Rabu, November 29, 2017

WANITA LEBIH MENONJOL DALAM BIDANG EKONOMI, PENDIDIKAN DAN KESIHATAN

KUALA LUMPUR, Nov 28 (Bernama) -- Penglibatan wanita yang masih rendah dalam pemerkasaan politik di negara ini tidak bermakna kerajaan sama sekali mengamalkan diskriminasi terhadap kaum itu, menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata, data yang diperolehi menunjukkan kaum wanita lebih menonjol dan menunjukkan persaingan tinggi dalam bidang-bidang lain iaitu ekonomi, pendidikan dan kesihatan.

"Berdasarkan Laporan Jurang Gender Global 2017 oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF), ramai yang mengatakan kerajaan mengamalkan diskriminasi terhadap wanita...mereka beri contoh daripada 71 anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hanya ada tujuh wanita, dan daripada 222 kerusi Parlimen, hanya 24 anggota Parlimen wanita, iaitu 10.8 peratus.

"Pertanyaan mengapa penilaian dilihat dari segi pemerkasaan politik sahaja?. Bagaimana pula dengan aspek ekonomi, pendidikan dan kesihatan?.

"Kerana jika dilihat daripada dimensi ini ternyata tiada diskriminasi terhadap wanita di negara ini," katanya ketika berucap merasmikan program 'Women Power Talk 2017', anjuran Pergerakan Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Salleh berkata, data pada 2013 menunjukkan lebih 86,798 wanita masuk ke universiti berbanding lelaki, meningkat daripada 67,734 orang pada 2009, dan laporan WEF itu sendiri meletakkan skor pencapaian wanita di negara ini lebih tinggi berbanding lelaki, iaitu dalam bidang pendidikan (0.991), kesihatan (0.977), dan ekonomi (0.654).

"Ketidaksamaan jantina cuma ketara dalam segi politik..,itu sebabnya kalau kita lihat kita hanya kurang dari segi penguasaan dari segi politik.

"Sebab itu ia menjadi cabaran kepada semua pihak untuk tentukan bagaimana perkara ini boleh diperbaiki dan semua parti politik boleh ambil kira perkara ini agar di Malaysia, wanita kita bukan sahaja kuat dalam tiga bidang, tapi juga dalam penguasaan politik," katanya.

Salleh berkata, kerajaan Barisan Nasional sentiasa mengambil berat dan berusaha mencari jalan yang terbaik untuk meningkatkan penguasaan kaum wanita dalam bidang-bidang yang disebutkan, terutama sekali yang digariskan sebagai kriteria oleh laporan WEF berkenaan.

Program 'Women Power Talk' itu, merupakan program tahunan Wanita UMNO dengan tahun ini membawa tema 'Advancing U Through Media', yang menghimpunkan tokoh-tokoh wanita daripada bidang politik, pasukan beruniform, serta pemimpin organisasi kerajaan dan korporat.

Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, dalam ucapannya berkata, program ini merupakan salah satu inisiatif sayap itu untuk bersama-sama golongan profesional dan wanita kerjaya daripada pelbagai lapisan masyarakat, merentasi sempadan ideologi politik dan bangsa.

"Wanita hari ini mesti peka dengan peluang dan ruang yang boleh dimanfaatkan dalam ledakan teknologi media baharu untuk mempertingkatkan diri dan menjadi lebih hebat dalam bidang yang diceburi.

"Pada masa sama, wanita juga mesti sedar dengan ancaman dan kelemahan yang datang bersama teknologi ini untuk memastikan keselamatan maklumat diri dan organisasi sentiasa terjaga," katanya.

-- BERNAMA

Selasa, November 28, 2017

MOHD JIDIN YAKIN BN MENANG LIMA KERUSI DI BAHAGIAN SETIU

KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafie yakin BN dapat mengekalkan lima kerusi dalam bahagian tersebut pada PRU akan datang.

Menurut beliau, kemunculan dua parti baru Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PBPM) dan Parti Amanah Negara (PAN) tidak dapat menggugat kekuatan BN di parlimen tersebut.

"Kedua dua parti itu tidak mampu mencabar BN kerana pencabar utama BN dalam PRU akan datang tetap parti PAS," katanya kepada MH Online ketika ditemui di Restoran Al Raziq di sini petang tadi.

Pada PRU 2013, BN mengekalkan empat kerusi DUN dan satu kerusi parlimen di Setiu selain dari parlimen Besut. Pada PRU tersebut BN menang 17 kerusi manakala PAS menang 15 kerusi di seluruh Terengganu.

Di DUN Jabi Mohd Iskandar Jaafar menang dengan majoriti 782 undi. Beliau mendapat 7,735 undi manakala calon PAS, Azman Ibrahim mendapat 6,953 undi.

 Di DUN Permaisuri, Mohd Jidin Shafee yang kembali bertanding di DUN tersebut menang dengan majoriti 2,928 undi. Beliau yang memungut 9.188 undi mengalahkan dua calon Wan Mokhtar Wan Ibrahim (6,260 undi-PKR) dan Mohd Yusof Majid (1,920 undi- Calon Bebas).

Di DUN Langkap, Sabri Mohd Noor mewakili BN menang dengan majoriti 3,022 undi mengalahkan calon PAS, Hassan Karim yang mendapat 5,403 undi. Sabri yang bertanding di situ buat kali pertama mendapat 8.425 undi.

Di DUN Batu Rakit, Calon BN Bazlan Abdul Rahman menang dengan majoriti 1,635 undi. Beliau memperolehi 7,008 undi manakala calon PAS, Che Ghani Che Ambak mendapat 5,373 undi.

Manakala di kerusi parlimen Setiu, calon baharu BN, Che Mohamad Zulkifly Jusoh menang dengan majoriti 7,943 undi. Beliau memungut 33,198 undi mengalahkan calon PAS, Omar Sidek yang mendapat 25,255 undi.

Mohd Jidin yang juga Exco Kerajaan Negeri yakin pengundi Setiu akan mengekalkan BN bagi empat kerusi DUN dan kerusi parlimen kerana mereka tidak terpengaruh dengan isu yang dibawa oleh pihak pembangkang seperti 1MDB dan isu kos sara hidup.


Isnin, November 27, 2017

KENYATAAN NAZRI SUPAYA UMNO TIDAK BERPECAH LAGI

ANALISIS BERITA

KUALA LUMPUR: Biarpun Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamudin Hussein mengingatkan ahli-ahli UMNO tidak menumpukan kepada pemilihan parti sebaliknya memberi perhatian kepada PRU tetapi Ketua Umno Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz membuat usul supaya tidak ada pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan 2018.

Semalam Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membayangkan PRU akan diadakan selepas Tahun Baru Cina selepas Februari 2018. Biasanya pemilihan Umno akan diadakan pada bulan Disember 2018.

Oleh itu kenyataan Nazri terlalu awal supaya Najib dan Zahid diberi kemenangan percuma pada pemilihan 2018. Beliau menghujah ketika Tun Hussein Onn melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai TPM pada tahun 1976, Dr Mahathir tidak dicabar dalam pertandingan timbalan presiden Umno pada pemilihan 1978.

Nazri menambah apabila Pak Lah melantik Najib sebagai timbalan perdana menteri Najib juga diberi kemenangan percuma sebagai timbalan presiden Umno pada tahun 2009. Begitu juga ketika Dr Mahathir melantik Pak Lah sebagai timbalan perdana menteri Pak Lah tidak dicabar bagi jawatan timbalan presiden Umno pada tahun 2004.

