Sabtu, Julai 29, 2017

"FIQH SABAHI" CARA BARU PEJABAT AGAMA SABAH MENYAMPAIKAN DAKWAH

PUTRAJAYA: Mufti Sabah, Datuk Bongsu Aziz berkata suasana di Sabah amat berbeza dengan di Semenanjung kerana dalam satu keluarga ramai ahli keluarga yang menganut pelbagai agama.

Oleh itu katanya beliau kena mengeluarkan fatwa mengikut keadaan setempat asalkan ia tidak bercanggah dengan al Quran.

"Bagi Dr Zakir Naik mengucapkan Merry Xmas kepada penganut agama Kristian adalah haram tetapi bagi saya ia adalah harus selagi ia tidak berniat mengagungkan agama lain," katanya ketika membentangkan kertaskerjanya "Fiqh Sabahi" di simposium tarekat tasawuf nusantara di masjid putra di sini petang tadi.

Katanya lagi, "Fiqh Sabahi" bukanlah mazhab baru tetapi ia adalah satu metodologi dakwah di Sabah kerana berdakwah di Semenanjung tidak sama dengan berdakwah di Sabah.

Sebab itu di Sabah ada yang masuk Islam sebanyak tiga kali kerana memeluk Islam bukan kerana Allah tetapi kerana kebendaan.

"Mereka keluar masuk Islam kerana kita yang lemah tidak memantau mereka sebaliknya mubaligh Kristian cergas bergaul dengan mereka di pendalaman," katanya.

Beliau yang berceramah sambil membuat lawak jenaka menyebabkan hadirin sebelah petang tidak mengantuk.

"Saya orang campuran Brunei (ayah) dan Dusun (emak) maka kawan saya kata saya orang Brudu," katanya sambil disambut gelak ketawa,

Katanya, Sabah memang unik kerana ada 37 suku kaum jadi berdakwah di Sabah memerlukan kebijaksanaan dalam menghadapi karenah pelbagai suku kaum.

Oleh itu melalui "Fiqh Sabahi", katanya, menggunakan pendekatan baharu dalam menyampaikan dakwah supaya seseorang itu memeluk islam bukan secara   paksaan yang akhirnya  Islam hanya di kerongkong semata-mata.

Beliau mengingatkan umat islam berhati hati memilih tarekat yang mahu diamalkan.

"Baru baru ini saya dapat  mengesan satu tarekat yang mengamalkan sujud sahaja sedangkan solatnya tidak. Maka kena rujuk kepada pejabat agama jika mahu amalkan tarekat yang muktabar," katanya lagi.