Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias berkata keyakinan itu bersandarkan kepada kepimpinan kerajaan negeri yang disifatkan sangat membantu dalam usaha agensi tersebut membanteras rasuah secara habis-habisan.
Namun begitu, beliau masih berharap agar kerajaan dan masyarakat terutamanya, meletakkan rasuah sebagai musuh nombor satu negara memandangkan ia katanya, sentiasa berlaku di mana-mana selagi terdapat peluang dan ruang.
"Sampai hujung tahun ini, saya jangka kira-kira 100 tangkapan dapat dibuat di Johor tetapi apakah itu (tangkapan) satu perkara yang menunjukkan rasuah benar-benar dapat dibanteras dalam Johor?"
"Saya rasa tidak, kerana setiap pengganti kepada 100 orang ini akan membuat perkara yang sama kerana rasuah sangat berkait dengan ruang dan peluang."
"Saat kita duduk di tempat itu, maka peluang untuk lakukan rasuah adalah sangat tinggi," katanya kepada kira-kira 2,700 penjawat awam yang menghadiri Sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang disempurnakan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr.Ali Hamsa di Pinewood Iskandar Malaysia Studios di sini, hari ini.
Menurut Azmi negara tidak akan maju seperti yang diimpikan sekiranya masih terdapat ramai rakyat tempatan dan warga asing berada dalam penjara dan pusat tahanan pendatang haram.