Apa yang dikatakan Nazri amat benar jika pertandingan timbalan presiden Umno diadakan maka Umno akan berpecah lagi. Lihat kesan pertandingan timbalan presiden Umno di zaman Dr Mahathir di antara Tun Musa Hitam dengan Tengku Razaleigh Hamzah pada tahun 1981 dan 1984 menyebabkan Umno hancur.

Umno berpecah dua kepada kem Musa dan kem Ku Li. Kenapa Nazri buat kenyataan sebegini? Mungkin sudah ada riak di bawah kononnya Hishamuddin akan menentang Zahid pada pemilihan akan datang.

Penyokong Hishamudin nampaknya ghairah mahu menonjolkan Hishamudin sebagai Timbalan Presiden Umno yang baru maka kenyataan berani Nazri hendaklah dilihat sebagai satu amaran kepada penyokong Hishamuddin supaya tumpu kepada PRU dan bukannya kepada pemilihan parti.

Umno tidak sanggup berpecah lagi maka wujudnya kem Zahid dan kem Hishamuddin tidak akan menguntungkan Umno. Seorang ketua bahagian di Selangor yang menjemput Hishamuddin merasmikan persidangan perwakilan bahagian baru baru ini dipulau oleh pegawai pegawai Zahid seolah olah jemputan itu membuktikan dia orang Hishamuddin sedangkan dia menjemput Hishamuddin di atas kapasiti naib persiden Umno.

Dari segi akar umbi, Zahid memang lebih kuat dari Hishamudin namun demikian ia bergantung kepada keputusan PRU yang akan datang sama ada Hishamudin akan langgar Zahid atau tidak. Kenyataan Nazri walaupun terlalu awal tapi ia hendaklah dianggap sebagai satu amaran supaya Umno tidak bergolak sekali lagi. Syabas kepada Umno Bahagian Padang Rengas yang membawa usul tersebut supaya elakkan pertandingan jawatan nombor 1 dan nombor 2.


Sabtu, November 25, 2017

UMNO SELANGOR SUDAH SERIK JADI PEMBANGKANG

SHAH ALAM, 25 Nov (Bernama) -- Sembilan tahun menjadi pembangkang di Selangor ternyata menginsafkan UMNO Selangor yang bertekad tidak mahu lagi mengulangi episod duka apabila terlepas negeri itu dalam dua pilihan raya umum (PRU) sebelum ini.

Atas kesedaran itu juga UMNO Selangor menggerakkan gerak kerja semaksimumnya untuk menghadapi PRU ke-14 (PRU14) merangkumi peringkat cawangan, bahagian dan negeri.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Johan Abdul Aziz berkata untuk tujuan itu, UMNO melantik koordinator di kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak dimenangi BN untuk memimpin gerak kerja berkenaan.

"Ya kami dah serik dan tidak lagi mahu menoleh ke belakang. Saya lihat kesungguhan untuk merampas balik Selangor di peringkat akar umbi cukup kuat ketika ini. Gerak kerja kami cukup 'solid' koordinator di DUN yang kalah, mereka buat kerja dengan baik.

"Walaupun kami di Selangor ni dah bertahun jadi pembangkang tetapi kami tetap jalankan tanggungjawab membantu rakyat. Mana yang kita boleh bantu kita bantu seperti keperluan asas banyak yang Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) kita luluskan di kawasan Selangor ini," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama.

Ketika ini, kedudukan 56 DUN di Selangor terdiri daripada DAP (14 kerusi), PKR dan PAS masing-masing 13 kerusi, UMNO-BN (12 kerusi) dan Parti Amanah Negara serta Bebas, masing-masing dua kerusi.

Bagi menggerakkan usaha UMNO Selangor merampas semula negeri itu pada PRU14, Johan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Semenyih, berkata parti tersebut menjalankan gerak kerja yang agresif namun bertempat.

Beliau berkata UMNO Selangor turut menggunakan medium media sosial secara maksimum untuk memperjelas atau menyampaikan sebarang isu negeri atau nasional supaya segala maklumat cepat sampai kepada rakyat.

Pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut membuka ruang dan peluang untuk UMNO Selangor berbakti kepada rakyat di kawasan bandar.

"Selepas Tan Sri (Noh) dilantik sebagai menteri, beliau terus buat kertas kerja untuk diserahkan kepada perdana menteri yang kemudian meluluskan peruntukan RM300 juta untuk membantu miskin bandar. Daripada jumlah itu, RM160 juta diperuntukkan untuk Selangor, ini bukan sebab Tan Sri dari Selangor tetapi disebabkan nisbah keseluruhan rumah pangsa dan rumah kos rendah 50 peratus terletak di Selangor.

"Kita terima keluhan daripada rakyat mengenai ketiadaan lif di rumah pangsa yang banyak tingkat sehinggakan nak bawa turun jenazah susah... ini yang kita persembah kepada perdana menteri dan ternyata kebijaksanaan kita dicemburui oleh kerajaan negeri. Strategi kita ialah terus dekati, dampingi rakyat dan apa yang kita boleh bantu kita bantu," katanya.

Mengenai sasaran UMNO dan BN Selangor pada PRU14, Johan berkata pihaknya memberi tumpuan kepada 35 kawasan DUN termasuk 12 yang kini dipegang oleh UMNO.

Enggan mendedahkan kesemua kawasan DUN terbabit, beliau berkata UMNO Selangor telah mengenal pasti kawasan-kawasan yang bermasalah dan yakin akan dapat mengatasinya sebelum PRU14.

"Walaupun dikatakan PRU14 ini adalah peluang terakhir untuk BN menang semula di Selangor segalanya boleh berlaku dalam politik... yang penting UMNO Selangor harus bersatu padu di bawah Noh supaya satu nakhoda satu arahan dipatuhi.

"Saya juga lihat idea Tan Sri Noh cukup bagus... beliau tanamkan dalam pemikiran jentera akar umbi bahawa setiap gerak kerja mesti fikirkan pertandingan satu lawan satu, jadi semua kena kerja kuat. Kekalahan di Selangor sebelum ini mungkin ada hikmahnya? bila kita jadi kerajaan semula kita kena pastikan tidak terlepas lagi, kena jaga Selangor betul-betul," katanya.

-- BERNAMA

KERUSI PARLIMEN CAMERON HIGHLANDS MILIK SIAPA?

KUALA LUMPUR: Perebutan kerusi parlimen Cameron Highlands kembali bergema apabila seorang Ketua Pemuda MIC, C. Sivarajah  mengumumkan bahawa beliau adalah bakal  calon MIC bagi kawasan parlimen tersebut.

Ia pula disahkan oleh Ketua Pemuda MCA, Senator Datuk Chong Sin Woon yang datang melawat ke sebuah sekolah di Cameron Highlands yang menyokong penuh Ketua Pemuda MIC itu sebagai calon sambil berkata orang yang sudah berusia lebih 60 tahun tidak layak jadi calon.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Savaranan turut menyokong C Sivarajah yang juga Penyelaras MIC Cameron Highlands sebagai calon. Ini mengakibatkan suasana di parlimen tersebut bergolak apabila kawasan itu dijaga oleh Presiden MyPPP, Tan Sri Kayveas sejak tiga tahun lalu apabila ahli parlimennya G Palanivel dipecat dari MIC dan menjadi ahli parlimen Bebas.

"Saya sudah tiga tahun menjaga parlimen Cameron Highlands kerana saya anak tempatan dan mendapat restu dari Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak dan saya terkejut apabila Ketua Pemuda MIC mendahului Perdana Menteri dalam mengumumkan calon parlimen Cameron Highlands," kata Kayveas dalam satu pertemuan eksklusif dengan MH Online di pejabatnya petang semalam selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi MyPPP.

