan meskipun dengan tambahan kerusi DUN berkenaan kerana dapatan kajian Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun 2016 mendapati 76 peratus rakyat Sabah masih memerlukan BN untuk meneruskan agenda membangunkan Sabah.

Malah, kata Ahmad Zahid, kajian universiti berkenaan juga menunjukkan bahawa 71.2 peratus rakyat Sabah menganggap BN telah berjaya melakukan transformasi kepada Sabah sekali gus membuktikan rakyat Sabah mahukan UMNO dan BN mentadbir Sabah.

Beliau juga mengingatkan anggota UMNO dan rakyat di Sabah agar belajar daripada peristiwa Tanduo di Lahad Datu serta serangan militan di Marawi di selatan Filipina yang ingin memisahkan diri daripada negara Filipina agar peristiwa seumpama tidak lagi berlaku di negara ini.

Sebagai Menteri Dalam Negeri, kata Ahmad Zahid, beliau akan memperkuatkan Kawasan Keselamtan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) bagi memastikan keselamatan dan kestabilan di Sabah terus terpelihara.

Sabtu, Julai 22, 2017

PERKASA CADANGKAN REFERENDUM MENGENAI ISA

KUALA LUMPUR: PERKASA meminta kerajaan mengadakan referendum supaya melalui referendum itu dapat menghidupkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menurut Presidennya, Datuk Ibrahim Ali, sejak akhir akhir ini rakyat Malaysia tanpa takut menggunakan isu sensitif seperti isu perkauman dan agama kerana mereka dapati ISA sudah tiada.

"Maka melalalu referendum ini jika majoriti rakyat Malaysia bersetuju wujudkan semula ISA, maka kerajaan perlu wujudkan semula ISA," katanya ketika ditemui di majlis sambutan hariraya Aidilfitri PERKASA.

Perdana Menteriu, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menghapuskan ISA pada tiga tahun lepas. Sejak penghapusan akta tersebut ramai rakyat Malaysia menulis isu sensitif dalam Facebook.

"Saya berpendapat ISA perlu diwujudkan semula untuyk membendung iusu isu sensitif dimainkan oleh rakyat secara terbuka," katanya.

Jumaat, Julai 21, 2017

SPR MENANG KES RAYUAN DENGAN KERAJAAN SELANGOR

PUTRAJAYA, 20 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak perlu memberi maklumat mengenai kod dan nama lokaliti bagi 136,272 pemilih di Selangor pada 1994 dan 2003 kepada kerajaan negeri Selangor untuk urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara membenarkan rayuan SPR untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi agar ia memberi maklumat itu.

Kerajaan Selangor juga gagal dalam rayuannya untuk memeriksa balas Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah apabila panel hakim sama menolak permohonan itu.

Panel itu, yang dianggotai Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dan Hakim Datuk Kamardin Hashim, bagaimanapun tidak mengeluarkan perintah berhubung kos.

Pada 19 Okt tahun lepas, kerajaan Selangor memfailkan tindakan undang-undang terhadap SPR, Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dan Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh bagi memohon agar notis urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya dibatalkan kerana mendakwa ia melanggar Perlembagaan Persekutuan dalam menetapkan sempadan baharu kawasan pilihan raya.

Kerajaan Selangor juga memohon mendapatkan perisytiharan bahawa notis berkenaan tidak mengandungi butiran lengkap dan oleh itu, boleh menyebabkan pemilih, pihak berkuasa tempatan atau kerajaan negeri tidak dapat menunaikan hak mereka dari segi perlembagaan untuk memfailkan representasi.

Sehubungan itu, kerajaan Selangor meminta mahkamah mengetepikan notis berkenaan dan memerintahkan SPR menyiarkan notis baharu tentang cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya di negeri itu.

Kerajaan Selangor kemudian memfailkan permohonan untuk mendapatkan enam jenis maklumat bagi prosiding semakan kehakimannya terhadap SPR dan untuk memeriksa balas pengerusi suruhanjaya itu.

Kerajaan negeri Selangor mendakwa SPR bertindak secara melanggar perlembagaan dan tidak munasabah dalam melaksanakan urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya apabila ia menggunakan rang daftar pemilih yang cacat kerana kira-kira 136, 272 pemilih di negeri itu mempunyai alamat yang tidak sama seperti yang terkandung dalam rang daftar pemilih.

Kecuali maklumat tentang kod dan nama lokaliti bagi 136, 272 pemilih di Selangor yang diperintah diberi kepadanya oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Mac tahun ini, maklumat lain dan permohonan untuk memeriksa balas pengerusi SPR yang dikemukakan kerajaan negeri Selangor, telah ditolak.

Kerajaan Selangor bagaimanapun tidak mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mendapatkan lima mklumat lain.

Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke, yang mewakili SPR, dalam hujah beliau berkata maklumat mengenai alamat pemilih tidak diperlukan selepas pendaftaran kerana apa yang diperlukan ialah lokaliti bagi menentukan tempat pendaftaran pemilih dan lokaliti tidak akan berubah, melainkan pemilih memohon untuk menukarnya.

Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh pula berkata maklumat mengenai rang daftar pemilih tidak lagi wujud dari segi undang-undang kerana ia sudah dimasukkan ke dalam rang daftar pemilih semasa.

Kata beliau perbuatan mempersoal kesahihan rang daftar pemilih adalah tidak dibenarkan mengikut Seksyen 9A Akta Pilihan Raya 1958.

Peguam S. Ambiga, yang mewakili kerajaan Selangor, dalam hujahnya berkata maklumat itu diperlukan bagi mengesahkan pendaftaran 136, 372 pemilih berkenaan.

"Kami bukan mencabar rang daftar pemilih. Kami terima, ia mengandungi lokaliti. Kami tidak memintanya diketepikan atau perubahan dibuat terhadap rang daftar pemilih. Tetapi, urusan persempadanan semula tidak boleh dibuat hanya berdasarkan lokaliti, tanpa alamat.

"Kami hadir di mahkamah. Kami bimbang mungkin sesetengah daripada mereka, tidak wujud," kata beliau.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna negeri Elizabeth Wong berkata kerajaan negeri akan berbincang dengan peguamnya tentang tindakan seterusnya yang akan diambil.

-- BERNAMA

Rabu, Julai 19, 2017

5,000 ORANG HADIRI RUMAH TERBUKA KKMM

PUTRAJAYA, 19 Julai (Bernama) -- Lebih 5,000 tetamu memeriahkan majlis Jalinan Mesra Aidilfitri Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Puspanitapuri di sini, hari ini.

Tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan isteri Datin Seri Raya Erom.

Turut hadir Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar, Timbalan Menteri KKMM Datuk Jailani Johari, Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad serta Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh.

Bertemakan 'Kesatuan Dalam Kepelbagaian', majlis itu mencerminkan pelbagai jabatan dan agensi yang terdapat di bawah KKMM.

Pada majlis itu, Salleh turut memotong kek sempena ulang tahun kelahiran beliau pada 10 Julai lepas.

Sharifah Zarah kemudian menyampaikan hadiah berupa lukisan potret Salleh.

Selain dijamu dengan pelbagai hidangan dan kuih muih, para tetamu dihiburkan dengan persembahan para penyanyi termasuk Datuk Nassier Wahab dan Khai Bahar sepanjang majlis itu yang berlangsung dari 12.30 tengah hari hingga 4.30 petang.

-- BERNAMA