Khamis, Mei 11, 2017

JANGAN LEKA DENGAN KEJAYAAN LAMPAU

oleh Shahbudin Embun
(sudah disiarkan dalam Berita Harian)

Sebelum kita mendengar apa yang bakal diucapkan oleh Presiden UMNO , Datuk Seri Najib Tun Razak pada perayaan sambutan ulangtahun UMNO ke 71 yang bakal berlangsung 11 hb Mei ini , tidak salah kiranya kita imbas kembali beberapa amanat beliau pada PAU 2016 yang lalu. Antara kata-kata beliau yang semestinya diberikan perhatian oleh ahli-ahli UMNO ialah memperkukuhkan kebersatuan anggota parti dan berkhidmat sepenuh hati untuk rakyat.




Penulis ingin bertanyakan kepada ahli-ahli UMNO, adakah amanat tersebut dilaksanakan oleh anggota parti. Jawablah dengan iklas. Apa yang penting ialah ahli-ahli UMNO mesti prihatin dengan apa yang dikatakan oleh Najib dan kemudian melaksanakannya dengan seikhlas hati.




Perlu diingatkan bahawa adalah penting amanat seperti ini diberikan perhatian yang serius. Tidak lama lagi Pilihan Raya Umum (PRU) akan berlangsung dan jika ada ahli-ahli UMNO yang lalai, maka jangan salahkan pihak lain jika rakyat mula memilih parti alternatif sebagai pilihan mereka.




Itulah sebabnya tarikh 11hb Mei 2017 kali ini mungkin merupakan tarikh yang paling penting dalam sejarah UMNO. UMNO berdepan dengan pelbagai cabaran dan jika kebersatuan parti tidak diperkukuhkan , maka cabaran yang dipikul oleh UMNO pastinya akan lebih getir dan mencabar, khasnya dengan PRU yang semakin hampir.




Dan pastinya tarikh 11 hb Mei 2017 akan menjadi pemangkin kepada UMNO untuk terus menggerakkan segala usaha dan tenaga bagi terus melaksanakan pelbagai agenda pembangunan untuk agama, bangsa dan negara.




Kebersatuan parti juga bermaksud sama-sama memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada barisan pucuk pimpinan UMNO yang diketuai oleh Najib Tun Razak . Dan pada zaman di mana media baru begitu bermaharajalela hingga boleh menguasai minda kita semua, maka ahli-ahli UMNO juga perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai tohmahan dan fitnah yang bakal menyerang.




Jika fitnah ini dilakukan oleh pihak pembangkang, maka itu adalah perkara biasa . Tetapi jika fitnah ini ditabur sendiri oleh ahli-ahli UMNO demi kerana agenda untuk kepentingan diri, maka golongan seperti inilah yang sebenarnya menghancurkan UMNO.




Dalam meraikan kejayaan UMNO selama 71 tahun, perlu dingatkan supaya jangan hilang fokus dan tumpuan kepada persiapan UMNO dalam menghadapi PRU dan bagaimana untuk memastikan UMNO terus relevan membangunkan negara kita bersama dengan parti-parti komponen dari Barisan Nasional.




Amanat dan ucapan yang bakal dinyatakan oleh Presiden UMNO kali ini perlu dihayati dengan lebih mendalam . Bahkan kata-kata yang bakal dilontarkan ini perlu dijadikan sebagai penyuntik semangat dan faktor yang menggerakkan jentera UMNO supaya bekerja dengan lebih kuat untuk terus membela rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.




Selama 71 tahun, UMNO sebenarnya telahpun membuktikan sebagai sebuah parti yang masih teguh dan unggul apabila kita dapat melihat bagaimana semua cabaran yang dilalui oleh parti utama orang Melayu ini ditangani dengan positif , adil dan penuh keyakinan. Cabaran yang dimaksudkan itu bukan sahaja cabaran pada hari ini, tetapi sejak dari penubuhan parti ini iaitu pada 11 mei 1946.




Itu sebabnya ucapan syabas dan tahniah perlu diucapkan kepada UMNO yang masih terus mengekalkan kegemilangannya dan bakal menyambut ulangtahun yang ke 71. Namun pada masa yang sama perlu diingatkan juga kejayaan yang lampau boleh membuatkan ahli-ahli UMNO leka dan alpa. Itu sebabnya Presiden UMNO sering mengingatkan kepada ahli-ahli UMNO supaya sentiasa peka dan bersedia untuk menghulurkan jasa dan bakti kepada rakyat dan masyarakat amnya.




Perlu diingatkan juga bahawa landskap politik pada hari ini adalah sangat berlainan dan berbeza. Kini rakyat lebih matang dan dengan adanya media baru yang tidak ada sempadan, maka setiap laporan baik yang betul ataupun yang palsu boleh tersebar dengan sentuhan di hujung jari sahaja. Dan dalam hal ini, para pemimpin UMNO serta ahli-ahli UMNO amnya perlu menangani situasi ini dengan lebih bijaksana dan rasional.

Rabu, Mei 10, 2017

GENERASI MUDA PERLU FAHAMI TUJUH WASIAT RAJA RAJA MELAYU

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu perlu difahami dan dihayati oleh semua rakyat Malaysia terutamanya generasi muda bagi menimbulkan kesedaran pentingnya untuk mengekalkan keharmonian dan kestabilan negara.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad berkata ia sekali gus


dapat menjadikan rakyat negara ini sentiasa bersatu padu dan menghormati institusi Raja Berperlembagaan yang mempunyai kepentingan dari segi kenegaraan mahupun sejarahnya.

"Dalam kesibukan mengejar arus kemodenan, rakyat negara ini khasnya golongan muda kian melupakan sejarah negara dan salah satunya adalah Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu.

"Penerangan lebih mendalam harus diberi kepada masyarakat tentang wasiat tersebut agar mereka mempunyai jati diri serta semangat cintakan negara yang tinggi dan secara tidak langsung dapat mengelak diri daripada terlibat dengan pelbagai gejala negatif," katanya pada majlis Bicara @ Muzium : Peranan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam Majlis Raja-Raja di sini, hari ini.

Syed Danial berkata ia juga boleh dijadikan bahan rujukan untuk mengetahui pembentukan serta kewujudan negara dan peranan Majlis Raja-Raja.