"Saya lebih terkejut apabila Ketua Pemuda MCA turut menyokong Sivarajah sebagai calon sedangkan BN belum buat pengumuman lagi siapa akan bertanding di situ," katanya lagi.

Beliau selaku Penasihat Kementerian Pengangkutan mendakwa kerusi Cameron Highlands sebenarnya diwujudkan untuk beliau. Pada tahun 1999, beliau selaku Presiden parti komponen BN tiada tempat untuk bertanding maka Pengerusi BN, Tun Dr Mahathir Mohamad melantiknya sebagai Senator dan Timbalan Menteri dan berjanji akan memberi kerusi Cameron Highlands kawasan baru yang dipecahkan dari parlimen Lipis pada PRU 2004.

Malangnya Dr Mahathir bersara dari politik pada tahun 2003 dan Pak Lah sebagai Pengerusi BN yang baru yang mengetuai PRU 2004 mengikut telunjuk Presiden MIC, Tun Samy Vellu yang mahu kerusi Cameron Highlands untuk MIC. Maka Kayveas terpaksa ambil kerusi Parti Gerakan dan bertanding di parlimen Taiping. pada tahun 2004.

Pada tahun 2008 Kayveas masih mengintai kerusi Cameron Highlands tapi beliau dikekalkan bertanding di Taiping yang mana beliau kalah kepada calon DAP. Pada tahun 2013 beliau masih mahu bertanding di kampung halamannya tetapi beliau patuh kepada arahan Pengerusi BN yang baru, Najib yang mahu Presiden MIC, Palanivel bertanding di situ dan beliau buat keputusan tidak bertanding.

Pada tahun 2014 Palanivel kalah mempertahankan jawatan Presiden MIC dan beliau dipecat dari MIC maka kerusi tradisi MIC itu kosong. Ketika itu beliau memohon kepada Najib untuk menjaga kerusi tersebut dan balik kampung setiap minggu menemui pengundi dan dalam tempoh tiga tahun itu beliau telah mendaftar 5,000 orang pengundi baharu.

"Saya rasa Perdana Menteri nampak saya sudah bekerja keras sejak tiga tahun lalu maka tidak timbul bahawa kerusi Cameron Highlands adalah kerusi tradisi MIC kerana sudah tiga tahun MIC tidak jaga kawasan tersebut," dakwa beliau.

Sehubungan dengan itu beliau kesal dengan sikap pemimpin MIC yang mendahului PM yang menamakan Sivarajah sebagai calon MIC yang mahu orang muda sebagai calon.

"Saya dikatakan sudah lebih umur 60 tahun dan tak layak jadi wakil rakyat seolah olah semua yang sudah berumur 60 tahun ke atas termasuk PM, TPM dan Presiden MIC, Subramaniam tidak layak lagi jadi calon," katanya sedangkan majoriti ketua cawangan MIC dalam parlimen Cameron Highlands berusia 60 tahun ke atas.

Katanya orang muda perlu belajar jadi pengikut sebelum jadi pemimpin. Cari pengalaman yang banyak sebelum layak jadi calon.

"Walaupun sudah berumur 60 tahun kalau calon itu masih sihat dan boleh berkhidmat kepada rakyat maka apa salahnya calon itu dikekalkan kerana rakyat sudah biasa dengan orang lama," ujarnya lagi.

Walau bagaimanapun beliau akan patuh kepada PM apabila tiba PRU nanti. Apabila PM umumkan parti mana yang akan wakili BN di situ beliau akan patuh arahan tersebut tetapi beliau optimis bahawa MyPPP akan mewakili BN pada PRU akan datang  berdasarkan sambutan pengundi di situ terhadap parti MyPPP.



Jumaat, November 24, 2017

MALAYSIA SASAR EKSPORT 30 PERATUS AYAM PEDAGING MENJELANG 2030

REMBAU, 23 Nov ( Bernama) -- Malaysia menyasar untuk mengeksport sekurang-kurangnya 30 peratus ayam pedaging menjelang 2030, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata ketika ini negara hanya mengeskport kira-kira tujuh peratus daripada sejumlah 1.5 juta ekor ayam pedaging yang dikeluarkan oleh kilang-kilang dan pusat ternakan setiap hari.

"Justeru saya menyeru syarikat -syarikat pemprosesan ayam pedaging untuk mempertingkatkan pengeluaran bagi pasaran dunia dan keseluruhan kerana kita tahu tahap kecukupan ayam pedaging di Malaysia sekarang ini sebanyak 128 peratus.

"Ini menyumbang sebanyak 75 peratus daripada pasaran keseluruhannya bernilai RM10 bilion daripada industri ternakan negara," katanya dalam ucapan perasmian Kilang Pemprosesan Ayam Pedaging Hy-Fresh Al Barakah Food Industries Sdn Bhd di Pedas Halal Park, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan, Pengerusi Eksekutif Hy-Fresh Albarakah Food Industries Sdn Bhd Datuk Mohd Tahir Picho dan pengasas Kumpulan Hy-Fresh Datuk Seri Pua Tian Song.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata Malaysia juga merupakan antara pengeksport bersih ayam pedaging dalam kalangan negara ASEAN dan tidak lagi menjadi negara pengimport ayam.

Sehubungan itu,Timbalan Perdana Menteri berkata pengusaha dan penternak ayam berskala besar perlu mempertingkatkan lagi produktiviti mereka, sekali gus menyumbang kepada jaminan makanan negara.

"Kita tahu apa yang telah kita lakukan adalah sebahagian daripada strategi ' food security' (jaminan makanan) di negara kita dan kita bukan hanya pandang dari segi 'bottom line' (keuntungan) untuk pengeluaran ayam ini , tetapi kita mahu daripada segi jangka panjangnya semua protein termurah ini dapat dinikmati," katanya.

Selain itu, katanya, pensijilan halal yang dikeluarkan negara ini merupakan antara sijil yang tersohor dan diiktiraf di seluruh dunia sekali gus menarik minat banyak negara lain untuk mendapatkannya.

"Ketika lawatan saya ke Korea dan Jepun, mereka meminta supaya produk-produk halal Malaysia dapat dibawa ke negara-negara berkenaan bersempena acara antarabangsa kerana halal bukan hanya untuk orang Islam, halal untuk semua agama.

"Ini kerana sijil halal mempunyai Prosedur Operasi Standard daripada segi kebersihan yang dibuat secara saintifik. Inilah yang dihargai oleh pasaran dunia," kata Zahid.

Sementara itu, kilang pemprosesan ayam pedaging Hy-Fresh Albarakah itu yang mula beroperasi akhir tahun lepas mempunyai fasiliti penyembelihan dengan keupayaan memproses sebanyak 150,000 ekor ayam sehari.

Kilang berkenaan turut dilengkapi 12 bilik sejuk beku yang boleh menampung 6,000 tan metrik ayam dan pelbagai kemudahan lain.

Setakat ini syarikat tersebut telah berjaya memperoleh kontrak membekalkan ayam ke pasar raya seperti NSK, Tesco, Giant dan Econsave dan menjadi pembekal utama kepada restoran makanan segera KFC, Old Town, Ayamas serta mengeksport ayamnya ke pasaran Singapura.

-- BERNAMA

Khamis, November 23, 2017

JANGAN CALONKAN SEMULA AHLI PARLIMEN YANG PONTENG

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Tindakan dalaman telah diambil terhadap anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) yang tidak hadir pada persidangan Dewan Rakyat, Isnin lalu yang menyaksikan Rang Undang-Undang Perbekalan untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) diluluskan selepas menerima 52 undian sokongan berbanding 51 undian bantahan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau juga telah menasihatkan anggota Parlimen BN supaya lebih serius untuk menghadiri sesi Dewan Rakyat.

