KUALA LUMPUR, Nov 28 (Bernama) -- Penglibatan wanita yang masih rendah dalam pemerkasaan politik di negara ini tidak bermakna kerajaan sama sekali mengamalkan diskriminasi terhadap kaum itu, menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Beliau berkata, data yang diperolehi menunjukkan kaum wanita lebih menonjol dan menunjukkan persaingan tinggi dalam bidang-bidang lain iaitu ekonomi, pendidikan dan kesihatan.
"Berdasarkan Laporan Jurang Gender Global 2017 oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF), ramai yang mengatakan kerajaan mengamalkan diskriminasi terhadap wanita...mereka beri contoh daripada 71 anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hanya ada tujuh wanita, dan daripada 222 kerusi Parlimen, hanya 24 anggota Parlimen wanita, iaitu 10.8 peratus.
"Pertanyaan mengapa penilaian dilihat dari segi pemerkasaan politik sahaja?. Bagaimana pula dengan aspek ekonomi, pendidikan dan kesihatan?.
"Kerana jika dilihat daripada dimensi ini ternyata tiada diskriminasi terhadap wanita di negara ini," katanya ketika berucap merasmikan program 'Women Power Talk 2017', anjuran Pergerakan Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Salleh berkata, data pada 2013 menunjukkan lebih 86,798 wanita masuk ke universiti berbanding lelaki, meningkat daripada 67,734 orang pada 2009, dan laporan WEF itu sendiri meletakkan skor pencapaian wanita di negara ini lebih tinggi berbanding lelaki, iaitu dalam bidang pendidikan (0.991), kesihatan (0.977), dan ekonomi (0.654).
"Ketidaksamaan jantina cuma ketara dalam segi politik..,itu sebabnya kalau kita lihat kita hanya kurang dari segi penguasaan dari segi politik.
"Sebab itu ia menjadi cabaran kepada semua pihak untuk tentukan bagaimana perkara ini boleh diperbaiki dan semua parti politik boleh ambil kira perkara ini agar di Malaysia, wanita kita bukan sahaja kuat dalam tiga bidang, tapi juga dalam penguasaan politik," katanya.
Salleh berkata, kerajaan Barisan Nasional sentiasa mengambil berat dan berusaha mencari jalan yang terbaik untuk meningkatkan penguasaan kaum wanita dalam bidang-bidang yang disebutkan, terutama sekali yang digariskan sebagai kriteria oleh laporan WEF berkenaan.
Program 'Women Power Talk' itu, merupakan program tahunan Wanita UMNO dengan tahun ini membawa tema 'Advancing U Through Media', yang menghimpunkan tokoh-tokoh wanita daripada bidang politik, pasukan beruniform, serta pemimpin organisasi kerajaan dan korporat.
Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, dalam ucapannya berkata, program ini merupakan salah satu inisiatif sayap itu untuk bersama-sama golongan profesional dan wanita kerjaya daripada pelbagai lapisan masyarakat, merentasi sempadan ideologi politik dan bangsa.
"Wanita hari ini mesti peka dengan peluang dan ruang yang boleh dimanfaatkan dalam ledakan teknologi media baharu untuk mempertingkatkan diri dan menjadi lebih hebat dalam bidang yang diceburi.
"Pada masa sama, wanita juga mesti sedar dengan ancaman dan kelemahan yang datang bersama teknologi ini untuk memastikan keselamatan maklumat diri dan organisasi sentiasa terjaga," katanya.
-- BERNAMA