Sementara itu, beliau berkata institusi Raja di negara ini adalah satu penerusan bagi mengekalkan identiti sebuah kerajaan Melayu Islam di tanah air sebagai warisan bangsa dan merupakan sumber kekuatan rakyat dan tempat rakyat mencari perlindungan, keadilan serta memberikan taat setia.

Katanya kedaulatan Islam dan perpaduan ummah menjadi tonggak kepada kekuatan kepimpinan, justeru tanggungjawab rakyat adalah memberi taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai pemerintah negara.

Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu yang ditandatangani Raja-Raja Melayu yang memberi persetujuan kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 itu menyebut: Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).

"Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain dan Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu.

Selain itu wasiat tersebut adalah: "Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara, dan Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini.

"Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan dan Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak)."

-- BERNAMA

Selasa, Mei 09, 2017

PAS TAK PERLUKAN TOKOH "JURASSIC" SEPERTI CIKGU PA



KUALA LUMPUR: Selepas digugurkan daripada arus perdana kepimpinan pusat, tidak banyak yang diketahui mengenai status bekas setiausaha agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Tugas terakhir beliau sebelum muktamar di Kota Sarang Semut, Alor Setar akhir April lalu ialah pengarah pilihan raya, suatu jawatan yang penting terutama ketika demam pilihan raya semakin menghampiri.

Apabila barisan kepimpinan baru PAS diumumkan setiausaha agungnya pada 6 Mei lalu, nama Mustafa tidak kedengaran.

Sebaliknya Datuk Takiyuddin Hassan menyatakan tugas pengarah pilihan raya PAS kini disandang Setiausaha Politik Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ketika dihubungi, Mustafa yang pernah menjadi timbalan menteri suatu ketika dulu bagaimanapun enggan memberikan sebarang bayangan.

Sebaliknya beliau mengambil pendekatan untuk 'berpuasa mulut'.

Diminta memberikan pandangannya dengan perkembangan terbaru PAS, beliau sekadar menjawab melalui mesej pesanan ringkas: "Maaf... untuk masa ini saya puasa... puasa mulut. Hehe."

Mustafa bukanlah tokoh biasa-biasa dalam PAS. Beliau dilihat antara orang yang rapat dan mendapat kepercayaan penuh Abdul Hadi suatu ketika dulu.

Sementelah kedua-duanya berasal dari Terenganu.

Mustafa bersama PAS sejak 1970-an dan beliau yang mesra dengan panggilan Cikgu Pa itu turut diberi kepercayaan menjadi setiausaha agung antara 2011 hingga 2015.

Jawatan Mustafa dalam PAS bermula sebagai ketua pemuda pada 1975 dan dilantik sebagai bendahari, naib presiden dan pesuruhjaya PAS Terengganu.

Malah, beliau juga turut berada dalam kerajaan campuran semasa PERIKATAN bersama PAS. Perkembangan itu membolehkan beliau diberi amanah sebagai timbalan menteri sains, teknologi dan alam sekitar.


Ulasan saya, pertukaran jawatan selepas muktamar PAS atau perhimpunan agung Umno adalah perkara biasa.


Selepas perhimpunan agung Umno 1987, Datuk Seri Sanusi Junid selaku Setiausaha Agung Umno digantikan oleh Datuk Mohamed Rahmat. Oleh itu apa yang berlaku pada Mustafa Ali adalah perkara biasa.


Mustafa sudah jadi tokoh "jurassic" maka PAS perlukan orang baru seperti Dr Ahmad Samsuri. Oleh itu ia tak perlu digembar-gemburkan kerana PAS perlukan orang yang lebih muda untuk menghadapi PRU akan datang.


Takkan ahli PAS sudah lupa dengan video yang mirip Cikgu Pa pada PRU13 dahulu? Maka penyingkiran Cikgu Pa dari kabinet PAS amat tepat dengan waktunya.

Ahad, Mei 07, 2017

BN JANGAN JADI PARTI "JURASSIC"

BUKIT MERTAJAM, 7 Mei (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) perlu menampilkan imej yang lebih segar dan tidak boleh dipandang sebagai parti untuk orang lama sahaja, kata Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata sehubungan itu setiap calon daripada BN yang akan dipilih pada pilihan raya umum (PRU) akan datang perlulah dilihat sebagai yang mampu mewakili bukan sahaja generasi muda, malah semua lapisan rakyat.

Kena ada barisan calon yang mewakili semua generasi, kita tak mahu ada imej macam PRU lepas, BN ni parti lama. Parti yang tak nampak imej yang segar, parti "jurassic", kena tunjuk kita parti masa depan TN50 bukan dah parti 1957," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Permatang Pauh Fellowship Ride di Permatang Pauh dekat sini, semalam.


Ditanya mengenai pemilihan calon di kalangan Pemuda, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan tertinggi parti, namun tetap berharap lebih ramai calon muda akan bertanding pada PRU akan datang.

Sebab kita melihat golongan pengundi muda semakin ramai dan mereka mengharapkan calon muda," katanya.

Khairy berkata seperti mana Wanita UMNO yang mahukan 30 peratus calon dipilih dalam kalangan mereka, Pemuda juga berharap agar 30 peratus calon termasuk wanita dan lelaki muda akan terpilih sebagai calon pada PRU akan datang.

-- BERNAMA

BN KENA TAPIS CALON BEBAS RASUAH



KUALA LUMPUR 6 Mei Barisan Nasional (BN) memberi jaminan tidak akan meletakkan calon yang mempunyai latar belakang tidak bersih dan terbabit rasuah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).


Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, parti itu menjadikan amalan memeriksa latar belakang calon sejak sekian lama dan tidak mengizinkan individu yang terpalit dengan kes rasuah dan salah guna kuasa.

Jelasnya, BN pernah mencadangkan supaya perkara itu dilaksana dan diwajibkan bagi semua parti di negara ini, namun ditolak pembangkang.
“BN sudah buat sejak sekian lama, malah calon BN diwajibkan mengisytiharkan aset mereka jika mahu menjadi calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau ahli Parlimen.


“Saya sendiri semasa mahu menjadi wakil rakyat pada 2004, kena isytihar harta yang ada, apa yang saya buat, apa isteri saya buat, apa keluarga buat, semuanya kami isytihar.