"Yang penting kita menang tetapi sebenarnya saya telah ambil tindakan...tindakan dalaman. Saya telah menasihatkan mereka, mereka harus lebih serius hadiri persidangan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan misi bantuan makanan untuk pelarian Rohingya di Bangladesh di perkarangan Parlimen, hari ini.

Persidangan Dewan Rakyat Isnin lalu kecoh apabila penggubal undang-undang daripada kedua-dua pihak berperang mulut kerana tidak berpuas hati dengan keputusan undi belah bahagian berkenaan.

Kekecohan itu tercetus apabila G. Manivannan (PKR-Kapar) bangun sebaik sahaja Menteri KPDNKK Datuk Seri Hamzah Zainudin menggulung perbahasan RUU Perbekalan peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya.

Manivannan telah mencadangkan supaya undi belah bahagian diadakan untuk menentukan sokongan terhadap RUU Perbekalan itu sebelum ia berjaya diluluskan selepas menerima 52 undian sokongan berbanding 51 undian bantahan.

Ulasan saya, tindakan dalaman kepada mereka yang ponteng persidangan Dewan Rakyat itu tidak memadai. Mereka hendaklah tidak dicalonkan semula dalam PRU akan datang sebagai hukuman serius kepada mereka yang memalukan imej BN kecuali mereka ada tugas rasmi di luar.


Rabu, November 22, 2017

UNDI BELAH BAHAGI BUKTI DEMOKRASI TERUS SUBUR

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Keputusan undi belah bahagian Rang Undang-Undang Perbekalan (RUU) 2018 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) semalam menunjukkan sistem demokrasi terus subur di Dewan Rakyat dan ia tidak sepatutnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata semua anggota Parlimen perlu menghormati keputusan ini kerana proses yang dijalankan mengikut prosedur yang dibenarkan di bawah Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

"Cubaan pembangkang untuk menggagalkan RUU itu melalui undi belah bahagian nyata tidak berjaya apabila anggaran perbelanjaan untuk kementerian tersebut telah diluluskan dengan majoriti mudah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Persidangan Dewan Rakyat semalam kecoh apabila penggubal undang-undang daripada kedua-dua pihak berperang mulut kerana tidak berpuas hati dengan keputusan undi belah bahagian.

Kekecohan itu tercetus apabila G. Manivannan (PKR-Kapar) bangun sebaik sahaja Menteri KPDNKK Datuk Seri Hamzah Zainudin menggulung perbahasan RUU Perbekalan peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya.

Manivannan telah mencadangkan supaya undi belah bahagian diadakan untuk menentukan sokongan terhadap RUU Perbekalan tersebut dan cadangan itu kemudian diterima oleh Timbalan Speaker Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

RUU Perbekalan untuk kementerian itu berjaya diluluskan selepas menerima 52 undian sokongan berbanding 51 undian bantahan.

-- BERNAMA

Selasa, November 21, 2017

RAHMAN DAHLAN DEWAKAN BAHASA PENJAJAH

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Sekolah aliran Inggeris perlu diwujudkan semula di negara ini bagi mempertingkat penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar agar mereka mampu bersaing dalam dunia yang penuh cabaran pada masa akan datang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Katanya, sebagai bahasa perantara di peringkat antarabangsa, individu yang menguasai bahasa Inggeris akan mempunyai kelebihan berbanding mereka yang tidak menguasainya, apatah lagi dalam kepesatan teknologi yang kebanyakannya berasaskan kepada bahasa itu.

"Saya percaya sekolah (aliran) Inggeris perlu ditubuhkan di negara ini kerana kita ada sekolah kebangsaan, sekolah Cina, sekolah Tamil, sekolah swasta, sekolah agama, sekolah antarabangsa dan macam-macam sekolah jadi apa salahnya kita ada sekolah (aliran) Inggeris.

"Malaysia satu ketika dahulu dianggap satu negara yang mempunyai kefasihan bahasa Inggeris yang tinggi, tapi sekarang ini banyak pihak yang memperkatakan bahawa graduan kita tidak menguasai bahasa Inggeris," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Masa Depan Pekerjaan, Tempat Kerja dan Tenaga Kerja di sini hari ini.

Katanya, bagi merealisasikan idea itu semua pihak termasuk pemimpin politik, badan bukan kerajaan, Persatuan Ibu bapa dan Guru serta anggota akademik perlu membincangkan perkara itu secara holistik tanpa menjadikannya polemik politik.

Ahad, November 19, 2017

PERKASA AKAN BUAT KEPUTUSAN SOKONG BN ATAU PH MENJELANG HARI PENGUNDIAN



KUALA LUMPUR 19 Nov.- Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hanya akan memilih parti yang memperjuangkan agenda Melayu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).


Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, pihaknya akan menilai manifesto daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan sebelum membuat sebarang keputusan.


“Tunggu dahulu, buat masa ini kita tidak menyokong mana-mana parti kerana mahu lihat manifesto mereka apa agenda untuk orang Melayu.

“Selepas membuat keputusan saya akan memberitahu ahli dan yakin mereka akan mendengar pandangan saya demi masa depan Melayu,” katanya ketika sidang akhbar selepas majlis Perasmian Persidangan Agung Tahunan ke-8 Perkasa di sini hari ini.

Tambah Ibrahim, sekiranya kesuntukan masa beliau mungkin akan menghantar pesanan ringkas kepada ahli-ahli Perkasa untuk menyatakan pendiriannya walaupun terpaksa berbuat demikian ketika hari pengundian.


ANWAR KATA MACAM MACAM KEPADA PM TAPI PM TETAP LAWAT ANWAR

TUMPAT, 18 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak seorang pemimpin berjiwa besar apabila sanggup mengenepikan perbezaan fahaman politik apabila melawat bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menerima rawatan selepas pembedahan di Hospital Kuala Lumpur semalam.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata dalam politik, Anwar adalah musuh Barisan Nasional (BN) namun atas prinsip ukhuwah dan Islamiah, Najib yang juga Presiden UMNO lebih mengutamakan silaturahim.

"Sebelum ini pun, Perdana Menteri melawat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara.

"Ini cara politik matang yang kita amalkan walaupun wujud perbezaan fahaman politik tetapi silaturahim tidak terputus," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Semarak Bahasa Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2017 peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Kebangsaan Pulau Beluru di sini, hari ini.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata amalan politik matang tersebut juga dapat dilihat apabila Perdana Menteri bersama Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob menyelesaikan masalah rakyat ketika bah kuning pada 2014.

Pada 22 Sept lalu, Anwar yang mendapatkan rawatan untuk masalah kesihatannya di HKL, terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan dari hospital berkenaan ke Penjara Sungai Buloh.

Anwar dilaporkan menjalani pembedahan artroskopi susulan kecederaan di bahu kanannya, Ahad lepas.

-- BERNAMA

Sabtu, November 18, 2017

DE PALMA CADANG SEMAK KEANGGOTAANNYA DALAM MAH

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Rangkaian Hotel De Palma bercadang menyemak semula keanggotaannya dalam Persatuan Hotel Malaysia (MAH) berhubung isu larangan wanita bertudung bekerja di barisan depan selagi pendirian persatuan berhubung isu itu tidak diperbetulkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hotel De Palma Dr Azaharul Hisham Sulong Ahmad berkata polisi itu bukan sahaja berbentuk diskriminasi tetapi juga tidak sesuai diguna pakai oleh hotel-hotel di Malaysia selaku sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam.

