KUALA LUMPUR: Perebutan kerusi parlimen Cameron Highlands kembali bergema apabila seorang Ketua Pemuda MIC, C. Sivarajah mengumumkan bahawa beliau adalah bakal calon MIC bagi kawasan parlimen tersebut.
Ia pula disahkan oleh Ketua Pemuda MCA, Senator Datuk Chong Sin Woon yang datang melawat ke sebuah sekolah di Cameron Highlands yang menyokong penuh Ketua Pemuda MIC itu sebagai calon sambil berkata orang yang sudah berusia lebih 60 tahun tidak layak jadi calon.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Savaranan turut menyokong C Sivarajah yang juga Penyelaras MIC Cameron Highlands sebagai calon. Ini mengakibatkan suasana di parlimen tersebut bergolak apabila kawasan itu dijaga oleh Presiden MyPPP, Tan Sri Kayveas sejak tiga tahun lalu apabila ahli parlimennya G Palanivel dipecat dari MIC dan menjadi ahli parlimen Bebas.
"Saya sudah tiga tahun menjaga parlimen Cameron Highlands kerana saya anak tempatan dan mendapat restu dari Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak dan saya terkejut apabila Ketua Pemuda MIC mendahului Perdana Menteri dalam mengumumkan calon parlimen Cameron Highlands," kata Kayveas dalam satu pertemuan eksklusif dengan MH Online di pejabatnya petang semalam selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi MyPPP.
"Saya lebih terkejut apabila Ketua Pemuda MCA turut menyokong Sivarajah sebagai calon sedangkan BN belum buat pengumuman lagi siapa akan bertanding di situ," katanya lagi.
Beliau selaku Penasihat Kementerian Pengangkutan mendakwa kerusi Cameron Highlands sebenarnya diwujudkan untuk beliau. Pada tahun 1999, beliau selaku Presiden parti komponen BN tiada tempat untuk bertanding maka Pengerusi BN, Tun Dr Mahathir Mohamad melantiknya sebagai Senator dan Timbalan Menteri dan berjanji akan memberi kerusi Cameron Highlands kawasan baru yang dipecahkan dari parlimen Lipis pada PRU 2004.
Malangnya Dr Mahathir bersara dari politik pada tahun 2003 dan Pak Lah sebagai Pengerusi BN yang baru yang mengetuai PRU 2004 mengikut telunjuk Presiden MIC, Tun Samy Vellu yang mahu kerusi Cameron Highlands untuk MIC. Maka Kayveas terpaksa ambil kerusi Parti Gerakan dan bertanding di parlimen Taiping. pada tahun 2004.
Pada tahun 2008 Kayveas masih mengintai kerusi Cameron Highlands tapi beliau dikekalkan bertanding di Taiping yang mana beliau kalah kepada calon DAP. Pada tahun 2013 beliau masih mahu bertanding di kampung halamannya tetapi beliau patuh kepada arahan Pengerusi BN yang baru, Najib yang mahu Presiden MIC, Palanivel bertanding di situ dan beliau buat keputusan tidak bertanding.
Pada tahun 2014 Palanivel kalah mempertahankan jawatan Presiden MIC dan beliau dipecat dari MIC maka kerusi tradisi MIC itu kosong. Ketika itu beliau memohon kepada Najib untuk menjaga kerusi tersebut dan balik kampung setiap minggu menemui pengundi dan dalam tempoh tiga tahun itu beliau telah mendaftar 5,000 orang pengundi baharu.
"Saya rasa Perdana Menteri nampak saya sudah bekerja keras sejak tiga tahun lalu maka tidak timbul bahawa kerusi Cameron Highlands adalah kerusi tradisi MIC kerana sudah tiga tahun MIC tidak jaga kawasan tersebut," dakwa beliau.
Sehubungan dengan itu beliau kesal dengan sikap pemimpin MIC yang mendahului PM yang menamakan Sivarajah sebagai calon MIC yang mahu orang muda sebagai calon.
"Saya dikatakan sudah lebih umur 60 tahun dan tak layak jadi wakil rakyat seolah olah semua yang sudah berumur 60 tahun ke atas termasuk PM, TPM dan Presiden MIC, Subramaniam tidak layak lagi jadi calon," katanya sedangkan majoriti ketua cawangan MIC dalam parlimen Cameron Highlands berusia 60 tahun ke atas.
Katanya orang muda perlu belajar jadi pengikut sebelum jadi pemimpin. Cari pengalaman yang banyak sebelum layak jadi calon.
"Walaupun sudah berumur 60 tahun kalau calon itu masih sihat dan boleh berkhidmat kepada rakyat maka apa salahnya calon itu dikekalkan kerana rakyat sudah biasa dengan orang lama," ujarnya lagi.
Walau bagaimanapun beliau akan patuh kepada PM apabila tiba PRU nanti. Apabila PM umumkan parti mana yang akan wakili BN di situ beliau akan patuh arahan tersebut tetapi beliau optimis bahawa MyPPP akan mewakili BN pada PRU akan datang berdasarkan sambutan pengundi di situ terhadap parti MyPPP.