“Jika calon ada masalah dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) atau SPRM ketika ini, kita akan panggil dia, siasat dan jika didapati benar, dia tidak akan dibenarkan menjadi calon,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan KL Extravaganza dan Malaysian Supermoto Championship di Taman Tasik Permaisuri, Bandar Tun Razak di sini semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk M. Noor Azman Taib; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz; Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar; Pengerusi BN Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Chew Yin Keen; Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Razlan Muhammad Rafii dan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez.

Semalam, Utusan Malaysia menyiarkan laporan SPRM akan meng­heret pemimpin yang terlibat de­ngan rasuah dan salah guna kuasa ke muka pengadilan walaupun selepas mereka memenangi PRU-14.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad mengingatkan parti-parti politik agar tidak meletakkan ca­lon yang mempunyai latar belakang tidak bersih kerana pihak­nya pasti akan bertindak selepas pilihan raya nanti.

Sementara itu, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, beliau meminta para pengundi di Bandar Tun Razak mengembalikan sokongan kepada BN pada PRU-14.

“Wakil rakyat di sini tidak peduli kawasan ini dan yang mengambil berat adalah BNa . Setiap bulan saya datang ke sini pelbagai program pemimpin BN buat untuk rakyat,” katanya.

Ulasan saya, BN jangan cakap tidak serupa bikin. Dulu ada ADUN di Terengganu ditangkap rasuah oleh SPRM tapi masih dikekalkan sebagai calon dalam PRU 2013. Oleh itu kali ini SPRM kena tegas tapis calon calon BN yang bertanding supaya bebas rasuah.


Sabtu, Mei 06, 2017

RAHMAN DAHLAN KE SEPANGGAR?

KOTA BELUD, 5 Mei (Bernama) -- Sesiapapun boleh menawarkan diri sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Kota Belud pada pilihan raya umum akan datang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata namun amalan UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk memutuskan pemilihan calon yang memenuhi kriteria ditetapkan.

"Tradisi UMNO dan Barisan Nasional ini, kita serahkan kepada kebijaksanaan perdana menteri (selaku presiden UMNO dan pengerusi BN) dan ketua menteri Sabah sebagai pengerusi badan perhubungan UMNO negeri untuk menentukan siapa calon," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan van dan wang tunai untuk masjid di Kota Belud di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang secara terbuka menyatakan kesediaan kembali aktif dalam politik dan turut menyatakan minatnya untuk bertanding kerusi DUN dan Parlimen di Kota Belud.

"Bagi saya, saya berpandangan terbuka. Semua boleh menyatakan (hasrat mereka jadi calon) ... oleh sebab Tan Sri (Pandikar) sudah menyatakan demikian, kita serahkan kepada perdana menteri dan ketua menteri Sabah untuk menentukannya," katanya.

Ulasan saya, Rahman adalah timbalan ketua Umno bahagian Tuaran yang diberi laluan oleh Datuk Aliasgar Basri. Jika Aliasgar lawan Rahman, Rahman kalah tetapi oleh kerana Rahman adalah seorang menteri maka Aliasgar beri laluan kepada beliau untuk menjadi orang nombor dua Datuk Hajiji.

Oleh kerana kerusi parlimen Tuaran adalah bukan kerusi Umno, maka Rahman bertanding di Kota Belud menggantikan Datuk Seri Salleh Said Keruak di zaman Pak Lah. Sebagai setiausaha pemuda Umno di Zaman Khairy Jamaluddin (KJ) maka KJ cantas Salleh untuk beri peluang kepada Rahman bertanding di Kota Belud pada tahun 2008.

Salleh dilantik Senator pada tahun 2015 dan Menteri Komunikasi dan Multi Media. Rakyat Kota Belud bertuah kerana ada dua orang menteri, Rahman dan Salleh. Apabila Salleh dilantik menteri maka pada PRU akan datang Salleh akan bertanding kerusi parlimen Kota Belud. 

Apatah lagi beliau kini adalah Bendahari Umno Malaysia dan jika orang Sabah diperlukan untuk mengisikan kuota Naib Presiden Umno yang ditinggalkan Datuk Seri Shafie Apdal, maka Sallehlah yang layak menggantikan Shafie dan bukannya Rahman.

 Jika Rahman bertanding peluang KJ untuk menang naib presiden Umno akan tipis kerana undi pemuda berpecah dua kepada KJ dan Rahman. Maka Rahman tak jadi tanding naib presiden Umno. Jadi Salleh akan jadi calon tunggal dari Sabah untuk bertanding naib presiden Umno.

Maka Rahman terpaksa berpindah ke parlimen Sepanggar menggantikan Datuk Jumat Idris yang digantung keahlian Umno.Jadi jika Pandikar Amin mahu aktif politik, beliau mungkin bertanding di DUN Tempasuk dan keputusannya untuk bertanding kerusi DUN akan mencetuskan spekulasi sebagai pengganti Datuk Seri Musa Aman.





Khamis, Mei 04, 2017

SESUDAH LAPAN BULAN TERBUKTI DZULKIFLI LEBIH HEBAT DARIPADA ABU KASSIM

PUTRAJAYA, 4 Mei (Bernama) -- Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad berpuas hati dengan hasil operasi SPRM sepanjang lapan bulan beliau menerajui SPRM dan kini ingin memperkenalkan inisiatif baharu.

Antara langkah itu ialah menubuhkan kumpulan yang terdiri daripada pihak-pihak
yang berkepentingan dalam usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa.

Beliau berkata demikian pada pertemuan pertama "Anti-Corruption Media Caucus" (ACMC) yang ditubuhkan untuk mempertingkatkan kerjasama antara pihak media dan SPRM dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

Pasukan itu terdiri daripada para editor kanan media cetak dan media elektronik dan para pegawai kanan SPRM.

Selain mengambil pihak media sebagai rakan strategik, sebuah lagi kumpulan serupa telah ditubuhkan oleh SPRM dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa berkaitan alam sekitar seperti pembalakan dan pengeluaran hasil bumi secara haram.