"De Palma menentang sebarang bentuk diskriminasi terhadap kemanusiaan dan tidak akan bersekongkol dengan elemen sedemikian," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Beliau juga menggesa pengusaha hotel lain membantah polisi tersebut yang disifatkannya sebagai tidak perlu.

Azaharul Hisham mengulas kenyataan MAH yang mempertahankan tindakan pengusaha hotel melarang staf wanita beragama Islam yang memakai tudung bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan

Jumaat, November 17, 2017

PERKASA KESAL DIKAITKAN DENGAN KEHILANGAN PADERI



KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali mendesak Ibu Pejabat Polis Bukit Aman membersihkan nama mereka susulan dikaitkan dengan kes penculikan Paderi Raymond Koh.

Katanya Bukit Aman perlu menyoal siasat saksi ketujuh ASP Supari Muhammad dalam prosiding pendengaran sebuah panel siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengenai keluarga Koh yang mengaitkan PERKASA dengan kehilangan itu.

“Tujuan apa peguam keluarga Pastor Koh timbulkan hubung-kait PERKASA kepada ASP berkenaan dan cara ASP itu jawab timbul persepsi kepada PERKASA.

“Saya tuntut Bukit Aman bersihkan nama PERKASA dengan soal siasat ASP waktu pendengaran Suhakam itu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PERKASA, Kuala Lumpur, hari ini.

Selasa lalu, PERKASA berkata pihaknya akan mengkaji transkrip prosiding inkuiri Suhakam selepas dikaitkan dengan kes penculikan Koh.



Paderi itu dilaporkan diculik oleh sekumpulan individu bertopeng dan bersenjata di Petaling Jaya pada Februari lalu.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Ibrahim berkata pihaknya tidak akan memfailkan saman sebaliknya akan menanganinya secara terbuka.

“Tak saman, kita cuba tangani secara terbuka, kalau perlu baru ambil tindakan undang-undang. Kita juga nak transkrip penuh, (mana tahu) kalau ada diubah suai ke,” katanya.

Bekas anggota parlimen Pasir Mas itu juga kesal kerana PERKASA dikaitkan dengan kehilangan Koh hanya kerana membela pendakwah kontroversi Zakir Naik.

“Sememangnya saya tak nampak kaitan isu kehilangan Pastor Koh dengan PERKASA. Saya dah keluarkan kenyataan suruh polis siasat angkara siapa dan ambil tindakan.

“PERKASA dikaitkan kononnya kerana bela Zakir Naik, tidak ada kena mengena dengan isu ini kerana kita (bela Zakir) ikut undang-undang dan sekadar atas sifat keadilan ke atas Zakir Naik,” katanya.





Katanya lagi sejak PERKASA ditubuhkan sembilan tahun lalu, pertubuhan itu tidak pernah membuat huru hara seperti demonstrasi sebaliknya sering menganjurkan wacana, resolusi meja bulat bagi mencapai segala kata sepakat.



“Tengok rekod sembilan tahun PERKASA kita tak pernah demonstarsi, tak pernah huru hara kecuali anjur resolusi, wacana, meja bulat. Kita juga tak langgar undang-undang, lebih dari itu kita tak buat.

“Tapi kenapa kita dituduh ekstremis, bila kita pertahankan negara kita dituduh macam-macam,” katanya dengan nada kesal.




Sementara itu, Ibrahim berkata PERKASA akan menganjurkan Persidangan Agung Tahunan ke-8 PERKASA 2017 pada 19 November ini di Stadium Titiwangsa, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Beliau berkata persidangan yang bertemakan ‘Ummah Berintegriti, Negara Diberkati’ akan dirasmikan oleh Cendekiawan Islam, Tan Sri Mohd Yusof Noor.

Manakala, sehari sebelum persidangan itu, PERKASA akan menganjurkan persidangan tahunan tiga sayap kali ke-4 tahun 2017 di Hotel Regency, Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur dan Forum Bajet 2018.


Khamis, November 16, 2017

50 SYARIKAT ELAK BAYAR CUKAI SEBANYAK RM1 BILION

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Lebih 50 syarikat koporat terkemuka dalam sektor telekomunikasi, hartanah dan perladangan di negara ini dikesan mengelak daripada membayar cukai, dakwa Anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

Irmohizam (BN-Kuala Selangor) berkata lebih mengejutkan lagi, 20 daripada syarikat terbabit yang telah dikenal pasti dan dinilai, memiliki cukai sebenar yang tidak dibayar berjumlah RM1 bilion.

"Persoalannya, sekiranya syarikat-syarikat korporat gergasi yang dimiliki jutawan turut terlibat dalam pengelakan cukai ini, apatah lagi syarikat-syarikat kecil yang turut terlibat dalam hal ini.

"Justeru itu, saya ingin bertanya apakah mekanisme terbaik yang sedang dirangka oleh pihak kementerian dalam menangani ketirisan pengelak cukai dan sejauh manakah pemantauan dibuat bagi mengatasi masalah ini?," katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 di peringkat jawatan kuasa Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu Irmohizam turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada 24 syarikat yang menerima anugerah tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada CSR Malaysia di atas pembabitan aktif mereka membantu masyarakat menerusi pelbagai bentuk bantuan.

Rabu, November 15, 2017

PARTI WARISAN MAHU PINDA AGAMA RASMI SABAH?

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini mencabar pihak yang kononnya berjuang untuk menegakkan hak-hak Sabah membuktikan keikhlasan perjuangan mereka kepada rakyat negeri itu atau ia hanya agenda politik mereka.

Ini termasuk cabaran kepada Parti Warisan sama ada ia akan meminda Artikel 5A, Perlembagaan Negeri Sabah, iaitu agama Islam tidak lagi menjadi agama negeri Sabah sekiranya parti itu memerintah Sabah.

Pandikar dalam kenyataan media hari ini, berkata cabaran dan persoalan sama ditujukan kepada Presiden Parti STAR Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang turut mendakwa beliau (Pandikar) memutarbelitkan fakta berhubung Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63.

Cabaran itu, katanya kerana pihak terbabit telah salah tafsir sejarah kemerdekaan pewujudan Malaysia dan perundangan yang berkaitan dengannya untuk menyesuaikan selera dan agenda politik masing-masing.

"Sejak kebelakangan ini, isu hak-hak negeri Sabah dan Sarawak hebat diuar-uarkan oleh mereka yang mempunyai agenda politik masing-masing. Saya terpanggil membuat kenyataan ini atas kapasiti sebagai Sabahan (rakyat Sabah) dan bukan atas kapasiti sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat kerana isu ini amat serius.

Selasa, November 14, 2017

AZMIN KENCING RAKYAT SELANGOR



KUALA LUMPUR: Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos mendakwa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menipu penduduk Selangor me­ngenai pembinaan rumah mampu milik di Semenyih, Selangor dekat sini di bawah program Rumah Se­langorku.


Beliau turut menuduh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad bersekongkol dalam perkara itu apabila memaklumkan rumah terbabit sudah siap dibina dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.


Jamal mendakwa, pembinaan rumah mampu milik yang sepatutnya dibina dengan kawasan perumahan mewah di Semenyih tidak wujud.

“Selepas Iskandar maklumkan rumah itu dibina, saya sudah beberapa kali periksa kawasan terbabit tetapi tiada apa-apa.

“Apa yang ada adalah rumah mampu lihat dan bukannya rumah mampu milik seperti dimaklumkan,” katanya dalam sidang akhbar Rumah Selangorku hanya retorik kerajaan Selangor di Semenyih, dekat sini hari ini.

