KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini mencabar pihak yang kononnya berjuang untuk menegakkan hak-hak Sabah membuktikan keikhlasan perjuangan mereka kepada rakyat negeri itu atau ia hanya agenda politik mereka.
Ini termasuk cabaran kepada Parti Warisan sama ada ia akan meminda Artikel 5A, Perlembagaan Negeri Sabah, iaitu agama Islam tidak lagi menjadi agama negeri Sabah sekiranya parti itu memerintah Sabah.
Pandikar dalam kenyataan media hari ini, berkata cabaran dan persoalan sama ditujukan kepada Presiden Parti STAR Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang turut mendakwa beliau (Pandikar) memutarbelitkan fakta berhubung Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63.
Cabaran itu, katanya kerana pihak terbabit telah salah tafsir sejarah kemerdekaan pewujudan Malaysia dan perundangan yang berkaitan dengannya untuk menyesuaikan selera dan agenda politik masing-masing.
"Sejak kebelakangan ini, isu hak-hak negeri Sabah dan Sarawak hebat diuar-uarkan oleh mereka yang mempunyai agenda politik masing-masing. Saya terpanggil membuat kenyataan ini atas kapasiti sebagai Sabahan (rakyat Sabah) dan bukan atas kapasiti sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat kerana isu ini amat serius.