Kumpulan itu antara lain dianggotai badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang selama ini serIng menyuarakan isu-isu kemusnahan alam sekitar yang dikaitkan dengan rasuah dan salah guna kuasa.

Dzulkifli berkata inisiatif lain yang akan dilaksanakan oleh SPRM ialah melancarkan kempen "Gerakan Revolusi Anti Rasuah" (Gerah) yang merupakan revolusi sosial yang cuba dicetuskan dalam kalangan rakyat untuk membenci rasuah dan salah guna kuasa.

Beliau berkata rasuah berlaku dalam semua peringkat dan melangkaui batas kaum dan parti politiik.

Ketua Pesuruhjaya itu yang sebelum ini berjanji untuk menghapuskan rasuah dalam tempoh tiga tahun sehingga tahun 2020, yakin matlamat itu akan dapati dicapai dengan kerjasama semua pihak.

"Saya mahu masyarakat bangkit menentang rasuah dan salah laku," kata beliau .

Dzulkifli dilantik ke jawatan itu menggantikan Tan Sri Dr Abu Kassim Mohamed pada 1 Ogos 2016.

Katanya SPRM juga akan melancarkan inisiatif Kembara Jelajah Anti Rasuah (Kejar).

-- BERNAMA

SATU PERMULAAN KEPADA POLITIK MATANG

MARANG, 4 Mei (Bernama) -- Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui kehadiran beliau pada majlis pelancaran program tukun tiruan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hari ini adalah permulaan kepada politik matang antara parti itu dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Anggota Parlimen Marang turut berterima kasih kepada Ahmad Shabery atas undangan untuk menghadiri program tersebut.

"Terima kasih kerana beri peluang untuk saya sama-sama menyertai program ini yang sangat bermakna untuk semua, untuk orang politik, dapat kembali semula kepada politik matang.

"Kerjasama hari ini (PAS dan UMNO) adalah politik matang, politik yang tidak berkelahi, politik kepentingan bersama. Politik boleh berbeza pendapat tapi untuk apa sahaja isu kepentingan rakyat, kita mesti bersama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan proses melabuhkan tukun tiruan iaitu kerangka pelantar minyak milik Petronas yang telah dileraikan di perairan Pulau Kapas, di sini, hari ini.

Ditanya sama ada kerjasama UMNO dan PAS itu akan menimbulkan persepsi negatif dan perasaan kurang senang pihak-pihak tertentu, Abdul Hadi berkata ia akan difahami oleh mereka terutama rakyat di peringkat akar umbi.

"Insya Allah rakyat akan faham bila rakyat menyedari yang kepentingan dan hak mereka dijaga dengan baik. Rakyat boleh berfikir dengan matang di dalam perkara ini kerana pelaksanaan secara praktikal itu lebih penting berbanding teori.

"Apa yang berlaku, kita kena ingat negara kita ni warisan penjajah yang banyak benda negatif perlu dihapuskan, perkara yang boleh menimbulkan ketegangan kita kena hentikan, tarik 'hand brake' dan menyelamatkan negara dan rakyat. Itu lebih penting, mengatasi segala-galanya," katanya.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata beliau telah memaklumkan kerjasama Abdul Hadi dalam program itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Perdana menteri bukan sahaja merestui, malah beliau awal-awal lagi telah mendoakan agar program ini berjalan dengan lancar dan mengirimkan salam kepada tuan guru (Abdul Hadi).

"Insya-Allah akan ada lagi program bersama melibatkan pemimpin UMNO dan PAS demi kepentingan rakyat pada masa akan datang� saya akan maklumkan," katanya.

Ahmad Shabery dalam ucapannya berkata walaupun berbeza pendapat, pemimpin atasan UMNO dan PAS tetap akan mengutamakan kepentingan rakyat dan negara mengatasi segala-galanya.

"Kita boleh lihat sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berada di atas pentas sama bersama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang atas isu Rohingya.

"Tetapi yang sukar ialah untuk merapatkan hati-hati dalam kalangan kita rakyat di peringkat bawah. Namun, hari ini telahpun menjadi kenyataan," katanya.

Terdahulu Ahmad Shabery yang tiba di Marang Waterfront untuk majlis perasmian program itu turut bersarapan pagi bersama-sama Abdul Hadi dan warga nelayan sebelum menaiki bot ke Pulau Kapas untuk menyaksikan proses melabuhkan tukun tiruan itu.

-- BERNAMA

UMNO SABAH LEBIH BERSATU SEKARANG

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Sabah tidak pernah berada dalam kedudukan lebih bersatu seperti sekarang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata menyedari bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menjadi sasaran komplot, UMNO BN Sabah telah mengukuhkan perpaduan dan berdiri teguh di belakang Ketua Menteri Musa Aman.

"Pihak pembangkang hanya angan-angan jika mereka fikir berlaku perebutan kuasa di Sabah, yang akan mengakibatkan pertukaran kerajaan negeri.

"Sabah telah membuktikan kesetiaan kepada parti dan kepimpinan parti dan akan terus berbuat demikian," kata Salleh menerusi catatan dalam blog terbaharu beliau, malam ini.

Salleh yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah berkata dakwaan mengenai perpecahan dalam UMNO atau BN Sabah telah berlarutan selama lebih sepuluh tahun dan terus timbul dari semasa ke semasa.

Beliau berkata sebenarnya dakwaan bahawa Sabah sepatutnya menjadi tulang belakang "16 September" apabila 10 daripada 30 anggota parlimen sepatutnhya menyeberang ke parti pembangkang dikatakan dari Sabah, hanya dakwaan semata-mata.

"Akhirnya, tiada apa yang berlaku pada setiap masa. Tetapi itu tidak menghalang pihak pembangkang daripada membangkitkan semula dan mengkitar semula cerita itu. Dan mereka melakukannya setiap kali mereka menghadapi masalah dan perlu untuk mengalihkan perhatian rakyat kepada kedudukan pembangkang yang berada dalam keadaan kucar-kacir," kata Salleh.

Rabu, Mei 03, 2017

SYED HUSSEIN AL ATTAS DAN YAHAYA ISMAIL MENDAPAT PENGIKTIRAFAN YPBN


KUALA LUMPUR: Syed Hussein Al Attas yang telah menulis  70 buah buku akhirnya diiktiraf oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) sebagai Pengarang Sepanjang Zaman (Politik) dalam majlis Anugerah Buku Negara di hotel terkemuka malam tadi.