Beliau turut mengedarkan ki­ra-­kira 1,000 kilogram ikan dan aiskrim percuma di sana.
Jamal berkata, pembinaan rumah berkenaan sepatutnya bermula 2008 bersama perumahan mewah terbabit.

“Kawasan perumahan mewah tersebut sudah lama siap dan bertukar tangan pemiliknya, tetapi rumah mampu milik masih belum dibina,” katanya.

Justeru, beliau berkata, beliau akan ‘berkampung’ di hadapan pintu masuk kawasan perumahan mewah itu selama tiga hari bagi membantah situasi berkenaan.

Isnin, November 13, 2017

SPRM JOHOR MAHU TANGKAP 100 ORANG DALAM TEMPOH DUA BULAN INI



ISKANDAR PUTERI, 12 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjangkakan kira-kira 100 tangkapan rasuah dapat dilakukan oleh agensi itu di Johor sehingga penghujung tahun ini.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias berkata keyakinan itu bersandarkan kepada kepimpinan kerajaan negeri yang disifatkan sangat membantu dalam usaha agensi tersebut membanteras rasuah secara habis-habisan.

Namun begitu, beliau masih berharap agar kerajaan dan masyarakat terutamanya, meletakkan rasuah sebagai musuh nombor satu negara memandangkan ia katanya, sentiasa berlaku di mana-mana selagi terdapat peluang dan ruang.

"Sampai hujung tahun ini, saya jangka kira-kira 100 tangkapan dapat dibuat di Johor tetapi apakah itu (tangkapan) satu perkara yang menunjukkan rasuah benar-benar dapat dibanteras dalam Johor?"

"Saya rasa tidak, kerana setiap pengganti kepada 100 orang ini akan membuat perkara yang sama kerana rasuah sangat berkait dengan ruang dan peluang."

"Saat kita duduk di tempat itu, maka peluang untuk lakukan rasuah adalah sangat tinggi," katanya kepada kira-kira 2,700 penjawat awam yang menghadiri Sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang disempurnakan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr.Ali Hamsa di Pinewood Iskandar Malaysia Studios di sini, hari ini.

Menurut Azmi negara tidak akan maju seperti yang diimpikan sekiranya masih terdapat ramai rakyat tempatan dan warga asing berada dalam penjara dan pusat tahanan pendatang haram.


Ahad, November 12, 2017

MAHDZIR NAFI GURU PUNCA PELAJAR GAGAL KUASAI KBAT



PADANG TERAP, 11 Nov (Bernama) -- Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini menafikan dakwaan yang menyatakan guru punca kegagalan pelajar menguasai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Beliau berkata kenyataan Timbalan Menterinya Datuk P.Kamalanathan telah disalahtafsirkan sebuah portal berita yang melaporkan kononnya guru menjadi punca kegagalan KBAT di sekolah.

"Apabila saya meneliti balik kenyataan dan membaca sepenuhnya apa yang dikatakan beliau (Kamalanathan), beliau bukan sebut kegagalan daripada guru kerana apa yang berlaku membabitkan masyarakat secara keseluruhannya.

"Jadi, tidak betul. Kenyataan itu kemudian di 'spin' seolah-olah Timbalan Menteri Pendidikan membuat kenyataan kegagalan KBAT berpunca daripada guru,"katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Liga Piala Anggota Parlimen Padang Terap di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Nerang di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan kementerian mahu terus mendekati masyarakat merangkumi pelajar sekolah, ibu bapa dan badan bukan kerajaan untuk menjelaskan tentang KBAT supaya mereka memahaminya.


Sabtu, November 11, 2017

MAHATHIR PERNAH AKUI GST LEBIH BAIK DARI SST

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pembangkang ikhlas dalam soal Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), dan jangan menipu rakyat kononnya GST patut dihapuskan tetapi dalam masa sama akan mengembalikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang sudah lapuk.

"Mansuhkan sahaja cukai barang dan nyatakan di mana mereka (pembangkang) mahu menampung kekurangan hasil minyak sebanyak RM40 bilion setahun. Usahlah perdayakan rakyat," kata perdana menteri dalam catatan terkini blog rasminya (www.najibrazak.com), hari ini.

Najib menjelaskan bahawa SST yang mahu diguna pakai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai masalah percukaian bertindih dan juga perhitungan berganda dalam pengiraan nilai produk serta mempunyai masalah ketirisan akibat manipulasi pemborong dan penjual.

Beliau berkata pengenalan sistem SST bukan sahaja keterbelakang, malah akan membebankan rakyat secara tersembunyi.

Dr Mahathir sedar akan perkara itu dan pernah mengakui GST lebih baik daripada SST kerana pentadbiran beliau sendiri yang mengesyorkan untuk menaik taraf cukai kepada sistem GST, kata Najib.

"Akhirnya Tun Dr Mahathir bersetuju dengan kerajaan bahawa GST menampung kekurangan hasil minyak sebanyak RM40 bilion.

"Namun kerana beliau keterlanjuran kata menjanjikan pemansuhan GST, beliau sekarang ini mahu menggantikan GST dengan SST, sebuah sistem lapuk dan tersembunyi yang telah ditamatkan oleh 160 buah negara di dunia. Sekali lagi Tun melakukan u-turn (pusingan U)," jelas perdana menteri.

Beliau berkata Dr Mahathir ingin menampakkan seolah-olah pembangkang akan menghapuskan GST tetapi sebaliknya akan menggantikan dengan SST dengan kadarnya tidak dimaklumkan kepada pembeli bagi mengemis undi.

"Bukankah ini satu pembohongan. Di bawah sistem SST adalah tidak perlu untuk penjual maklum jumlah cukai dalam resit.

"Jadi mereka boleh mengenakan cukai pada kadar yang tidak boleh dikawal penguat kuasa, dan rakyat juga tidak sedar mereka masih dicukai walaupun diberitahu GST dimansuhkan. Tidak dengan GST di mana penjual perlu secara telus menyatakan jumlah kadarnya yakni enam peratus," jelasnya.

Najib menegaskan dari segi perbandingan sistem, GST adalah sistem yang moden dan lebih sistematik daripada SST.

Katanya, GST diperkenalkan kerana ia lebih moden, telus dan mempunyai perundangan yang lengkap bagi mengelakkan penipuan dan diguna pakai oleh 160 buah negara di dunia, selain mempunyai cara perhitungan dan piawaian yang konsisten dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA


Jumaat, November 10, 2017

PEMANDU KAJI MAJUKAN 34 TARIKAN PELANCONGAN TERENGGANU



KUALA LUMPUR : Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata menyedari Terengganu kaya dengan kepelbagaian produk pelancongan berteraskan kekayaan alam semula jadi, keunikan budaya kesenian dan warisan kerajaan perlu memaksimumkan semuanya secara lebih efektif.

“Kita mengambil pendekatan dengan melakukan perubahan menyeluruh dalam sektor ini termasuk membuat penjenamaan semula produk dan destinasi menarik yang dikenal pasti.

“Sektor pelancongan menjadi tumpuan kerana hasil kajian lalu mendapati ia memberi kesan sebanyak tiga kali ganda terhadap pertumbuhan ekonomi selain menambahkan 2.5 kali ganda peluang pekerjaan kepada penduduk,” katanya pada majlis pelancaran Pelan Induk Pelancongan Negeri Terengganu 2018-2025, di sini, hari ini yang mana rancangan ini dijalankan dengan usaha sama Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU).



Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif PEMANDU, Datuk Seri Idris Jala; Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan Naib Presiden Eksekutif PEMANDU, Datuk Dr Amin Khan.

