Ahad, Julai 30, 2017

TASAWUF PENUHI KEPERLUAN JIWA


oleh SHAHBUDIN HAJI EMBUN
(sudah disiarkan dalam Utusan Malaysia)

Sejarah memainkan peranan penting dalam setiap perkara yang harus dilalui oleh individu. Peranan sejarah dalam kehidupan bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh.

Ini kerana apabila dibuka kitab suci al-Quran sendiri banyak diperkatakan tentang sejarah rasul-rasul, nabi-nabi dan peristiwa kaum-kaum yang terdahulu. Sehingga Syeikh Wan Ahmad Al-Fatani mengatakan dalam kitabnya Hadiqatul Az-har bahawa orang yang menguasai ilmu tarikh (sejarah) adalah orang yang cerdik, tajam penilikannya, jauh pandangannya dan luas pengetahuannya. Beliau turut mengulas bahawa orang yang menguasai ilmu tarikh (sejarah) akan memperoleh martabat yang tinggi di dunia dan di akhirat.

Sehubungan itu juga, saya amat tertarik dengan usaha Perdana Menteri Malaysia menyarankan agar kita mengenali semula ahli fikir Islam yang lebih dahulu memonopoli penguasaan ilmu berbanding ahli fikir Barat. Akan tetapi, persoalannya ialah apakah iktibar yang dapat diambil melalui sejarah hidup mereka sehingga mereka berjaya mencapai ke tahap itu.

Artikel yang ingin ditulis ini adalah bagi respons kepada artikel yang disiarkan pada Khamis, 10 November 2005 mengenai ``Negeri Sembilan mahu tubuh Pendaftar Tarikat''. Pertama sekali, hujah yang ingin dikemukakan adalah berdasarkan faktor sejarah. Keterangan yang ditulis mengenai kepentingan sejarah adalah bertujuan mengimbas kembali jasa-jasa yang dilakukan oleh ulama-ulama terdahulu di tanah air yang telah berjaya memartabatkan agama Allah (Islam) dan bangsa Melayu itu sendiri. Perlukah kita lupa kepada nama-nama besar dalam sejarah Tanah Melayu seperti Syeikh Daud Abdullah Fatani, Syeikh Wan Ahmad Al-Fatani, Syeikh Ismail Pulau Besar, Syeikh Abdul Kadir Bukit Bayas, Tok Kenali, Tokku Paluh dan ramai lagi yang tidak dinyatakan di sini.

Bagaimanakah mereka membina kekuatan rohani mereka dalam membantu orang Melayu dan orang Islam bangkit menentang penjajah, memberi kesedaran tentang kepentingan ilmu dunia dan akhirat, dan yang paling penting mengubah paradigma orang Islam-Melayu terhadap jihad di jalan Allah seterusnya kita orang Islam dan bangsa Melayu dapat mengecapi nikmat iman dan Islam pada hari ini.

Memetik daripada kata-kata Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani dalam kitab Sirrul-Asrar fi ma yahtaju ilaihil-abrar bahawa ``manusia itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu fizikal dan spiritual.

Pada segi zahirnya manusia itu lebih kurang sama saja. Dalam segi kerohanian, di sebalik zahir seseorang itu, masing-masing diri itu adalah berbeza''. Melalui sejarah kita seharusnya maklum bahawa Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani merupakan keturunan Rasulullah s.a.w., pengasas kepada Tarikat Qadiriyah yang berpegang kepada akidah Sunah Waljamaah, Mukmin dan Muslim yang sejati dan puncak evolusi kerohanian sekitar tahun 500 Hijrah.

Tujuan fakta di atas diutarakan adalah bagi membuktikan kepada pihak kerajaan betapa pentingnya aspek rohani dalam kehidupan yang mana kita dapat lihat tokoh-tokoh terkemuka Islam kebanyakannya melalui jalan sufi dan tarikat. Sekiranya aspek rohani dan tarikat diperlekehkan maka kita dapat lihat orang Islam dan orang Melayu mencari alternatif lain bagi mengisi rohani mereka.

Antaranya adalah dengan bermeditasi cara yoga, twin hearts, Shamanism, Shamanisme, Taoisme dan banyak lagi. Melalui pengamatan yang dilakukan, mesej yang ingin dibawa oleh pertubuhan ini ialah konsep cakra yang terdapat di dalam agama Buddha di samping menyebut nama Tuhan mereka, konsep penyatuan dengan alam bagi kekuatan rohani serta kekuatan jasmani, dan konsep kasih sayang sesama manusia tanpa mengira agama, bangsa dan negara.

Sekiranya tarikat dan sufi dikaji lebih mendalam oleh pihak kerajaan, maka masalah yang amat serius dari segi akidah umat Islam tidak akan berlaku. Ini kerana tarikat mengajak pengamalnya berzikrullah mengikut kaedah yang disediakan oleh ulama Sunah Wal-Jamaah, menguatkan tauhid dan usuluddin, membina kekuatan rohani orang Islam untuk maju dari pelbagai aspek seperti mana yang telah dibuktikan oleh ulama-ulama yang terdahulu dan tarikat serta sufi membawa konsep kasih dan sayang sesama makhluk Allah tidak kira manusia daripada pelbagai agama, bangsa, negara malahan juga haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam semula jadi.