Turut menerima anugerah daripada Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid itu ialah penulis buku Yahaya Ismail sebagai Pengarang Prolifik Sepanjang Zaman.

Syed Hussein atau Nujum Pak Belalang telah menulis 70 buah buku antaranya PEMUDA ZAMAN MAHATHIR (1982), MUSA DERHAKA (1986), ANAK OMAK VS ANAK BAPAK (2004), MAHATHIR MUDAH LUPA (2002) dan DIAM DIAM DAIM (2001).

Buku pertama beliau ditulis pada tahun 1969 berjudul RAHSIA MENGENAL DIRI SENDIRI. Sejak itu beliau menulis dan menerbitkan sebuah buku  (paling minima) setiap tahun.

Manakala Yahya Ismail yang pada mulanya menulis novel LANGKAH KIRI (1967) akhirnya menjadi penulis buku politik yang digeruni ahli politik. Bukunya amat kritikal mengkritik pemimpin negara. 

Dengan penganugerahan ini, ini bermakna jasa mereka berdua menegur pemimpin negara telah mendapat pengiktirafan. Turut hadir di majlis tersebut ialah Pengerusi YPBN, Haji Hassan Hamzah dan penyanyi antarabangsa Malaysia, Datuk Shake.

Dalam ucapannya, Haji Hassan meminta kerajaan memasukkan kepala membeli buku di bawah Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi kerana amat malang apabila penulis terbitkan buku tetapi susah mendapat pembeli.

"Semua penerbit, penulis buku akan menyokong kerajaan yang sedia ada jika kerajaan membeli buku mereka untuk semua sekolah," kata Haji Hassan sambil disambut tepukan gemuruh.

Dalam ucapan balasnya, Mahadzir Khalid yang mewakili Timbalan Perdana Menteri mengajak YPBN berbincang secara detail dengan beliau dan Dewan Bahasa dan Pustaka supaya luahan itu dapat dibawa kepada Menteri Kewangan.



Isnin, Mei 01, 2017

SEMBILAN ORANG DR DALAM AJK PAS

ALOR SETAR, 1 Mei (Bernama) -- Berikut keputusan pemilihan bagi jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden serta 18 anggota Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bagi penggal 2017-2019, yang diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat, Datuk Wan Abdul Muttalib Embong pada Muktamar PAS ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini hari ini.



* Presiden: Datuk Seri Abdul Hadi Awang (menang tanpa bertanding)

* Timbalan Presiden: Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (menang tanpa bertanding)

* Naib Presiden: 1) Datuk Mohd Amar Abdullah


2) Idris Ahmad


3) Datuk Iskandar Abdul Samad



* Anggota Jawatankuasa Kerja:



* 1. Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz

* 2. Datuk Dr Mohd Fadzli Hassan

* 3. Dr Riduan Mohd Noor

* 4. Datuk Mohd Nassuruddin Daud

* 5. Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

* 6. Dr Najihatussolehah Ahmad

* 7. Dr Mohd Zuhdi Marzuki

* 8. Dr Halimah Ali

* 9. Sallehen Mukhyi

*10.Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurrazi

*11.Dr Rosni Adam

*12.Razman Zakaria

*13.Dr Azman Ibrahim

*14.Mokhtar Senik

*15.Kamaruzzaman Mohamad

*16.Abdullah Hussin

*17.Misbahul Munir Masduki

*18.Mukhtar Suhaili

BN PUNYA PELUANG CERAH TAWAN KELANTAN

GUA MUSANG, 30 April (Bernama) -- Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata Barisan Nasional (BN) perlu segera mengatur strategi bagi memenangi lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bekas Menteri Kewangan itu berpendapat BN mempunyai peluang paling cerah untuk menamatkan penguasaan 27 tahun kerajaan PAS Kelantan pada PRU-14 akan datang.

"BN mampu kembali mentadbir kerajaan negeri ini, tetapi perlu mengatur strategi mulai sekarang. Strategi yang diatur akan membolehkan BN merampas semula pemerintahan kerajaan daripada PAS yang dipegang sejak 1990, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Pada PRU13, PAS memenangi 32 kerusi DUN, BN 12 manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang satu kerusi DUN.

Veteran UMNO itu berkata keyakinan BN menawan semula negeri itu berdasarkan keinginan rakyat Kelantan yang mahukan pembaharuan selepas melihat kelemahan PAS mentadbir negeri ini dan gagal membawa sebarang perubahan sepanjang memerintah.

Dalam pada itu, beliau turut menyokong tindakan masyarakat Orang Asli di jajahan Gua Musang mempertahankan tanah yang mereka usahakan daripada diceroboh pihak luar.

"Kita faham kerajaan negeri bergantung kepada hasil balak tetapi perlu menjaga hak kaum berkenaan ke atas tanah mereka, " katanya.

Dilaporkan, terdapat kemelut di Gua Musang yang melibatkan masyarakat Orang Asli yang mendakwa mereka semakin terancam akibat aktiviti pembalakan sehingga mendirikan halangan di laluan masuk ke kawasan Hutan Simpan Kekal Balah, sejak September tahun lepas.

-- BERNAMA

Ahad, April 30, 2017

RATING TERTINGGI BAGI BULAN APRIL 2017

Bagi bulan April, posting mengenai AZMIN BUBARKAN DUN JIKA PAS PUTUSKAN HUBUNGAN DENGAN PKR? yang tersiar pada 18 april lalu mendapat rating tertinggi 546 hits.

10 rating tertinggi ialah:-

1. Azmin bubarkan DUN jika PAS putuskan hubungan dengan PKR? (18 april)
2. The man behind KR1M, K1M, BR1M and PR1MA (9 april)
3. Umno masih parti bangsawan? (13 april)
4. Mahathirlah mala petaka kepada orang Melayu (18 april)
5. Wacana dibatalkan kerana bimbang lebih banyak pekung di  dada dibuka? (2 april)
6. Keputsan PAS tanding 80 kerusi kecewakan Pakatan Harapan (9 april)
7.Hotel halal pertama di Thailand (3 april)
8.Gantung Nanyang Siang Pau seminggu (11 april)
9.Najip Ali diminta mohon maaf kepada rakyat Malaysia (5 april)
10.Pengalaman menyeronokkan di Ecotourism Espek Ulu Slim (23 april)

19 CEDERA DALAM RIBUT RANAPKAN KHEMAH UTAMA MUKTAMAR PAS

ALOR SETAR, 29 April (Bernama) -- Sembilan belas orang dilapor cedera termasuk seorang tidak sedarkan diri dalam kejadian ribut yang meranapkan khemah utama di Kompleks PAS Kedah, venue Muktamar PAS ke-63, di sini, malam tadi.

