Ahad, Mei 07, 2017

BN JANGAN JADI PARTI "JURASSIC"

BUKIT MERTAJAM, 7 Mei (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) perlu menampilkan imej yang lebih segar dan tidak boleh dipandang sebagai parti untuk orang lama sahaja, kata Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata sehubungan itu setiap calon daripada BN yang akan dipilih pada pilihan raya umum (PRU) akan datang perlulah dilihat sebagai yang mampu mewakili bukan sahaja generasi muda, malah semua lapisan rakyat.

Kena ada barisan calon yang mewakili semua generasi, kita tak mahu ada imej macam PRU lepas, BN ni parti lama. Parti yang tak nampak imej yang segar, parti "jurassic", kena tunjuk kita parti masa depan TN50 bukan dah parti 1957," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Permatang Pauh Fellowship Ride di Permatang Pauh dekat sini, semalam.


Ditanya mengenai pemilihan calon di kalangan Pemuda, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan tertinggi parti, namun tetap berharap lebih ramai calon muda akan bertanding pada PRU akan datang.

Sebab kita melihat golongan pengundi muda semakin ramai dan mereka mengharapkan calon muda," katanya.

Khairy berkata seperti mana Wanita UMNO yang mahukan 30 peratus calon dipilih dalam kalangan mereka, Pemuda juga berharap agar 30 peratus calon termasuk wanita dan lelaki muda akan terpilih sebagai calon pada PRU akan datang.

-- BERNAMA