Ahmad Razif berkata, bagi mencapai hasrat berkenaan, kerajaan memilih kepakaran PEMANDU dalam merekabentuk pelan induk dan merangka strategi baharu dalam memajukan pelancongan negeri.

Katanya, kerajaan Terengganu banyak bersandar kepada industri minyak dan gas yang menyumbangkan lebih 85 peratus pendapatan negeri.

Bagaimanapun, katanya, kejatuhan harga minyak di pasaran dunia memberi kesan kepada pembangunan negeri.

“Sehubungan itu kita perlu bergerak ke arah mewujudkan pembangunan ekonomi lebih mapan dengan meneroka dan mengambil peluang dalam sektor yang mempunyai kelebihan persaingan bagi menjana pendapatan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan untuk menarik 6.5 juta pelancong melawat negeri itu yang akan menyumbangkan perbelanjaan sebanyak RM6 bilion menjelang 2025.

Katanya sasaran itu akan meningkatkan 60 peratus kedatangan pelancong berbanding empat juta yang dicatatkan pada 2015 selain bakal mewujudkan 7,000 peluang pekerjaan kepada rakyat menjelang 2025.

“Terengganu kaya dengan pelbagai aset dan mempunyai daya tarikan untuk menjadi destinasi pelancongan pilihan di Malaysia.

“Ia memiliki kawasan persisiran pantai terpanjang dan indah sejauh 244 kilometer, tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara, pulau pelancongan antara tercantik di dunia, keunikan biodiversiti di Setiu Wetland serta warisan budaya yang unik,” katanya.

Sementara itu, Idris berkata, pihaknya mengenal pasti 208 tarikan yang akan diberikan tumpuan utama dalam mengubah landskap industri pelancongan Terengganu.

“Daripada jumlah itu kita melihat 34 daripadanya berpotensi untuk diberikan tumpuan dan menjadi fokus utama dalam menarik tumpuan pelancong.

“Antaranya ialah Tasik Kenyir, Setiu Wetland, air terjun dan kolam air panas di Besut, Resorts World Terengganu dan zoo di Kemaman,” katanya.

Khamis, November 09, 2017

3.7 JUTA WARGANEGARA BELUM DAFTAR SEBAGAI PENGUNDI

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Sejumlah 14,622,881 pemilih berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di seluruh negara sehingga 30 Jun lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata jumlah warganegara berumur 21 tahun dan ke atas yang layak mendaftar tetapi belum mendaftar sebagai pemilih adalah 3,797,785 orang bagi tempoh sama.

"Jumlah pemilih baharu yang telah didaftarkan mulai 1 Jan hingga 30 Jun 2017 adalah 409,564 orang manakala jumlah pendaftaran tukar alamat bagi tempoh sama melibatkan 152,832 orang," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 peringkat dasar bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Sehingga 30 Sept lepas, SPR telah melantik 205 penolong pendaftar pemilih bagi membantu urusan pendaftaran.

Beliau berkata urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu kini sedang disiapkan sebelum tempoh dua tahun kajian tamat pada 14 Sept depan, sebelum laporan akhir diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dibentangkan di Dewan Rakyat.


Rabu, November 08, 2017

SHAFIE TIDAK PERLU PANIK KATA MUSA AMAN

KOTA KINABALU, 7 Nov (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berkata Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal perlu membiarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan kerjanya menyiasat dakwaan rasuah melibatkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah semasa beliau menjadi menterinya.

Beliau berkata Shafie perlu lebih tenang dalam mendepani keadaan itu dan bukannya melemparkan tuduhan terhadap pihak lain dan cuba membabitkan orang lain.

"Tidak perlu panik. Tiada apa yang perlu ditakutkan sekiranya anda tidak bersalah seperti peribahasa Melayu 'berani kerana benar, takut kerana salah'," katanya kepada pemberita hari ini.

Musa berkata sehingga kini beliau tidak menyebut walau sepatah pun perkataan berkaitan kes itu walaupun diserang secara terbuka dalam ceramah politik dan sosial media Shafie.

"Bagaimanapun hari ini saya rasa saya terpaksa kata sesuatu kerana beliau cuba membabitkan saya di Parlimen dengan menyatakan seseorang yang ada kaitan dengan saya mendapat satu projek di bawah kementerian beliau," katanya.

Selasa, November 07, 2017

ADUN DAP UCAP TERIMA KASIH KEPADA TPM

GEORGE TOWN, 6 Nov (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP hari ini membentangkan usul tergempar di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini berhubung kejadian banjir buruk yang melanda negeri ini pada Sabtu dan Ahad lalu.

Ketika membentangkan usul berkenaan, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan
Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow menggesa pihak berwajib di peringkat persekutuan, negeri, dan pihak berkuasa tempatan supaya meneliti dan menambah baik Prosedur Operasi Standard dalam menyampaikan maklumat, menggerakkan kerja menyelamat dan penyaluran bantuan agar lebih berkesan dan cekap.

"Dewan yang mulia ini juga menyeru supaya semua pihak berwajib dapat bekerjasama untuk menangani masalah banjir dengan pelaksanaan projek tebatan banjir yang lebih menyeluruh serta meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan alam sekitar dan mempertingkatkan keupayaan untuk menghadapi sebarang bencana," katanya.

Beliau berkata DUN Pulau Pinang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dalam kejadian ribut dan hujan lebat yang melanda negeri ini selain menzahirkan ucapan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang menyalurkan pelbagai bentuk bagi menyelamatkan nyawa dan harta benda.

"Dewan yang mulia ini menyampaikan keprihatinan kepada semua keluarga dan individu yang telah mengalami kerugian dan kerosakan harta benda akibat ribut dan hujan lebat ini," kata Chow (DAP-Padang Kota) yang mencadangkan usul tergempar berkenaan di bawah Peraturan 30 Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Sementara itu, ketika membahaskan usul itu, Datuk Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) berharap agar agensi-agensi yang berkaitan di peringkat negeri dan persekutuan memberi komitmen yang tinggi dalam membantu masyarakat.

"Kita amat menghargai pihak-pihak yang telah membantu mangsa-mangsa yang terlibat banjir ini. Ada beberapa perkara yang perlu ditambah baik sebagai contoh untuk menempatkan mangsa di satu dewan atau pusat pemindahan sementara ini tidak mencukupi, ada yang tidur hanya beralaskan kain sahaja.

"Kami yang mewakili Barisan Nasional (BN) amat prihatin dengan apa yang berlaku dan berharap semua pihak untuk terus menyumbang," katanya yang turut menyokong usul berkenaan.

Yap Soo Huey (DAP-Pulau Tikus) mencadangkan agar papan elektronik dipasang bagi membolehkan masyarakat mengetahui maklumat mengenai banjir dan ribut dengan lebih cepat manakala Soon Lip Chee (DAP-Jawi) meminta Jabatan Meteorologi Malaysia memberi maklumat kepada rakyat dengan lebih pantas.

Dalam pada itu R.S.N. Rayer (DAP-Seri Delima) menzahirkan ucapan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana menerima panggilan telefon daripada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada pukul 3 pagi berhubung permasalahan banjir seterusnya mengerahkan anggota tentera untuk membantu.

"Walaupun kita kadangkala ada berbalah dalam isu-isu politik namun kejadian malapetaka ini menunjukkan sifat kemanusiaan kita, masing-masing datang membantu. Datuk Seri Shahidan Kasim (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) pun turun di Seberang Perai Tengah dan adakan mesyuarat lewat tengah malam untuk pastikan kerja-kerja menyelamat ini berjalan lancar," katanya.