Berdasarkan maklumat awal kejadian berlaku pada pukul 7.25 malam membabitkan khemah yang menempatkan pameran dan jualan Kelab Keusahawanan Haraki (KU-Haraki).

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Bomba Mohd Naim Mat Jaaffar berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian berkenaan pada pukul 7.43 malam.

Sabtu, April 29, 2017

RUMAH YANG ROSAK PERLU DIPERBAIKI BUKAN DIROBOHKAN KATA ZAHID



SIPITANG, 29 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan hubungan akrab kerajaan Sabah dan kerajaan Persekutuan tidak mampu diganggu-gugat oleh mana-mana pihak termasuk kuman politik .

Beliau yakin mana-mana pihak sama ada individu atau tokoh tidak akan mampu merosakkan atau memutuskan hubungan yang cukup rapat itu yang telah terjalin sejak sekian lama.

"Rugilah jika ada orang, individu atau tokoh atau 'kuman politik' yang cuba untuk merosakkan hubungan yang cukup baik ini.

"Yakinlah, saya ingin menegaskan, sebagai orang yang membantu Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), tidak ada orang yang boleh memutuskan hubungan yang baik ini yang sudah sekian lama terjalin.

"Tidak ada sesiapa yang boleh memutuskannya. Usahalah bagaimana, kecuali dengan izin Allah Taala," katanya ketika berucap merasmikan Festival Antarabangsa Gasing dan Tamu Besar (GATA) Sipitang 2017 di sini, hari ini.






Turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Induk Festival Antarabangsa GATA 2017 Sipitang Datuk Sapawi Ahmad.

Justeru, Ahmad Zahid berkata hubungan akrab kerajaan pusat dan kerajaan Sabah perlu terus diperkukuh bagi memastikan pentadbiran kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) sekarang terus kuat dan kukuh.

Katanya hanya kerajaan yang kuat dan kukuh sahaja yang mampu menjamin kemakmuran rakyat serta pertumbuhan ekonomi yang baik sekali gus membawa kemakmuran kepada negara dan rakyat secara keseluruhannya.






Ahmad Zahid berkata Malaysia mengamalkan demokrasi dan membenarkan perbezaan pendapat namun perbezaan berkenaan perlu menjurus ke arah yang positif dan sekiranya perbezaan itu menjadi 'parasit' sehingga boleh merosakkan maka ia mesti ditolak.

Sesuatu yang baik seharusnya dipertahankan ibarat sebuah rumah apabila bahagian bumbung, lantai atau dindingnya rosak tidak seharusnya rumah berkenaan dirobohkan sebaliknya perlu perbaiki bahagian yang rosak sahaja.

Merobohkan rumah itu amat mudah namun untuk membangunkannya semula amat payah, katanya.

Ahmad Zahid berkata untuk menukar kerajaan bukannya mudah sepertimana menukar baju yang juga perlukan ketelitian dari saiz dan ukuran, namun menegaskan 'baju' yang dipakai di Sabah sekarang sesuai dengan ukuran rakyat Sabah.

"Payungan politik yang kukuh dan baik itu akan dapat memberikan perlindungan kepada rakyat keseluruhannya kerana rakyat perlukan perlindungan yang terbaik daripada kerajaan yang terbaik," jelas beliau.

Timbalan perdana menteri mengajak rakyat agar belajar daripada kesilapan lalu supaya tidak membuat keputusan apabila berada dalam keadaan marah atau sedih kerana terbukti sebelum ini bahawa keputusan yang dibuat dalam keadaan demikian adalah salah.

-- BERNAMA

PEGAWAI KEMENTERIAN PELANCONGAN GILA KE?

KUALA LUMPUR: Kesian kawan saya punya portal MHOnline baru nak bertapak, tapi tak dapat sokongan dari kerajaan. Kawan saya beri permohonan minta iklan kepada Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz.

Maka Nazri yang kenali partner kawan saya itu forward surat itu kepada KSU Kementerian. Minggu lepas kawan saya terima panggilan dari kementerian suruh datang ke ofis untuk buat presentation pada petang semalam.

Seronok kawan saya bila terima panggilan tersebut. Bukannya banyak dia minta. Ada banyak pakej. paling tinggi RM18,000 setahun iklan untuk portalnya bersamaan RM49.30 satu hari. Paling murah berbanding dengan portal lain.

 Pagi semalam kawan saya hubungi pegawai berkenaan untuk sahkan jadi tak presentation pada petang semalam. Kawan saya terkejut apabila pegawainya beritahu presentation tak jadi kerana kementerian tiada peruntukan. Dia tanya siapa buat keputusan. Dia cakap pengarah pengiklanan digital, Encik Zalizam Zakaria.

Encik Zalizam gila ke? Minggu lepas suruh panggil presentation, semalam tak payah panggil pula. Kalau dah tahu tiada peruntukan tak payah call suruh buat presentation. Buat kawan saya marah saja. Kementerian pelancongan sanggup beli iklan berjuta juta untuk agensi luar negara tapi nak bantu syarikat kecil Bumiputera RM49,30 satu hari pun tiada duit.

Mungkin komisen Zalizam untuk RM18,000 kecil sangat berbanding komisen yang dia dapat dari agensi luar negara. Kalau beginilah sikap pegawai kementerian tidak bantu syarikat Bumiputera tak payah jadi pegawai kerajaan. Nazri patut tukar pegawai seperti ini ke bahagian lain atau panggil SPRM siasat benarkah beliau ada terima komisen dari agensi luar yang dia beri iklan berjuta juta.

