Memaparkan catatan dengan label gst. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label gst. Papar semua catatan

Ahad, Mac 11, 2018

KERAJAAN HILANG RM416 BILION JIKA GST, TOL, PINJAMAN PTPTN DAN DUTI EKSAIS DIMANSUHKAN

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Kerajaan akan menanggung kehilangan hasil negara berjumlah RM416.6 billion jika Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), tol, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan duti eksais dimansuhkan, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Beliau berkata pemansuhan GST akan menyebabkan negara kehilangan RM45 bilion manakala tol (RM338 bilion), PTPTN (RM3.9 bilion) dan duti eksais (RM2.4 bilion).

Katanya pemansuhan itu juga akan menjadikan hutang negara semakin meningkat.

"Kita akan kehilangan RM45 bilion jika mansuhkan GST. Ia satu angka yang besar dan kami tidak memperkenalkannya begitu sahaja, (tetapi) kami telah membuat kajian selama bertahun-tahun.

"Sebanyak 160 buah negara di dunia telah melaksanakan GST. Pelbagai peratusan dikenakan, tetapi di Malaysia, kita mengambil enam peratus -- kadar yang lebih munasabah, tidak begitu membebankan ekonomi dan rakyat," katanya kepada pemberita di sini hari ini

Sabtu, November 11, 2017

MAHATHIR PERNAH AKUI GST LEBIH BAIK DARI SST

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pembangkang ikhlas dalam soal Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), dan jangan menipu rakyat kononnya GST patut dihapuskan tetapi dalam masa sama akan mengembalikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang sudah lapuk.

"Mansuhkan sahaja cukai barang dan nyatakan di mana mereka (pembangkang) mahu menampung kekurangan hasil minyak sebanyak RM40 bilion setahun. Usahlah perdayakan rakyat," kata perdana menteri dalam catatan terkini blog rasminya (www.najibrazak.com), hari ini.

Najib menjelaskan bahawa SST yang mahu diguna pakai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai masalah percukaian bertindih dan juga perhitungan berganda dalam pengiraan nilai produk serta mempunyai masalah ketirisan akibat manipulasi pemborong dan penjual.

Beliau berkata pengenalan sistem SST bukan sahaja keterbelakang, malah akan membebankan rakyat secara tersembunyi.

Dr Mahathir sedar akan perkara itu dan pernah mengakui GST lebih baik daripada SST kerana pentadbiran beliau sendiri yang mengesyorkan untuk menaik taraf cukai kepada sistem GST, kata Najib.

"Akhirnya Tun Dr Mahathir bersetuju dengan kerajaan bahawa GST menampung kekurangan hasil minyak sebanyak RM40 bilion.

"Namun kerana beliau keterlanjuran kata menjanjikan pemansuhan GST, beliau sekarang ini mahu menggantikan GST dengan SST, sebuah sistem lapuk dan tersembunyi yang telah ditamatkan oleh 160 buah negara di dunia. Sekali lagi Tun melakukan u-turn (pusingan U)," jelas perdana menteri.

Beliau berkata Dr Mahathir ingin menampakkan seolah-olah pembangkang akan menghapuskan GST tetapi sebaliknya akan menggantikan dengan SST dengan kadarnya tidak dimaklumkan kepada pembeli bagi mengemis undi.

"Bukankah ini satu pembohongan. Di bawah sistem SST adalah tidak perlu untuk penjual maklum jumlah cukai dalam resit.

"Jadi mereka boleh mengenakan cukai pada kadar yang tidak boleh dikawal penguat kuasa, dan rakyat juga tidak sedar mereka masih dicukai walaupun diberitahu GST dimansuhkan. Tidak dengan GST di mana penjual perlu secara telus menyatakan jumlah kadarnya yakni enam peratus," jelasnya.

Najib menegaskan dari segi perbandingan sistem, GST adalah sistem yang moden dan lebih sistematik daripada SST.

Katanya, GST diperkenalkan kerana ia lebih moden, telus dan mempunyai perundangan yang lengkap bagi mengelakkan penipuan dan diguna pakai oleh 160 buah negara di dunia, selain mempunyai cara perhitungan dan piawaian yang konsisten dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA


Selasa, April 12, 2016

GST DAN 1MDB TIDAK PENGARUHI PRN SARAWAK

Isu nasional seperti isu 1MDB dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak akan menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) untuk kekal sebagai kerajaan, kata Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Jemut Masing.

"Sudah pasti isu itu akan digunakan untuk mempengaruhi pengundi ketika pilihan raya negeri ke-11 (PRN-11) Sarawak nanti, kata Masing.

Katanya jika isu-isu itu cuba dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai modal politik, rakyat Sarawak sebenarnya tahu apa yang telah dilakukan Perdana Menteri kepada negeri ini sejak beliau menjawat jawatan pemimpin nombor satu negara.

"Isu 1MDB dan GST pasti akan dibawa pada pilihan raya nanti...tetapi kita merasakan tidak banyak impak yang akan berlaku. Sebagai contoh saya merasakan dalam isu GST apa yang kita perlukan ialah memberi penerangan yang jelas.

"Berkenaan Perdana Menteri pula, banyak sudah beliau lakukan kepada negeri ini. Sebagai contoh, beliau luluskan projek pembinaan jalan yang menghubungkan Sibu-Kanowit-Song-Kapit...Kapit sebelum ini ibarat 'pulau dalam Pulau Borneo' namun dalam tempoh tiga tahun ia bakal mempunyai akses jalan raya," katanya.

Masing berkata Perdana Menteri memahami keperluan rakyat negeri ini dan rakyat Sarawak memahami 'beliau seorang yang baik yang menjaga kita dan kita tidak akan lupakannya'.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Tanah negeri berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena pelancaran jentera pilihan raya BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus di sini hari ini.

Turut hadir calon DUN Kakus daripada PRS Datuk John Sikie Tayai.

Sementara itu, Masing yang juga calon DUN Baleh berkata PRS sudah membuat persediaan sebaik mungkin dalam menghadapi pilihan raya negeri.

Beliau berkata PRS mempunyai kelebihan apabila beliau sebagai Presiden PRS, bersama Pengerusi BN negeri Tan Sri Adenan Satem; mencapai kata sepakat dalam menentukan siapa calon yang akan bertanding di 11 kerusi yang diperuntukkan kepada parti itu, dan ia dipersetujui anggota parti.

"Perancangan adalah penting, kita mesti bertindak bersama sebagai satu pasukan dan kita tidak mempunyai orang lain untuk menyokong kita selain Adenan, ketua menteri kita. Apa yang sedang dilakukan beliau (Adenan) ketika ini adalah tepat dan dasar beliau memberi manfaat kepada kawasan luar bandar, itu juga kelebihan kita," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Khamis, 14 April, bagi membincangkan tarikh pilihan raya negeri ke-11 berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.

Pilihan raya negeri Sarawak ke-11 akan menawarkan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri untuk ditandingi, tambahan 11 kerusi berbanding pilihan raya sebelum ini pada 2011, selaras dengan langkah persempadanan semula oleh SPR tahun lepas.

-- BERNAMA