Isnin, November 27, 2017

KENYATAAN NAZRI SUPAYA UMNO TIDAK BERPECAH LAGI

ANALISIS BERITA

KUALA LUMPUR: Biarpun Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamudin Hussein mengingatkan ahli-ahli UMNO tidak menumpukan kepada pemilihan parti sebaliknya memberi perhatian kepada PRU tetapi Ketua Umno Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz membuat usul supaya tidak ada pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan 2018.

Semalam Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membayangkan PRU akan diadakan selepas Tahun Baru Cina selepas Februari 2018. Biasanya pemilihan Umno akan diadakan pada bulan Disember 2018.

Oleh itu kenyataan Nazri terlalu awal supaya Najib dan Zahid diberi kemenangan percuma pada pemilihan 2018. Beliau menghujah ketika Tun Hussein Onn melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai TPM pada tahun 1976, Dr Mahathir tidak dicabar dalam pertandingan timbalan presiden Umno pada pemilihan 1978.

Nazri menambah apabila Pak Lah melantik Najib sebagai timbalan perdana menteri Najib juga diberi kemenangan percuma sebagai timbalan presiden Umno pada tahun 2009. Begitu juga ketika Dr Mahathir melantik Pak Lah sebagai timbalan perdana menteri Pak Lah tidak dicabar bagi jawatan timbalan presiden Umno pada tahun 2004.

Apa yang dikatakan Nazri amat benar jika pertandingan timbalan presiden Umno diadakan maka Umno akan berpecah lagi. Lihat kesan pertandingan timbalan presiden Umno di zaman Dr Mahathir di antara Tun Musa Hitam dengan Tengku Razaleigh Hamzah pada tahun 1981 dan 1984 menyebabkan Umno hancur.

Umno berpecah dua kepada kem Musa dan kem Ku Li. Kenapa Nazri buat kenyataan sebegini? Mungkin sudah ada riak di bawah kononnya Hishamuddin akan menentang Zahid pada pemilihan akan datang.

Penyokong Hishamudin nampaknya ghairah mahu menonjolkan Hishamudin sebagai Timbalan Presiden Umno yang baru maka kenyataan berani Nazri hendaklah dilihat sebagai satu amaran kepada penyokong Hishamuddin supaya tumpu kepada PRU dan bukannya kepada pemilihan parti.

Umno tidak sanggup berpecah lagi maka wujudnya kem Zahid dan kem Hishamuddin tidak akan menguntungkan Umno. Seorang ketua bahagian di Selangor yang menjemput Hishamuddin merasmikan persidangan perwakilan bahagian baru baru ini dipulau oleh pegawai pegawai Zahid seolah olah jemputan itu membuktikan dia orang Hishamuddin sedangkan dia menjemput Hishamuddin di atas kapasiti naib persiden Umno.

Dari segi akar umbi, Zahid memang lebih kuat dari Hishamudin namun demikian ia bergantung kepada keputusan PRU yang akan datang sama ada Hishamudin akan langgar Zahid atau tidak. Kenyataan Nazri walaupun terlalu awal tapi ia hendaklah dianggap sebagai satu amaran supaya Umno tidak bergolak sekali lagi. Syabas kepada Umno Bahagian Padang Rengas yang membawa usul tersebut supaya elakkan pertandingan jawatan nombor 1 dan nombor 2.