Jumaat, April 28, 2017

PAN DAN DAP KENA BENARKAN PAS JADI PENERAJU



ALOR SETAR 27 April - PAN dan DAP perlu membenarkan Pas menjadi peneraju sekiranya mereka mahu memujuk parti Islam itu menjalinkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik melibatkan ketiga-tiga parti.

Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin berkata, syarat itu ditetapkan bagi mana-mana parti yang ingin bekerjasama dengan Pas.

“Mengenai tahaluf siyasi, memang Pas tidak pernah menutup pintu untuk berkerjasama umtuk membentuk blok ketiga.

“Cuma pada kali ini... berdasarkan pengalaman lampau, Pas banyak bertahaluf, jadi kita letak syarat begitu supaya menjamin kebaikan dan kebajikan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat Pas Ke-57 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut dekat sini semalam.

Sementara itu, Dewan Ulama Pas kecewa dengan tindakan Pakatan Harapan yang diketuai DAP menentang usaha Pas memartabatkan Islam di negara ini.


Ketuanya, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad berkata, parti-parti yang pernah menjadi rakan sekutu Pas itu kini sanggup mengenetepikan Islam dalam usaha untuk meraih sokongan dalam mencapai impian mereka untuk menukar kerajaan.

“Apa yang disedihkan rakan-rakan sekutu lalu dalam merintis jalan ke Putrajaya mereka menyanggah Islam.

“Malah, penentangan mereka dalam usaha pelaksanaan Islam lebih kuat daripada UMNO,” katanya ketika berucap pada ucaptama Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas Pusat Ke-56 di Dewan Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU) di sini semalam.


Khamis, April 27, 2017

USAHA KKMM MEMBANTERAS PENYEBARAN BERITA PALSU BERKESAN

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Portal 'sebenarnya.my' ang dilancarkan 14 Mac 2017 menerima 3.33 juta layaran (views) setakat akhir Mac lepas.


Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dalam jawapan bertulis di Dewan Negara berkata portal itu menjadi medium untuk rakyat menyemak dan memeriksa kesahihan sesuatu maklumat atau berita.

"Portal sebenarnya.my adalah sebuah pusat sehenti bagi rakyat Malaysia untuk menyemak dan menyalurkan maklumat mengenai berita yang tidak ditentukan kesahihannya, yang diterima secara dalam talian melalui platform media sosial, perkhidmatan mesej segera, blog, laman sesawang, dan lain-lain," kata KKMM menjawab pertanyaan Datuk Abdul Rahman Mat Yasin.

Abdul Rakman mahu KKMM menyatakan usaha kementerian itu membanteras penyebaran berita palsu dan menentukan kesahihan sesuatu berita yang diterima secara dalam talian, media sosial, perkhidmatan mesej segera, blog dan laman sesawang.

KKMM berkata skop berita yang dipapar di portal 'sebenarnya.my' adalah berita yang melibatkan kepentingan awam dan negara, yang boleh atau telah ditentusah secara rasmi oleh kementerian atau agensi yang berkenaan, mengikut skop peranan dan bidang kuasa agensi.

Menjelas lanjut dari segi operasi, portal 'sebenarnya.my' tidak melangkaui peranan dan bidang kuasa sesuatu kementerian atau agensi, sebaliknya berperanan selaku saluran pelaporan sekunder dan himpunan maklumat secara setempat (arkib dan repositori).

Portal tersebut hanya akan memuatnaik berita yang telah ditentusah dan diwar-warkan kepada umum oleh sesuatu kementerian atau agensi melalui siaran atau makluman rasmi di domain awam (kenyataan media, kenyataan di laman web rasmi atau kenyataan facebook rasmi).

Menjawab soalan berasingan berkenaan bilangan aduan kes penyalahgunaan data peribadi yang disiasat dan diambil tindakan selaras dengan peruntukan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, KKMM berkata sehingga Mac lalu, sebanyak 12,258 pengguna data yang terdiri daripada 13 Golongan Pengguna Data telah berdaftar sebagai pengguna data di bawah Akta 709.

"Kegagalan untuk mendaftar di bawah Akta 709 adalah merupakan suatu kesalahan yang jika sabit kesalahan, pengguna data boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya," katanya.

KKMM berkata selepas Akta 709 dikuatkuasakan, sebanyak 297 aduan telah diterima dengan 40 peratus aduan berjaya diselesaikan.

-- BERNAMA

Rabu, April 26, 2017

TONJOLKAN CALON MUDA YANG BERJURUS

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Pemuda UMNO berharap lebih ramai anak muda diketengahkan sebagai calon pilihan raya umum (PRU) akan datang atau dipilih menganggotai badan-badan berkaitan kerajaan (GLC).

Ketua Penerangannya Jamawi Jaafar berkata langkah itu seiring dengan usaha meremajakan UMNO, selain menarik lebih ramai golongan muda menyertai parti keramat bangsa Melayu itu.

"Golongan muda adalah tulang belakang parti dan semestinya peranan, aspirasi dan idea mereka dalam pembangunan negara juga sangat penting lebih-lebih lagi mereka adalah pewaris masa hadapan negara," katanya selepas menjadi panel bual bicara dalam program Kedaulatan Watan: Propaganda dan Anasir Luar vs Budaya Asia anjuran Pertubuhan Alumni Kelab-Kelab UMNO Luar Negara di Menara Dato' Onn di sini, malam tadi


Jelas beliau, dalam usaha mendekati lebih ramai golongan muda, UMNO perlu menganjurkan lebih banyak program yang bersesuaian dengan kehendak golongan itu.

Sementara itu, Jamawi berharap pemimpin veteran UMNO sentiasa membantu dan memberi sokongan kepada pemimpin muda supaya parti itu akan kekal kuat dan relevan.

Sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-71 pada 11 Mei ini, beliau mahu orang Melayu khususnya anak muda terus bersatu dan tidak mudah terpedaya dengan agenda pembangkang.

Ulasan saya, BN mahu menang maka tidak timbul calon muda atau calon tua. Apa gunanya letak calon muda kalau calon itu tidak diterima rakyat. Maka untuk menang perlu letak juga calon tua kalau itu yang disuka oleh rakyat.

