Rabu, Mei 03, 2017

SYED HUSSEIN AL ATTAS DAN YAHAYA ISMAIL MENDAPAT PENGIKTIRAFAN YPBN


KUALA LUMPUR: Syed Hussein Al Attas yang telah menulis  70 buah buku akhirnya diiktiraf oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) sebagai Pengarang Sepanjang Zaman (Politik) dalam majlis Anugerah Buku Negara di hotel terkemuka malam tadi.

Turut menerima anugerah daripada Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid itu ialah penulis buku Yahaya Ismail sebagai Pengarang Prolifik Sepanjang Zaman.

Syed Hussein atau Nujum Pak Belalang telah menulis 70 buah buku antaranya PEMUDA ZAMAN MAHATHIR (1982), MUSA DERHAKA (1986), ANAK OMAK VS ANAK BAPAK (2004), MAHATHIR MUDAH LUPA (2002) dan DIAM DIAM DAIM (2001).

Buku pertama beliau ditulis pada tahun 1969 berjudul RAHSIA MENGENAL DIRI SENDIRI. Sejak itu beliau menulis dan menerbitkan sebuah buku  (paling minima) setiap tahun.

Manakala Yahya Ismail yang pada mulanya menulis novel LANGKAH KIRI (1967) akhirnya menjadi penulis buku politik yang digeruni ahli politik. Bukunya amat kritikal mengkritik pemimpin negara. 

Dengan penganugerahan ini, ini bermakna jasa mereka berdua menegur pemimpin negara telah mendapat pengiktirafan. Turut hadir di majlis tersebut ialah Pengerusi YPBN, Haji Hassan Hamzah dan penyanyi antarabangsa Malaysia, Datuk Shake.

Dalam ucapannya, Haji Hassan meminta kerajaan memasukkan kepala membeli buku di bawah Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi kerana amat malang apabila penulis terbitkan buku tetapi susah mendapat pembeli.

"Semua penerbit, penulis buku akan menyokong kerajaan yang sedia ada jika kerajaan membeli buku mereka untuk semua sekolah," kata Haji Hassan sambil disambut tepukan gemuruh.

Dalam ucapan balasnya, Mahadzir Khalid yang mewakili Timbalan Perdana Menteri mengajak YPBN berbincang secara detail dengan beliau dan Dewan Bahasa dan Pustaka supaya luahan itu dapat dibawa kepada Menteri Kewangan.