KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Portal 'sebenarnya.my' ang dilancarkan 14 Mac 2017 menerima 3.33 juta layaran (views) setakat akhir Mac lepas.
Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dalam jawapan bertulis di Dewan Negara berkata portal itu menjadi medium untuk rakyat menyemak dan memeriksa kesahihan sesuatu maklumat atau berita.
"Portal sebenarnya.my adalah sebuah pusat sehenti bagi rakyat Malaysia untuk menyemak dan menyalurkan maklumat mengenai berita yang tidak ditentukan kesahihannya, yang diterima secara dalam talian melalui platform media sosial, perkhidmatan mesej segera, blog, laman sesawang, dan lain-lain," kata KKMM menjawab pertanyaan Datuk Abdul Rahman Mat Yasin.
Abdul Rakman mahu KKMM menyatakan usaha kementerian itu membanteras penyebaran berita palsu dan menentukan kesahihan sesuatu berita yang diterima secara dalam talian, media sosial, perkhidmatan mesej segera, blog dan laman sesawang.
KKMM berkata skop berita yang dipapar di portal 'sebenarnya.my' adalah berita yang melibatkan kepentingan awam dan negara, yang boleh atau telah ditentusah secara rasmi oleh kementerian atau agensi yang berkenaan, mengikut skop peranan dan bidang kuasa agensi.
Menjelas lanjut dari segi operasi, portal 'sebenarnya.my' tidak melangkaui peranan dan bidang kuasa sesuatu kementerian atau agensi, sebaliknya berperanan selaku saluran pelaporan sekunder dan himpunan maklumat secara setempat (arkib dan repositori).
Portal tersebut hanya akan memuatnaik berita yang telah ditentusah dan diwar-warkan kepada umum oleh sesuatu kementerian atau agensi melalui siaran atau makluman rasmi di domain awam (kenyataan media, kenyataan di laman web rasmi atau kenyataan facebook rasmi).
Menjawab soalan berasingan berkenaan bilangan aduan kes penyalahgunaan data peribadi yang disiasat dan diambil tindakan selaras dengan peruntukan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, KKMM berkata sehingga Mac lalu, sebanyak 12,258 pengguna data yang terdiri daripada 13 Golongan Pengguna Data telah berdaftar sebagai pengguna data di bawah Akta 709.
"Kegagalan untuk mendaftar di bawah Akta 709 adalah merupakan suatu kesalahan yang jika sabit kesalahan, pengguna data boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya," katanya.
KKMM berkata selepas Akta 709 dikuatkuasakan, sebanyak 297 aduan telah diterima dengan 40 peratus aduan berjaya diselesaikan.
-- BERNAMA