Sementara itu Chow ketika menggulung perbahasan usul tersebut berkata pihaknya akan mengambil maklum permasalahan dan cadangan yang dibangkitkan bagi mengatasi bencana buruk yang berlaku dengan membawa perkara terbabit kepada agensi berkaitan.

Beliau berkata Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri akan mendapatkan peruntukan daripada kerajaan persekutuan untuk memperkenalkan sistem amaran banjir di empat sungai utama iaitu Sungai Kuala Muda, Sungai Prai, Sungai Pinang dan Sungai Juru.

Usul berkenaan kemudian diluluskan sebulat suara.

Hujan lebat yang bermula pada jam 2 petang Sabtu lalu dan berterusan sehingga pagi Ahad (5 Nov) menyebabkan Pulau Pinang lumpuh akibat dilanda banjir selain mengorbankan tujuh individu.

Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air di antara 0.2 dan satu meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat yang turut menumbangkan puluhan pokok.

-- BERNAMA

Isnin, November 06, 2017

UTK DITUKARKAN KE UNIT LAIN DAN BUKANNYA DITARIKBALIK

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Dakwaan kononnya anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia yang bertugas mengawal keselamatan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah ditarik balik adalah tidak benar, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata pihaknya masih mengekalkan anggota UTK bagi mengiring dan mengawal
keselamatan Dr Mahathir termasuk di rumah.

"Mana ada UTK (ditarik), polis masih kekalkan anggota UTK (mengawal keselamatan) untuk Dr Mahathir,"katanya ketika dihubungi Bernama di sini, malam ini.

Mohamad Fuzi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan yang dimuat naik Dr Mahathir di laman sosialnya kononnya anggota UTK yang ditugaskan untuk mengawal keselamatannya telah ditarik balik pada Rabu lepas.

Kenyataan dimuat naik bekas perdana menteri itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang menganggap tindakan itu keterlaluan.

Ahad, November 05, 2017

BAKAL CALON DISARAN MANFAATKAN MEDIA SOSIAL

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Anggota UMNO terutamanya yang berpotensi dipilih menjadi calon pada pilihan raya umum ke-14 (PRU 14) disaran memanfaatkan sepenuhnya penggunaan media sosial.

Anggota Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi berkata ini kerana keberkesanan media sosial bergantung kepada momentum jangka panjang terutama bagi mendapatkan pengikut yang ramai.

Menurutnya, lebih ramai pemimpin UMNO sama ada di peringkat atasan mahupun di peringkat akar umbi perlu menggunakan media sosial secara lebih aktif.

"Pada PRU13 kebanyakan calon hanya memulakan penggunaan media sosial semasa tempoh berkempen iaitu beberapa minggu sebelum undian. Namun tempoh ini begitu singkat.

"Media sosial ini penting dalam memberitahu pengundi mengenai gerak kerja dan memperkenalkan calon itu sendiri, sekurang-kurangnya perlu buka akaun selama dua tahun sebelum akaun itu menjadi trending," katanya ketika menjadi panelis dalam forum bertajuk 'Peranan Jentera Siber Dalam Menghadapi PRU14' pada Konvensyen Media Sosial UMNO Peringkat Kebangsaan 2017 di sini, hari ini.

Sabtu, November 04, 2017

NOH CABAR KERAJAAN SELANGOR BERTEGAS DENGAN DR MAHATHIR

TANJONG KARANG, 3 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor dicabar bertindak tegas terhadap Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berikutan kenyataan bekas perdana menteri itu yang dikatakan menghina bangsa Bugis.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar berkata kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mesti berani bertindak tegas terhadap Dr Mahathir demi menjaga maruah Sultan Selangor dan rakyat negeri ini.

"Kerajaan negeri jika berani boleh melarang Tun Mahathir memberikan ceramah di Selangor, ia boleh dilakukan dengan mengeluarkan surat rasmi permintaan kerajaan negeri untuk diserah kepada polis agar permit ceramah politik beliau tidak diluluskan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program penyerahan barangan keperluan kepada tujuh warga emas yang terlantar di Kampung Raja Musa di Bestari Jaya di sini, hari ini.

Tambah Noh beliau juga yakin Dr Mahathir tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan memohon maaf atas kenyataan yang dibuatnya pada himpunan anjuran parti-parti pembangkang di Petaling Jaya pada 14 Okt lepas

Jumaat, November 03, 2017

TERIMA KASIH KEPADA DATUK SERI DR SALLEH

KUALA LUMPUR: Terima kasih kepada Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang sudi menyempurnakan majlis prapelancaran buku Panduan VVIP Malaysia di Wow KL, Matic tengahari semalam.

Walaupun beliau sibuk dengan tugas rasmi, beliau tiba awal 11.40 pagi di Matic yang mana majlis itu sepatutnya bermula jam 12 tengahari. Seperti biasa beliau tidak berucap di majlis anjuran bukan kementerian (Masa melancarkan buku Bajau Musli Oli di Hotel Seri Pacific dua bulan lepas, beliau pun tidak berucap).

Beliau menandatangani plak pelancaran buku yang bermakna buku Panduan VVIP Malaysia yang diterbitkan oleh Mysuit Styles Sdn Bhd akan siap dalam masa enam bulan akan datang. Apabila saya menghantar whatsapp kepada rakan rakan yang bergelar Dato, ramai yang bertanya saya adakah buku itu sudah siap. Sebenarnya buku ini belum ditulis.

Majlis yang diadakan semalam adalah untuk memohon persetujuan hadirin yang terdiri dari Tan Sri, Dato Seri dan Dato untuk dibukukan kisah kehidupan mereka dalam buku yang dijangka memuatkan 100 orang penerima darjah kebesaran sama ada dari Yang Dipertuan Agong atau Sultan atau Tuan Yang Terutama Yang Dipertuan Negeri (TYT).

Semalam hampir 200 orang Tan Sri dan Dato telah menghadiri majlis kami. Ini bermakna jika merela bersetuju kisah hidup mereka dibukukan maka edisi pertama dijangka siap pada bulan Jun 2018.

Jika Tun, Tan Sri, Dato Seri, Dato bersetuju menyertai buku kami, kami akan adakan aktiviti bulanan buat mereka yang mana ia akan menjadi kelab ekseklusif  untuk mereka yang muncul dalam buku Panduan VVIP Malaysia.

Saya ucapkan terima kasih kepada semua hadirin yang hadir seperti Tan Sri M. Kayveas, Dato Suhaimi Ibrahim, Dato Ghafar Nin, Dato Zulkifli Salleh, Dato Kamarulzaman Idris, Dato Hakim, Dato Rahman Hassan dan ramai lagi. Ramai Dato yang menghubungi saya tak dapat hadir seperti  CEO Tulangis Maju Sdn Bhd, Dato Seri Rahim Husin,







pegawai khas TPM, Datuk Norzihan Tamby dan bekas Mufti Terengganu, Dato Ismail Yahya.

Jika Tun, Tan Sri, Dato Seri, Dato bersetuju supaya kisah mereka dibukukan maka mereka bolehlah hubungi ejen pemasaran kami iaitu  Johny Chong( 0127271261), John Chen (0164144293), Mee Leng (0195544130), Puvaa(0163353167), Rama (0123212722), Shamsu Hazli Mamat (0176222280), Komar (0132627851), Ida (01123152229) dan Kit ( 0192006788).

Terima kasih kepada semua artis yang menjayakan persembahan seperti Kumpulan Hijaz dan Wilson Tin. Juga terima kasih kepada semua penaja termasuk Forest City, Crazy Mall dan lain lain.