Sejarah BN sudah ramai letak calon muda seperti Datuk Seri Najib Tun Razak berusia 22 tahun ketika bertanding dalam PRK parlimen Pekan; Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad di parlimen Kemaman ketika berusia 32 tahun; Datuk Seri Ahmad Said ketika berusia 33 tahun dalam PRK DUN Kijal dan ramai lagi.

Zaman sudah berubah. Dahulu BN letak tunggul kayu boleh menang tetapi sekarang pengundi sudah berpelajaran maka mereka mahu calon yang berjurus, yang tidak ada skandal, yang turun padang, yang bukan sahaja pandai berpidato tetapi pandai buat kerja.

Oleh itu meletakkan calon muda pada PRU akan datang tidak menjamin kemenangan. Walaupun kita mahu lebih ramai calon muda tetapi ia hendaklah mengikut suasana setempat. Seperti kata saya tadi, zaman sudah berubah. Sekarang pemimpin muda lebih suka menunjuk kemewahan seperti Adam Rosly yang membeli banyak kereta mewah yang menyebabkan rakyat makin meluat melihat gelagat pemimpin muda.

Untuk menang BN kena letak calon muda yang bersih, berjurus dan berpegang kepada agama.

Isnin, April 24, 2017

ISKANDAR SAMAD TABUR WANG UNTUK HALANG PAS TAK KERJASAMA DENGAN PKR?



Kemelut kepimpinan dan jangka hayat Azmin Ali sebagai Menteri Besar dan Pakatan sebagai parti yang menjadi Kerajaan Negeri Selangor sebenarnya sudah sampai ke kemuncak.

Kedegilan PAS Pusat dan desakan daripada Dewan Pemuda PAS Selangor beberapa hari lepas agar hubungan PAS Selangor yang diketuai oleh Iskandar Samad dengan PKR, memberikan petanda perubahan besar yang akan berlaku di Selangor pada PRU-14 akan datang.

Di sebalik cakap besar dan sombong PKR kononnya mereka tidak lagi memerlukan PAS, rata-rata pemerhati politik menyifatkan cakap-cakap besar tersebut tidak ubah seperti menggali kubur sendiri.

Ini adalah kerana PKR tidak pernah dan tidak mampu berdiri sendiri. Dari mula PKR ditubuhkan pada tahun 1999, PAS adalah sandaran utama PKR untuk mendapatkan sokongan dan bantuan dalam pelbagai bentuk. Modal PKR menggunakan populariti Anwar Ibrahim tidak akan ke mana-mana sekiranya PAS tidak membantu menjayakannya. Manakala DAP pula hanya muncul selepas PAS bersusah payah membantu PKR untuk menguasai beberapa kerusi Parlimen dan DUN termasuklah mengorbankan kerusi-kerusi yang mereka tandingi secara tradisi.

Celupar mulut Azmin Ali yang berasa tercabar apabila Nik Abduh mengatakan PAS akan merampas Selangor dan memerintah negeri itu, membuatkan hubungan PAS dengan PKR menjadi bertambah renggang. Walaupun Azmin Ali tersedar daripada keceluparannya itu, tindakan Rafizi Ramli yang terus membiakkan permusuhan antara PKR dengan PAS, membuatkan Azmin Ali tidak senang duduk.

Tanda-tanda PAS Selangor akan memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR Selangor dan PKR Pusat secara keseluruhannya semakin jelas.

Sumber-sumber dari dalam PAS yang enggan namanya disebut menyatakan, kempen untuk mengekalkan Iskandar Samad sebagai Naib Presiden PAS dalam muktamar akan datang, semakin giat dijalankan oleh PKR Selangor. Untuk itu, sejumlah RM500,000 telah disediakan bagi membiayai gerakan mengekalkan Iskandar Samad.






Sebabnya, PKR dan DAP melihat Iskandar Samad sebagai medium yang paling mudah untuk menentang USUL MEMUTUSKAN TAHALUF SIYASI antara PAS dan PKR. Jawatan dan wang dijadikan sebagai imbalan dan tukaran sekiranya jawatan Naib Presiden berjaya dipertahankan oleh Iskandar Samad. Peruntukan berkenaan akan ditambah pada saat-saat akhir pemilihan dalam muktamar PAS nanti.

Agen-agen yang digunakan untuk melaksanakan gerakan tersebut terdiri daripada bekas atau ahli-ahli dan pimpinan PAS yang pro kepada PKR-DAP. Turut digunakan adalah mereka di dalam PAS yang mempunyai kepentingan material dengan PKR dan DAP termasuklah yang menjawat jawatan Ahli-Ahli Majlis PBT selain kontraktor-kontraktor PAS yang mendapat kontrak daripada PBT-PBT.

Agen-agen tersebut sudah pun memulakan gerak kerja mereka terutama di seluruh Selangor untuk berkempen mengekalkan jawatan Naib Presiden Iskandar Samad. Alasan yang mereka berikan ialah, salah seorang saingan Iskandar iaitu Nasruddin Hassan Tantawi masih muda dan baru di dalam PAS. Lagipun Nasruddin mempunyai banyak lagi peluang pada masa hadapan.

Turut dijanjikan adalah jawatan-jawatan dalam Kerajaan Negeri kepada PAS Selangor sekiranya Pakatan Harapan (PKR-DAP-PPBM-PAN) masih berkuasa.

Bagi memastikan perwakilan sasaran dari seluruh Malaysia dan Selangor khususnya memastikan Iskandar Samad mengekalkan jawatan Naib Presiden dalam pemilihan muktamar nanti, tajaan berupa penginapan, makan minum dan wang saku akan diberikan.

Iskandar Samad mungkin tidak tahu akan hal ini. Atau barangkali juga sudah maklum tetapi kerana sebab-sebab tertentu, maka dia memilih untuk mendiamkan diri. Apatah lagi minggu lepas, dia turut mengeluarkan kenyataan yang PAS Selangor tidak akan memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR walaupun menerima asakan dan desakan daripada PAS sendiri.

Ulasan saya, bila dah jadi Exco seronok pula. Maka iskandar tak nak PAS keluar dari kerajaan Pakatan Rakyat. Jika Muktamar PAS meluluskan usul tak nak bekerjasama dengan PKR maka Iskandar terpaksa memilih PKR atau PAN untuk kekal sebagai Exco.